Sunday, April 11, 2010

KISAH DARI NOVEL



CEMBURU

Mimi meramas-ramas tanah liat basah dalam bengkel. Tanah liat itu berair,lembik, meleleh dan menyelemuhi jari jemari dan sepasang tangannya. Macam orang uli tepung. Bagaikan meramas isi durian tempoyak.

Mimi terperosok dalam rahang resah. Gelisah. Cemburu.

Semenjak kedatangan tiga orang gadis ke kampungnya pada hari Ahad lalu, telah tumbuh perasaan cemburu dalam hati Mimi terhadap mereka. Mana tau salah seorang dari mereka berjaya menawan hati abang saudaranya. Mana tau abang saudaranya jatuh hati kepada salah seorang dari mereka itu. Mana tau ketiga - tiga gadis itu jatuh cinta kepada ‘Alimin.

Mimi amat cemburu kepada Tengku Intan. Gadis berlesung pipit pada dua belah pipinya. Dua ulas bibirnya bak ulas limau. Dua buah telaga matanya jernih, indah.

“…nak buat macam mana kalau abang sukakan dia,”bisik Mimi.

Wajah Mimi muram. Dikebamkan bibir bawahnya.

“Aaaa, ni tak syok, ni…,” dia bersungut.

Mimi hairan. Abang saudaranya, ‘Alimin bagaikan sami Budha bila berhadapan dengannya. Macam tidak ada perasaan lelakinya pada diri. Macam pondan. Macam Darai .Macam bapuk bila berhadapan dengannya. Percakapannya lurus. Cahaya dua matanya bagaikan cahaya dua mata bapa atau abang kandungnya. Tidak ada perasaan nafsu jentina terhadap dirinya.

“Aku tak cantikke, tak seksike?” Mimi bertanya pada dirinya sendiri depan cermin besar.

BERGOYANG - GOYANG

Dia menggoyang-goyangkan tubuhnya. Mana-mana yang penuh isi dan muntuk jadi bergoyang-goyang bagaikan agar-agar dalam piring.

“Aku cantik,apa?...pipi pauh dilayang, hidung mancung bak seludang, dagu lebah bergayut, mata bintang kejura,” Mimi merengek-rengekkan kata-kata dalam cerita purba Melayu.

“Orang cantik tak berpengetahuan, macam buih hanyut di muara.”

“ orang cantik tak beradab macam buih kencing lembu atas padang.”

“ orang perempuan cantik ada pengetahuan, ada adab, budi bahasa macam bunga harum, macam bintang di langit, macam bidadari syhurga.”

Entah dari mana datang bisikan begitu. Bisikan pengetahuan itu menyumbat lubang telinga Mimi.

Dari hadapan cermin besar itu, Mimi mengheret dua puntung kakinya keluar dari biliknya. Senyumannya berkulum.

Pada tengah hari Sabtu, ‘Alimin berdiri dekat Mimi dalam bilik pejabatnya. Direnung wajah Mimi dengan renungan biasa. Senyuman biasa. Mimi merenung wajah abang saudaranya. Kata-kata dari pemuda itu ditunggu-tunggunya.

“Mimi,”

“Ia, bang, ada apa, bang?”

“Petang ni Mimi tak ke mana kan?”

“Tak, ngapa, bang?”

“Abang nak ajak Mimi pergi ke Kuala Kangsar.”

“Buat apa bang?”

“Abang belanja Mimi, kita makan sate.”

“Nak, abang, boleh bang.”

“Beritahu emak.”

“Ia,bang.”

O.K., lepas sembahyang Asar, kita pergi.”

“Baik,bang.”

Setelah ‘Alimin pulang ke rumahnya, Mimi dilambung rasa gembira. Itulah kali pertama abang saudaranya mengajak dia ke Kuala Kangsar. Julung kali Alimin akan belanja dia makan sate.

PASAR RAYA

Pada petang itu ‘Alimin bersama Mimi dalam van tua mengembara ke bandar Kuala Kangsar. Mereka melalui jalan raya Kota Lama Kanan dan keluar ke Jabatan Iskandar, di Enggor. Dari sana mereka melalui Padang Ampang, Kota Lama Kiri dan masuk ke bandar diraja Kuala Kangsar.

Mereka singgah di sebuah pasar raya. Mereka mengembara dalam perut pasar raya itu. ‘Alimin telah membelikan Mimi sepasang baju kurung, beberapa pasang -pakaian lain dan sepasang kasut kulit warna hitam. Beberapa jenis makanan kering dan basah dibelikan untuk Pak Usu dan emak susunya.

Dari pasar raya itu mereka masuk ke jalan Kangsar hingga ke bulatan persimpangan ke Manong. Dari sana mereka berpatah balik ke hadapan pejabat pos dan jam besar. Van membelok ke kanan dan menuju ke tepi sungai Perak. Di sana ada pasar rakyat. Labu tanah, parang, golok, parang,cangkul dan aneka hasil pertukangan tangan orang Melayu dijual dalam warung-warung di situ. Beberapa buah warung pula menjual beraneka jenis makanan.

“Kita makan sate,”kata ‘Alimin.

“Baik, bang,”sahut Mimi.

Mereka masuk ke sebuah warung menjual sate.

“Mimi boleh makan lima puluh cocok sate?” Tanya ‘Alimin.

“Haaa, lima puluh,…lima cocok pun tak lalu,”jawab Mimi.

“Kalau macam tu, Mimi ni bukan harimau Jawale,”gurua ‘Alimin.

Mereka ketawa.

“Abang harimau apa?” Gurau Mimi pula.

“Harimau Sayung,”sahut ‘Alimin.

Mereka ketawa lagi.

“Tak pernah makan orang pun,”kata Mimi.

“Kalau makan orang, dah lama orang-orang kampung Sayung tu habis,…Mimi pun sekali,”sahut ‘Alimin.

“Eee, abang ni, ta k baik tau, Mimi pun abang nak makan,”kata Mimi. Manja.

“Dah tu, harimau, tak kira siapa,…ngap,”sambut ‘Alimin.

Mimi ketawa. Tawa mereka sama.

Mimi menghulurkan hujung sate ke mulutnya. Dikunyah daging sate itu perlahan-lahan.‘Alimin membenamkan secocok sate dalam kuah. Dibiarkan sate itu terbenam di situ.

“Mi, boleh abang nak cakap sikit?” ‘Alimin bersuara sambil merenung wajah Mimi.

“Apa, bang, cakaplah,”jawab Mimi.

‘Alimin senyum. Dia masih merenung wajah Mimi. Gadis itu gelisah jadinya. Degup jantungnya bagaikan menendang-nendang dinding dadanya sendiri.

“Tak ada apalah, sekadar nak tanya,” kata ‘Alimin lalu mengambil sate dalam kuah dan menyuap ke mulutnya.

Sebaik-baik daging dalam mulutnya ditelan. Dia meletakkan cocok sate yang berbaki daging itu dalam piring kuah.

“Abang tengok dalam tiga empat hari ni Mimi macam sedih aje, ngapa?” “Alimin bertanya.

“Ha,…tak, bang, tak sedih,”jawab Mimi. Gugup.

“Iake?” Tanya ‘Alimin.

“Ia, bang,”jawab Mimi.

“…tapi, abang tengok banyak kerja Mimi tak siap,…kira-kira kewangan bulan ni yang Mi buat tu tak kena nampaknya,”kata ‘Alimin.

“Iake, bang, Mi minta maaf, abang,”kata Mimi.

“Tak apa,”kata ‘Alimin.

Mimi tunduk. Dia mengaku kesilapannya.Kalau boleh pada detik-detik begitu dia akan menjerit. Dia akan jeritkan kata-kata, “…runsing-runsing,…aku cemburuuuuu.”

“Begini Mimi, abang nak Mimi kerja bersungguh-sungguh, buat macam kerja Mimi sendiri, hak Mimi sendiri, perusahaan dan perniagaan Mimi sendiri,”kata ‘Alimin.

“Baik, abang,”sahut Mimi.

“Abang ni, tak lama lagi di sini,”kata ‘Alimin.

“Abang nak ke mana pulaaa?” Tanya Mimi.

“Abang nak belajar nak melanjutkan pelajaran abang di universiti,” Jawab ‘Alimin.

“Di mana,abang?” Mimi bertanya.

Hati Mimi dikopak sedih.

“…kalau tak di Jordan, di Iraq,” Jawab ‘Alimin.

“Bila, abang?” Mimi bertanya.

Mimi menahan air matanya yang akan melimpah dari dua telaga matanya.

“Mungkin sebulan bulan lagi, abang tunggu jawapan…,”Jawab ‘Alimin.

‘Alimin merenung wajah adik saudaranya. Air jernih menggenangi dua telaga mata Mimi lalu melimpah dan mengalir atas dua belah pipinya.

“Tak usah ngangis, tak elok nangis,…makan sate tu,”kata ‘Alimin.

‘Alimin senyum.

“Uuu…, abang ni,”rungut Mimi.

“Abang yang nak pergi, Mimi pula yang nangis,” ‘Alimin bergurau.

“Tule abang,…abang tak tau hati Mimi,”suara Mimi manja.

“Mimi nak makan apa lagi,…mee, rojak, nasi,” ‘Alimin bertanya.

Mimi geleng-geleng. Disedutnya air laici yang berbaki dalam gelas dengan setro (straw). Air matanya luruh atas lengannya.

“…kalau air mata bercampur dengan air laici, boleh jadi penawar tau,”usik ‘Alimin.

“…Mimi tak sakitle, abang,”kata Mimi manja.

‘Alimin ketawa. Dia telah dapat memahami perasaan adik saudaranya.

Setelah selesai makan, mereka keluar degan membawa sebungkus sate dan dua bungkus mee goreng untuk Mak Usu dan Pak Usu.

Azan Maghrib berkumandang seluruh kampung Sayung. ‘Alimin dan Mimi tiba di halaman rumahnya. Pada waktu turun dari van, Mimi terasai diri sedang menghadapi dunia luas ini dengan optimis. Tetapi dia masih meraba mencari jawapan. Adakah abang saudaranya mencintai dirinya?

“Abang datang ke rumah,”jamput Mimi.

“Lepas sembahyang, abang datang.” sahut Alimin.

“Ialah,”sahut “Alimin.

Mak Usu dan Pak Usu berdiri di jendela merenung ke arah mereka.

(Disaring dari manuskrip novel, Cinta Dan Jihad, oleh: Mokhtar Petah)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.