Pelajar komen isu kalimah dalam Facebook kena dakwa
Oleh Siti Nurazlinee Azmi
sitinurazlinee@bharian.com.my
MOHAMAD Tasyrif ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, semalam. |
PETALING JAYA: Pelajar Akademi Seni Budaya, Warisan dan Kebangsaan (Aswara) yang memberi komen berhubung isu kalimah Allah dan cubaan membakar gereja di laman sosial Facebook didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan berniat untuk mengganggu dan mengancam orang lain.
Mohamad Tasyrif Tajudin, 25, dituduh menggunakan aplikasi internet itu secara sedar untuk memberi komen dalam laman Facebook dengan niat untuk mengganggu orang lain dengan menggunakan akaun pengguna, Shahrul Maizam, dengan menulis "ke nak aku baling bom petrol di sana plak?... harga boleh runding..."
Pelajar tahun pertama jurusan perfileman itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah B10-17-20, Blok 10, Jalan PJS 2B/1, Desa Mentari 2, Petaling Jaya, jam 8.10 malam, 10 Januari lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan hakim yang sepatutnya mendengar kes itu, Aslam Zainuddin berada di Shah Alam untuk mengendalikan prosiding lain dan diganti dengan Majistret Ho Kwong Cin.
Mohamad Tasyrif yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berjalan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan Mohamad Tasyrif yang tidak diwakili peguam boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh bagaimanapun, ditahan sehingga 18 Januari ini bagi membolehkan kes itu disebut semula di depan Aslam.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 16 Januari 2010)
******
PATI dibendung secara holistik
PUTRAJAYA 15 Jan. - Usaha membendung kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) akan dilaksanakan secara holistik dengan menjurus aspek membentuk saringan awal yang komprehensif sebagai syarat prosedur kemasukan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, isu itu bukan sekadar berlegar di sekitar persoalan sesuatu kategori warga asing seperti pekerja, pelancong mahupun pelajar asing semata-mata.
Begitu juga, kata beliau, usaha penambahbaikan yang ingin dilaksanakan tidak seharusnya hanya menjurus kepada aspek penguatkuasaan semata-mata.
''Sejajar dengan ini, KDN akan memberi taklimat kepada Timbalan Perdana Menteri, Selasa ini berhubung cadangan gerak kerja membendung isu dan permasalahan berkaitan warga asing.
''Sebagai contoh, dalam aspek penguatkuasaan, kita didapati wujudnya keperluan segera untuk menambah baik dan memantapkan aspek penguatkuasaan melalui pembentukan strategi dan pendekatan baru mengambil kira pelbagai faktor seperti kaedah terkini pergerakan masuk dan keluar serta mobiliti PATI dalam negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Hishammuddin berkata, semua pihak perlu melihat isu kebanjiran PATI itu dalam konteks besar dengan mengambil kira kesemua kategori warga asing yang wujud di negara ini.
Pada masa sama, kata beliau, inisiatif yang digerakkan pula memerlukan komitmen semua pihak yang berkepentingan.
''Di peringkat kerajaan sahaja, pengurusan dan pemantauan warga asing melibatkan pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pelancongan, Bank Negara Malaysia dan banyak lagi.
''Penyelarasan dan usaha bersepadu dalam membendung isu ini akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Kabinet Berhubung PATI dan Pekerja Asing (JKK PATI-PA) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan KDN bertindak selaku sekretariat," katanya.
Menurut Hishammuddin, pihaknya mengenal pasti isu-isu dan permasalahan berhubung warga asing serta telah menggariskan aspek-aspek yang perlu diberikan perhatian.
''Perkara ini akan dibentangkan dalam taklimat kepada Tan Sri Muhyiddin dan kemudiannya diangkat untuk pertimbangan dalam JKK PATI-PA," katanya.
Berhubung aspek penguatkuasaan di kalangan majikan, katanya, berdasarkan statistik Jabatan Imigresen dari 2007 hingga 2009, seramai 269 majikan telah didakwa atas kesalahan berkaitan Akta Imigresen 1959/63.
Pada 2007, seramai 61 orang telah didakwa dan ini diikuti dengan 64 orang pada 2008 dan 144 tahun lalu.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 16 Januari 2010)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.