Thursday, October 21, 2010

BERITA


‘Tawan’ bangunan Umno simbolik tawan Putrajaya
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 20 Okt: Dengan ‘tertawan’nya bangunan Umno Bahagian Kota Bharu yang kini menjadi hak milik Dewan Pemuda PAS Kelantan, diharap ia menjadi simbolik untuk ‘menawan’ Putrajaya nanti.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sekiranya bangunan milik Umno Bahagian Kota Bharu itu dapat ‘ditawan’ Pemuda PAS semoga ianya dijadikan perangsang untuk menawan negara pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan bangunan baru Dewan Pemuda PAS yang bernilai RM4.5 juta, pagi tadi.

Katanya, kejayaan itu hasil kemenangan perjuangan yang didokong semua pihak khususnya golongan pemuda dalam menggalas tanggungjawab menyebarkan dakwah Islam.

“Kalau kita dapat menawan Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan, diharap pada masa akan datang kita dapat menawan Putrajaya,” ujarnya.

Majlis perasmian bangunan yang dinamakan Asy-Syabab Point itu berlangsung dengan penuh gilang gemilang apabila Tuan Guru diarak ke pejabat berkenaan dari JKR 10 dengan menaiki motosikal yang diiringi 20 orang pemuda.

Tarikh 20 Oktober dipilih tarikh perasmian dan 20 orang pemuda mengiringi Tuan Guru menaiki motosikal klasik diketuai Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Hafiz Musa sebagai simbolik sempena 20 tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, pada sidang media berkata dana pembelian bangunan tersebut diperolehi dari sumbangan orang ramai.

Katanya, ianya telah dikumpul menerusi empat kepimpinan Dewan Pemuda bermula Datuk Takiyuddin Hassan lagi.

“Namun yang lebih penting kita juga turut membuat pinjaman bank,” ujarnya.

-------------------------------


RAJA MELAYU PERTAMA AKUI PEMIMPIN POLITIK ISLAM

KOTA BHARU, 21 Okt: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dinobatkan Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam sempena ulang tahun kerajaan Kelantan ke-20, malam tadi.

Sempena penganugerahan itu, Tuan Guru menerima cenderahati daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, pada acara yang penuh bersejarah itu.

Penganugerahan itu juga sebagai simbolik beliau menjadi tunjang pada pentadbiran Kelantan yang kini Menerajui Perubahan.

Saat biodatanya dibaca oleh penyair terkenal Kelantan, Abdul Hadi Yusof, Tuan Guru tidak dapat menahan sebaknya.

Turut hadir berangkat pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Terdahulu, Sultan Kelantan telah berkenan merasmikan ulang tahun pentadbiran kerajaan Kelantan tepat jam 10.30 malam pada program yang diadakan di Kelantan Trade Cantre (KTC).

Tuan Guru sewaktu berucap pada majlis tersebut mengimbau kembali sejarah kemenangan kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990 sehingga ianya turut menjadi perhatian dunia.

Katanya, Kelantan tiba-tiba sahaja menjadi perhatian dunia bukan hanya kerana menang bersih pada pilihan raya 1990, sebaliknya berusaha mengamalkan dasar Islam dalam pentadbiran.

“Ramai yang mencela, ramai yang menyindir kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan hanya tiga bulan, kemudian akan bankrap dan jatuh.

“Namun hari ini tuan-tuan dapat saksikan sendiri dengan pertolongan Allah yang tidak pernah menzalimi hamba-Nya sentiasa membantu dan terus membantu kerajaan negeri hingga berjaya sampai kini,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Mohd Hanif Wan Mohammad, memenangi pertandingan mencipta logo sempena sambutan ulang tahun ke-20 itu.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Nasharuddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Adun dan ahli Parlimen.

Secara umumnya, sambutan program itu penuh dengan aktiviti keagamaan yang bermula dengan menunaikan solat Maghrib, solat sunat hajat yang diimamkan sendiri oleh Tuan Guru.

(Berita ini diambil dari Harakan Daily online, pada 21 Oktober 2010)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.