Friday, February 26, 2010

BERITA


Contohi keadilan sejagat, integriti Rasulullah
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 26 Feb: Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) menyeru umat Islam supaya mencontohi perjuangan Rasulullah s.a.w. yang berasaskan keadilan sejagat dan integriti tanpa mengira perbezaaan ideologi politik.

Gerak dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini sempena sambutan Maulidur Rasul menegaskan hanya dengan mengingati kembali sejarah Rasulullah s.a.w., umat Islam akan kembali bersatu dan mengamalkan agama Islam yang sebenar.

Berikut ialah petikan kenyataan tersebut.

Maulid Nabi perlu dijadikan sebagai lambang yang dapat menyatukan umat Islam pada hari ini yang dilihat semakin berpecah dan lari daripada perjuangan asal Junjungan Besar Muhammad s.a.w. iaitu untuk menegakkan tauhid dan melaksanakan ajaran Islam di samping menyampaikan risalah-Nya.

Hanya dengan mengingati kembali sejarah Rasulullah s.a.w., umat Islam akan kembali bersatu dan mengamalkan agama Islam yang sebenar. Asas perjuangan Rasulullah s.a.w. yang berasaskan keadilan sejagat dan integriti wajar dicontohi oleh umat Islam seluruhnya tanpa mengira perbezaaan ideologi politik.

Gerak berasa kesal terhadap sesetengah umat Islam yang mempolitikkan sambutan Maulidur Rasul untuk kepentingan sendiri di samping berpendapat bahawa tindakan itu amat tidak wajar.

Gerak menyeru agar umat Islam lebih berintegriti dan amanah dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan.

Menteri jangan amal sikap “double standard”

Gerak melihat kenyataan Menteri Datuk Seri Utama Rais Yatim hanya bermotifkan politik semata-mata. Desakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang juga mengandungi niat yang jahat (mala fide) dan sekadar untuk mengalihkan kebimbangan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap integriti badan kehakiman Negara.

Gerakmenyeru menteri terbabit agar melaungkan nada yang sama terhadap sesetengah ahli politik yang kini memegang jawatan tinggi dalam kerajaan walaupun antara mereka telah disabitkan kesalahan rasuah dan pecah amanah seperti pemimpin politik yang telah disabitkan bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin atas kesalahan rasuah politik dalam Perhimpunan Agung Umno di samping terpalit dengan pelbagai kontroversi melibatkan projek mega seperti isu PKFZ dan isu moral.

Justeru, Gerak berpendirian bahawa seseorang itu tidak bersalah, dan dilihat sebagai tidak bersalah selagimana mahkamah tidak memutuskan bahawa dia sebagai bersalah. Gerak juga berharap agar semua pihak menghormati hak seseorang warganegara untuk mendapatkan pengadilan melalui proses mahkamah yang bebas tanpa campurtangan mana-mana pihak. Tindakan mengaibkan maruah dan peribadi seseorang amat bertentangan dengan nilai Integriti.

Gerak sekali lagi mendesak agar kerajaan menumpukan usaha untuk memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat dan negara luar terhadap kebebasan dan keadilan proses perundangan di negara ini.

Sokong wanita pegang jawatan tinggi

Gerak melihat perkembangan ini sebagai suatu yang positif malahan penglibatan kaum wanita perlu digalakkan. Gerak juga berpendapat bahawa kaum wanita lebih amanah, berhati-hati dan berintegriti dalam membuat sebarang keputusan. Pendapat ini berdasarkan kebanyakan kes pecah amanah dan rasuah majoritinya melibatkan kaum lelaki berbanding wanita.

Gerak juga menolak kebimbangan sesetengah pihak terhadap fenomena ini kerana dilihat berbahaya dan boleh menjerumuskan negara kepada diskriminasi kaum wanita sepertimana yang berlaku di Negara Arab Saudi dan Iran.

Gerak menggesa pihak kerajaan agar pemilihan sebarang jawatan dibuat berdasarkan merit, nilai integriti dan prestasi kerja bukan berdasarkan gender dan kronisma. Kelebihan yang terdapat pada kaum wanita dan lelaki diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan sebuah negara yang berintegriti dan berdaya saing.

Gerak juga mencadangkan agar semua pihak memanfaatkan pandangan dan kelebihan kaum wanita dalam membuat keputusan disamping menggalakkan masyarakat membaca buku Men From Mars, Women From Venus karangan John Gray bagi memahami gaya bahasa dan kelebihan masing-masing.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily online, 26 Februari 2010)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.