Wednesday, April 7, 2010

BERITA

Sultan Kelantan di khalayak umum




KOTA BHARU 6 April - Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra (gambar) dijadualkan menghadiri majlis jamuan teh bersama anak-anak yatim di pekarangan Istana Mahkota, Kubang Kerian dekat sini esok.

Baginda akan meraikan lebih 100 anak yatim yang diundang ke Istana Mahkota pada kira-kira pukul 4.30 petang.

Menurut sumber, pihak media yang berminat dengan perkembangan kesihatan baginda tidak akan dihalang daripada membuat liputan tentang majlis tersebut.

''Baginda berkemungkinan akan dapat bertitah sepatah dua kata dalam majlis itu yang akan dilangsungkan dalam suasana santai," ujar sumber itu ketika dihubungi.

Tuanku Ismail Petra yang gering Mei tahun lalu, kembali ke negara ini pada 4 Mac lalu setelah mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Status kesihatan baginda bagaimana pun masih menjadi tanda tanya dan keadaan itu juga memburukkan lagi kemelut dalam keluarga istana Kelantan.

Dalam perkembangan sama, baginda dibawa bersiar-siar di sekitar bandar ini semalam dengan kereta Bentley dan kelibat baginda itu menarik perhatian orang ramai.

Menurut sumber, ia bagi membolehkan baginda melepaskan kebosanan dan kenderaan itu dipandu oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakry Petra.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 7 April 2010)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.