Friday, April 16, 2010

KHUTBAH JUMAAT

AMALAN MENJAGA TEPI KAIN ORANG

(16 APRIL 2010 / 1 JAMADILAWAL 1431H)


Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT iaitu dengan membuktikan kita mentaati perintah Allah, mengutamakan ajaran al-Quran dan sunnah, mudah-mudahan diri kita dekat dengan Allah dan memperolehi keberkatan hidup yang berkekalan di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan tajuk: AMALAN MENJAGA TEPI KAIN ORANG.
Ajaran Islam telah menetapkan bahawa aktiviti amar makruf ( menyuruh melakukan kebaikan dan nahi munkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah suatu tuntutan atau agenda tertinggi dalam Islam. Berdasarkan keperluan yang amat penting inilah maka Allah SWT mengutuskan Rasul-rasulnya di atas muka bumi ini. Andaikata aktiviti amar makruf dan nahi munkar ini dilengah-lengahkan atau tidak dipedulikan, maka akan menyaksikan budaya jahiliyah bermaharaja lela, persekitaran kediaman dan tempat kerja tidak selamat serta masyarakat semakin rosak .
Kadangkala terdapat di kalangan kita tidak mengambil kisah, tidak mengambil berat, dan tidak mengambil peduli perbuatan jenayah atau gejala sosial yang berlaku di persekitaran kita. Malah kita pernah mendengar laporan media bagaimana kanak-kanak kecil dibelasah hingga mati di tepi padang bola sepak tanpa mendapat pertolongan dan bantuan daripada mereka yang berada di situ.
Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat di kalangan kita tidak mempedulikan dan melingah-lengahkan melaksanakan amar makruf dan nahi munkar itu. Adakah kerana nilai hidup yang berpegang kuat dengan pepatah Melayu “ jangan jaga tepi kain orang”, atau mangsa bukan keluarga kita, maka menyebabkan kita tidak mempedulikan, tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita sehingga ada pembuangan bayi, kanak-kanak di dera, pembantu rumah dizalimi, warga emas diabaikan atau jiran di rompak pun kita tidak mempedulikannya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Pada prinsipnya Pepatah Melayu “ jangan jaga tepi kain orang” bercanggah dengan tatacara hidup Islam yang sebenar kerana umat Islam itu bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain. Rasulullah SAW telah memberi peringatan keras kepada umatnya dalam sabdanya:
Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya( Riwayat: Muslim)
Berdasarkan peringatan Rasulullah ini maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian marilah melaksanakan amar makruf dan nahi munkar dalam masyarakat dan kehidupan berjiran kerana akan meningkatkan prestasi keimanan dan ketaqwaan kita. Selain daripada itu, “ amalan menjaga tepi kain orang” sebenarnya mampu meningkatkan persaudaraan dan semangat kejiranan. Amalan ini memberi peluang mengenali lebih dekat siapa jiran tetangga, masalah hidup jiran dan dapat mengenalpasti orang-orang yang mencurigakan yang bergerak di sekitar kita.
Dalam keadaan beginilah maka amalan jaga tepi kain orang diguna pakai. Bagaimana pun amalan menjaga tepi kain orang yang bertujuan memfitnah adalah bercanggah dengan prinip amar makruf dan nahi munkar.

Justeru, para jemaah dan umat Islam sekalian jangan mudah cepat marah apabila anak-anak kita ditegur atau dimarahi orang lain kerana teguran itu mungkin untuk membimbing dan mendidiknya. Kita mungkin tidak nampak tingkah laku apa yang dilakukan anak itu. Jadi tidak salah jika orang lain melihat dan menegur misalnya anak bermain di tepi longkang, anak merayau-rayau di tepi jalan, menagih dadah, mencuri dan sebagainya. Kita sewajarnya bersyukur jika terdapat jiran yang perihatin dan mengambil peduli menegur anak anak kita kerana memberi manfaat besar kepadanya.
Mimbar mengingatkaan bahawa budaya atau amalan nasihat-menasihati, tegur-menegur adalah unsur penting dalam “amalan menjaga tepi kain orang” kerana ia membawa kebaikan. Firman Allah SWT dalam surah al-dzaariyat ayat 55:
Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.

Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang prihatin terlebih dahulu. Ambillah iktibar bagaimana prihatinnya seekor kucing dan ular seperti yang diceritakan oleh Imam Malik bin Dinar RA. Menurut beliau ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging dari pinggannya. Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu telah mencampakkan daging tersebut ke dalam lubang berbatu yang dihuni oleh seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa prihatinnya haiwan ini walaupun berlainan jenis. Allah SWT sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran buat manusia. Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi keperihatinanya sangat tinggi.
Mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menjadi masyarakat yang prihatin dengan merasa bertanggungjawab diatas suasana yang berlaku ini dengan mengawasi pergerakan anak-anak kita dan apa yang berlaku di sekitar kita. Mimbar juga menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia untuk sama-sama memikul bebanan ini.Marilah sama-sama menggerakkan aktiviti dakwah dengan memperbaiki fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Mimbar percaya dengan izin Allah SWT kita akan mampu menjadi umat yang terbaik. Oleh kerana itu maka sewajarnyalah kita memohon perlindungan Allah Taala agar pekerjaan amar makruf dan nahi munkar ini tidak terlepas daripada tanggungjawab umat Islam.

Sebagai merumuskan khutbah pada hari yang mulia ini, maka sekali lagi mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa:
Pertama : Setiap orang wajib menjalankan aktiviti amar makruf dan nahi munkar kera
na mewarisi amalan Rasul, para nabi dan orang soleh,
Kedua : Kita digolongkan sebagai manusia yang tidak beriman jika bersikap tidak mempedulikaan dan perihatin terhadap jiran tetangga yang jauh dan dekat,
Ketiga : Amalan menjaga tepi kain orang adalah sebahagian aktiviti amar makruf dan nahi munkar serta berupaya menyelamatkan nyawa dan akhlak manusia, dan
Keempat :Setiap kebaikan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 104
Kerjakan kbaikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang Berjaya”
(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM).

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.