Monday, February 14, 2011
MENGENANG MASA SILAM
SATU BANGSA DAN SATU BUMI
Aku telah mengikuti kursus kewartawanan dan penulisan secara pos dari sebuah badan yang menyelenggarakan kursus tersebut, di Kota Medan, Indonesia, pada pertengahan Mac 1958. Aku telah mengikuti kursus tersebut selama enam bulan.
Pihak penyelenggara kursus itu telah mengirimkan kepada aku beberapa nama beberapa surat khabar dan majalah yang terbit di Medan, Jakarta dan beberapa bandar di Indonesia dan meminta aku mengirim artikel-artikel kepada beberapa suarat khabar dan majalah tersebut.
Pada awal April 1958, aku telah pergi ke Kedutaan Republik Indonesia, di Kuala Lumpur dengan tujuan untuk meminjam buku-buku dari perpustakaan di kedutaan itu. Kebetulan pada hari itu serombongan pegawai-pegawai tinggi Pemerintah Republik Indonesia telah berada di kedutaan tersebut. Rombongan itu disertai oleh beberapa orang wartawan dari sana.
Seorang pegawai kedutaan itu telah memperkenalkan aku kepada anggota-anggota rombongan tersebut. Kemudian setiap anggota rombongan itu telah mengambil nama dan alamatku. Ada di antara wartawan-wartawan itu telah mempelawa aku bekerja dengan beberapa buah surat khabar di Jakarta dan Medan.
SURAT KHABAR
Kira-kira sebulan kemudian, aku telah menerima surat dari Ketua Redaksi, ’Harian Patriot’, di Kota Medan. Dia telah menawar kepadaku untuk bekerja sebagai penulis surat khabarnya, di Persekutuan Tanah Melayu. Aku telah menerima tawaran itu. Pihak Harian Patriot telah membayar kepadaku pada setiap bulan agak lumayan juga. Mereka juga memberi pengakuan, kalau aku datang ke Kota Medan atas urusan surat khabar itu, maka tambang, makan dan minum serta penginapan akan ditanggung oleh pihak surat khabar tersebut.
Aku telah berkhidmat sebagai wartawan dengan surat khabar Patriot. Pada masa itu, untuk mengirim berita kepada media dengan jalan pos, kapal terbang, telefon. Belum ada komputer dan internet. Aku mendapat kemudahan mengirim berita-berita (yang perlu segera) kepada Harian Patriot dengan perkhidmatan telekom, iaitu menggunakan’collect press’.
Pada masa itu aku masih menulis artikel-artikel untuk surat khabar dan majalah Melayu di Singapura dan Pulau Pinang.
TOKOH POLTIK
Selama aku mewakili Harian Patriot negara ini, aku telah diundang oleh pihak suratkhabar itu ke pejabat mereka di Medan. Pada kali pertama aku di sana, pada minggu ketiga bulan Mac 1958, kerana menyambut dua orang tokoh politik Indoensia, D.N.Aidid (Parti Komunis Indonesia) dan Subandrio (Menteri Luar Indonesia) yang melawat ke pejabat surat khabar itu. Aku telah berkesempatan berkenalan dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka.
Walaupun D.N.Aidid memperjuangkan komunisme, tetapi dalam masalah bangsa, dia tetap dengan ’satu bangsa, Bangsa Indonesia’. Dia tidak mahu bangsa Indonesia berkongsi kuasa dengan orang-orang keturunan pendatang.
D.N.Idid dan Subandrio sependapat tentang Nusantara atau Melayu Raya. Menurut mereka, pada masa akan datang wilayah Nusantara atau Melayu Raya, tidak mungkin dikalahkan oleh mana-mana kuasa besar, tetapi akan wujud negara-negara di dalam wilayah itu dikuasai oleh penjajah bentuk baru, termasuk penularan kebudayaan barat, bahasa dan perdagangan
PEJABAT PERESIDEN
Lawatanku kali yang kedua ke pejabat Harian Patriot, ialah dalam perjalananku ke Jakarta atas jemputan pihak pejabat Presiden Soekarno, pada 1 Mei 1958. Aku bersama enam orang wartawan dari Kota Medan, telah mengadap Presiden Soekarno, di pejabatnya pada watu tengah hari. Pada sebelah petangnya kami telah dijemput minum petang di istananya.
Soekarno telan bercakap denganku tentang masa depan Persekutuan Tanah Melayu, perhubungan bangsa dua serumpun, iaitu bangsa Melayu Semenanjung dan bangsa Indonesia dari Sabang hingga ke Maroke, adalah bangsa yang besar di Asia. Menurutnya penjajah bentuk baru sedang berusaha untuk menguasai beberapa kawasan di Nusantara atau Melayu Raya.
Dia telah menekankan, bangsa Melayu dan Indonesia adalah saudara dua serumpun, sepanjang perjalanan sejarah bangsa Melayu, ada kalanya dua saudara itu bergeseran atau berkrisis, tetapi akhirnya mereka bercantum semula seperti ’carik-carik bulu ayam’ atau ’biduk lalu kiambang bertaut’.
MENGAWAL EKONOMI
Presiden Indonesia itu telah membayangkan, penjajah Inggeris akan menggunakan diplomasi penjajahannya untuk menjadikan Persekutuan Tanan Melayu sebagai benteng mengawal ekonominya, di sekitar kepulauan Melayu, terutama Brunei, Sarawak dan Sabah.
Presiden Soekarno telah menyatakan, hasrat rakyat dalam lingkungan Kalimantan Utara termasuk Brunei, Sarawak dan Sabah untuk berdiri atas kaki sendiri sebagai sebuah negara merdeka akan dihalang oleh Inggeris, kerana dalam wilayah itu Inggeris, Amerika dan negara-negara mempunyai kepentingan eknomi mereka.
Pada waktu kami akan meninggalkan istana, Presiden Soekarno telah menghadiahkan kepada kami masing-masing sebuah gambarnya yang berpakaian seragam serba putih, bersongkok dan sedang memegang tongkat.
PENULIS TERKENAL
Setiap gambar itu dalam sebuah bingkai (frame) yang cantik. Aku telah mendapat tahu, memang telah menjadi kebiasaan pada Presiden Indonesia itu, setiap orang yang menziarahnya, dihadiahkan sebuah gambarnya bersama bingkainya sekali.
Selama tiga hari di Jakarta, aku berkesempatan bertemu dengan beberapa orang penulis terkenal di sana, di antaranya, Haji Abdul Malik Karim Amarullah – HAMKA, Mochtar Lubis dan Rusihan Anwar. Aku telah bertemu dengan ramai penulis dan seniman Indonesia di Taman Marzuki.
Mungkin kerana para penulis, wartawan dan seniman Indonesia telah berpengalaman dengan revolusi atau mereka terdiri dari anak-anak pejuang revolusi Indonesia, aku telah mendapati mereka amat mencintai bahasa Indonesia (Melayu) dan aman mementingkan karya seni mereka.
ANGKATAN 45
Sebagai contoh atas keperihatinan para seniman terhadap kerya seni mereka, aku telah mengutip dua baris sajak seorang penyair Indonesia ’Angkatan 45’, Asrul Sani, dalam sebuah sajaknya ’Pengungsi’, iaitu:
Kami telah pilih bencana sebagai kerja,
Dan ini hanya berakhir dengan rana.
Manakala dalam sajaknya, ’Elegi Jakarta’:
Ia yang hendak mencipta,
Menciptalah atas bumi ini,
Ia yang akan tewas,
Tewaslah kerana kehidupan.
Kita yang mau mencipta dan akan tewas
Akan berlaku untuk ini dengan cinta,
dan akan jatuh seperti permata mahkota
berderai sebutir demi sebutir.
Kira-kira tiga bulan setelah aku pulang dari Jakarta, aku telah ditawarkan untuk mengikuti kursus singkat sains politik - jarak jauh selama enam bulan - , di bawah kelolaan Pejabat Presiden Soekarno dengan kerjasama pihak sebuah universiti, di Jakarta selama enam bulan.
KALIMANTAN UTARA
Kursus itu bertujuan mewujudkan individu-individu yang mempunyai pandangan, bahawa Melayu Raya satu rangkaian negara-negara ’serumpun bangsa’, iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Filipina dan Indonesia (akan masuk Republik Kesatuan Kalimantan Utara (KKU)-Brunei, Sarawak dan Sabah) yang kuat dalam bidang ekonomi, politik, pertahanan, kebudayaan dan sosial.
Aku dan wartawan-wartawan lain yang telah mengikiuti kursus itu, akan menjadi penterjemah cita-cita dan perjuangan ’ serumpun bangsa’ tersebut.
Pada masa itu dari risikan Pemerintah Indonesia dan Filipina mendapati, bahawa British, Amerika Syarikat, Australia dan Cina Seberang laut sedang merancang untuk memecah-belahkan atas beberapa negara-negara dalam Nusantara untuk menjadi negara baru di bawah pengaruh mereka. Di antaranya, Singapura (Cina seberang laut), Brunei, Sarawak dan Sabah (Amerika Syarikat dan British) dan Irian Barat (Australia) .
Soekarno (Gambar w.pedia)
Selama aku mengikuti kursus itu beberapa naskhah ilmu politik tulisan tangan Presiden Soekarno telah dikirimkan kepadaku untuk kajian dan penyelidikan. Tulisannya yang dapat aku ringkaskan, antaranya dalah seperti berikut:
( 1 ) British dan rakan-rakan penjajahnya khuatir semua
hartanya di sekitar Borneo – Brunei, Sarawak dan
Sabah - , akan terlepas ke sebuah pemerintahan baru,
iaitu Republik Kalimantan Utara, maka Inggeris akan
menggesa Tunku Abdul Rahman menubuhkan satu
gagasan baru yang
meliputi tiga kawasan di Borneo itu.Dengan gagasan
baru itu semua harta milik Britisah dan rakannya
kekal sebagai milik mereka.
( 2 ) British mempunyai rancangan supaya Singapura menyertai
Malaysia dan kemudian keluar dari gagasan baru itu sebagai
sebuah negara merdeka. Dengan demikian British akan
berjaya membalas budi orang-orang Cina seberang laut.
( 3 ) British mahukan bekas tanah jajahannya berubah dari nama
asalnya Tanah Melayu kepada satu nama yang bersifat kuasa
bersama Melayu, China dan India, dan pada satu masa akan
berlaku tindakan pemimpin semua kaum itu menghapuskan
kedaulatan Raja Melayu. Penghapusan itu akan dengan
sendiri menghapuskan Kedaulatan dan kekebalan Raja Melayu
yang menjadi ketua agama Islam.
Ketuanan Melayu mengikut tradisi akan hilang dan bangsa
Melayu akan menjadi satu kaum sahaja di bumi mereka
sendiri.
Beberapa bulan kemudian, Harian Patriot terpaksa di tutup, kerana pejabatnya di Kota Medan telah diserang oleh beratus-ratus mahasiswa universiti Islam di kota tersebut. Semua alat kelengkapan dalam pejabat itu, mesin tulis, mesin teleprinter, faks, telefon, perabot dan harta benda di dalamnya telah musnah.
Para mahasiswa itu telah bertindak demikian kerana surat khabar itu dimiliki oleh Parti Komunis Indonesia (PKI), di bawah pimpinan D.N.Aidid.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.