KEPALA BATAS
TAPAK PERJUANGAN ULAMA
MENUNTUT KEMERDEKAAN
TAPAK PERJUANGAN ULAMA
MENUNTUT KEMERDEKAAN
Kata-kata falsafah orang Melayu; “tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain”. Kepala Batas bukan sahaja tempat bermain dan tempat ‘orang berpadu kasih’, bahkan bumi bertuah itu adalah tempat pertemuan para pejuang kemerdekaan pada masa silam. Atas bumi itulah bergema suara orang Melayu dari berbagai peringkat dan golongan – pelajar, ulama,.petani, buruh peniaga kecil dan kaki tangan kerajaan Inggeris menjerkah suara keramat ‘merdeka’.
Setelah Abdullah Ahmad Badawi melonjak naik - Timbalan Perdana Menteri hingga menduduki kerusi Perdana Menteri Malaya -, saya sering datang ke Kepala Batas. Saya telah melihat kawasan sekitar; sekolah Daeratul Maariful Wataniah yang dulunya menjadi seperti universiti tempat saya mempelajari ilmu pengetahuan Islam, Sains Politik Islam, Sains Sosial Islam, kemanusiaan dan alam maya ini..
Masjid yang dulunya tempat saya berguru kepada Sheikh Abdullah Fahim. Rumah kediaman ulama itu bersama puteranya Haji Ahmad Badawi dan cucunya Abdullah sering saya kunjungi.
“KALAU HANG JADI MENANTU OGHANGB SINI,
UBI KEMILI , IKAN KELI, GHUAN, NI ...,LA
HANG DUKMAKAN HAGHI – HAGHI ...”
Pekan Kepala Batas tempat saya membeli biskut lutut untuk ganti nasi. Di belakang Permatang Bertam tempat saya sering kunjung. Di sana ada kebun tanaman. Saya sering makan ubi kemili rebus dengan kelapa berparut sering menikmati ikan keli bakar dan ikan haruan gulai lemak cili api.
“Kalau hang jadi menantu oghang sini, ubi kemili, ikan keli, ghuan ni ...la, hang duk makan haghi-haghi ... ,” seorang ibu kepada gadis jelita telah berkata kepada saya.
Terbayang wajah-wajah petani yang kini telah tiada; dulu sering memberi kepada saya ikan haruan dan keli, ubi kemili dan kuih muih – cucur kodok dan pengat ubi keledek. Semuanya menjadi kenangan bagi diri saya. Sedih rasa hati, lara memamah jiwa, bila mengenangkan guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan yang telah pergi ke alam abadi. Pergi meninggalkan saya dan tidak kembali lagi.
SEMANGAT SAYA DIBAKAR,
TERBAKAR DAN MEMBAKAR
Dalam sedih dan lara begitu, saya tidak tersedar air membenak dua telaga mata saya sendiri. Air jernih itu lalu tumpah dan luruh ke bumi. Lalu hati yang dewasa dan dimakan usia melagukan puisi begini:
Mana kawan dulu sama berjuang,
Berani mati demi agama Islam,
Demi membela bangsa,
Pertiwi bumi pusaka.
Kini, aku berdiri di sini,
Di tengah umat yang merdeka,
Lalu hati tertanya jua,
Adakah mereka kenangkan anda semua?
Atas keupayaan sebagai seorang penulis dan daya seorang manusia yang telah menimba banyak pengetahuan dan pengalaman di Kepala Batas, maka jiwa dan semangat saya ‘dibakar, terbakar dan membakar’, pada ketika menapak di bumi bertuah peninggalan guru saya. Dengan hati yang terbakar dan membakar, saya terkenangkan warna warni masyarakat dan ke manusiaan di bumi Kepala Batas pada tahun-tahun pendakian bangsa kita ke alam kemerdekaan.
SEBAGAI MANUSIA
DENGAN SIFAT – SIFAT KEMANUSIAANNYA
Pengetahuan yang saya pungut dan pengalaman yang saya timba di bumi bertuah itu, telah menjadikan diri saya manusia yang cintakan negara ini dan menghargai kemerdekaannya. Seperti tulisan pengamat revolusi umat Indonesia, Prof. Dr. R. Soagarda Poerbakawaja , “Kerana hanya manusia merdeka yang dapat mempunyai perasaan sebagai manusia dengan segala hak dan kemampuannya, sebagai manusia dengan sifat-sifat kemanusiaannya yang membezakannya dari makhluk-makhluk Tuhan lainnya.”
Mungkin para anak watan Malaysia yang lahir selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan tidak terasa bertapa jerih, derita dan sengsaranya mereka yang telah berjuang menuntut kemerdekaan. Ada yang patah di pertengahan jalan. Ramai terseksa dalam khemah tahanan atau penjara penjajah. Tidak sedikit pula suami dan isteri yang bercerai. Dapat dibilangkan pula mereka yang telah menjadi sasau dan ada yang dilontar ke Tanjung Rambutan, Perak, atau Tampoi, Johor. Mereka dianggap sebagai orang gila.
Mungkin ada di antara anak-anak watan Malaysia menganggap ‘tidak sukar menuntut kemerdekaan’ seperti mereka menganggap ‘tidak sederita mana ibu mereka mengandung dan melahirkan mereka’.
TIUPAN SERUNAI
BUDAYA CINTA MERENTAS SEMPADAN
Artikel ini satu catatan pengalaman saya dengan berharap setiap individu orang Melayu pada hari ini , dapat merasakan, bahawa Kepala Batas bukanlah kawasan gersang laksana gurun pasir, tetapi ia adalah bumi subur yang dianugerahkan oleh Allah. Bumi tempat membesar seorang kanak-kanak pintar yang kemudian menjadi pemimpin kita, Abdullah Ahmad Badawi. Pemimpin yang berjuang dengan serampang tiga mata: Negara bertuah. Bangsa berdaulat dan Agama Islam penyelamat manusia dunia dan akhirat.
Abdullah Ahmad Badawi melaungkan suara hati kepada rakyat bumi merdeka ini dengan sajaknya:
Kita sulam pencakar langit dengan jernih susu kemanusiaan,
Anyamkan cita-cita Alfred Nobel dengan puisi Jalaluddin Rumi,
Bagai kembang kemboja keamanan pada kubur rasanya perang,
Tiupkan serunai budaya cinta merentas sempadan,
Sambil memacak panji-panji di puncak khairul ummah, Cemerlang, gemilang, terbilang.
Kepala Batas terkenal di seantero dunia. Ia terkenal kerana puteranya telah menyulam pencakar langit zaman dengan susu kemanusiaan. Beliau terkenal dengan sanjungan pemimpin dunia yang memperjuangkan kemanusiaan sejagat. Suaranya melaungkan keamanan di mana-mana. Jerkahnya untuk meredakan penindasan bergema dalam gedung PBB dan ke seluruh dunia. Semuanya itu adalah bermula dari bumi Kepala Batas yang bertuah.
Kita semua pengembara dalam perjuangan. Pengembara ke alam abadi, maka saya memohon sudi kiranya (Mukmin dan mukminah) membaca fatihah sekadar sekali untuk para pejuang kemerdekaan di bumi Kepala Batas dan seluruh bumi Malaysia yang telah pergi meninggalkan kita dan tidak akan kembali lagi. – mokhtar petah
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.