Wednesday, May 19, 2010

PERISTIWA DAN KITA

Mokhtar Petah


-----kita sama - sama fikir ----

JUDI

"Lagi banyak Kerajaan Barisan Nasional (BN) membicarakan pasal Islam, lagi banyak perjudian tumbuh. Contoh terbaru 'judi bola' yang bakal mewarnai masyarakat ketika perlawanan bola sepak Piala Dunia bulan depan," kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

UBAH DASAR

Sebilangan besar orang Melayu berharap Parti Keadilan Rakyat tidak terpengaruh dengan dasar DAP, iaitu sisio - demokrasi, kerana dasar itu akan menghapuskan taraf bangsa Melayu.Menurut mereka PKR mestilah bertegah atas dasar Malaysia dan Islam.

ISTERI SULTAN

Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah di sini membenarkan isteri kedua sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31 melawat suaminya, Tuanku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra.

Panel tiga hakim diketua Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad membenarkan lawatan itu setelah mengadakan semakan terhadap afidavit pihak Elia Suhana dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Hakim lain yang turut bersidang iaitu Tan Sri Nik Hashim Nik Abdul Rahman dan Wan Hassan Wan Muhamad.

Daud berkata, keputusan penangguhan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 4 April lalu tidak sepatutnya berlaku kerana perintah itu dikeluarkan ke atas isteri yang sah.
Bagaimanapun Elia Suhana mendakwa dihalang Raja Perempuan Kelantan dan dua pengawal peribadinya untuk bertemu suaminya.
Dan pada 21 Februari lalu mahkamah mengarah ketiga-tiga defendan hadir untuk tunjuk sebab.
Sedangkan sebelum itu pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu membenarkan isteri kedua melawat Sultan Kelantan setiap Sabtu sehingga pagi Isnin.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Syariah menangguhkan kes permohonan Elia Suhana bagi mendapatkan hak lawatan kekal ke atas suaminya kepada 13 Jun depan.
Penangguhan itu disebabkan Mahkamah Tinggi Syariah mahu permohonan itu didengar selepas kes bantahan awal pengesahan lafaz cerai Sultan Kelantan ke atas Elia Suhana diputuskan pada 23 Mei ini.
Elia Suhana memfailkan permohonan interlokutori pada 21 Mac lalu untuk membatalkan permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap dirinya yang difailkan seorang wanita, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60.
Sultan Kelantan didakwa menjatuhkan talak ke atas Elia Suhana pada 12 Februari lalu ketika menjalani rawatan di Singapura.
Peguam Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili Elia Suhana, manakala Raja Perempuan Kelantan diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar. (Harakah online).

BUNG MOKTAR DIPENJARA

ULU KLANG – Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin dikenakan hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam, kerana berpoligami dengan pelakon, Zizie Izette A Samad tanpa kebenaran Mahkamah Syariah, tahun lalu.
Zizie, isteri kedua Bung Moktar pula didenda RM2,000 atau tujuh bulan penjara kerana bersubahat melakukan poligami itu kerana kesalahan bernikah tanpa kebenaran Pendaftar Nikah-Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Ahli politik berusia 51 tahun itu turut didenda RM1,000 atau sebulan penjara kerana bersubahat dengan kesalahan isterinya itu.
Mereka bernikah 16 Disember tahun lalu, jam 8.50 malam di kediaman Bung Mokhtar di No 12, Jalan TCB/3, Cemerlang Heights Taman Melati.
Bung Moktar, seorang ahli perniagaan pada masa pernikahan mempunyai seorang isteri sah yang dinikahinya pada 24 Ogos 1991 di negeri asalnya, Sabah.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat penghakimannya dengan mengambil kira status pasangan suami isteri itu yang menjadi ikon dan terkenal dalam masyarakat.
“Tertuduh sebagai seorang Ahli Parlimen yang meluluskan undang-undang harus lebih menghormati undang-undang.
“Sepatutnya jadi contoh kepada masyarakat kerana tertuduh Ahli Parlimen terkenal dalam negara, Zizie, 31, pula seorang pelakon beragama Islam yang diminati ramai,” katanya.
Wali pernikahan, Ahmad Shahazmi A Samad, 48, pula didenda RM1,000 kerana menikahkan Zizie.
“Tertuduh mengambil jalan singkat menikahkan adiknya dengan surat nikah yang tidak sah mengikut undang-undang. Itu seolah-olah mempermainkan urusan nikah dan proses poligami,” katanya.
Selain itu, Samzy Fuzette, 33, dan hero utama filem Adnan Sempit, Shaheizy Sam, 27, didenda RM1,000 kerana bersubahat dengan abang sulung mereka dalam mengakadkan saudara perempuan mereka itu.
Mereka bersama dua lagi rakan Bung Moktar, Sahari Ahmad, 53, dan Titing Putang, 48, kemudian didenda RM1,000 kerana bersubahat dengan Bung Moktar melakukan poligami tanpa kebenaran.
“Saksi sepatutnya membantu bagi proses perkahwinan dan memastikannya dengan cara betul mengikut hukum Syarak. Jika wali dan saksi tidak mengikut peraturan maka ianya dianggap menjalankan pernikahan sindiket,” katanya.
Menurutnya, hukuman itu untuk keinsafan dan memberi gambaran jelas serta mendidik masyarakat supaya tidak berlaku ketidakadilan dalam poligami.
Bagaimanapun, Bung Moktar melalui peguamnya, Amli Embong berjaya memohon penggantungan terhadap perlaksanaan hukuman penjara itu pada jam 12.30 tengah hari, semalam.
Penggantungan itu diluluskan berikutan ahli politik itu akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan memfailkan notis rayuan dalam 14 hari.Mahkamah membenarkan Bung Moktar dilepaskan dengan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.(Sinar Harian).

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.