Friday, December 4, 2009

BERITA

BTN sudah lama terpesong- Bekas Pengarah
|
Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 3 Dis: Biro Tata Negara (BTN) yang diwujudkan kini bukan lagi untuk menjaga semangat bangsa dan cintakan negara, sebaliknya untuk menjaga kekuatan parti Umno.

Bekas Pengarah BTN Terengganu, Rosli Abdullah memberitahu modul kursus yang diajar dalam BTN khususnya selepas tahun 1998, lebih menekankan pengukuhan peserta kursus kepada pada parti pemerintah itu.

“Pada masa yang sama, peserta kursus juga turut diajar memusuhi pemimpin parti-parti pembangkang, khususnya ulama dalam PAS, lebih bersifat perkauman dan berbagai lagi,”ujarnya lagi.

Katanya, tindakan pemimpin kerajaan Selangor yang menghalang kakitangannya menghadiri kursus dalam BTN sebenarnya satu langkah yang baik memandangkan setiap peserta akan diasak sedemikian rupa untuk memenuhi impinan kerajaan Umno dan BN.

Beliau yang pernah diamanahkan sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan BTN Pusat, itu seterusnya memberitahu, propaganda termasuk tuntutan Hindaf juga turut dicanang kepada peserta kursus berkenaan.

“Modul kursus BTN khususnya diawal era 90-an, berbeza khususnya sewaktu dibawah seliawan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut ditekankan soal pendidikan Islam.

“Sekarang ni khususnya selepas tahun 1998, kursus berkenaan bukan sahaja tidak ditekankan soal pendidikan Islam, sebaliknya lebih menjurus pada propaganda Umno, perkauman dan memburukkan ulama’ khususnya dalam PAS,”ujarnya lagi.

Sambungnya lagi, masyarakat begitu mengagumi BTN sehingga antara tahun 1991 hingga 1998 merupakan zaman kegemilangan BTN kerana modul kursus yang diperkenalkan termasuk pendidikan Islam.

Namun tambahnya, kini ianya menjadi hambar kerana lebih bersifat politik demi untuk kepentingan parti pemerintah.

Beliau yang kini Timbalan Pengarah Tabung Amanah Tok Kenali juga memberitahu, keberkesanan kursus BTN sekitar tahun berkenaan juga menyebabkan rakyat turun ke bawah akibat kesan dari reformasi yang disuntik dari semangat kursus BTN, khususnya selepas penyingkiran Anwar.

“Kini mereka ingin melakukan perkara yang sama namun lebih sistemetik demi untuk kemenangan mereka dalam pilihan raya umum akan datang,”ujarnya lagi.

Jelasnya, kursus BTN dalam tempoh lima hari amat berkesan kepada peserta kursus dengan asakan serta cara mereka menyampaikan ceramah melalui modul yang telah disediakan kepada peserta.

Jelasnya, BTN kini juga telah terpesong dari matlamat asal penubuhan iaitu untuk menguatkan bangsa Melayu itu sendiri, yang mana kini tidak menumpukan soal bangsa apa lagi agama, sebaliknya menanam semangat perjuangan Umno pada jiwa peserta kursus.

Pada masa yang sama beliau turut menyokong langkah kerajaan Selangor menghalang kakitangannya mengikuti kursus BTN bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, menurutnya kerajaan negeri itu perlu mengadakan satu medan kursus khas untuk kakitangannya memandangkan setiap kakitangan awam perlu mengikuti kursus untuk kenaikan pangkat mereka.

Menurutnya lagi, kursus khas di bawah Menteri Besar perlu ditubuhkan sebagai alternatif baru untuk kakitangannya mengikuti kursus.

Pada masa yang sama, sambungnya masyarakat perlu didedahkan tentang intipati yang terdapat dalam kursus BTN agar mereka selamanya tidak diperbodohkan oleh kerajaan khususnya yang mengaitkan hanya Umno mampu memerintah negara.

“Fahaman atau ajaran sesat ini sewajarnya dibuang dari minda rakyat kerana Pakatan Rakyat juga mampu memerintah,”ujarnya.


-----------------------


Royalti: MP PAS kemuka usul jawatankuasa khas esok
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 3 Dis: Ahli Parlimen PAS akan menghantar satu lagi usul kepada Speaker Dewan Rakyat esok bagi mencadangkan satu jawatankuasa khas di bawah parlimen dibentuk bagi mengkaji terma-terma perjanjian petroleum di antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, tindakan tersebut dibuat ekoran usul pertama membincangkan isu royalti Kelantan yang dihantar kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia Isnin lalu ditolak dalam kamar pagi tadi.

"Sudah sampai masanya satu jawatankuasa khas ditubuhkan oleh parlimen bagi mengkaji terma-terma perjanjian di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

"Bila kita guna seluruh ruang dalam parlimen berbahas tentang isu ini, Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri tetap dengan keputusan bahawa kelantan tak ada hak (royalti)," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Usul tersebut juga akan dibawa ke mesyuarat tertinggi Pakatan Rakyat petang ini untuk dibincangkan.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkifli Ahmad menghantar usul di bawah perkara 18(1) mencadangkan Dewan Rakyat merundingkan semula status pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan Negeri Kelantan.

Ini berikutan tindakan kerajaan Pusat dan Petronas yang telah melanggari terma-terma kontrak sekaligus mengingkari 'sanctity of contact' untuk membayar 5 peratus wang tunai dari hasil minyak di luar pesisir Kelantan seperti termaktub dalam Fasal 4 dalam Akta 144 Keajuan Petroleum (PDA) 1974.

Bagaimanapun usul tersebut telah ditolak dalam kamar oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi tadi.

Dzulkifli yang kesal dengan penolakan itu berkata, isu itu jelas melibatkan kepentingan rakyat, bukannya melibatkan kepentingan mana-mana parti politik.

"Kami akan terus mengangkat isu ini kerana Pakatan Rakyat mahukan isu ini terus dibawa supaya seluruh rakyat mengetahui perkara sebenar yang terkandung dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974," katanya yang juga bekas Pengarah Pusat penyelidikan PAS.

Perkara itu juga ujarnya disokong oleh pimpinan Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parimen Gua Musang.

"Tengu Razaleigh sendiri dalam kenyataanya menegaskan bahawa isu ini merupakan bipartisan, tidak melibatkan kepentingan mana-mana parti politik," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Prlimen Pokok Sena pula, Dato' Mahfuz Omar mencadangakan agar kerajaan mengadakan satu wacana ilmiah melibatkan wakil kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri serta dua orang yang masing-masing terlibat dalam membuat draf perjanjian di antara Kelantan dengan Petronas dan mendraf Akta 144 Pembangunan Petroleum 1974 ini.

"Saya mencadangkan agar kerajaan sendiri mengaturkan satu wacana intelektual yang membabitkan wakil kerajaan Pusat dan wakil kerajaan Negeri serta membabitkan dua orang yang terlibat dalam mengasaskan akta ini iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Salleh Abas,"

"Jika kerajaan tidak mampu melaksanakan (wacana) ni, ini bermakna kerajaan tidak mempunyai penghujahan yang kuat," tegasnya.
(Berita2 ini diambil dari Harakah Daily, 4 November 2009)








No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.