Thursday, February 18, 2010

BERITA



ISA: Bebaskan atau bicara mereka, bukan dihantar pulang

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 18 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendesak kerajaan supaya membebaskan warga asing yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau membicarakan mereka, bukannya dihantar pulang ke negara asal.

“Bagi saya yang penting mereka ditahan tanpa asas. Kenapa mesti terus ditahan?” ujarnya.

Katanya, isu sekarang ialah bukannya mereka harus dihantar pulang ke negara masing-masing tetapi dibebaskan atau dibicarakan di mahkamah.

“Saya melihat penghantaran mereka ke negara asal seolah-olah kerajaan Malaysia bersekongkol dengan kerajaan asing untuk terus menahan individu tanpa bicara.

“Mereka sewenang-wenangnya dituduh sebagai pengganas antarabangsa. Kita mahu mereka dibebaskan atau dibicarakan, bukan dihantar pulang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Katanya, kalau mereka dihantar pulang sedangkan ahli keluarga masih berada di negara ini, kerajaan melakukan satu lagi kezaliman.

“Kita menuntut pembebasan, bukan dihantar pulang,” tegasnya.

Beliau menegaskan, PAS juga mendesak kerajaan bukan sahaja membebaskan tahanan ISA warga asing tetapi juga rakyat tempatan yang ditahan tanpa perbicaraan di mahkamah.

Sementara itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membantah keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menghantar pulang sembilan warga asing yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini ke negara asal mereka.

Bantahan ini kerana ahli keluarga kesemua tahanan dan rakyat Malaysia langsung tidak diberikan penjelasan dan hujah yang konkrit mengenai sebab mereka ditahan.

Sebaliknya mereka ditahan pada 21 Januari lalu sewaktu menghadiri kelas agama rasmi di Sungai Cincin, Gombak.

Ekoran itu, mereka ditahan dan terus disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

GMI dan Suaram dalam satu kenyataan bersama juga mendesak pihak polis dan kerajaan supaya mendakwa kesemua tahanan mengikut prosedur undang-undang yang betul dan memberi peluang kepada mereka untuk membela diri di mahkamah dan menghentikan rancangan mereka untuk mengenakan tindakan buang negeri terhadap kesemua tahanan.

"Suaram dan GMI mengutuk keras penangkapan ini dan rancangan pihak Menteri Dalam Negeri untuk menjatuhkan hukuman buang negeri kepada mereka yang masih dalam tahanan.Sampai ke hari ini, para tahanan masih tidak mengetahui kesalahan sebenar meraka untuk dibicarakan di mahkamah terbuka," kata kenyataan itu.

Tegas GMI dan Suaram juga, mereka membantah sebarang tindakan yang berbentuk keganasan di negara ini namun berpendirian, individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan berkenaan tidak boleh dijatuhkan sebarang hukuman tanpa mendakwa mereka di mahkamah.

"Jika kerajaan mempunyai bukti terhadap mereka yang disyaki terlibat dengan sebarang bentuk keganasan, kami mendesak agar merka dibicarakan di mahkamah terbuka mengikut prosedur yang dapat memberikan keadilan kepada semua pihak.Jika ini tidak dilakukan, mereka wajar dibebaskan tanpa sebarang syarat," kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, GMI dan Suaram untuk kesian kalinya terus mendesak agar kerajaan menghapuskan ISA yang membolehkan mereka menahan sesiapa sahaja dengan sewenang-wenangnya dan menafikan undang-undang serta hak dan kebebasan rakyat.

Semalam, Hishammuddin berkata, persiapan sedang dilakukan untuk menghantar kesemua sembilan tahanan itu ke negara masing-masing.

Pada 27 Januari lepas, beliau mengesahkan bahawa 10 orang yang terdiri daripada sembilan warga asing dan seorang rakyat tempatan telah ditahan di bawah ISA kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Bagaimanapun, Hishammuddin semalam enggan mengulas lanjut mengenai tarikh sebenar dan tempat warga asing itu ditahan, mahupun nama kumpulan pengganas yang dikaitkan dengan mereka.

Beliau juga enggan mendedahkan negara asal rakyat asing tersebut.

Sementara itu, Bendahari GMI, Nashita Md Noor yang juga salah seorang ahli jawatankuasa Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA (PSK GMI) memberitahu, isteri dan anak tahanan yang akan dihantar pulang itu masih berharap agar mereka dapat berjumpa dengan tahanan.

"Tahanan sepatutnya diberikan hak untuk berjumpa peguam dan keluarga namun hingga ke tarikh ini sudah hampir masuk ke minggu yang ke empat tiada peguam dan ahli keluarga yang dapat menemui tahanan kecuali seorang sahaja. Keluarga masih menanti dan mengharap,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Memetik dari blog Nashita yang menceritakan tentang kisah isteri dan anak tahanan berkenaan, beliau memberitahu, mereka hilang tempat bergantung apabila suami mereka ditahan kerana mereka tidak bekerja dan hanya menemani suami bersama anak-anak.

Sehingga kini ujarnya, PSK GMI sedang berusaha untuk memastikan suami-suami dan ahli keluarga yang terlibat ini segera dibebaskan dan pada masa yang sama perlu cuba meringankan beban mereka.

(Berita ini diambil dri Harakan Daily online, 18 Februari 2010)


No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.