Sunday, March 21, 2010

BERITA

Presiden bangga MP, Adun PAS tidak terjun dari bahtera
Mohd Sabri Said

SEBERANG JAYA, 20 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berbangga dengan prestasi semua ahli parlimen (MP) mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu seluruh negara kerana tidak gopoh terjun daripada bahtera yang sedang belayar.

Ketika menyampaikan amanat di Dewan Perpustakaan Negeri di sini, pagi tadi beliau menambah, berbanding parti lain dalam Pakatan Rakyat, PAS ternyata ke hadapan sebagai sebuah organisasi yang mantap.

"Walaupun bahtera kadang-kadang terumbang ambing namun PAS berjaya menunjukan prestasi yang baik tidak mudah terjerat dengan mainan politik yang dicipta oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Sikap tidak gopoh menghadapi sebarang rintangan, " jelasnya dalam program anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang.

Oleh itu, beliau menggesa semua organisasi PAS harus mengatur program dengan lebih berkesan dan agresif supaya muncul formula baru yang dapat mendekatkan lagi PAS dengan masyarakat.

“Di sinilah kekebalan PAS menerusi baiah, usrah dan pertemuan dapat menghindarkan tanggapan buruk serta memperjelaskan kedudukan sebenar sekaligus dapat membersihkan tohmahan musuh.

"Sebenarnya baiah, usroh dan pertemuan dalaman memberi kelebihan pada PAS sendiri. Kita dapat membina kekuatan dalaman dan mengawal tindak tanduk yang boleh mengancam kestabilan politik parti sendiri," tegasnya.

Katanya, sikap sedemikian dapat membentuk jati diri yang kuat di samping bersatu hati dalam sebarang isu dan bersama memantau jika timbul persoalan yang sukar diselesaikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PAS tetap memilih jalan demokrasi untuk menawan Malaysia walaupun tahu ia datang dari barat.

Melaluinya, kata beliau PAS berpeluang menyampaikan dakwah dan penerangan dengan lebih baik asalkan bijak mengatur isi penyampaian samada di masjid, surau ataupun medan ceramah sempena hari kebesaran Islam dan sebagainya.

Tambahnya, PAS adalah wadah politik yang perlu dipertanggugjawabkan bukan untuk main-main, maka apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan telah mengambil kira semua risiko.

"Kita bukan berperang yang mahu membunuh musuh tapi kita berdemokrasi yang mana perlu mengintai peluang agar terus berjaya menonjolkan PAS ke arah yang lebih tinggi, " tambahnya.

-----------------

Pelacur politik’ tidak patut bersarang di Parlimen
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Parlimen tidak sepatutnya dijadikan sarang ‘pelacur politik’ sehingga meruntuhkan kemuliaannya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Jangan jadikan Parlimen sebagai sarang pelacuran yang dipenuhi kuman siflis dan wabak aids yang akan meruntuh kemulian dewan yang dibanggakan selama ini," tegas beliau ketika mengulas ahli-ahli Parlimen yang melompat.

Beliau meminta ahli-ahli Parlimen yang melompat itu menyedari bahawa rakyat memberi kepercayaan kepada mereka atas nama Pakatan Rakyat (PR) bukan atas nama diri mereka.

"Mereka boleh untuk tidak bersama PKR dan PR tetapi mereka perlu melepaskan jawatan ahli Parlimen untuk kembalikan mandat itu kepada rakyat.

"Inilah cara terbaik untuk mereka membuktikan dakwaan mereka PKR dan PR tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat. Bukannya menjadi pelacur politik yang membawa penyakit yang boleh merosakan masyarakat," tegas beliau lagi.

Beliau juga menyifatkan ahli-ahli Parlimen yang melompat itu sudah tidak ada kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen.

Ahli-ahli Parlimen yang melompat parti, katanya, mencabuli amanah rakyat.

"Parlimen tak boleh mengizinkan ahli Parlimen seperti ini yang membohongi dan menggadai amanah rakyat.

"Perbuatan ini sama seperti kesalahan pecah amanah. Orang yang pecah amanah hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mengulas titah diraja ketika perasmian penggal Parlimen Isnin lalu di mana Yang di-Pertuan Agong mengingatkan ahli-ahli Parlimen supaya menjaga adab dalam perbahasan, Mahfuz berkata, apabila membicarakan soal adab dan kesopanan ia tidak terbatas kepada tingkah laku seseorang ahli Parlimen ketika berbahas.

"Tingkah laku tindakkan ahli Parlimen diluar dewan juga merupa perkara penting untuk dinilai," katanya.

Tingkah laku tersebut termasuk perbuatan mencabuli amanah rakyat yang mengundi mereka.

---------------

Apa guna 1Malaysia sedangkan BN menuju kehancuran
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 21 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoalkan apa gunanya slogan 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan sedangkan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) sedang menuju kehancuran.

Menurutnya lagi, MCA yang akan memilih kepimpinan baru pada 28 Mac ini hampir terbenam ekoran sikap kepimpinannya sendiri yang rakus serta ego.

"Kalau mahu membina Malaysia ke arah yang lebih cemerlang, kita harus ada kekuatan dalaman terutama parti yang menjadi teras BN. MCA, Gerakan, MIC dan Umno telah hilang kewibawaan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu kerana rakyat tidak lagi menaruh harapan terhadap parti itu," tegasnya ketika perjumpaan dengan masyarakat Cina di Dewan Terbuka Hock Teik, Jalan Satu di sini, petang semalam.

Baginya, BN umpama sebuah kapal yang hampir karam di lautan yang bergelora.

“Bila karam semuanya rosak termasuk enjin serta anak kapal," jelasnya dalam program anjuran Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pulau Pinang dengan kerjasama DAP Kepala Batas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri resah dengan perkembangan politik kerabat BN terutamanya MCA yang dilihat makin kurang sokongan.
Sampai kini, MCA gagal mencari kepimpinan yang boleh menyelamatkan maruah parti tertua Cina itu.

"Rakyat terdiri daripada masyarakat Cina usah lagi bergantung harap pada MCA sebaliknya kena berani membuat perubahan dan memberikan sokongan padu pada Pakatan Rakyat yang memerintah empat buah negeri," kata beliau.

Sementara itu, wakil masyarakat Cina Kepala Batas, Lai Hock Peng berharap iklim politik sekarang masih menyebelahi Pakatan Rakyat, tambahan lagi Parlimen Kepala Batas ditandingi orang baru, bukan lagi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, pasti PAS yang bertanding berpeluang kali ini kerana lazimnya orang baru sebagai calon BN akan menghadapi masalah perebutan.

"Saya yakin bila PAS bertanding kelak pada pilihanraya umum ke-13 nanti, Pakatan Rakyat akan menang kerana dulu ia hanya bergantung pada nama Tun Abdullah yang terkenal dengan cucu tok guru," jelasnya

(Berita ini diambil dari Harakah Daily onloine, 21 Mac 2010)




No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.