AKIBAT RASUAH
Cerita ini adalah cerita lama. Pada masa ini, pihak Badan Pencegah Rasuah bertindak menangkap ikan-ikan jerung yang melakukan rasuah, eloklah cerita ini didedahkan di sini. Cerita ini menjadi baru dan menjadi pengajaran kepada individu pengaamal rasuah.
[Editor, Petah Shahrir Aidid.]
Dalam sebuah penempatan baru, di pinggir Bandar Kuala Lumpur, pada tahun 1959-an, tinggal sepasang suami isteri Melayu bersama seorang anak perempuan mereka berusia lima tahun. Mereka tinggal dalam sebuah rumah besar melambangkan hidup mereka mewah. Sekitar rumah mereka itu kebanyakannya rumah golongan setinggan Melayu juga.
Sang suami bekerja sebagai pegawai kerajaan di jabatan yang berurusan atau menjaga kepentingan orang ramai. Ada wang jadi tidak ada wang lekas kembali. Dia dan kekuarganya hidup mewah kerana dia pandai menjalan kerja yang dilaknat oleh Allah, iaitu makan suap atau rasuah.
Semua ahli jemaah surau di penempatan itu kenal akan pegawai tersebut. Mereka juga tahu yang dia salah seorang pengamal rasuah. Mereka tahu dengan kata-kata lama; makan suap, tumbuk rusuk atau agong. Tetapi mereka tidak dapat berkata apa-apa. Mereka hanya menyerahkan kepada Allah.
Isteri pegawai itu sentiasa menayang (menunjuk-nunjuk) - seperti kebanyakan perempuan yang ria -, barang kemas yang dipakainya - cincin emas bertatah berlian, intan dan mutiara dua tiga bentuk di jejari tangannya. Rantai leher dua tiga utas macam rantai beruk besarnya melilit batang tengkuknya. Dua puntung lengangnya penuh selaras dengan gelang dan rantai emas.
Sang pegawai itu hairan, setiap kali dia hendak menghulurkan wangnya sebagai derma kepada surau, untuk moreh bulan puasa dan untuk korban pada hari raya korban, ditolak oleh jawatankuasa surau tersebut.
Si isteri pula marah-marah dalam hati kepada guru agama, Haji Mat Saman yang mengajar di surau di penempatan itu, sering mengingatkan sidang jemaah, bahawa perbuatan rasuah itu salah, Allah tegah, Nabi Muhammad tegah dan di laknat oleh Allah.
“Peduli apa oghang nak kata Biah, dia oghang tu tak boleh tengok oghang senang ...,” kata Sang suami pada satu malam, ketika isterinya mengadu kepdanya akan kata-kata Haji Mat Saman.
“Oghang alim apa, duk ambil tau tepi kain oghang ..., abang tak percaya, kaghut ...,” kata sang isteri.
Si isteri bangga. Dalam hatinya sarat dengan harapan esok lusa suaminya akan mendapat banyak wang rasuah lagi.
Sang suami yang berpelajaran tinggi, kerana kehendak Allah, dia tidak mahu menyimpan wang hasil rasuahnya dalam mana-mana bank. Hanya, sekadar beberapa ratus ringgit sahaja wangnya disimpan bersama dengan wang gajinya dalam satu akaun simpanannya, di sebuah bank.
Tujuan dia berbuat demikian agar tidak diketahui oleh pihak yang berkuasa atau ditakdirkan dia ditangkap kerana dituduh mengamalkan rasuah, mereka tidak ada bukti yang dia melakukan perbuatan itu kerana dalam akaun simpanannya hanya ada sediki wang sahaja.
Sang pegawai itu telah menyimpan wangnya yang beratus ribu ringgit dalam sebuah peti besi yang diletakkan dalam petak lantai simen rumah mereka. Siapa pun tidak mengetahui akan peti besi itu, selain dari dia, isteri dan anak perempuannya.
Sang pegawai yang berpelajaran tinggi itu memang pandai. Orang yang memiliki ijazah lebih pandai dari orang lepasan sekolah atap (daun rumbia atau nipah) atau institusi pondok. Tetapi sang pegawai itu bodoh; dia tidak dapat menjangkau akan kekuasaan Allah, Dan siapa yang mengamalkan kejahatan (walau) sebesar zarah (debu atom), akan dilihatnya. (Quran:Az zilzal (kegoncangan): 8). Dia fikir amat selamat wangnya disimpan di tempat tersebut.
Pada malam itu, sang pegawai dan isterinya kembali dari satu majlis jamuan yang diadakan oleh seorang saudagar yang menjalankan perniagaan dengan mendapat pertolongan daripadanya. Dalam majlis juamuan itu, usus sang pegawai dan usus isterinya telah menjadi lubuk arak.
Mereka telah pulang ke rumah mereka pada lewat tengah malam. Kerana penat dan sedikit mabuk, suami isteri itu terlena atas katil. Masing-masing berpakaian sehelai sepinggang sahaja.
Anak perempuan mereka sedang tidur nyenyak dalam biliknya hala ke barat. Barang-barang kemas bersama wang beratus ribu ringgi dalam peti besi bawah lantai simen. Barang-barang kemas isterinya yang dipakai ke majlis jamuan tadi dan jam jenama terkemuka milik masing-masing berlonggok atas meja dalam bilik tidur mereka. Lesung batu pusaka ibu si isteri; hitam tua terletak di bawah dapur. Lebih tiga tahun tidak pernah digunakan.
Dalam laci solek, sebuah buku akaun bank milik pegawai itu, ada tercatat RM500.00 dan buku akaun simpanan isterinya tercatat RM 300.00. Wang simpanan sebanyak itu sebagai muslihat, agar tidak disangka oleh pihak berwajib yang dia mengamalkan rasuah.
Semua penghuni di penempatan itu sedang nyenyak tidur. Allah melihat mereka. Entah dari mana punca api, telah menjilat seluruh rumah sang pegawai itu. Dia dan isterinya tersedar dan lari ke luar dari rumah mereka dengan berpakaian sehelai sepinggang sahaja. Anak mereka ditinggalkan dalam bilik yang telah berselimut dengan api yang menyala marak.
Penduduk-penduduk sekitar datang menolong memadamkan api. Kira-kira setengah jam kemudian lori bomba datang untuk memadamkan api tersebut. Tetapi kuasa Allah lebih pantas dari kuasa manusia.
Rumah besar milik sang pegawai itu telah menjadi arang dan habu. Anak perempuan mereka hangus dan tubuhnya seperti daging kambing berbakar atas api dalam pesta makan-makan.
Suami isteri itu meratap seperti orang gila. Anak kesayangan mereka telah mati dalam keadaan ngeri. Wang simpanan mereka beratus ribu ringgit dan semua barangan dan pakaian telah menjadi arang dan habu.
Pada esok paginya, jiran tetangga datang mencari (dengan hajat menolong) apa-apa barang yang masih ada dalam arang dan habu itu. Ada di antara mereka membawa hati perompak dan pencuri. Ketul-ketul emas dalam habu diambil oleh mereka dengan tidak diketahui oleh pegawai yang malang itu.
“Pak Aji Mat Samaaaan!!!” jerit si isteri dalam air mata yang membasahi wajahnya.
Yang ditinggal dalam arang dan habu di ruang dapur, hanyalah sepasang lesung batu yang hitam dan hodoh.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.