Friday, April 2, 2010

BERITA

PKR ada kelebihan di Hulu Selangor kerana jadi kerajaan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 2 April: Pakatan Rakyat (PR) harus memastikan maklumat yang benar mengenai kejayaan dan ketelusan urus tadbir Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR sampai kepada pengundi di Parlimen Hulu Selangor untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PR dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, meskipun Parlimen itu sudah menjadi kawasan tradisi Umno BN, namun PR harus menggunakan kelebihan yang ada untuk memenangi hati pengundi.

"BN ada kekuatan di Hulu Selangor sebab itu kita kalah di tiga Dewan Undangan Negeri dalam PRU lepas. Itu kawasan tradisi Umno jadi kita tidak hairan kalau pun BN boleh menang tapi sudah tentu kita punya kelebihan kerana kita sekarang ini menjadi Kerajaan di Selangor dan kelebihan ini harus digunakan oleh PR kerana kita sudah pun hampir dua tahun berjaya menjalinkan hubungan di akar umbi.

"Jentera harus digemblengkan bagi memastikan maklumat yang luas mengenai kejayaan kerajaan Selangor diperoleh rakyat di kawasan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily petang ini.

Menyentuh mengenai persiapan PR khususnya PAS dalam menghadapi peilihanraya kecil kali ini, Mahfuz berkata, PAS telah pun membentuk pasukan di peringkat pusat bagi memabnatu PKR yang akan bertanding nanti.

Menurutnya, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dilantik sebagi Pengarah Jentera Pilihan raya kali ini.

"Kita telah pun membentuk pasukan di peringkat pusat yang diketuai oleh Timbalan Presiden sebagai pengarah jentera pilihan raya bagi membantu PKR untuk menjayakan misi kemenangan di Hulu Selangor.

"Kita serah kepada Ustaz Nasharuddin untuk kemukakan cadangan balas kepada lajnah politik atau dewan harian dalam masa terdekat ini untuk menyenaraikan jawatankuasa-jawatankuasa yang dibentuk nanti," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

PAS bersama PKR juga, ujarnya akan menggariskan beberapa isu penting yang dijangkakan akan digunakan sepanjang kempen nanti.

"PAS bekerjasama dengan PKR atas nama Pakatan untuk membariskan isu-isu yang penting bagi memastikan kemenangan di pihak kita," katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen itu 17 April ini manakala 25 April adalah hari mengundi.

Kawasan pilihan raya parlimen itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Seramai 32,380 pengundi adalah lelaki manakala 32,120 adalah wanita.

Bangsa Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 orang atau 52.7 peratus manakala Cina seramai 16,964 orang (26.3 peratus) dan India berjumlah 12,453 (19.3).

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan telah dilantik SPR sebagai Pegawai Pengurus manakala Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak pada Khamis lepas.

---------------------

Tawar MB: Zambry cuba alih isu krisis Umno Perak

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 2 April: Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bahawa beliau ditawarkan jawatan Menteri Besar Perak jika bersetuju menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Pilihan Raya Umum ke-12 hanyalah satu pembohongan dan usaha mengalihkan perhatian umum terhadap krisis dalaman Umno negeri itu.

Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, 'pendedahan' itu juga merupakan cara Zambry menggambarkan kepada umum bahawa beliau merupakan calon paling layak memegang jawatan Menteri Besar.

"Ini satu daripada taktik pembohongan Zambry. Kami sendiri telah mengesahkan dengan Datuk Seri Anwar (Ibrahim), memang tidak betul. Kalau ada sekali pun, ramai lagi calon yang lebih hebat dan lebih layak daripada beliau.

"Umno Perak ada krisis dalaman dan ramai yang tidak bersetuju dengan Zambry. Jadi dia sebut perkara itu sekaligus mahu menunjukkan seolah-olah beliaulah calon yang paling baik sekali untuk menduduki jawatan Menteri Besar," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang juga berkata, tindakan Zambry itu juga hanyalah sandiwaranya untuk menutup kegagalan beliau serta Speaker Dun, S. Ganesan yang gagal mengendalikan sidang Dun dengan baik meskipun mendapat bantuan daripada pelbagai pihak khususnya kawalan ketat polis.

"Itu adalah cara dia untuk alihkan krisis di Perak semalam yang mana dia sebagai MB yang diisytihar oleh Mahkamah Persekutuan, speaker-speaker mereka, polis ada dalam dewan dan di luar dewan tapi masih tidak boleh mengendalikan sidang Dun. Jadi ini menunjukkan satu sikap pengecut Zambry,” ujarnya.

Zambry mendedahkan perkara tersebut ketika menggulung perbahasan sidang Dun Perak, Rabu lepas.

Mengulas lanjut mengenai sidang Dun yang berlangsung dua hari lepas, Nizar berkata, sidang Dun itu dijadikan sebagai alat untuk Umno/BN menunjukkan kuasa mereka sedangkan tiada apa yang dapat dicapai daripada persidangan tidak sampai lima jam itu.

"Persidangan bukan dua hari. Hari pertama perasmian, habis perasmian balik. Hari kedua pukul 10 selepas bacaan doa, Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming bangun membacakan beberapa perkara 3, 4 dan 6 dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri.

"Tapi Ganesan tidak langsung beri hak untuk beliau bangun bahkan Ganesan terus berleter bahkan mikrofon kami semuanya dipadam. Suara kami tidak dapat didengar, dewan tidak dapat dimasuki oleh mana-mana media kecuali media Umno bahkan media alternatif dihantar ke galeri bersama polis. Orang awam tidak boleh masuk, yang ramai cumalah polis. Anggota polis dalam dewan pakai baju biasa yang di luar pakai uniform," ceritanya.

Tegasnya, itulah sebab kenapa semua wakil rakyat Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan selain mereka tidak diberi peluang untuk berbahas.

"Kenapa kami keluar dewan? Pertamanya perintah tetap telah diketepikan, tidak dipatuhi dan tidak dihormati. Yang kedua dalam agenda semalam tidak dinyatakan agenda untuk membahaskan titah ucapan Tuanku.

"Kita tanya adakah perbahasan hendak diadakan tapi Ganesan dan Zambry tidak jawab. Jadi ini satu perkara yang mesti dijelaskan. Kalau ada perbahasan kita akan sediakan dan memang kita sediakan.

"Yang ketiga kami mahu persidangan ini dilanjutkan sampai lima hari. Oleh kerana belum pernah lagi sejak rampasan kuasa di Perak, persidangan berlanjutan cuma yang ada sebelum ini pun tidak sampai dua tiga jam. Jadi kita minta supaya lebih adil dan kami boleh bersuara berkenaan tuntutan rakyat. Tapi ini pun tidak dijawab mereka.

(Berita ini diambil Harakah Daily online, 2 April 2010)





No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.