Mokhtar Petah
Walaupun aku tidak pernah masuk dalam mana-mana peraduan pidato, tetapi aku bersyukur kepada Allah kerana aku boleh berpidato dengan baik. Seringkali orang-orang kampung di sekitar Kepala Batas mengadakan majlis keagamaan, seperti maulidur rasul, Isra’ dan mi’raj dan sebagainya, mereka telah menjemput aku untuk memberi ucapan dalam majlis-majlis tersebut.
Sebenarnya pada masa aku belajar di Sekolah Nurul Anuar, di Kampung Gelok, Lenggong, aku adalah satu-satunya penuntut yang amat takut berpidato. Guruku, Ustaz Sulaiman Naji Taib pernah memaksa aku berucap kepada bangku-bangku kosong dalam bilik darjah, tetapi aku tidak dapat berucap, kerana aku takut, tubuhku menggigil dan terasa sejuk bedi.
Apabila aku belajar di Teluk Anson, aku telah mendapat fatwa mengatasi darah gemuruh dan malu dari guru agama tersohor di sana, Haji Sulaiman Pagar. Dia telah memberi petua kepadaku, iaitu pada waktu aku bangun tidur pada tiap-tiap, sekadar tiga pagi, menyapukan tapak kaki kanan atau tapak kaki kiri pada muka sebanyak tiga kali. Sebelum menyapu tapak kaki ke muka, mesti membaca tiga kali, ’basmalah’ dan ’Allahu Akbar, tarmihin bi hijaratin min sijjil’[1] (Allah Maha Besar, melimpari mereka dengan batu yang keras’). Aku telah mengamalkannya. Semenjak lepas mengamalkan petua itu, aku tidak takut berpidato, tidak berdarah gemuruh dan aku boleh berucap dalam satu-satu perhimpunan ramai.
JULAP CACING KERAWI
Setelah aku mengamal fatwa aku telah berucap di banyak tempat, iaitu dalam majlis ihtifal madrasah al Yahyawiyah, Padang Rengas, berucap kerana menjual julap cacing kerawit di pasar minggu di Alor Setar, dalam majlis- majlis-UMNO dan sebagainya.
Sesungguhnya aku mengaku, kerana aku telah berkecimpung dalam bidang penulisan, menjadi aku terasa luas bergaul dan ramai kawan dari berbagai peringkat manusia. Rakan-rakanku di sekolah yang tidak berkecimpung dalam tersebut, aku mendapai mereka tidak luas bergaul dan mereka tidak mempunyai rakan-rakan yang aku telah alami.
Pada satu hari, secara kebetulan, aku telah bertemu dengan seorang pegawai di Konsulat Republik Indonesia, Pulau Pinang, Ghazli, di pejabat Warta Negara. Dalam pertemuan bersama wartawan Zin Arif, Ahmadi Asmara dan Ramli, pegawai tersebut telah menawarkan kepadaku untuk melajukan pelajaran ke universiti Islam Cokroaminoto[2], di Indonesia.
SAINS POLITIK ISLAM
Tiga hari kemudian, Ghazali telah menjemputku ke pejabatnya, di Konsulat Indonesia. Dia telah memberi surat tawaran itu untuk aku melanjutkan dalam jurusan syari’ah dan sains politik Islam di universiti tersebut.
Dalam surat tawaran itu, pihak Konsulat - dari sebuah badan bukan pemerintah- , hanya akan mengadakan wang untuk tambang, makan dan minum dalam pelayaran ke Indonesia serta yuran universiti. Sewa tempat tinggal dan makan minum selama aku menuntut, di sana kira-kira $500 menjadi tanggunganku sendiri.
Dua harinya kemudian, aku telah pulang ke kampungku untuk berbincang dengan ibu dan bapaku mengenai aku tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti Cokroaminoto itu. Walaupunh ibu dan bapaku setuju aku melanjut pelajaran ke sana, tetapi aku sendiri tidak sanggup. Jika ibu dan bapaku menanggung aku menuntut pelajaran di sana, selain dari adiku, Ghazali tidak dapat melanjutkan pelajarannya, pada saban hari ibubapa terpaksa dalam keadaan mengikat perut kerana tidak cukup belanja.
Setelah aku menolak tawaran dari pihak konsul Indonesia itu, seorang hartawan Melayu (aku tidak sebut namanya di sini), melalui Yusof Rawa telah menawarkan bantuan kewangan kepadaku untuk aku melanjutkan pelajaran ke Universiti Cokroaminoto. Tetapi dia dengan baik hati telah mengenakan syarat yang aku tidak dapat menerimanya, maka aku telah menolak tawarannya itu dengan baik.
Aku terus belajar di Daeratul Maariful Wataniyah, Kepala Batas. Selepas kegagalan aku melanjutkan pelajaran ke Universiti Chokroaminoto itu, aku sentiasa berada dalam keadaan tidak gembira.
Semenjak itu aku bertekad; kalau mahasiswa mampu membaca lima buah buku dalam masa sebulan, aku akan mampu akan mampu membaca dua kali ganda lagi. Aku telah membeli buku mengikut yang aku mampu. Maka universitiku adalah buku-buku dan alam maya ini.
[1] Quran - Al fil: 4
[2] Sempena nama,U.S. Cokroaminoto,H., Pahlawan Pergerakan Nasional Indonesia (1883-
1934), dimakamkan
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.