Wednesday, December 30, 2009

SAJAK


RATIB RAKAYAT

Allahu Akbar!

Tahun keramat empat puluh lima,

Suara para pejuang bangsa:

“Satu bangsa; Bangsa Melayu,

Satu Negara: Negara Melayu,

Satu bahasa: Bahasa Melayu,

Agama Islam agama Negara.



Allahu Akbar!

Gema ratib pejuang kita,

Melayu Nusantara;

Ibrahim Yaakob, Abhy, nama penanya,

Ishak Haji Muhammad, pak Sako nama mulia,

Dr. Buhanuddin Helmi beriman, takwa,

Ustaz Abu Bajkar Al Baqir pejuang Negara Islam,

Ahmad boestaman, Shamsiah Fakeh wira, seri kandi negara.



Allahu Akbar!

Melayu tak hilang di dunia,

‘Bangsa Melayu menggugat dunia,

Semua raja Melayu tentang perjuangan kita,

Tidak mahu merdeka!

Sayangkan Inggeris, kiju dan mentega.



Allahu Akabar!

Merdeka! Merdeka! Merdeka!!!

Ratib kita, jerkah kita, pekik gempita kita,

Bangsa Melayu gugat dunia,

Jihad kita, darah, daging, tulang dan nanah,

Demi bangsa kita, negara kita, Islam agama kita.



Allahu Akbar!

Empat lapan dan lima puluhan,

Tahun – tahun penjajah menggila,

Ratib mereka, ratib kita,

Bangsa kita,

Negara kita,

Bahasa kita,

Jeriji besi,

Tembok batu,

Kawat berduri,

ISA dan khemah tahanan di mana – mana,

Belenggu para pejuang bangsa kita.



Allahu Akbar!

Ratib kita, ratib ummah, ratib wali,

Bulan keramat Jun lima enam,

‘Biduk lalu kiambang bertaut’

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu,

Ratib bahasa ibunda, ratib berdaulat,

Wujud dbp gedung keramat ratib bahasa,

Ratib penulis, ratib sasterawan bangsa,

Ratib pencinta bahasa ibunda,

Bahasa Melayu bahasa negara,

Bahasa Jiwa bangsa!

Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!



Allahu Akbar!

Ratib anak Melayu setia,

Berjuang terus demi agama kita,

Sayang! Para pemimpin tidak sekata,

Ramai menganut faham asobiah,

Yahudi, Kristian dan faham menentang Allah,

Lalu Melayu bebelah - belah.



Allahu Akbar!

Tentang hukum Allah,

Kurung hamba – hamba –Nya,

Lunturkan yakin dan iktikad,

Konon, praktik hukum Quran salah,

Lalu memanjang Melayu berbalah.



Allahu Akbar!

Ratib anak Melayu setia,

Mata merenung hati waspada,

Di sekeliling kita,

Rambung, jerai bersama dendalu,

Menumpang setia di pepohon keramat,

Akibatnya, pepohon mati hilang nama.



Allahu Akbar!

Ratib Insaf, ratib waspada,

‘Si buta hilang tongkat’, ialah kita,

‘Menang sorak kampung tergadai, adalah kita,

‘Dagang merempat di bumi sendiri’, kita jua.



Allahu Akbar!

Jika Islam ditepi – tepikan,

Quran tidak jadi pegangan,

Sunnah Rasul diabaikan,

Antara azan ada suara biduan wanita,

Para remaja kita hilang arah.



Allahu Akbar!

Ratib keramat Allahu Akbar,

Kun fa yakun! firman Allah,

Iradat – Nya, Kudrat – Nya;

Sekelip mata cuma,

Melayu hilang di dunia!!!


Kota Gelenggi, ...…Mokhtar petah

·

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.