Friday, March 26, 2010

BERITA

Habuan baru polis

Oleh Norfatimah Ahmad dan Wan Faizal Ismayatim
bhnews@bharian.com.my
NAJIB   melancarkan Pelan Intergriti PDRM sambil diperhatikan    Hishammuddin   dan    Musa ketika merasmikan Sambutan Hari Polis Ke-203  di  Pulapol   di Kuala Lumpur, semalam.
NAJIB melancarkan Pelan Intergriti PDRM sambil diperhatikan Hishammuddin dan Musa ketika merasmikan Sambutan Hari Polis Ke-203 di Pulapol di Kuala Lumpur, semalam.
  • 33,000 dapat elaun bulanan RM200
  • 52,000 berpeluang naik pangkat secara automatik
  • KUALA LUMPUR: Seramai 33,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas am, akan mendapat elaun bulanan RM200, manakala 52,000 anggota berpeluang dinaikkan pangkat secara automatik sekurang-kurangnya selepas tiga tahun berkhidmat. Mengumumkan insentif baru itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pemberian elaun itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan membabitkan peruntukan tambahan RM84 juta setahun.
    Mengikut Pindaan Pekeliling Perkhidmatan 2009 pula, katanya, konstabel akan dinaikkan pangkat ke lans koperal selepas tiga tahun berkhidmat, manakala lans koperal ke koperal selepas lima tahun.

    “Saya mencadangkan supaya balai polis cemerlang dan terbaik juga diberi
    penghargaan khas berdasarkan prestasi dan pencapaian mereka.

    “Inisiatif penambahbaikan yang diberikan ini menunjukkan sokongan dan dorongan kerajaan atas jasa anggota polis yang bertugas demi bangsa dan negara,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Polis Ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, semalam.
    Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

    Musa pada sidang medianya pula menjelaskan, skim pelarasan perkhidmatan baru yang diumumkan Perdana Menteri itu hanya membabitkan konstabel dan lans koperal, manakala bagi jawatan pangkat rendah lain, mereka perlu mengikuti kursus kenaikan pangkat.

    Berikutan itu, katanya, PDRM akan mengadakan program peningkatan kerjaya kepada semua anggotanya bagi memberi galakkan motivasi kepada mereka supaya sentiasa bekerja lebih keras untuk mendapat peluang kenaikan pangkat.

    “Pada masa depan, seseorang pegawai dan anggota polis tidak akan pencen pada jawatan sama, sebaliknya akan menamatkan perkhidmatan dengan jawatan lebih tinggi,” katanya.

    Beliau yakin langkah itu akan menarik minat pelbagai pihak untuk menyertai PDRM, termasuk kaum Cina dan India.

    “Apa yang kita lihat sekarang, kaum lain kurang berminat menyertai polis kerana gaji yang ditawarkan tidak begitu tinggi,” katanya.

    Bulan lalu, Hishammuddin mengumumkan seramai 98,747 anggota dan pegawai polis mendapat `durian runtuh' berikutan pelaksanaan skim perkhidmatan baru membabitkan kenaikan gaji dan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP), berkuat kuasa 1 Januari tahun lalu.

    Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapannya juga menegaskan mengenai pentingnya usaha mengurangkan kadar jenayah diletakkan sebagai misi nasional bagi memastikan ia menjadi kenyataan.

    “Tugas memerangi jenayah bukan saja menjadi tanggungjawab polis, tetapi juga Menteri Dalam Negeri dan saya sendiri sebagai ketua kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat untuk menjayakan matlamat ini.

    “Jika misi ini gagal, bukan saja polis dan menterinya gagal, tetapi saya juga gagal. Bagaimanapun, jangan jadikan kegagalan sebagai satu pilihan, sebaliknya kita perlu sama-sama berjuang untuk mencapai objektif ini,” katanya.

    Selain itu, Najib turut menggariskan tiga nilai utama yang menjadi satu daripada enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM untuk mengurangkan kadar jenayah, iaitu kesetiaan berlandaskan Perlembagaan dan Akujanji, integriti serta keberkesanan dan keberhasilan.

    Katanya, sejak NKRA diumumkan tahun lalu dengan sasaran penurunan kadar jenayah lima peratus menjelang akhir 2010, petanda positif ditunjukkan apabila berlaku penurunan 13 peratus dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus ia momentum yang baik untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama.
    (Berita ini diambi dari Berit aHarian online, 26 Mac 2010)

    No comments:

    Post a Comment

    Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
    Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
    Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
    Sekian.