CINTA BAPA DAN BERUK
Bapaku telah jatuh cinta kepada seorang janda beranak seorang,(Ani-bukan nama sebenar).Dia ada bau-bau bacang dengan ibuku dan tinggal sekampung – kampung seberang. Cinta bapaku kepadanya telah bersambut dan kemudian mereka berkahwin . Ibuku yang faham dengan firman Allah dalam Quran mengenai Allah membolehkan orang lelaki beristeri lebih dari seorang, maka dengan hari yang ikhlas dia reda dimadukan .
Cinta bapaku kepada Ani bermula dari seekor beruk bernama Pandak. Beruk itu dipelihara oleh seorang penduduk kampung itu. Dia telah menggunakan beruk jantan dan besar itu sebagai ’buruh haiwan’nya. Beruk itu dinamakan Pandak dan pandai mengambil buah kelapa atas pokok, mengambil buah petai dan menyelam dalam lubuk memungut siput sedut.
Tuan beruk itu sentiasa menambat Pandak dengan rantai pada sebatang tiang di belakang rujmahnya. Di bahagian atas tiang itu dibuat ran atau pondok kecil tempat Pandak berteduh. Biasanya pada waktu malam, apabila Pandak ’naik minyak’, tenaganya menjadi lebih kuat dari tenaga biasanya. Rantainya sering putus. Tiap-tiap kali rantainya putus, Pandak berkejar ke rumah Ani yang jauhnya kira-kira sesuku kilometer dari rumah tuan beruk itu. Pandak telah naik ke atas bumbung rumah Ani yang beratapkan daun rumbia kering itu.
MELOMPAT – LOMPAT GATAL
Mungkin pandak ’berkenan’ kepada janda itu. Ia telah menyelak rabung dan atap untuk melihat Ani yang sedang ketakutan dalam rumahnya. Sambil membunyikan suara ’ hok, hok, hok’, pandak melompat-lompat gatal atas atap itu. Ani menjerit dan melolong ketakutan. Setiap kali Pandak terputus rantai dan datang ke rumah Ani, tuan beruk itu telah datang menangkapnya dan dibawa pulang. Tidak ada siapa yang berani menangkap beruk tersebut, selain dari tuannya dan bapaku.
Pada satu malam, tuan beruk itu tidak ada di rumah, Pandak telah mengacau Ani. Jiran tetangga Ani tidak berani menghampiri rumahnya kerana mereka takutkan Pandak. Seorang berdua jiram Ani telah memberitahu kepada bapaku supaya datang menangkap beruk itu. Bapaku telah datang menangkap Pandak. Sebentar kemudian tuan beruk itu telah tiba dan bapaku menyerahkan Pandak kepadanya.
Semenjak kejadian pada malam itu Ani telah terhutang budi kepada bapaku, kemudian ’cinta’ seperti ’Laila dengan Qais’ dalam kisah klasik ’Laila dan Majnun’ telah menghanyutkan Ani dan bapaku.
ISTERI YANG SOLEHAH
Bapaku telah memberitahu ibuku yang dia berhasrat hendak berkahwin dengan Ani. Ibuku seorang isteri yang solehah – kasih dan tulusnya kepada bapaku ’berbunga kembang’ dalam dirinya. Ibuku reda dimadukan. Apa salah berkongsi suami dengan perempuan lain, kalau perkongsian itu secara halal dan mengikut sunnah Nabi Muhammad.
Ibuku amat yakin, seseorang isteri yang membantu suaminya hendak berkahwin lagi, Allah akan menganugerahkan kepadanya syurga. Dua hari kemnudian ibuku telah datang meminang Ani. Ibuku telah berharap; moga-moga madunya itu menerimanya sebagai kakaknya sendiri.
Seminggu kemudian, bapaku telah diijabkabulkan dengan Ani, dalam satu majlis yang sederhana di rumah Ani. Setelah bapaku berkahwin dengan Ani, ibuku dan madunya berkeadaan seperti dua beradik seibu sebapak.
MELAKSANAKAN HAJAT SUAMI
Semenjak ibuku bermadu, ramai perempuan di kampungku marahkannya kerana dia baik dengan madunya dan ramai pula memujinya, kerana dia telah menjadi seorang isteri contoh dan isteri solehah.
Ibuku tidak menghiraukan benci dan puja perempuan-perempuan di kampung kami, yang penting dia telah dapat melaksanakan hajat suaminya dan mematuhi hukum-hukum Allah. Ibuku amat faham akan tujuan firman Allah dalam Quran.
’Kahwinlah dengan perempuan-perempuan yang kamu sukai (cinta), dua, tiga dan empat, tetapi kalau kamu khuatir tidak dapat berlaku adil (antara isteri-isteri), hendaklah satu (seorang isteri) sahaja...’[1]
Aku anak ibuku. Aku mengesyorkan kepada perempuan-perempuan yang beriman kepada Allah; amat baik bagi mereka merelakan suami masing-masing memadukan mereka(jika cukup syarat-syaratnya), kerana dengan kerelaan itu mereka akan dapat menolong ramai gadis dan janda yang tidak bersuami. Ada di antara mereka itu meneruskan kehidupan dengan tidak bersuami hingga ke akhir hayat.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)
[1] Quran - An Nisa: 3
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.