Thursday, February 25, 2010

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Pada 1 Mac 1983, dengan persetujuan Presiden UMNO, Dr Mahathir Mohamad, Sultan Idris Shah telah melantik Ramli Ngah Talib (Tan Sri) untuk menduduki kerusi Menteri Besar Perak yang telah dikosongkan oleh Wan Mohamed. Ramli adalah orang yang pertama berkelulusan undang-undang menerajui Kerajaan Negeri Perak. Pada zaman terakhir penjajahan Inggeris, seorang peguam, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz menduduki kerusi Menteri Besar Negeri Perak.

’Tan Sri Dato’ Seri Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, Ramli Ngah Talib telah dilahirkan di Pasir Salak, di rumah datuknya Penghulu Alang Talib tereletak 30 meter daripada tempat J.W.W.Birch, Residen British Perak yang pertama dibunuh. Beliau bersekolah di Sekolah Melayu Pasir Salak, St. Anthony School Teluk Anson dan seterusnya di Malay College Kuala Kangsar, Queen’s University dan Lincoln’s Inn. London. Kariernya telah membawa beliau dari pensyarah undang-undang ITM ke jawatan Pegawai Undang-undang Lembaga Letrik Negara, firma undang-undang sendiri.

Sesungguhnya tidak sama orang yang berpengatahuan dengan yang tidak berpengetahuan. Gerak kerja orang yang berpelajaran tinggi tidak sama dengan gerak kerja orang yang rendah pelajarannya. Begitulah aku membandingkan Ramli Ngah Talib dengan para Menteri Besar yang sebelumnya.Menteri Besar pilihan Sultan Idris Shah itu mempunyai sikap berhati-hati mengatur dan melaksanakan rancangan-rancangan untuk kerajaan dan rakyat. Sultan Idris sentiasa memerhatikannya dan rakyat jelata sentiasa merenungnya.

’Dato’ Sri Ramli adalah anak kampung yang jauh dari bandar. Pengalaman hidupnya dalam kampung cukup untuk mengajarnya menjadi seorang pemimpin yang mempunyai perasaan ’mementingkan orang ramai atau rakyat lebih dari segala-galanya’ – lalu beliau menguatkan azam; selagi pucuk pimpinan parti menaruh kepercayaan kepadanya mengetuai Kerajaan Negeri Perak dan memimpin rakyatnya, beliau akan terus memperjuangkan nasib rakyat dengan daya tenaga, daya fikiran dan ilmu pengetahuan serta pengalaman yang ada padanya.’[2]

Semenjak Ramli Ngah Talib meminpin kerajaan dan rakyat negeri Perak, maka negeri itu telah masuk ke dalam ’Era Baru’ dan pembangunannya dijalankan

Seiringan dengan Kerajaan Negeri Selangor, pimpinan Tan Sri Muhammad Mohd.Taib.

Pada tahun 1992 Ramli Ngah Talib dan Muhammad Mohd.Taib telah menandatangani perjanjian ’Kerjasama Pembangunan’[3] dalam kawasan sempadan negeri Perak dengan negeri Selangor. Antara pambangunan sempadan yang berjaya, ialah pembinaan Bandar Proton, di Behrang, Tanjung Malim, menaik taraf Maktab Perguran Sultan Idris Tanjung Malim kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim juga.


Pada satu hari, Sultan Idris Shah telah mengajak aku menyertai Baginda berangkat melawat Kota London dan kemudian berangkat ke Mekah untuk mengerjakan ibadat Umrah. Aku telah memohon ’ampun’ kepada Baginda, kerana aku tidak dapat menunaikan ajakkan Baginda disebabkan aku sedang menghadapi beberapa masalah yang belum dapat aku selesaikan.

Sehari selepas Sultan Idris Shah dan rombongannya berangkat ke Kota London, Guru Agama Sultan, Ustaz Haji Mat Saman Kati, dalam percakapannya dengan aku, bahawa menurut firasatnya, dia mendapati ada perubahan sikap pada diri Sultan Idris Shah, tetapi dia tidak memberitahu kepada aku akan perubahan yang ada pada Sultan Idris Shah itu.

Hampir empat minggu Sultan Idris Shah dan rombonganya berada di luar negara. Baginda telah berangkat pulang ke tanah air dan tiba di Istana Tambun kira-kira jam 3.00 petang. Pada malamnya aku telah datang mengadap Baginda di Istana tersebut.

Pada waktu aku masuk ke dalam Istana Tabun, Sultan Idris Shah sedang berada dalam bilik khasnya. Aku duduk di atas sofa dalam bilik tetamu. Dalam bilik tetamu itu tersedia satu jar berisi air zamzam, semangkuk kaca buah kurma termasuk ‘kurma nabi’ terhidang atas meja. Atas sofa di sisi meja itu ada sehelai sejadah yang masih baru.

Sebaik-baik sahaja Sultan Idris Shah keluar dari bilik khas Baginda dan masuk ke dalam bilik tetamu, aku telah memberi salam dan berjabat tangan dengan Baginda. Aku telah bertanya kepada Baginda mengenai keadaan Baginda selama berada di Tanah Suci.

Sultan Idris Shah telah menerangkan, bahawa setiba sahaja Baginda dan rombongan, di Kota Mekah, Baginda telah terlupa dua ayat Quran yang telah diamalkan sejak beberapa tahun yang lalu.

“...aku tibe saje depan Masjid Haram, aku dah lupa..., ayat Quran yang orang tua tu beri dulu..., sepatah haram..., aku tak ingat...,”titah Baginda.

Aku menatap wajah Sultan Idris Shah. Wajah Sultan Baginda kelihatan teduh dan muram. Baginda melabuhkan punggungnya atas sofa depanku. Pada ketika keadaan Baginda seperti seorang menyesal akan segala kesalahan yang dilakukannya.

“...aku masuk dalam Masjid Haram, aku sembahyang aku..., aku menangis dalam masjid...,aku dah tau...,”titah Sultan Idris.

“Ampun Sir, ...apa, Sir?” Aku bertanya

“Bukan you tak tau, Sheikh Pak Him kata, kalau lupa ayat tu, ...dah dekat nak mati, aku dah nak mati...,” jawab Sultan Idris Shah lagi.

Ayat-ayat Quran itu telah diterima oleh Sultan Idris Shah daripada Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim, pada tahun 1954 lalu. Dua adinda Baginda, Raja Ahmnad Saifuddin dan Raja Ismail turut menerima ayat-ayat Quran itu.

Menurut para ulama, seseorang mengamalkan ayat-ayat Quran itu, jika ayat-ayat itu, biasanya, dalam tempoh 40 hari hingga tiga bulan orang itu akan didatangi malaikat maut.

Sultan Idris Shah terus menerus mengamalkan ilmu itu, tetapi dua orang adiknya telah tidak mengamalkannya. Ayat-ayat Quran yang telah diterima (dengan ijazah) oleh Sultan Idris Shah dan adik-adiknya itu seperti ertinya di bawah ini:

‘Dan Dia menguasai semua hamba-hamba-Nya, dan dikirim-Nya penjaga-penjaga (malaikat-malaikat) untuk kamu, sehingga bila seseorang di antara kamu di datangi kematian, diwafatkan oleh utusan-utusan Kami itu. Mereka itu tidak melalaikan kewajipan mereka.

Kemudian itu mereka dikembalikan kepada Tuhan, Pemimpin mereka yang sebenarnya; sesungguhnya hukum (keputusan) itu hak Tuhan, dan Dia paling cepat membuat perhitungan.

Beberapa orang ulama yang murshid pernah memberitahu kepada aku, iaitu jika ayat-ayat Quran itu dibaca selalu dan dihayati ertinya oleh seseorang, walau macam mana jahatnya, dia tidak akan tergelincung kepada murtad atau kekufuran.

Sultan Idris Shah secara jujur mengaku kepadaku, bahawa Baginda sebagai manusia biasa, Baginda tidak dapat mengelak dari melakukan dosa kepada Allah. Tetapi Baginda tidak pernah melakukan perbuatan zina. Sebab Baginda tidak melakukan perbuatan keji itu, selain dari takut berdosa, kerana Baginda mengamalkan ayat-ayat Quran tersebut dan tidak mahu menjadi seorang lelaki yang meninggalkan anak haram.

Pengamal ayat-ayat Quran itu dilarang melakukan perbuatan zina, kalau dilakukan juga akan menerima akibat yang buruk, di dunia ini, seperti sakit kusta, barah dan berbagai penyakit payah atau penyakit ganjil.

Aku menatap wajah Sultan Idris Shah lagi. Dari pengalamanku sendiri-, aku telah berkeyakinan; Allah telah menerima tobat Baginda, kerana Allah Maha Pemurah dan Pengasihani. Baginda telah termasuk dalam golongan manusia yang diterima tobat oleh Allah.

Hanya Allah yang menerima tobat dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana kebodohan mereka, kemudian itu mereka kembali (toba) dengan segera, sebab itu Allah menerima mereka kembali. Dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.

Sambil makan buah kurma dan minum air Zam Zam aku dan Sultan Idris Shah telah bercakap seketika mengenai beberapa perkara yang berhubungan dengan pengetahuan Islam. Titah Baginda yang masih aku ingat, ialah:

* Negara ini akan menjadi aman dan mendapat keredhaan Allah jika ia dipimpin oleh orang yang mempunyai banyak pengetahuan Islam dan mempunyai pegangan kepada kitab suci al Quran dan as Sunnah.

* Orang Melayu dan Umat Islam tidak akan bersatu padu selagi mereka tidak bersama dalam organisasi yang berdasarkan Islam, kerana fahaman-fahaman Yahudi dan Kristian dalam apa bidang sekali pun tidak boleh dicampur- adukkan dalam amalan umat Islam.

* Kerajaan hendaklah memberi bantuan kepada semua sekolah- sekolah agama rakyat diseluruh negara, kerana sekolah-sekolah itulah yang dapat menjamin segala macam fahaman dan amalan yang berlawanan dengan agama Islam dapat dicegah dan dibanteras.

* Raja-Raja Melayu dan pemimpin negara hendaklah mempunyai pendapat yang sama untuk menegakkan Negara Islam yang berdasarkan al Quran dan as Sunnah.

* Perpaduan semua kaum di negara ini jangan sampai menjejas atau meroskakan agama Islam dan akidah umat Islam, kerana umat Islam di negara ini ada ikatan dengan agama Islam dan Adat Istiadat Melayu.

Elok aku catatkan di sini. Sultan Idris mempunyai empat orang isteri. Isteri Peratam (Raja Perempuan Perak) Raja Mazuwin binti Raja Arif Shah, kedua Dato’ Sharifah Salmah as Sahab berasal dari Singapura dan janda kepada Al Marhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz, ketiga Cek Satira binti Abdullah berasal dari Selatan Thailand dan yang keempat, Mazwin bekas penyanyi sebuah pancaragam, di Ulu Kinta.


(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.