Wednesday, March 24, 2010

BERITA


Hisham-Musa tak sengketa
Oleh Azman Zakaria, Magendran Rajagopal, Nazura Ngah dan Haspaizi Mohd Zin
bhnews@bharian.com.my
Usaha pihak lagakan menteri dengan Ketua Polis Negara dibidas


PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan dakwaan hubungan beliau dengan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan sebagai tegang adalah tidak berasas.
Beliau yang menyifatkan dakwaan itu ‘nakal’ berkata, tuduhan itu adalah cubaan mereka yang mahu melaga-lagakan pemimpin negara. “Jika sesuatu diulang beberapa kali, dan jika tidak ditangani, akhirnya masyarakat akan mempercayainya.
“Oleh kerana perkara itu telah dibangkitkan di Parlimen, hari ini (semalam) kami bertiga hadir untuk membuktikan apa yang digembar-gemburkan mereka tidak berasas langsung,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli makmal pengurusan warga asing di kementeriannya, di sini, semalam.
Majlis itu turut di dihadiri Musa dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, di sini, semalam.

Beliau mengulas dakwaan hubungannya dengan KPN tidak baik berikutan kenyataan Musa Ahad lalu, ada pihak ketiga campur tangan dalam tadbir urus pasukan polis.
Hishammuddin berkata, beliau sedih dengan dakwaan itu ketika maklumat balas daripada orang ramai terhadap pasukan polis pada masa ini memberangsangkan kerana indeks jenayah menunjukkan penurunan.
Musa pada majlis sama berkata, isu itu timbul berikutan laporan akhbar China Press, baru-baru ini kononnya beliau sudah menyerahkan surat meletak jawatan.
“Apabila pihak media jumpa saya dan bertanya mengenainya, saya jawab ia bukan daripada sumber rasmi.

“Jadi, jika tidak daripada sumber rasmi, maka ia tidak betul. Saya beranggapan jika perkara ini boleh dijadikan bahan spekulasi dan datang dari sumber bawah tanah, maka pasukan polis akan jadi kelam kabut.

“Maka, saya memetik Seksyen 4 Akta Polis, bahawa pentadbiran polis adalah di bawah kuasa dan kawalan KPN dan juga pegawai-pegawainya.

“Jadi, janganlah ada pihak ketiga yang cuba membuat spekulasi mengenai perkara ini. Itu yang saya jelaskan,” katanya yang menjelaskan hubungannya dengan Hishammuddin adalah baik.

Sementara itu di lobi Parlimen, di sini, Hishammuddin berkata, andai kata ada pihak ketiga seperti didakwa, ia tetap tidak menjejaskan agenda utama pihaknya untuk mengurangkan kadar jenayah.

“Hakikatnya, tiada masalah antara saya dan KPN. Kalau benar ada pergeseran antara kami, bagaimana pula indeks jenayah negara menurun. Tidak mungkin tahap prestasi bidang keberhasilan utama negara (NKRA) yang ditetapkan untuk kementerian ini dapat dicapai jika wujud perselisihan antara kami.

“Tunggulah sehingga sambutan Hari Polis Khamis ini (esok), kita akan umumkan pelbagai insentif dan penambahbaikan untuk pasukan polis,” katanya

(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 24 Mac 2010)


No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.