RM35 juta majukan 4 Rascom
Oleh Kandau Sidi dan Mohd Roji Abdullah
bhnews@bharian.com.my
NAJIB bersalaman dengan penduduk pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Ugap Seribu di Nanga Tada, dekat Sibu, semalam. |
Peruntukan khas tingkat kehidupan rakyat: PM
KANOWIT (Sibu): Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan khas RM35 juta untuk tiga projek memajukan kehidupan rakyat di empat skim penempatan semula Kawasan Pemerintah Keselamatan Rajang (Rascom) di sini.
Perdana Menteri berkata, peruntukan itu termasuk RM18 juta bagi memperbaiki empat rumah panjang di Nanga Janggau, Nanga Ngungun, Nanga Skuau dan Nanga Tada yang mempunyai 1,422 penghuni.
"Projek seterusnya ialah pembinaan sebuah klinik 1Malaysia di Nanga Tada bernilai RM9 juta yang akan dilaksanakan mulai tahun depan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh," katanya pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Ugap Seribu di Nanga Tada, kira-kira 80 kilometer dari bandar Sibu.
Skim penempatan semula Rascom diwujudkan pada 1972 oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Razak Hussein bagi melindungi rakyat daripada ancaman pengganas komunis ketika itu.
Beliau yang tiba menaiki helikopter dijemput menyertai upacara miring, adat istiadat tradisi kaum Iban menyambut tetamu khas yang berkunjung ke rumah panjang mereka. Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan dua timbalannya, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam serta Tan Sri Alfred Jabu Numpang, serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Najib juga mengumumkan bantuan kewangan kepada 477 murid dalam bentuk simpanan Bank Simpanan Nasional (BSN), membabitkan RM450 untuk sekolah rendah dan RM600 sekolah menengah.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan saja mampu merapatkan hubungan dengan rakyat, malah membawa perubahan dalam hidup rakyat dengan memberikan layanan sama rata tanpa mengira di mana mereka berada.
"Tidak kira sama ada tinggal di rumah panjang atau bandar, BN harus menjadi kerajaan yang mengambil berat kebajikan mereka dan sedia membawa perubahan yang diperlukan rakyat.
"Sebagai pemimpin kita harus sentiasa rapat dengan rakyat, bukan hanya dengan kalangan nama besar dalam sektor korporat saja. Mereka berniaga di pasar pun harus kita dekati selalu," katanya pada majlis Tahun Baru Cina 2010 Bersama Masyarakat Tionghua Sibu, di Hotel RH.
Sebelum itu, beliau melakukan tinjauan mesra di pasar Sentral Sibu dan melihat sendiri kehidupan peniaga kecil di pasar berkenaan.
Beliau juga berkata, kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi menaikkan taraf Lapangan Terbang Sibu yang kini dalam proses tawaran tender.
Perdana Menteri juga mengumumkan kerajaan akan membantu membawa kembali jenazah 22 askar Iban yang terkorban dan dikebumikan di Semenanjung Malaysia ketika ancaman komunis satu ketika dulu dan akan berbincang dengan Kerajaan Sarawak yang bersetuju menyediakan tapak pengebumian semula.
(Berit aini diambil dari Berita Harian online, 24 Februari 2010)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.