Wednesday, February 3, 2010


UMNO boleh ambil apa saja tindakan – Ku Li

KOTA BHARU 2 Feb. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, UMNO boleh mengambil apa sahaja tindakan ke atas beliau kerana kemunculannya di pentas pembangkang bagi menuntut royalti minyak.

Namun beliau menyifatkan, desakan sesetengah pihak dalam UMNO agar beliau dikenakan tindakan disiplin sebagai suatu yang tidak relevan.

“Apa sahaja (tindakan) mereka hendak lakukan ke atas saya adalah tidak relevan.

“Isunya ialah apa yang undang-undang kata. Undang-undang ialah Akta Pembangunan Petroleum yang membawa kepada kelahiran Petronas dan memberi Kelantan dan Terengganu hak perundangan kepada lima peratus hasil minyak yang ditemui di pesisir (pantai),” katanya.

Reaksinya itu dilaporkan sebuah portal berita yang memetik kenyataan beliau dalam Astro Awani semalam.

Semalam, media melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya tiada kuasa untuk bertindak ke atas Tengku Razaleigh, yang pendiriannya bertentangan dengan kerajaan Pusat berhubung bayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Beberapa pihak membidas Tengku Razaleigh yang dianggap mempunyai agenda tersendiri apabila menyokong pembayaran royalti dan bukan wang ihsan kerana ia bertentangan dengan kenyataannya 10 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula dilaporkan berkata, pucuk pimpinan parti akan meneliti ucapan Tengku Razaleigh dalam Ceramah Perdana Royalti Minyak di Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini Khamis lalu.

Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata, sebagai Pengerusi Petronas ketika itu beliau menggubal akta berkenaan dan memeterai perjanjian-perjanjian berkaitan atas arahan Allahyarham Tun Razak, yang merupakan perdana menteri kedua.

Katanya, beliau mahu memastikan negeri-negeri miskin di Semenanjung mendapat faedah daripada minyak ditemui di pesisir.

Menurut Tengku Razaleigh, isunya sekarang bukan beliau sebaliknya soal perundangan dan hak rakyat dalam pertikaian mengenai tuntutan wang royalti petroleum.

Sehubungan itu, jelas beliau, UMNO boleh berbuat apa sahaja yang mereka inginkan.

“Lebih-lebih lagi mereka masih perlu berurusan dengan soal undang-undang dan menghadapi rakyat,” katanya.

(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 3 Januari 3 Januari 2010)

--------------------------


Pegawai Khas PM akan letak jawatan

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar akan meletakkan jawatannya itu berikutan kenyataan berunsur perkauman yang didakwa dibuatnya pada seminar 1Malaysia di Melaka hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini malam ini berkata kenyataan yang didakwa dibuat oleh Nasir "dalam keadaan apa cara sekalipun tidak mencerminkan pandangan Perdana Menteri."

"Datuk Nasir tidak ada niat untuk mengeluarkan sebarang kenyataan menghina. Beliau bercakap secara panjang lebar mengenai sumbangan oleh semua kaum dalam membangunkan negara.

"Oleh yang demikian, Nasir memohon maaf jika kenyataannya itu telah menyinggung mana-mana pihak.

"Sehubungan ini, Datuk Nasir akan meletakkan jawatannya," menurut kenyataan tiga perenggan itu.(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia - Bernama online, 3 Janauri 2010)




No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.