Tuesday, March 2, 2010

BERITA



KELANTAN

DUN lulus usul tergempar

KOTA BHARU 1 Mac – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan usul tergempar untuk memberikan mandat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan (MMK) bagi mengambil tindakan mahkamah berhubung tuntutan royalti minyak.

Usul tersebut dikemukakan oleh Abdullah Ya‘akub (Pas-Air Lanas) dan ia mendapat persetujuan sebulat suara 45 ahli termasuk anggota pembangkang walaupun hanya memerlukan sembilan sokongan daripada anggotanya untuk membahaskan usul berkenaan.

Antara enam anggota pembangkang yang menyokong usul tersebut ialah ketuanya, Datuk Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas), Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah), Mohd. Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) dan Mat Yusof Abdul Ghani (BN–Nenggiri).

Usul tersebut telah dibahaskan oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas); Zulkifli Mamat (Pas-Pulai Chondong); Hanifa Ahmad (Pas-Pengkalan Pasir); Azami Mohd. Nor (Pas-Kadok), dan Nik Mazlan Mohamed (Pas-Gaal).

Terdahulu, Speaker DUN, Nasaruddin Daud berkata, selepas meneliti cadangan tersebut beliau mendapati ia memenuhi tiga syarat utama iaitu perkara yang tertentu dan mustahak, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Beliau kemudiannya meminta Abdullah untuk mengemukakan usul yang berbunyi:

“Bahawa DUN memberi mandat kepada MMK bagi pihak kerajaan negeri mengambil apa-apa tindakan mahkamah yang bersesuaian bagi mendapatkan bayaran tunai yang terhak kepada rakyat dan Kerajaan Kelantan mengikut perjanjian dan penyerahhakkan kuasa-kuasa petroleum sama ada di daratan atau di lautan negeri Kelantan yang ditandatangani pada 1975.

“Seperti mana kehendak undang-undang tunggal yang berkaitan dengan pengeluaran petroleum iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974, pada bila-bila masa yang difikirkan oleh kerajaan negeri.”

Bagaimanapun ketika sesi perbahasan, Zulkifli Mamat (Pas - Pulai Chondong) mencadangkan supaya usul tersebut ditambah bagi memastikan hak itu diperoleh.

“Saya mencadangkan supaya ada pertambahan dalam usul ini iaitu mendesak Petronas menjelaskan bayaran tunai sebanyak lima peratus seperti mana yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum kepada kerajaan negeri dengan kadar segera.

“Pertambahan ini mesti diletakkan sebagai perkara utama sebelum memberikan mandat kepada MMK untuk mengambil tindakan termasuk membawa ke mahkamah,” katanya.

Nasarudin kemudiannya meminta Abdullah menyatakan persetujuan untuk penambahan usul tersebut dan ia dipersetujui.

Bagaimanapun ketika sesi perbahasan Alwi tidak menyokong usul tambahan itu. Perbahasan usul tersebut akan diteruskan sesi pagi esok.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata, usul berkenaan berkemungkinan akan dibawa ke DUN itu untuk dibahaskan.

Kerajaan Kelantan telah menuntut kira-kira RM1 bilion royalti petroleum itu yang dikatakan dikeluarkan dari kawasan perairan negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Tuntutan itu dibuat sebelum pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Julai tahun lalu berdasarkan kepada perjanjian melalui Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974.

Kerajaan Pusat bagaimanapun hanya bersetuju memberikan wang ihsan sebanyak RM20 juta yang akan diberikan kepada rakyat Kelantan pada bulan depan.

Bagaimanapun, kerajaan Kelantan bertegas menolak wang ihsan itu dengan peruntukan yang dikeluarkan kelak adalah peruntukan haram.

Ia konsisten dalam tuntutan mendapatkan royalti malah menolak cadangan supaya dua wakilnya dilantik untuk menyertai Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 2 Mac 2010)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.