Sunday, September 19, 2010

Bangkok diramal ‘lesap’ pada 2017

KOTA Bangkok dilanda banjir awal minggu ini.
KOTA Bangkok dilanda banjir awal minggu ini.
Tsunami, angkara manusia punca sekitar Teluk Thailand tenggelam: Kajian

BANGKOK: Ibu kota Thailand, Bangkok, bakal ditenggelami air dalam masa sekurang-kurangnya tujuh tahun dan sebahagian puncanya ialah tsunami yang melanda kawasan sekitar Teluk Thailand, kata Dr Ajong Chumsai na Ayudhya, seorang saintis yang pernah bekerja dengan agensi angkasa lepas Amerika, NASA.

Beliau memberi amaran itu dalam satu seminar kelmarin mengenai kesan pemanasan global ke atas kawasan peranginan Chiang Mai, lapor akhbar The Nation, semalam.
Ajong berkata, kegiatan manusia adalah antara faktor terbesar bencana itu boleh berlaku kerana penggunaan sumber asli yang melampau termasuk meneroka kawasan hutan dan melepaskan gas ‘rumah hijau’ sesuka hati tanpa mengira kesannya pada masa depan.

Pada masa ini, dua kesan besar terhadap Bumi sudah dikesan iaitu paksinya berubah menyebabkan perubahan corak cuaca manakala kerak Bumi hilang membawa kepada gempa bumi lebih kerap dan lebih besar selain tsunami.

Thailand yang terletak di plat Eurasia akan terjejas jika bencana berlaku. Ajong juga memberi amaran, tsunami akan melanda Teluk Thailand menyebabkan bencana besar di selatan negara itu.

Katanya, wilayah di utara termasuk Mae Hong Son, Chiang Mai, Chiang Rai, Phayao, Nan, Lampang dan Uttaradit akan dilanda banjir jika gempa bumi berlaku pada kekuatan 6 skala Richter.
Wilayah tengah termasuk Bangkok, Samut Sakhon, Samut Songkhram, Samut Prakan, Nonthaburi dan Ayutthaya pula akan ditenggelami air dan ibu kota juga tidak akan sesuai untuk didiami menjelang 2017.

Amerika Syarikat adalah penyumbang terbesar gas rumah hijau iaitu karbon dioksida (CO2) , sebanyak 30.2 peratus diikuti China (30 peratus) dan India, 23 peratus, katanya.

Thailand berada pada kedudukan 22 atau 23 daripada 200 negara paling banyak melepaskan CO2, katanya.

Ajong memberi amaran, pelepasan CO2 sebanyak 395 bahagian setiap satu juta (ppm) berbanding 300 ppm sebelum ini, kesan buruk akan menimpa manusia, lapor akhbar The Nation.

Beliau menjelaskan, sejak tiga dekad lalu, suhu dunia meningkat tanpa henti menyebabkan air laut membunuh batu karang, bongkah ais cair, ribut semakin kuat dan gempa bumi berlaku pada tahap lebih besar.

Sambil memberi amaran suhu akan meningkat 4 darjah Celcius secara puratanya, beliau berkata, beruang kutub akan pupus dalam masa kurang 10 tahun dan paras laut meningkat enam meter. – Agensi
(Dari Berita Harian pada hari ini)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.