Monday, October 18, 2010

Kisah Cinta (Ulangan)



Kisah Cinta Yang Agung


Zulkifli dan Asiah

[Sejak zaman berzaman hingga kini, belum pernah berlaku percintaan sepasang kekasih orang Melayu yang seagung cinta Zulkifli Mohammad dengan Asiah Kamaruddin, di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar sebelum mereka meninggal dunia pada tahun1964.

Zulkifli Mohammad memiliki gelaran Dato’ dan Profesor. Anak Kota Lama Kiri, menuntut di Universiti, di Kaherah, Mesir.

Allahyarham seorang yang cacat sebelah kaki kerana polio – akibat demam panas pada dia masih kanak-kanak. Dia adalah seorang maha guru, pengarang dan sasterawan dan ahli politik Islam.

Sebelum meninggal dunia bersama isterinya, dalam satu kemalangan jalan raya atas jambatan, di Kuantan, pada 6 Mei 1964 Allahyarham adalah Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia – PAS dan ahli Dewan Rakyat kawasan Bachok, Kelantan.

Kematian Zulkifli Muhammad telah menimbulkan tuduhan - hingga menjadi perbincangan dalam Dewan Rakyat, Allahyarham telah dibunuh oleh komplot musuh politiknya.

Pada ketika ditemui pada ketika dalam kereta kecil – Fiat, nombor pendaftaran, JB 9977 yang dipandu oleh Allahyarham; sepasang kekasih dan suami isteri itu berpeluk.

Kereta Zulkifli dan land rover

Zulkifli terperosok di bawah stereng kereta itu. Isterinya terperosok di sisinya dan menghembus nafas atas ribanya. Sebelah tangan Zulkifli memeluk badan isterinya dan dia sedang nazak.

Beberapa minit kemudian, dalam kereta yang membawa mereka ke Hospital Besar, Kuantan, Zulkifli mengikuti jejak isterinya – meninggal dunia.

Semua yang melihat telah didera kesedihan dan air mata mengalir atas kedua belah pipi masing-masing.

Berita kematian sepasang kekasih itu telah disiarkan pada jam 10.00 malam 6 Mei 1964. Berita tersebut telah mengejutkan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan timbalannya, Tun Abdul Razak. Pada malam itu Tun Abdul Razak berada di Pekan, Pahang.

Jenazah mereka telah diterbangkan dengan kapal terbang khas Tentera Udara Diraja Malaysia, dari lapangan terbang Kuantan ke lapangan terbang Ipoh. Kemudian di bawa dengan kereta khas ke Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.

Jenazah pasangan itu dikebumikan dalam satu pusara, di kampung tumpah darah mereka, Kota Lama Kiri.

Mokhtar Petah telah menulis buku tentang Zulkifli Muhammad, iaitu Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan dan diterbitkan dalam tulisan Jawi, pada tahun 1965.

Berikut ini adalah kisah cinta agung Zulkifli Muhammad dan isterinya, disaring dari buku tersebut supaya pembaca dapat menilai cinta mereka; sesuci mana, seindah mana, sekukuh mana dan seagung mana cinta pasangan yang mati syahid itu.

– Editor, Petah Shahrir Aidid. ]

Percintaan Zulkifli Muhammad dengan kekasihnya, Asiah binti Kamaruddin, seorang gadis yang paling cantik pada waktu itu, di Kampung Kota Lama Kiri, adalah kisah percintaan moden di abad yang kedua puluh ini.

Kalau kisah Romeo dan Julia merupakan kisah yang dipuja oleh pemuda pemudi di seluruh dunia, tetapi kisah itu adalah kisah rekaan yang tidak menjejak ke bumi nyata. Tetapi kisah percintaan mereka adalah menjejak kepada kenyataan dan apatah lagi percintaan mereka itu benar sebuah kisah percintaan yang mengakhiri riwayat sama-sama mati - sehidup semati.

Sebagai seorang gadis yang tercantik, samalah seperti sekuntum bunga yang kembang; Asiah dipuja. Ramai ibu yang mempunyai anak muda berangan-angan hendak mengambil Asiah untuk menjadi menantu mereka. Tetapi pada setengahnya pula seperti kata ‘hajat hati nak peluk gunung tetapi apakan daya tangan tak sampai’, maka tinggalkan bunga mekar itu di dalam taman.

Asiah adalah dari keluarga Zulkifli juga. Sebelum Zulkifli melanjutkan pelajarannya ke Mesir, Asiah sentiasa datang ke rumahnya untuk belajar berbagai ilmu, termasuk bahasa Arab.

Selain dari tinggal sekampung, perhubungan mereka pada masa itu lebih daripada perhubungan saudara dengan saudara kandung.

Pada masa itu Asiah belajar di sebuah sekolah agama rakyat di Kota Lama Kiri dalam darjah yang masih rendah, tetapi dengan ketekunannya dan banyak pelajaran yang dipelajari daripada Zulkifli, dia telah mencapai kejayaan cemerlang dan kemudiannya belajar di Madrasah Al Masyhur, Pulau Pinang.

Tidak berapa lama kemudian, Asia ditunangkan dengan seorang pemuda di kampungnya, berpangkat Malay Officer, tetapi pertunangan itu gagal kerana tunangnya itu meninggal dunia.

Setelah beberapa lama kemudian, Asiah ditunangkan dengan seorang pemuda sekampung dengannya, berpangkat MCS dan menurut apa yang saya ketahui, pertunangan itu tidak dengan kerelaan Asiah sendiri.

Kerana tidak mahu menerima apa yang ditolak oleh hatinya, Asiah memanggil seorang dari keluarganya, Tuan Haji As’aya bin Abdul Hamid (kemudian Mufti Kerajaan Negeri Perak), berjawatan Kadi Kerajaan Perak, di Kuala Kangsar. Kepada Kadi itu Asiah telah menyerahkan wang sejumlah wang $60.00 untuk dibayar kepada tunangnya sebagai wang bayaran kesalahan kerana memutuskan pertunangannya dengan pemuda itu.

Walaupun surat-surat percintaan mereka berdua telah tidak ada lagi kerana menurut cerita kawan-kawan Asiah sendiri, bahawa surat-surat cinta mereka telah dibakar terutama surat Zulkifli yang diterima oleh Asiah.

Percintaan mereka telah tumbuh setelah Zukifli berangkat ke Mesir.

Saya mendapat tahu juga, bahawa surat-surat mereka ditulis tidak sebagaimana surat-surat biasa, tetapi merupakan percakapan biasa.

Di antara berpuluh-puluh pucuk surat Zulkifli kepada kekasihnya itu, ada sepucuk surat yang ditulis tatkala dia menanti hari dilakukan pembedahan perut oleh doktor-doktor di Kaherah. Surat itu, entah kerana terlalu menggembirakan Asiah atau terlalu mendukacitakannya, dia telah menunjukkan surat tersebut kepada rakannya yang baik sangka terhadapnya.

Di antara kandungan surat itu, Zulkifli telah menyebut, bahawa dia akan menjalankan pembedahan perutnya, sekiranya dia meninggal dunia di Mesir, diharapkan mayatnya dibawa kembali ke Malaya dan dikebumikan di Kota Lama Kiri. Dan kalau dia meninggal dunia, dipesankan kepada kekasihnya, supaya berkahwin dengan sesiapa yang difikirkan sesuai untuk menjalankan bahtera kehidupan dan diharapkan jika kekasihnya itu meninggal dunia juga nanti, hendaknya, kubur kekasihnya itu dekat dengan kuburnya juga.

Dia (Zulkifli) juga menulis, sekiranya mayatnya dikebumikan di Mesir, dia berharap akan dapat bertemu dengan kekasihnya di akhirat …, syurga …!

Percintaan mereka, adalah cinta suci dan tidak terburu-buru. Dan pada masa sebelum pergi ke Mesir dan setelah kembali pun, mereka tidak pernah berjalan berdua-duaan atau berjalan bersama, apatah lagi pergi menonton dan sebagainya.

Bapanya, Encik Muhammad telah berkata kepada saya, bahawa percintaan Zulkifli dengan Asiah satu percintaan sama-sama keras hati.

Mereka sama-sama berjanji sehidup semati dan sama-sama memegang janji untuk itu …, bahagialah mereka.

Tetapi percintaan mereka berdua telah mendapat tentangan yang hebat daripada sebelah pihak Asiah, terutama ibunya (bapa Asiah telah meninggal dunia pada masa Malaya dijajah oleh Tentera Jepun). Ibunya sentiasa menentang percintaan mereka.

Ibu Asiah mahu dia berkahwin dengan seorang pemuda yang berpangkat besar, kaya dan tidak cacat sebagaimana Zulkifli. Tetapi Asiah tidak mempunyai perasaan seperti ibunya. Dia mencintai Zulkifli dengan sepenuh hatinya dengan tidak mengira cacatnya.

Pada satu hari ibu Asiah telah berkata kepadanya, “Ah (panggilan manja) nak kahwin dengan Nyah (nama manja Zulkifli) tu, kalau dia sakit demam lalu basuh punggungnya …”

Kata-kata ibunya itu telah mendapat jawapan dari Asiah, “Dia suami Ah tentulah Ah akan beri sepenuh pengorbanan kepadanya.”

Walaupun Asiah telah memutuskan pertunangannya dengan tunangnya yang kedua, tetapi anak muda itu dengan penuh rela melepaskannya. Dia sering mendatangi Zulkifli. Tetapi dia tidak pernah berjaya menyelami hati anak muda pujaan Asiah itu. Ini berlaku setelah Zulkifli kembali dari Masir.

Pada masa Zulkifli bekerja di Kolej Islam Malaya – Klang, dia telah menulis sepucuk surat kepada bapanya, di Kota Lama Kiri. Dalam surat itu diminta bapanya menyampaikan hasrat hatinya untuk meminang Asiah.

Setelah menerima surat itu, bapanya tidak terus meminang Asiah, tetapi dia hendak tahu terus terang letak duduk perkara yang sebenar daripada Asiah sendiri. Maka, tatkala Asiah datang ke rumahnya, dia ditanya oleh bapa Zulkifli.

Asiah menjawab terlalu tingkas, “Ah dah berjanji dengan Nyah, kalau kami tak dapat kahwin, biarlah kami membujang sampai mati.”

Jawapan itu adalah jawapan yang berani daripada seorang gadis kampung pada masa itu.

Maka utusan untuk meminang Asiah pun di hantar ke rumah ibu dan keluarga Asiah. Apabila utusan itu membuka mulut dengan penuh tertib menurut adat, dengan tidak disangka-sangka ibu Asiah menjawab dengan nada dan menolak pinangan itu. Ibu Asiah lebih suka kalau abang Zulkifli, Zabidi bin Haji Muhammad menjadi menantunya.

Setelah menerima kata penolakan itu, kembalilah utusan tersebut dengan hati yang hampa dan memberitahu keluarga Zulkifli – dayung di seberang sini dan sampan di seberang sana.

Zulkifli yang tentunya menanti perkhabaran gembira itu telah diberitahu akan hal penolakan itu, dan keluarganya menasihatinya supaya memilih mana-mana gadis yang lain untuk bakal isterinya. Tetapi dia tetap dengan pendiriannya.

Mereka terlalu sedih dan hampir putus asa kerana jawapan yang mereka terima daripada Zulkifli mengenai pemutusan itu terlalu tegas dan keputusan muktamad.

Zulkiflli memberitahu keluarganya, sekiranya dia tidak dapat berumah tangga dengan gadis yang dicintainya, maka relalah dia hidup membujang sampai mati.

Pada masa itu juga Zulkifli sendiri telah menolak satu lamaran daripada seorang gadis intelek Johor yang ingin berumah tangga dengannya.

Menurut cerita dari kawan-kawannya, bahawa gadis itu mula mengenali Zulkifli tatkala gadis itu menjadi anggota Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung dan pada waktu itu Zulkifli pernah mengambil bahagian berceramah dan sebagainya dalam perhimpunan yang diadakan oleh gabungan tersebut.

Bapa Zulkifli masih belum berputus asa. Dia telah menghantar seorang wanita yang telah menjadi pengasuh Asiah pada masa kecil, bernama Salamah. Wanita itu diutus untuk menyampaikan hasrat Zulkifli buat meminang Asiah.

Jawapan daripada pihak Asiah yang dibawa balik oleh wanita utusan itu, bahawa pihak Asiah boleh menerima lamaran itu, tetapi dengan syarat pihak Zulkifli hendaklah membuat anjung rumah Asiah (pada masa itu rumah ibu Asia belum beranjung) dan maharnya serta untuk belanja kenduri sejumlah $1,500.

Utusan telah mendatangi keluarga Asiah bagi pusingan yang terakhir dengan membawa segala bukti yang Asiah dan Zulkifli sedang bercinta dan mereka sama mahu. Bukti-bukti itu diserahkan kepada ibu Asiah (menurut khabarnya, bukti itu beratus pucuk surat Asiah yang disimpan oleh Zulkifli).

Kembali utusan itu dengan membawa satu syarat daripada kemuncak ke kemuncak, iaitu itu belanja perkahwinan dan mahar sebanyak $1,500 dan tidak dikehendaki membuat anjung rumah.

Setelah berunding muafakat oleh keluarga Zulkifli, maka mereka dengan rela menghantar ‘hantaran’ sebanyak itu dan pertunangan mereka berdua dijalankan.

Sepanjang hidup mereka berumah tangga, mereka tidak pernah bertengkar dan sesuatu yang rumit mereka selesaikan bersama.

Asiah yang hidup di samping seorang profesor muda itu, selain daripada menikmati sepenuh kasih sayang daripada suaminya, dia juga berasa berada dalam sebuah sekolah atau universiti dan suaminya mahaguru yang mengajarnya segala pelajaran.

Dia (Asiah) telah mempelajari segala pelajaran daripada suaminya. Dia belajar ilmu pergaulan dan bermasyarakat, ilmu perundangan Islam dan berbagai lagi. Pendeknya dia telah belajar ilmu politik daripada suaminya.

Asia telah menjadi tangan kanan Zulkifli, dan Asiah juga menjadi setiausaha sulit suaminya.

Pusara Zulkli Muhammad dan Asiah di tepi jalan raya Kuala Kangsar - Ipoh

ZUL DALAM KENANGAN

Zul,

Hangat sejuk merasa tanganmu mendakap jari

jemariku masih terasa,

Nada madahmu antara mendayu dan dentuman

petir masih nyata,

Senyum hilaimu dari mata tajam tergaris pada

sukma,

kau punya nafas mesra …

Zul,

Kini kau tiada di samping kami,

Pergilah ke wajah Tuhan kita – kami warismu

Dan ke sana jua,

Doa restu kami, kau dan pujaanmu dalam pelukan

Tuhan Pencipta syurga,

Dan di bibir kami namamu berpesta.

Zul,

Bagi semua pujangga kau sasterawan bangsa,

Kau negarawan ulung di atas bumi pusaka,

Pejunjung kalimat Qudus kau ulama kasteria,

Ibnu Khaldun rakanmu, Iqbal taulanmu.

Zul,

Bila kala kau datangi melintasi wajah kami ke pusara,

Demi Tuhan titisan air mata kami membasahi bumi,

Pada hibalah kamu menyambut pamitanmu di hujung

masa,

Aku rakanmu,

dalam gelanggang yang sama.

Zul,

Bersemadilah,

Ke syurgalah,

Madahlah,

Kami ini insan masih berkayuh biduk jua,

Bagi bumi Bagi bangsa menjunjung perintah Pencipta segala.

(Mokhtar Petah 1964. Dari buku

Zulkifli Muhamad Dalam Kenangan.)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.