Thursday, March 25, 2010

BERITA

Kelantan setuju lantik Razaleigh runding tuntutan royalti minyak
Harakahdaily

KOTA BHARU, 24 Mac: Kerajaan Kelantan bersetuju melantik mantan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) sebagai perunding untuk berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Petronas mengenai tuntutan royalti minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa memberitahu, pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta dan surat rasmi mengenainya akan dihantar hari ini juga.

Menurutnya lagi, mesyuarat Exco hari ini yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengambil keputusan bersetuju melantik Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebagai wakil kerajaan untuk berunding menyelesaikan isu tuntutan negeri berhubung isu royalti minyak daripada Kerajaan Pusat.

Jelasnya, pelantikan itu tidak melibatkan apa-apa bayaran daripada kerajaan negeri kepada Razaleigh.

“Kita berharap Tengku (Razaleigh) akan bersetuju sebab sebelum ini Tengku ada menawarkan diri sebagai perunding dan orang tengah untuk menyelesaikan tuntutan itu,” ujarnya ketika ditanya sama ada veteran Umno itu bersetuju atau sebaliknya dengan pelantikan itu.

Ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 rakyat Kelantan dalam ceramah perdana tuntutan petroleum anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) di Stadium Sultan Mohamad ke-IV akhir Januari lalu berkata Kelantan berhak mendapat bayaran royalti sebanyak lima peratus.

Beliau sekali lagi menyatakan perkara itu ketika berucap pada satu program anjuran Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) di Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 18 Mac lalu tetapi tidak setuju isu tuntutan itu dibawa ke mahkamah.


------------------


Nik Aziz antara dilantik semula ke Majlis Syura
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, antara yang turut dilantik semula ke Majlis Syura dalam mesyuarat pertamanya malam tadi adalah Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Saya tidak tahu secara rasmi siapa dilantik semalam, cuma saya difahamkan Tuan Guru Nik Aziz juga dilantik menjadi Ahli Majlis Syura," kata Mahfuz kepada media hari ini.

Mahfuz menjawab soalan para wartawan ekoran laporan Harakahdaily tentang mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak malam tadi.

Malam tadi Majlis Syura Ulama PAS mengadakan mesyuarat pertama mereka untuk sessi baru. Ia dipengerusikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Antara anggota mesyuarat malam tadi adalah empat wakil Jawatankuasa PAS Pusat, empat wakil Dewan Ulama dan dua wakil bagi Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Wakil JK Pusat adalah Abdul Hadi sendiri, timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Wakil Dewan Ulamak adalah ketuanya, Datuk Harun Taib, timbalan Datuk Ahmad Yaakub, naibnya Datuk Dr Mahfudz Mohamad dan Ustaz Nik Zawawi Salleh.

Wakil Dewan Pemuda adalah ketuanya Nashruddin Hassan dan Ustaz Zaharudin Muhamad. Dewan Muslimat belum memutuskan wakil mereka tetapi menghantar lima nama untuk dipilih.

Menurut Mahfuz, beliau difahamkan, mesyuarat semalam berbincang untuk melantik lima orang ahli syura di kalangan sesiapa sahaja ahli PAS yang tidak semestinya dari Jawatankuasa PAS Pusat atau siapa-siapa yang difikirkan layak untuk menduduki majlis syura.

"Jadi semalam mereka bermesyuarat, saya difahamkan mereka hanya melantik lima orang sahaja tetapi belum melantik siapa Mursyidul Am," kata Mahfuz.

Selepas ini, kata Mahfuz mereka akan bermesyuarat semula bersama lima yang baru dilantik bagi melantik siapa Mursyidul Am di kalangan mererka.

"Ini peruntukan perlembagaan, sama ada melantik orang lama atau orang baru saya tidak tahu, boleh melantik orang baru sebagai Mursyidul Am tetapi itu belum diputuskan," katanya.

"Mereka tidak boleh memilih saya jadi Mursyidul Am," kata Mahfuz bergurau dengan wartawan

(Berita ini diambil dari Harakah Daily online, 25 Mac 2010)





No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.