Larangan program luar
KUALA LUMPUR 27 Dis. - Kabinet mengeluarkan arahan tidak membenarkan anggota kerajaan dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadiri mesyuarat atau program tanpa kebenaran sewaktu persidangan Dewan Rakyat berlangsung.
Arahan itu termasuk tidak membenarkan lawatan ke luar negara oleh para menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen kecuali melibatkan program yang benar-benar penting sahaja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu berikutan 'Peristiwa 14 Disember' lalu.
Peristiwa itu menyaksikan Bajet 2010 hanya diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga undi menerusi undi belah bahagian iaitu 66 menyokong dan 63 menolak.
Selain itu menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menegaskan soal kehadiran ke persidangan Dewan Rakyat akan menjadi antara perkiraan utama bagi menentukan pencalonan semula seseorang Ahli Parlimen pada pilihan raya umum.
''Pada mesyuarat Rabu lalu, Perdana Menteri telah meluahkan rasa marah terhadap Ahli-ahli Parlimen yang gagal hadir pada malam kejadian dan sebab itu, beliau selepas ini akan bertegas termasuk memantau sendiri kehadiran mereka di Dewan Rakyat.
''Bagi kehadiran menteri, beliau (Najib) sendiri akan memantau manakala timbalan menteri oleh Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sementara Ahli Parlimen yang lain oleh sekretariat BN,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada malam 14 Disember lalu, Najib dan Muhyiddin terpaksa bergegas dari majlis di ibu negara untuk memastikan Bajet 2010 diluluskan dalam undian pada pukul 11.15 malam itu.
BN mempunyai 138 anggota di Dewan Rakyat tetapi pada malam tersebut hanya 66 orang hadir pada sesi bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan.
Selain membawa implikasi besar kepada negara jika bajet tidak diluluskan, 'Peristiwa 14 Disember' itu juga boleh menyebabkan Parlimen dibubarkan berdasarkan konvensyen atau amalan oleh beberapa negara Komanwel.
Sementara itu jelas Nazri, arahan terbaru Kabinet itu memberi mesej jelas kepada para penggubal undang-undang BN bahawa kehadiran mereka ke persidangan Dewan Rakyat tidak boleh diambil mudah pada masa depan.
Namun katanya, ia bukan bermakna Kabinet menghalang sama sekali program luar sewaktu persidangan Dewan Rakyat berlangsung kerana ia masih boleh diteruskan tetapi dengan kelulusan.
Menurut beliau, ini termasuk melibatkan lawatan ke luar negara yang boleh dilakukan dalam tempoh Dewan Rakyat bersidang tetapi mestilah melibatkan soal penting sahaja.
''Kalau yang benar-benar penting, mereka boleh lakukannya tetapi mesti mendapat kelulusan kerana BN akan bertegas dalam soal kehadiran.
''Mana yang tak penting tak akan diluluskan. Jadi aspek ini akan jadi salah satu perkiraan utama dalam menentukan prestasi Ahli Parlimen kita,'' jelasnya.
Berhubung cadangan supaya waktu persidangan Dewan Rakyat dihadkan agar tidak berlarutan ke lewat malam Mohamed Nazri berkata, perkara itu sebenarnya boleh ditentukan oleh Ahli Parlimen sendiri.
Katanya, jika mereka menggunakan masa sebenar dengan sebaiknya, maka tidak perlu mesyuarat bersambung pada sebelah malam.
''Dalam hal ini juga kita tak boleh sekat orang bercakap. Kalau nak tambah hari bersidang, lagi susah pada pandangan saya.
''Jadi, kalau ahli Parlimen rasa mereka nak balik awal, jangan bercakap panjang lebar. Itu saja,'' ujarnya.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 28 Disember 2009)
*****
Menjerit dalam api
Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
VAN yang terbabit dalam kemalangan di Parit Bunga, Jalan Muar-Tangkak mengorbankan empat beranak, malam kelmarin. |
4 beranak maut van terbakar dalam nahas selepas sambut Krismas
TANGKAK: Tidak sampai 24 jam selepas 10 orang maut dalam tragedi bas ekspres di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Ipoh, satu lagi nahas ngeri berlaku mengorbankan empat beranak termasuk tiga rentung apabila van dinaiki dirempuh dua kenderaan sebelum terbakar di Parit Bunga, Jalan Muar-Tangkak, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa yang terperangkap dalam van berkenaan dikatakan terkapai-kapai sambil menjerit meminta pertolongan, tetapi tidak sempat diselamatkan kerana api semakin marak.
Mangsa, Ong Dun Siong, 46, dan dua anak lelakinya, Zhen Hui, 10, serta Zhen Qi, 6, ditemui rentung di tempat duduk masing-masing, manakala seorang lagi anak lelakinya, Zhen Jie, 3, meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, kira-kira lima jam kemudian.
Isteri Ong, Tan Kock Yew, 37, dan seorang lagi anak lelaki pasangan itu, Zhen Li, berusia kira-kira setahun,
Seorang lagi penumpang van itu yang juga rakan Ong, Chan Chen Too, 20-an, cedera ringan.
Ong yang juga kakitangan Gereja Calvary di Jalan Kim Kee dekat sini, dikatakan dalam perjalanan menghantar rakannya dari Muar ke bandar Tangkak selepas mempengerusikan majlis sempena sambutan Krismas yang berakhir kira-kira jam 10 malam.
Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata siasatan awal mendapati
van Nissan Vannette yang dinaiki mangsa bertembung dengan Toyota Innova yang cuba mengelak sebuah Toyota Wish yang hendak membelok ke simpang kanan.
"Toyota Innova itu dikatakan melanggar bumper Toyota Wish sebelum terbabas ke kiri jalan dan bertembung dengan van mangsa dari arah bertentangan.
"Pada masa sama, sebuah Toyota Vios yang mengekori dari belakang turut melanggar van berkenaan menyebabkannya terbalik dan terbakar dipercayai akibat kebocoran tangki minyak," katanya.
Beliau berkata, Ong serta dua anaknya terperangkap dalam van yang remuk dan ditemui rentung di tempat duduk masing-masing, manakala seorang lagi anaknya meninggal dunia beberapa jam kemudian.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 28 Disember 2009)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.