Sunday, January 31, 2010

BERITA

Dolak-dalik Ku Li

Oleh Rohaniza Idris, Khairul Anuar Abdul Samad, Norliza Wasilan dan Haspaizi Mohd Zain
bminggu@bharian.com.my




Ubah pendirian isu hasil minyak dituntut Kelantan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah diselar kerana berdolak-dalik dalam isu hasil minyak di Kelantan, terutama pendirian terbarunya yang menyokong bayaran royalti dan bukannya wang ihsan.

Sambil mempersoalkan perubahan pendirian beliau berbanding ketika menjadi Pengerusi Petronas pada 1974 yang terbabit dalam perjanjian berhubung pemberian wang ihsan itu kepada Terengganu dan Kelantan, Tengku Razaleigh juga didakwa cuba bermain politik dan mahu mengelirukan rakyat Kelantan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kenyataan Tengku Razaleigh pada Khamis lalu yang mendakwa kerajaan Kelantan patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukan wang ihsan bertentangan dengan kenyataan yang dibuatnya pada Oktober 2000.

"Kenyataan Tengku Razaleigh pada 2000 itu amat nyata bahawa semua negeri di Semenanjung tidak mempunyai hak mengikut Akta Petroleum 1974, dan apabila beliau ubah pendirian dua malam lalu, ini satu perkara yang sangat mengejutkan.

"Bagaimana beliau sanggup tukar pendirian yang dilahirkannya akhir Oktober 2000 semata-mata berhadapan dengan ribuan orang," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Razaleigh mengenai isu royalti minyak yang dibuatnya ketika berucap pada majlis solat hajat dan ceramah perdana royalti petroleum di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, Kelantan pada Khamis lalu yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berita Harian terbitan 1 November 2000, melaporkan Tengku Razaleigh pada sidang media di Parlimen, berkata berdasarkan undang-undang dan pandangan ketika Petronas ditubuhkan, negeri-negeri di Semenanjung tidak berhak ke atas minyak yang dijumpai di luar kawasan kekuasaan negeri.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Terengganu tidak terlalu mempercayai tohmahan yang dilemparkan Kerajaan Pas Terengganu ketika itu, yang disifatkan sengaja menimbulkan kekeliruan berikutan tersepit dengan masalah kewangan.

Tengku Razaleigh yang menjadi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas antara 1974 hingga 1980, juga berkata, kaedah penyaluran wang terbabit tidak harus dipertikaikan kerana yang penting perubahan kaedah pembayaran itu tidak menjejaskan, malah akan memberi faedah dan menguntungkan rakyat Terengganu.

Rais berkata, bagi negeri yang memikirkan untuk membuat tuntutan ke atas royalti minyak seperti Kelantan, ia tidak berhak di bawah mana-mana Akta Petroleum kerana berada di kawasan antarabangsa yang haknya milik Persekutuan.

"Ini adalah kedudukan undang-undang antarabangsa dan juga undang-undang negara. Akta Petroleum berbeza dengan peruntukan Akta Pelantar Benua yang mana Sabah dan Sarawak tertakluk bawahnya," katanya.

"Sekiranya hendak jadi orang tengah tidak menjadi masalah, tapi saya berharap beliau tidak kemukakan tuntutan dan pandangan bagi pihak Pas dan parti pembangkang kerana beliau masih Ketua Umno Bahagian Gua Musang dan saya berharap rakyat faham keadaan sebenar," katanya.

Di KOTA BHARU, Tengku Razaleigh menyarankan supaya tuntutan royalti yang dikemukakan Kerajaan Kelantan dibawa ke mahkamah jika berasakan Akta Pembangunan Petroleum 1974 tidak dihormati.

"Kenyataan saya mengenai Kelantan layak mendapat royalti adalah berdasarkan peruntukan akta dan perjanjian itu yang ditandatangani Petronas dan kerajaan negeri dengan restu Kerajaan Pusat.

"Saya cakap apa yang diperuntukkan akta dan perjanjian yang dibuat itu yang dipakai sampai sekarang. Jika nak selesai segalanya di mahkamah, tak perlu pakai (rujuk) akta, selesai di mahkamah saja," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, semalam.

Tengku Razaleigh bagaimanapun, enggan mengulas percanggahan kenyataannya yang dibuat Khamis lalu dengan kenyataan pada sidang media di Parlimen pada Oktober 2000.

negeri di Semenanjung, layak mendapat royalti minyak berdasarkan perjanjian sama kerana kawasan pengeluaran minyak itu terletak di luar perairan negeri.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Tengku Razaleigh mengenai royalti itu sebagai sesuatu yang benar dan jelas.

(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 31 Januari 2010)













No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.