Monday, February 8, 2010

BERITA

Bubar Dun Perak - Nizar

Ismail Hashim
SHAH ALAM, 8 Feb: Perkara pertama akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak adalah membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) jika keputusan Mahkamah Persekutuan esok memihak kepada PR, kata Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menteri Besar PR Perak itu berkata, itulah komitmen PR sejak berlaku krisis politik Perak setahun lalu dengan memulangkan hak kepada rakyat Negeri Perak untuk memilih semula kerajaan mana-mana kerajaan yang mereka yakini dalam pilihan raya yang diadakan semula selepas pembubaran itu.

"Sebaik PR diumumkan menang dalam perbicaraan dahulu, sebaik memasuki pejabat Menteri Besar Perak, kita terus menulis surat kepada Kebawah Tuanku Sultan Perak agar berkenan untuk membubarkan Dun Perak bagi membolehkan rakyat menggunakan hak mereka memilih kerajaan melalui pilihan raya semula.

"Namun tidak berjaya kerana Umno BN telah melakukan sesuatu untuk menghalang proses demokrasi berjalan lancar dalam negara ini," tegasnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata demikian ketika berucap dalam majlis hi-tea sempena perasmian Restoran Sup Utara Power, di sini petang semalam yang turut dihadiri Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan, Azli Yusof, Ketua Muslimat kawasan, Puan Zarina Zulkifli dan Timbalan Ketua Keadilan Shah Alam, Adnan Jamhuri.

Nizar juga berharap semua lapisan masyarakat dan rakyat akan terus berdoa agar kemenangan memihak kepada kebenaran seperti dipersetujui oleh semua parti gabungan di dalam PR.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga berkata, PR Perak telah melalui beberapa 'siri kesedihan' sejak setahun lalu dan fenomena itu akan terus berlaku lagi selagi mana ada pihak yang tidak mahu meletakkan kebenaran dan keadilan sebagai neraca utama di dalam kehidupan berpolitik di dalam negara ini.

Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan esok berhubung siapakah Menteri Besar Perak yang sah sama ada Nizar atau Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Keputusan itu dijadual diumumkan oleh panel hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff selain Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.


--------------------


Royalti: Pemuda minta SPRM siasat Mustapa Mohamed

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 7 Feb: Dewan Pemuda PAS Kelantan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pengerusi perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed kerana didakwa bertindak di luar bidang kuasa berhubung wang ehsan negeri itu.

Laporan berkenaan dibuat anggota jawatankuasa Dewan Pemuda PAS negeri, Mohammad Abdul Rashid Yah yang juga seorang peguam.

Mustapa sebelum ini dilaporkan menyebut Perhubungan Umno Kelantan akan berjumpa dengan Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan projek hasil wang ehsan.

Abdul Rashid berkata, tindakan Umno Kelantan itu bersalahan dengan bidang kuasa mereka yang tidak pernah diberi oleh kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan hasil berkaitan royalti petroleum.

Katanya, keghairahan pemimpin Umno terbabit dibimbangi boleh menyebabkan berlaku penyelewengan terhadap penyaluran wang tersebut.

“Oleh yang demikian saya memohon pihak SPRM mengadakan siasatan bagaimana yang diperuntuk di bawah Seksyen 29 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya kepada pemberita di pejabat SPRM di sini.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, laporan itu dibuat bertujuan membolehkan SPRM menyiasat memandangkan usaha tersebut dibimbangi berlakunya penyelewengan duit dari hasil royalti petroleum.

Menurutnya, pengendalikan wang royalti di bawah agensi yang dipertikaikan rakyat Kelantan seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dianggap satu cara yang tidak sah.

“Tindakan Ketua Umno Jeli itu di luar bidang kuasa Umno Kelantan yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan negeri yang dipilih rakyat,” katanya.

Hadir sama di pejabat SPRM, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Hisyam Fauzi, bendahari, Wan Azimin Wan Adnan dan exco dewan berkenaan.


------------------------


Jasa alat propaganda Umno, mansuh segera | Print | E-mail
Harakahdaily
BUKIT BENDERA, 7 Feb: Perkhidmatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Biro Tata Negara (BTN) serta agensi-agensi propaganda lain perlu dimansuhkan segera kerana selama ini wujud dengan peruntukan wang cukai rakyat semata-mata untuk kepentingan Umno dan Barisan Nasional (BN) serta bersifat anti pembangkang.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata, Umno dan BN boleh menggunakan sumber-sumber parti dan bukannya menyalahgunakan wang rakyat untuk alat propaganda mereka.

Katanya, jika agensi-agensi itu dikekalkan, akan terus timbul suara-suara perkauman dan anti-perpaduan yang lahir dari budaya pemikiran sempit Jasa dan BTN.

Beliau juga menuntut Jasa selaku sebuah agensi kerajaan pusat meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas kenyataan bekas pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar yang berbau perkauman dengan memperlekehkan kaum bukan Melayu, baru-baru ini.

Ini, katanya kerana Jasa sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Warisan secara sedar telah menganjurkan majlis “Rapat 1Malaysia” di Melaka di mana Nasir berpeluang membuat kenyataan yang menghina sebahagian besar rakyat Malaysia.

Jasa, ujarnya sebagaimana BTN yang juga sebuah agensi kerajaan pusat, telah terlibat dengan usaha-usaha menanam unsur-unsur negatif terhadap hubungan antara kaum serta menabur kebencian terhadap pihak pembangkang.

Sebagai penganjur majlis di Melaka itu, Jasa mesti meminta maaf kerana program anjurannya bercanggah dengan slogan perpaduan kaum “1Malaysia” yang dibawakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, walaupun ramai mengetahui tentang BTN tetapi masih kurang faham dengan fungsi dan peranan Jasa sebagai salah satu agensi propaganda untuk kerajaan Umno dan BN.

Walaupun jabatan tersebut hanya mengupah 150 pegawai dan kakitangan kerajaan sepenuh masa, Jasa digunakan sebagai saluran bagi kerajaan Umno dan BN untuk membayar pertugas-pertugas parti-parti kompomen dengan sumber kerajaan termasuk wang cukai rakyat.

“Saya pernah bertanyakan bekas Menteri Penerangan, Datuk Shabery Cheek di Parlimen semasa perbahasan Bajet 2009 dan diberitahu bahawa seramai 1,100 orang telah ditakrifkan sebagai pegawai Jasa yang dibayar gaji oleh kementerian tersebut. Kebanyakan mereka adalah ahli-ahli akar umbi Umno dan BN,” ujarnya dalam kenyataan kepada harakahdaily.

Melalui Bajet, tambahnya, Jasa diperuntukkan sebanyak RM 54.86 juta pada tahun 2010 manakala peruntukan pada tahun sebelumnya adalah RM 67.36 juta.

Tambahnya, peruntukan kepada Jasa ini hampir sama dengan peruntukan kerajaan kepada Parlimen termasuk alaun yang dibayar kepada ahli-ahli parlimen, Parlimen Malaysia hanya diberikan peruntukan RM66.28 juta untuk tahun ini manakala RM70.49 juta disediakan untuk tahun lepas di mana Parlimen mempunyai 263 orang pegawai dan kakitangan tetap.

“Ini bererti kerajaan Barisan Nasional menganggap Jasa, sebagai alat propaganda, sama penting dengan Parlimen yang merupakan badan perundangan persekutuan dan penggubal undang-undang negara,” ujarnya.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily online, 8 Februari 2010)













No comments: