Tuanku Mizan tegur media baru
|
|
KUALA LUMPUR 15 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin meminta pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan fitnah, pembohongan dan memutar belit fakta terutamanya media baru.
Seri Paduka bertitah, semua pihak yang terlibat perlu sedar bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab itu tidak diterima oleh mana-mana agama dan perlu dihentikan segera.
Tuanku Mizan mengakui kebebasan bersuara merupakan antara ciri masyarakat yang demokratik dan matang tetapi ia bukannya satu alasan untuk memburuk-burukkan pihak lain sehingga mencetuskan api perbalahan dan sentimen perkauman.
“Beta amat dukacita kerana ada pihak-pihak di dalam dan luar negara mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh sehingga menggadaikan ketenteraman awam dan maruah negara.
“Beta menyeru semua pihak supaya mengambil iktibar daripada titik hitam dalam sejarah negara dan mengelak daripada mencetuskan isu-isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian hidup rakyat,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika merasmikan sidang Penggal Ketiga Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Tuanku Mizan mengingatkan bahawa perpaduan dan saling menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara mesti dipelihara dan dikekalkan bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang mesra, aman dan bertoleransi.
“Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama-agama lain bebas untuk diamalkan hendaklah dihormati.
“Beta menyeru semua pemimpin agama supaya memupuk rasa tanggungjawab untuk memelihara keharmonian beragama di kalangan penganut agama masing-masing,” titah baginda.
Dalam pada itu, Seri Paduka turut menegur segelintir ahli Parlimen kerana mempamerkan tingkah laku dan tutur kata yang tidak mencerminkan keperibadian sebenar sebagai wakil rakyat.
Sambil mengingatkan bahawa segala perbuatan dan tindakan wakil rakyat sentiasa diperhatikan oleh rakyat, Tuanku Mizan mahu mereka berhujah dengan bernas dan tidak membangkitkan perkara remeh-temeh yang boleh menjejaskan maruah sendiri dan kemuliaan dewan.
“Sejak dua penggal berturut-turut sebelum ini, beta telah mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya menunjukkan sifat dan perilaku terpuji dalam Dewan yang mulia ini.
“Beta dukacita masih terdapat Ahli-Ahli Yang Berhormat mempamerkan tingkah laku dan tutur kata yang tidak mencerminkan keperibadian sebagai wakil rakyat,” titah Seri Paduka.
(Berita ini diambil dari Utsan Malaysia online, 2010)
------------------
'Contohi cara Najib'
Oleh Anwar Hussin, S Anand Kumar dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
2010/03/16
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah supaya semua pemimpin mencontohi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sentiasa turun padang bagi memahami masalah dan menjalin hubungan rapat dengan rakyat pada semua peringkat.
Bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12, di sini semalam, baginda memaklumkan sejak mengetuai pemerintahan, Perdana Menteri berjaya melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. “Beta mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri kerana sejak 11 bulan lalu, kerajaan berjaya melaksanakan pelbagai program demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Pemimpin hendaklah mencontohi Perdana Menteri dengan turun padang untuk mendampingi rakyat bagi memahami dengan lebih dekat masalah mereka dan jalinkan hubungan rapat dengan rakyat pada semua peringkat,” titah baginda.
Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat itu. Ini adalah kali pertama Tuanku Mizan menyampaikan titah sejak Najib menjadi Perdana Menteri keenam, tahun lalu.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri dan Ahli Parlimen.
Seri Paduka juga bertitah, usaha kerajaan memperkenalkan Model Ekonomi Baru (MEB) untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju adalah langkah yang berpandangan jauh.
“Model ini memberi penekanan kepada inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi. Beta meminta semua pihak bersama-sama menjayakannya demi negara tercinta,” titah baginda.
Tuanku Mizan bertitah, bagi menyokong matlamat pelaksanaan MEB, pembangunan sektor tenaga akan diberi tumpuan bagi memastikan bekalan tenaga yang terjamin, kos efektif dan mesra alam.
Titah baginda, pemberian subsidi akan distruktur semula dan dikurangkan secara berperingkat bagi memastikan hanya yang layak menikmatinya.
“Pemberian subsidi bukan saja dinikmati golongan sasar, malah dikecapi mereka yang tidak layak seperti golongan berpendapatan tinggi dan warga asing.
Bagaimanapun, kumpulan sasaran seperti miskin akan terus dibantu. Justeru, beta meminta rakyat berpandangan jauh dan bersedia menerima perubahan ini,” titah baginda.
Baginda turut memuji kejayaan Program Permata Negara yang diilhamkan Rosmah yang diperkasakan dengan program baru seperti Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan dan Permata Remaja.
“Program ini akan melahirkan generasi baru yang memacu negara ke masa depan yang lebih cemerlang,” titah baginda.
Tuanku Mizan juga bertitah teknologi hijau akan memainkan peranan penting sebagai jentera pertumbuhan baru negara dan pelbagai insentif diambil untuk memacu pembangunan teknologi itu dengan menyediakan pelbagai insentif kepada syarikat pembekal
(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 16 Mac 2010)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.