Friday, June 25, 2010

KHUTBAH JUMAAT





PERGI TIDAK AKAN KEMBALI


(25 JUN 2010 / 12 REJAB 1431H)


Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: PERGI TIDAK AKAN KEMBALI.
Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadith, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui oleh semua manusia. Dalam peringkat kehidupan kita di dunia, jarang umur manusia melebihi 100 tahun tetapi puratanya mencapai umur antara 60 hingga 80 tahun . Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati. Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah para nabi, rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan tuhan, bahkan manusia yang menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari dari kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78:

Di mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.
Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal dari tanah, maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri manusia kerana jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah dan roh telah keluar dari badan manusia. Rohlah yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.
Kubur atau alam barzakh adalah sebagai tempat permulaan alam akhirat. Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran siksaan kubur di alam barzakh. Sebaik sahaja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengkebumikan dan dalam perjalanan pulang ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah. Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketakwaan yang unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.
Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam berzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan kerjaya dan kelazatan kehidupan dunia. Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrael datang dengan mencabut nyawanya. Saididna Ali r.a. telah berkata:
Manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak.
Kesibukan mencari keseronokan dan kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Sebagai contoh mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti penagih dadah sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat-ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan-bahan terlarang yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan bagi menambah lagi nikmat keseronokan. Perbuatan ini seolah-olah mengali lubang kubur sendiri.Mereka ini akan menanggung siksaan hidup dengan penyakit-penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian.
Berdasarkan kajian JAKIM terdapat kelompok ajaran sesat tidak menerima hakikat kematian pemimpinnya. Mereka sering mendakwa keajaiban pemimpin yang kadangkala lebih hebat dari Rasulullah s.a.w. dan Khulafa’ al-Rasyidin. Dakwaan terbaru kumpulan ajaran sesat ini ialah pemimpin mereka yang silih berganti tidak akan mati sampai bila-bila, mereka hanya ghaib. Sebelum ini mereka mendakwa pemimpin mereka sering bertemu dan berbincang dengan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan sedar untuk menerima arahan baru dari Rasulullah s.a.w. Ketaksuban kepada pemimpin dengan mendewa serta memujanya menjadi salah satu ciri ajaran sesat. Pendewaan ini berterusan sehingga kematian pemimpin tersebut. Pernah berlaku diluar negara terdapat mayat pemimpin di awet untuk dikekalkan jasadnya seterusnya di dewa dan di puja. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 185:
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan.
Menghadapi kematian pemimpin yang disayangi sememangnya amat perit dan sukar diterima. Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar RA ketika berhadapan dengan kewafatan nabi. Beliau memujuk Umar al-Khattab RA yang masih terkejut dengan pemergian Nabi Muhammad s.a.w. seraya bersabda:
Ketahuilah, sesiapa yang menyembah Muhammad s.a.w, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan mati.
Persoalan tentang perkara ghaib misalnya mengenai kematian, alam barzakh, hari kiamat, syurga, neraka dan sebagainya adalah hak Allah S wT yang sama sekali tidak boleh dicerobohi oleh manusia atau malaikat. Islam menetapkan dasar akidah dan perkara ghaib adalah bersandarkan kepada dalil al-Quran dan hadith-hadith sahih. Dasar akidah yang bersumber qiyas, ilham manusia atau ramalan kosong seperti yang diamalkan oleh penegak ajaran sesat adalah ditolak. Para nabi dan malaikat yang mulia hanya dapat mengetahui sesetengah perkara ghaib setakat yang diizinkan oleh Allah SwT sahaja. Firman Allah SwT:
Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun. Melainkan kepada sesiapa yang di redhai-Nya dari Rasul-Nya maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang mereka malaikat yang menjaganya.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru, insaflah dan sedarlah bahawa kematian merupakan perjalanan hidup yang tidak akan kembali lagi ke dunia yang fana ini. Kita sering bercakap tentang kematian rakan dan sahabat kita yang telah kembali menyahut seruan Ilahi. Bagaimanapun sayang sekali apakah kematian rakan-rakan kita itu telah menimbulkan keinsafan dan kesedaran untuk kita membuat persiapan serta menyediakan bekalan yang mencukupi menghadapi kematian yang pasti itu. Ingatlah dan sedarlah bahawa alam barzakh sentiasa menanti-nanti kehadiran kita dan sentiasa membuka pintunya untuk kita. Tidak kira di mana kita berada atau bila masanya kematian pasti mendatangi dan menjemput diri kita, Cuma persoalannya adakah kita sudah bersedia menghadapi kematian ini.
Sebagai renungan marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SwT dalam surah Ali-Imran ayat 144:
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul. Apakah kalau ia pula mati atau terbunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad)? Dan sesiapa yang berbalik ke belakang maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).
(Khutbah Jumaat ini disediakamn oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM, untuk Masjid Putra dan Masjid Besi – Masjid Sultan Mizan,Putrajaya, pada hari ini)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.