ASEAN rantau pelaburan – PM
|
|
NEW YORK 26 Sept. – Malaysia dan negara-negara lain dalam ASEAN perlu berusaha menonjolkan profil sebagai rantau yang cukup menarik bagi meningkatkan pelaburan dan perdagangan sehingga tidak dibayangi oleh kawasan ekonomi seperti China dan India.
Semasa membuat gesaan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa rantau Asia Tenggara berkemampuan muncul sebagai kawasan yang berdaya maju untuk menawarkan peluang- peluang ekonomi kepada pasaran luar termasuklah dari Amerika Syarikat.
Najib yang juga Menteri Kewangan menarik perhatian bahawa pada masa ini pun aktiviti pelaburan dari negara-negara ASEAN dengan AS adalah lebih besar jika dilihat dalam konteks sebuah kumpulan, berbanding dengan pelaburan negara kuasa dunia itu di China atau India.
‘‘Jadi amatlah penting sebagai sebuah negara dan rantau ini, kita mengetengahkan profail negara dan wilayah kita ke tahap tertinggi. Jika tidak melakukannya, berkemungkinan Malaysia dan rantau Asia Tenggara ini akan tenggelam ataupun dibayangi oleh kawasan ekonomi lain seperti China dan India.
‘‘Ramai tidak sedar bahawa Malaysia dan ASEAN jika dilihat sebagai satu kumpulan, ia membentuk kawasan pelaburan yang besar dan mempunyai prospek bagi dalam meningkatkan perdagangan dengan AS,” kata Najib di hadapan para pelajar Malaysia di AS yang diraikan pada majlis sambutan Aidilfitri di pejabat Wakil Tetap Malaysia di sini hari ini.
Menurut Najib, beliau menyatakan perkara tersebut di hadapan para pelajar Malaysia kerana penting bagi mereka mengetahuinya memandangkan mereka akan menjadi sebahagian tenaga utama yang akan menggerakkan ekonomi negara setelah tamat pengajian kelak.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri memberitahu mesyuarat para pemimpin ASEAN dengan Presiden Barack Obama di sini kelmarin amat bermakna dan satu perkembangan penting dalam usaha meningkatkan hubungan ekonomi ASEAN-Amerika termasuklah pelaburan dan eksport barangan ke AS.
Kepada para pelajar Malaysia di luar negara yang merupakan antara aset modal insan negara, Perdana Menteri mengharapkan mereka berusaha gigih dan tidak menjadikan pencapaian sederhana dalam pengajian sebagai sasaran.
‘‘Sebaliknya, mereka perlu meletakkan sasaran paling cemerlang,” kata beliau sambil mengajak mereka untuk bersama-samanya kelak membina kemakmuran negara.
Najib menyatakan beliau komited melakukan yang terbaik dalam gagasan membawa transformasi bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju sehingga muncul antara negara terkemuka dunia.
‘‘Oleh itu, saya harap anda semua dapat bersama-sama saya setelah tamat pengajian kelak untuk membina sebuah negara yang berjaya,” katanya sambil disambut dengan tepukan hadirin yang turut disertai oleh masyarakat Malaysia yang bekerja di AS.
Beliau memberitahu para pelajar yang hadir bahawa Malaysia sebenarnya lebih baik berbanding banyak negara yang rakyatnya hidup dalam kesengsaraan dan tiada jaminan masa depan.
Sempena majlis itu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mengadakan sidang video dengan para pelajar Malaysia di enam lokasi lagi di luar New York termasuk Colorado, Washington DC dan Chicago.
Sambil menghulurkan salam Aidilfitri, kedua-dua mereka mendoakan kesejahteraan para pelajar serta mengingatkan harapan besar ibu bapa di tanah air terhadap mereka.
Majlis yang menghidangkan pelbagai makanan Malaysia itu, turut dihadiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Jamaludin Jarjis. (Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, pada hari ini)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.