Tuesday, December 29, 2009

BERITA



Malaysia model negara Islam progresif?

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 29 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bersetuju dengan dakwaan Menteri Luar bahawa Malaysia adalah negara Islam progresif namun ianya wajar dilihat lebih mendalam dari sudut hakikat sebenar.

Mengulas dakwaan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bahawa Arab Saudi menganggap Malaysia sebagai model negara Islam progresif yang wajar dicontohi oleh negara-negara membangun lain, Mahfuz berkata, perkara itu dinanti-nantikan.

"Kita juga ternanti-nanti negara membangun mana yang beria-ia hendak mencontohi Malaysia memandangkan Malaysia kini semakin hebat pada tempat ke 56 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) setelah berada pada tempat ke 47 dalam tahun 2008," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada negara yang akan mengambil Malaysia sebagai negara contoh yang progresif melindungi perasuah malah mencalonkan perasuah dalam pilihan raya.

Mahfuz yakin negara-negara membangun yang mencari-cari model yang wajar dicontohi tidak lupa kenyataan Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa politik wang "bukan kesalahan dari segi undang-undang negara ini".

"Bukan sahaja melindungi rasuah malah menyediakan ruang-ruang untuk amalan rasuah seperti tender runding terus," kata beliau.

Malaysia juga, katanya, boleh mengemukakan apa yang berlaku dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) sebagai model runding terus yang progresif dan wajar dicontohi.

"Keengganan kerajaan Najib menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ juga boleh dijadikan model progresif yang wajar dicontohi," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Malah lebih dari semuanya, kata beliau lagi, Malaysia juga mempunyai parti pemerintah, iaitu Umno, yang boleh menjadi model progresif yang wajar dicontohi apabila bekas presiden parti itu sendiri menyatakan "Umno sudah jadi parti perasuah".

"Malah, Dr Mahathir juga menceritakan bahawa seorang bekas pemimpin kanan parti itu menyifatkan 'Umno busuk hingga ke ususnya'. Semua itu boleh menjadi model progresif yang wajar dicontohi," kata Mahfuz.

Cara para pemimpin Malaysia menangani tuduhan terhadap mereka juga boleh menjadi model progresif yang wajar dicontohi, katanya.

Walaupun dakwaan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam begitu terperinci dalam mengaitkan Najib dan keluarganya dengan Altantuya, katanya lagi, tetapi mereka memperlihatkan sikap yang begitu selamba.

"Najib menyifatkan dakwaan yang begitu terperinci itu sebagai semberono, adiknya (Datuk Mohamed) Nazim (Razak) pula berkata 'tidak ada apa-apa yang saya hendak cakap' dan yang paling hebat ialah isteri Najib, (Datin Seri) Rosmah (Mansor) berkata 'saya tidak ada masa untuk melayan mereka'.

"Memang benar-benar model negara Islam progresif yang wajar dicontohi," kata Mahfuz.


-------------------

Tun Mahathir persoal keputusan ganti jet MiG-29
Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 29 Dis: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan adakah kepentingan orang tengah mempengaruhi keputusan mengisytiharkan jet pejuang MiG-29 Tentera Udara Di-Raja Malaysia tidak dapat digunakan.

"Penjualan dan pembelian pesawat oleh kerajaan mampu memberi keuntungan besar (berjuta-juta) kepada orang tengah.

"Apakah ada kepentingan orang tengah yang mempengaruhi keputusan kondem MiG-29 untuk beli yang baru?" beliau mempertikaikan.

Beliau juga mempersoalkan, dalam keadaan ekonomi negara sekarang, mampukah ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk pesawat ganti?

"Jika kita beli ganti lagi ratusan juta diperlukan," katanya

Dr Mahathir percaya, ada cara untuk membaikpulih pesawat pejuang dan pesawat lain.

"Tak bolehkah kita baikpulih MiG-29 ini? Kalau kita tak boleh, orang Rusia mungkin boleh. Mungkin India juga boleh.

"Jika pesawat pejuang yang berharga ratusan juta hanya tahan 20 tahun, lebih baik kita tidak ada pesawat pejuang," kata beliau dalam blognya.

Beliau mengingatkan, walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah daripada buatan Amerika, tetapi wang yang banyak terpaksa dibelanja juga ratusan juta ringgit akan hilang jika pesawat yang ada diisytiharkan tidak boleh digunakan lagi.

Beliau membangkitkan, banyak negara-negara lain, termasuk India, menggunakan pesawat ini.

"Apakah mereka juga tidak dapat guna MiG-29 mereka lebih daripada 20 tahun?

"Apakah mereka sudah kondem pesawat MiG mereka seawal ini?"

Beliau juga mengingatkan, walaupun pesawat Amerika kononnya tahan lebih lama, tetapi apabila wang untuk membeli MiG-29 digunakan untuk membeli pesawat F/A-18, "akhirnya kita tahu syarat ketat yang dikenakan oleh Amerika Ayarikat".

"Mereka tidak beri "source code" yang mana ini menghadkan kegunaan F/A-18 untuk pameran sahaja," katanya.

Dr Mahathir berharap, kerajaan membatalkan keputusan untuk mengisytiharkan MiG-29 tidak boleh digunakan dan pesawat sedia ada dibaikpulih.









No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.