Sunday, November 7, 2010

KISAH DARI NOVEL


MAHYUN

Mahyun terlonjak-terlonjak tubuhnya dalam bilik asramanya pada petang itu. Sepucuk surat yang ringkas isinya dari Azmi, telah diterima oleh Mahyun sebentar tadi. ’Yun, kalau Yun ada waktu, tentu ada kot, pada hari Sabtu ini, jam 10.00 pagi, kita jumpa di bawah bangunan MARA Kuala Lumpur.’ Demikian kandungan surat itu. Kandungan surat itu laksana ubat dan penawar pada Mahyun yang sentiasa merindukan pemuda idamannya itu.

Hati Mahyun kembang. Gembira. Dirasanya dunia ini seperti miliknya seorang cuma. Bagi Mahyun, kadatangan Azmi nanti sama dengan bulan jatuh ke ribanya.Dirasakan dirinya ibarat tanah gersang, Azmi sebagai air hujan akan membasah dan menyuburkan tanah itu.

”Hari ini, Jumaat, eee, esok, ha, esok...,seronoknyaaa,”suara Mahyun terluah dari mulunya.

Mahyun mencium berkali-kali akan surat dari Azmi itu. Sambil merengek-rengek lagu cinta, dia meluruhkan punggungnya atas birai katil.Pada detik-detik itu terasa putaran jam terlalu lambat. Matahari beredar bagaikan orang tua naif berkesut. Lambat.Lambat.

”Yun nak cakap..., Yun nak bisik..., Yun nak apa-apalah pada abang...,”suara Mahyun terluah Lagi dari mulutnya.

”Sampai hati abang..., tak jawab surat Yun..., Yun sedih tau, tau...,”suara Mahyun terkulum dalam mulutnya.

Macam kanak-kanak manja, Mahyun menelentangkan tubuhnaya atas katilnya. Surat dari Azmi dibiarkan atas dadanya.Biar surat itu di situ. Surat itu seperti azimat dan penawar baginya. Mahyun terasa sakit rindunya lega kerana surat itu menumpang atas dadanya dan terlalu dekat dengan sukmanya..

Mahyun tidur nyenyak pada malam itu seperti bayi kekenyangan susu.Tidak digugat resah dan gelisa. Hanya sesekali mimpi pendek mendatanginya.Mimpi bersama rakan-rakan mandi manda dalam sungai. Mimpi dikejar ayam jantan. Mimpi bermain dengan kucing. Mimpi dibelit dan dililit ular sawa.

Sebaik-baik sahaja selesai sembahyang subuh, Mahyun duduk atas birai katilnya. Senyumannya memanjang. Mimpi-mimpinya telah dapat dipadan-padankan dengan ta’bir atau pendapat orang tua-tua Melayu. Jika gadis bermimpi mandi dalam sungai bersama rakan-rakan, alamat gadis itu dicitai pemuda yang bijaksana. Mimpi bermain dengan kucing akan bermadu. Bermimpi dikejar ayam jantan, akan murah rezeki. Mimpi dibelit ular, ada orang mencintainya.

”Bagus, ada orang cintakan Yun, ...Encik Azami cintakan Yun,” bisik Mahyun sambil tangan kanannya menghurut-hurut dadanya.

”Bermadu, O.K. lah, ...Allah dah bolehkan, ....terimalah, apa nak tegah, nak halang hukun Tuhan pula...,” bisik Mahyun sambil merenung surat Azmi di tangannya.

”Syukur alhamdulillah, murah reszeki, ...boleh Yun buat kebajikan, tolong orang susah, tolong anak yatim,”

Jam 7.30 pagi, Mahyun telah menumpang bas panjang dari UIA, Gombak, yang membawanya ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, dalam Bandaraya Kuala Lumpur. Dalam perjalanan itu, bas yang kadang-kadang tersangkut-sangkut kerana lalu lintas sendat atas jalan raya, berhenti menhgambil penumpang, pemandu sering memberek, menjadikan hati Mahyun resah. Gelisah.Gelabah. Nama Azami menjadi wirid cintanya.

Jam 9.45 Mahyun telah tiba di bawah bangunan MARA. Hatinya berdebar-debar. Dua biji matanya liar mencari Azmi. Terasa batang leher dan lorah dadanya berpeluh. Di sebuah toko, Mahyun telah membeli senaskah surat khabar Melayu. Sementara menunggu perempuan pelayan toko itu memberi wang baki, dia berdiri di situ sambil membaca berita, pada muka depan surat khabar itu.

Jam di tangan Mahyun tepat pukul 10.00 pagi. Setelah menerima wang dari pelayan itu dia beredar dari tokok tersebut. Berjalan lagi menggonggong hati yang tidak sabar.

Assalamu alakunna, Yun,” suara Azmi memberi salam dari arah belakang nya.

Mahyun berpaling ke belakang. Azmi senyum lebar.

”...alai, ...alaikum ...,alaikum salam,...eee, Encik Azmi,” suara Mahyun tergagap-gagap.

”Apa khabar,”Azmi bertanya sambil menghulurkan tangan kanannya.

”Khabar baik, Encik Azmi,” sahut Mahyun.

Tangan kanan Mahyun dalam tangan kanan Azmi.Debar jantungnya seperti menendang terajang dinding dadanya. Terasa darah mudanya menyerap hangat ke seluruh tubuhnya.

”Apa pula berencik-encik ni...,”kata Azmi.

”Dah tu, ... Yun nak panggil apa?” Tanya Mahyu.

Azmi merenung ke dalam dua telaga Mata Mahyun.

Mahyun sengeh.Dua ulas bibirnya merah basah. Renugnan Azmi itu menjadikan jantungnya berdergup kencang. Seluruh tubukhnya gementar.

”Panggillah apa-apa pun,”sahut Azami.Senyum.

”...abang, boleh?”

O.K.lah tu, ...adik oi...,”jawab Azmi.

Degup jantung Mahyun kencang lagi. Dinding dadanya rasa bergegar. Perkataan ’adik’ terluah dari mulut Azmi, bagaikan air penawar pada dirinya. Segar. Mengasyikkan.

Azmi dan Mahyun berjalan beriringan keluar ke jalan Raja Laut. Menyeberang ke sabuah hotel di seberang jalan itu. Mahyun rasa mesra amat apabila Azmi memegang lengan kanaknya dan memimpinnya pada waktu mereka menyeberangi jalan Raja Laut yang sibuk itu.

”...saya lapar, ....belum makan pagi, ...kita makan,”kata Azmi.

”Baiklah,”sahut Mahyun.

Azmi dan Mahyun masuk ke coffee house dalam bangunan hotel itu. Mereka duduk mengadap sebuah meja di sudut dalam bahagian dilarang merokok. Pada waktu dalam coffee house itu, Mahyun telah menyedari dirinya masih seorang gadis kampung. Gadis luar babndar. Pada pagi itulsh pertama kali dia makan dalam Coffee house. Seumur hidupnya dia tidak pernah makan dan minum di tempat-tempa bergitu.

Selama ini dia hanya minum atau makan di restoran mamak, warong tepi jalan, warong tom yam dan sekali sekala di restoran makanan segera.

”Yun nak makan apa, ...nasi lemak, ....makanan ala Malaysia atau ala Barat?”Azmi bertanya.

”...ikut abang,”jawab Mahyun.

Azmi senyum. Mahyun senyum.Degup jantungnya belum berhenti juga.

”O.K., kita makan fish and chip, ...minum?”Tanya Azmi.

”...ikut abang,”Jawab Mahyun.

”...kita minum kopi,”kata Azmi.

Mahyun mengangguk. Senyum. Dua biji matanya tersangkut pada wajah Azmi.

Gadis pelayan mencatatkan pesanan Azmi atas kertas memonya. Sambil mengucapkan terima kasih, pelayan itu meninggalkan mereka.

”...saya minta maaf, tak jawab surat-surat Yun,”Azmi memulakan topik perbualan.

”Ngapa tak jawab, tak sudi, ia…?” Tanya Mahyun.

”Bukan tak sudi…, lebih dari sudi…, …sudi sangat, tapi saya takut surat saya tu jatuh ke pihak universiti, tak baik jadinya...,”jelas Azmi.

Mahyun diam. Dia sedar kebodohan dirinya sendiri. Walaupun dia tahu lelaki pandai mencipta alasan, tetapi alasan Azmi itu diterimanya. Munasabah.

”...saya fikir lebih baik kita jumpa begini..., kita bercakap sampai belaga dahi, lagi baik, kan...,”kata Azmi. Ada gurau.

Mahyun senyum. Kata-kata Azmi itu ada kebenarannya.Menggeli kan hatinya.

”Saya cintakan Yun,”kata Azmi.

”Sungguhke?” Tanya Mahyun. Manja.

“Ia, cinta sangat, sayang sangat...,”jawab Azmi.

Mahyun tunduk .Dia merenung kuku jari jemarinya sendiri. Menahan debar jantungnya.

”Sungguh, kalau tak cinta, tak sayang, saya tak datang jumpa Yun...,” kata Azmi. Lembut suaranya.

”Terima kasih, abang,” sahut Mahyun.

”...sebenarnya, pada masa kita jumpa dulu, saya dah jatuh cinta pada Yun, tapi...,”kata Azmi.

”Apa, abang?” Tanya Mahyun.

”...ialah, saya tak ada pelajaran, ...Yun mahasiswa universiti...,”kata Azmi.

Dahi Mahyun berkerut. Banyak kerutnya.

”Abang, ...tolong, abang, ...tak usah cakap, abang…,”kata Mahyun.

Tutur kata Mahyun terputus. Pelayan datang membawa dua cawang air kopi. Sepasang cawan diletakkan di hadapan Mahyu dan sepasang lagi di hadapan Azmi. Air kopi hitam dari teko besi dituangkan ke dalam dua cawang itu. Sambil senyum pelayan itu melenggang pergi meninggalkan sepasang kekasih di situ.

”...bukan Yun nak kata abang tipu Yun, tapi...,”kata Mahyun.

”Eh, apa pula ni…?” Tanya Azmi.

”....abang, ...abang..,”tutur kata Mahyun terputus lagi.

Pelayan lelaki Melayu datang kemeja mereka menatang dua pinggan fish & chip. Sambil senyum hormat kepada mereka, pelayan itu meletakkan sepinggan bersisi fish & chip di hadapan Mahyun dan sepinggan lagi depan Azmi. Setelah meninggalkan senyumannya, pelayan itu melangkah pergi.

”...ha, apa Yun, cakap...,”kata Azmi sambil senyum.

Mahyun senyum. Hatinya lembut. Perasaan marah kepada kekasihnya telah luput. Baran betinanya menjadi lemah bila berdepan dengan lelaki kacak begitu.

”...abang kata, abang belajar sekolah rendah saja, ....tapi bukan main, …lulus universiti, ...ijazah pertanian, ...alim pula tu...,”Mahyun berkata lembut.

Azmi menahan tawanya. Wajah Mahyun direnungnya. Dua biji matanya dibenamkan dalam dua telaga mata gadis itu. Jantung Mahyun kencang gegarnya bagaikan kepala Arab Badawi berlaga dengan kepala unta.

”Abang tak tipu, ...memang jenis abang tak besar diri...,” kata Azmi.

Mahyun menunggu kata-kata dari Azmi. Pada saat itu dia yakin Azmi akan menjelaskan akan keraguannya. Mungkin akan membela dirinya juga.

“...buat apa nak beritahu orang, nak laung sepanjang lebuh raya, abang ni lepasan universiti..., aku graduan universiti, aku ada ijazah…, intelektual…,” jelas Azmi.

Mahyun senyum sambil menelan air liurnya. Dirasanya kata-kata Azmi itu seperti memulang paku buah keras atau memberi kuliah kepadanya. Pada ketika itu Mahyun mengaku dirinya seorang graduan yang kurang bijaksana.

”...saya tau, Yun datang di seminar di dewan FELDA dulu tu, Yun bongkok-bongkok keluar..., ngapa?”Tanya Azmi.

”Tak apa, segan bila Yun dengar orang umumkan abang siswazah pertanian, ada ijazah agama..., entah apa lagi...,”kata Mahyun.

Azmi menahan tawanya. Mahyun membungkam sesaat dua. Senyum semula. Terasa tangannya gatal hendak mencubit pipi Azmi.

Mereka telah bercakap-cakap di situ hingga jam 12.00 tengah hari. Setelah keluar dari perut coffee house itu, mereka telah menumpang teksi pergi ke kompleks belia belas di Bukit Bintang. Dalam kompleks itu Azmi telah membelikan Mahyun sepasang pakaian jenama tersohor reka ciptaan dari barat, sepasang kasut tumit tinggi buatan dari barat juga.

Pada petang itu, setelah bercakap panjang. Menjalin dan mengadun cinta, di sebuah restoran fiza, di Bukit Bintang, Azmi menghantar Mahyun pulang ke asramanya di Lembah UIA dengan menumpang sebuah teksi.

Azim telah berjanji dengan Mahu, dia akan datang menemui gadis lagi pada hari Sabtu minggu hadapan. Oleh kerana Mahu seorang gadis yang hidup dalam keluarga yang ’berjalan kaki berjalan mulut’, maka dia tidak mahu memberitahu kepada gadis itu yang dia akan menemui tuan tanah yang dibelinya pagi esok. Mana tahu, kalau hal itu sampai kepada ibu angkat, Cikgu Zainab, kalau tak senegeri, sekampung di jajanya juga cerita itu.

Azmi juga sanggup bermalam dengan Tijak dalam sebuah chalet, tetapi dia tidak sanggup melakukan demikian dengan Mahyun, walaupun cintanya tebal kepada gadis itu.

Pada malam itu, Azmi telah menginap di sebuah hotel, di Jalan Sultan Ismail, dalam Bandaraya Kuala Lumpur.

(Disaring dari manuskrip novel, Madu Dan Hidayat, oleh: Mokhtar Petah)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.