Friday, September 24, 2010

Melayu terkebelakang jika Umno terus berkuasa
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Data ekonomi Melayu membuktikan bahawa bila-bila masa sahaja orang-orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara jika Umno dibiarkan terus berkuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Pada masa ini pun ramai orang Melayu terutama di luar bandar yang hilang kuasa dan suara kerana kemiskinan dan dijerat oleh hutang kepada tauke-tauke.

"Antara sebab perkara tersebut berlaku ialah apabila kekayaan negara tidak digunakan dengan saksama dan bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat keseluruhannya tetapi lebih banyak yang dibolot oleh kroni-kroni Umno," kata beliau.

Keadaan itu, katanya, diburukkan pula dengan kerakusan parti perasuah mencari habuan untuk kepentingan peribadi termasuk merasuah sesama sendiri bagi mencari sokongan untuk berkuasa.

"Para pemimpin parti perasuah pula telah lama hilang kuasa dan suara kepada tauke-tauke yang yang menambat mereka dengan rasuah.

"Bukan setakat hilang kuasa, akibat ditambat rasuah, mereka juga merelakan dasar affirmatif yang sepatutnya membantu orang-orang Melayu diperalatkan untuk menimbunkan lagi kekayaan tauke-tauke yang menjadi tuan-tuan mereka," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau bagaimanapun yakin lebih ramai orang Melayu akan menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan Umno jika pendedahan data ekonomi Melayu menunjukkan kedudukan orang Melayu masih terkebelakang.

"Pemimpin Umno sendiri yang mengakui bahawa data dan statistik terkini tentang pencapaian ekonomi orang Melayu akan menunjukkan kedudukan orang Melayu masih terkebelakang.

"Dengan pengakuan itu, nyatalah orang-orang Melayu telah 53 tahun menjadi mangsa penipuan Umno yang tidak henti-henti berlakon dan berlagak sebagai pembela Melayu," kata beliau.

Beliau menyifatkan data tersebut sebagai bukti yang terang dan nyata tentang ketiadaan iltizam untuk Umno membantu orang-orang Melayu.

Mahfuz mengingatkan orang-orang Melayu bahawa 53 tahun adalah tempoh yang luar biasa lama untuk terus membiarkan diri mereka ditipu.

"Dasar affirmatif untuk membantu orang Melayu yang dilaksanakan kira-kira 40 tahun lalu juga ternyata gagal jika data dan statistik terkini tentang pencapaian ekonomi orang Melayu menunjukkan kedudukan mereka masih terkebelakang.

"Persoalannya, adakah orang-orang Melayu mahu menunggu 40 atau 53 tahun lagi di bawah cengkaman Umno dan terus berangan-angan suatu hari nanti pencapaian ekonomi orang Melayu tidak lagi terkebelakang?" beliau mengingatkan.

Orang-orang Melayu, katanya, tidak lagi memerlukan kerajaan yang tidak berpijak di bumi nyata dengan pelbagai akronim dan pertunjukan angka bertrilion-trilion tanpa perubahan yang fundamental untuk menjamin kedaulatan undang-undang dan peraturan ke atas semua pihak, walaupun di kalangan parti pemerintah.


---------------------------------------

Lima tertuduh kes "bini puaka" dibebasakan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Lima mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang dituduh berhubung kes "bini puaka" hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Rozana Ali Yusoff memutuskan tiada prima facie dalam kes tersebut dan mengarahkan kesemua mereka yang dituduh dibebaskan.

Mereka adalah Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli yang didakwa dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan kes kelima-lima tertuduh berlangsung sejak ia bermula Julai tahun lalu.

Mereka dituduh menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri, Rosmah Mansor.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang mengadakan “Himpunan Bebaskan Mahasiswa” di Kompleks Mahkamah Jalan Duta menyambut keputusan itu dengan penuh syukur terhadap pembebasan rakan mereka.

"SMM mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak mahkamah dan peguam-peguam kerana melaksanakan perbicaraan kes ini dengan adil dan saksama.

"Kes ini menunjukkan gambaran yang jelas bahawa kelima-lima mangsa puaka ini ini dituduh dan dikhianati oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu mematikan gerakan mahasiswa," kata Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman.

(Berita ini dari Harakah Daily online)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.