Pulau Pinang perkenal sistem daftar kahwin online
GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang memperkenalkan sistem pendaftaran perkahwinan umat Islam di negeri ini secara online yang dikenali sebagai e-munakahat.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Agama Islam negeri, Abdul Malik Abul Kassim, berkata e-munakahat mengandungi lima modul utama iaitu kebenaran kahwin, pendaftaran perkahwinan, cerai, rujuk dan akad nikah.
“Selain memudahkan urusan perkahwinan, orang ramai juga dapat mencari maklumat dengan lebih mudah berkaitan urusan perkahwinan melalui e-munakahat yang dikendalikan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp),” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di sini, semalam.
Sambutan Maulidur Rasul dan pelancaran e-munakahat itu yang diadakan di Dewan Sri Pinang di sini, dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas. Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman.
Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, sistem itu boleh dilayari menerusi laman web e-munakahat.penang.gov.my dan orang ramai hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan jika mahu mendapatkan maklumat berkaitan perkahwinan.
Abdul Malik berkata, fasa kedua e-munakahat yang bakal dibangunkan pada Jun 2010 pula, membolehkan pengguna membuat kad nikah cip bergambar yang dilengkapi maklumat lengkap mengenai perkahwinan mereka.
-----------------
Akta Halal ke Parlimen
Oleh Ridzuan Yop dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Rang undang-undang Akta Halal bertujuan memperkemas, menguatkuasa dan mempertingkatkan keberkesanan dalam melaksanakan peraturan halal akan dibentangkan di Parlimen pertengahan tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata draf itu kini di peringkat akhir kajian sebelum diserahkan kepada Peguam Negara untuk diperhalusi untuk dibentangkan di Parlimen pada sesi Jun atau Julai ini.
Beliau berkata, Peguam Negara akan meneliti dan mengkaji aspek perundangan dan peraturan berkaitan akta itu bagi menentukan bentuk hukuman, peraturan, denda dan prosedur lain yang boleh dikenakan terhadap pihak yang cuba mempermainkan aspek halal dan mereka yang gagal mematuhinya.
“Selepas diluluskan, akta itu juga akan memastikan tidak ada pihak yang menyalahguna logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kerajaan jangka akta itu dapat diluluskan dan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Kempen 1Malaysia 1Halal di pekarangan Masjid Negara di sini, semalam.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Badlishah yang juga Sultan Kedah. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Terdahulu dalam ucapannya, Jamil Khir berkata, kempen 1Malaysia 1Halal penting dalam mengangkat tuntutan fardu ain hukum halal menjadi industri berimpak tinggi, sekali gus dapat melonjakkan kedudukan sosioekonomi ummah.
Beliau berkata, ia selaras misi nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal dunia yang mempunyai potensi bernilai RM8 trilion setahun di pasaran global.
Katanya, berdasarkan kajian Highbeam Research pada 2007, nilai pasaran makanan halal mencecah US$150 bilion (RM510.5 bilion) dan dijangka meningkat kepada US$500 bilion (RM1,702 bilion) tahun ini dengan prospek 1.8 bilion pengguna Islam di 112 negara.
“Peningkatan ini adalah lonjakan yang sangat besar, sekali gus mampu menjadikan industri terbabit amat penting untuk diterokai dan dikuasai,” katanya.
(Berita ini diambil dari Berita Harian onlin, 27 Februari 2010)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.