Wednesday, November 11, 2009

BERITA


HUB ILMU PENDIDIKAN

Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 10 Nov: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mahu penglibatan semua pihak dalam usaha menjadikan negeri itu Hub Ilmuwan Hub Pendidikan bukan sahaja kepada Malaysia tetapi bertaraf dunia pada satu masa nanti.

Bagi membincangkan matlamat tersebut secara terperinci, Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali telah merancang menjemput semua pihak termasuk NGO, pemimpin masyarakat, aktivis pendidikan, pertubuhan mahasiswa, PIBG, ADUN, Ahli Parlimen Selangor samaada daripada PR mahupun BN pada satu pertemuan 29 Disember ini.

Dalam satu kenyataan, Dr. Halimah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor berkata sedang berusaha memastikan Selangor gah bukan sahaja sebagai pusat tumpuan pendidikan malah sebagai tempat rujukan para ilmuwan di negara ini dan di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, penaiktarafan kualiti pendidikan dan sistem sokongan sedang diperkasakan.

Ianya bukan sahaja meliputi pendidikan peringkat pra sekolah, sekolah rendah, menengah sehingga universiti malah berusaha ke arah pendidikan sepanjang hayat.

Manakala sistem sokongan pula termasuk pembinaan infrastruktur dan penjenamaan semula perpustakaan dan premis pendidikan lain bagi mengoptimakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Bagi mencapai matlamat tersebut juga, Selangor ujarnya berusaha memperbanyakkan program bersifat perbincangan dan wacana ilmiah dengan melibatkan kembali pencinta ilmu yang sebelum ini 'dilumpuhkan' kerajaan sebelumnya.

"Program-program cambah fikiran, forum, dialog, seminar yang melibatkan semua 'stakeholders' yakni pimpinan masyarakat di setiap peringkat, golongan pendidik, penglibatan aktif cendiakawan-cendiakawan yang telah dilumpuhkan oleh kerajaan UMNO/BN selama ini; NGO2 dan aktivis masyarakat disedar dan digerakkan untuk menyambut seruan kerajaan untuk sama bangkit melahirkan budaya ilmu," kenyataanya dipetik.

Perancangan holistik melibatkan semua kaum ini katanya sebahagiannya telah dimulakan dan sedang dalam proses perlaksanaan secara bersepadu.

"Usaha meningkatkan kualiti pendidikan adalah meliputi pemantapan proses pengajaran dan pembelajaran yang holistik dan relevan samada secara formal mahupun tidak formal, meningkat literasi ICT di kalangan guru-guru sekolah kerajaaan negeri, program tuisyen rakyat percuma calon SPM 2009 daripada golongan berpendapatan kurang daripada RM1500; meningkatkan elaun guru-guru KAFA; program motivasi ibu bapa, pelajar, PROGRAM SPIES Pendidik; SPIES PIBG; Program Jejak Ilmuwan," ujarnya.

Hubungan dengan semua peringakat termasuk jaringan mahasiswa mula dibentuk seperti Majlis Permuafakatan PIBG, Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor dan Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Selangor.

Dakwanya, kesemua mereka sebelum ini telah dinafikan hak untuk bekerjasama secara langsung oleh Kerajaan Malaysia UMNO/BN khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia.

"Jawatankuasa Tetap Pendidikan/ Pendidikan Tinggi negeri telah menggunakan BLUE OCEAN Strategi bagi memintas sekatan-sekatan tidak demokratik dan terdesak kerajaan persekutuan yang diterajui UMNO/BN bagi membawa pelajar,guru, ibubapa, pakar pendidikan, sebagai rakyat yang telah memilih kerajaaan Pakatan Rakyat Selangor, boleh menikmati segala perancangan dan tawaran-tawaran yang telah disusunkan melalui Exco Pendidikan/Pendidikan Tinggi," tegasnya lagi.

Selangor sebelum ini sudah pun mewujudkan beberapa program bersifat kebajikan kepada rakyat seperti tuisyen rakyat , bengkel teknik menjawab soalan SPM(3500peserta) di Dewan Jubli Perak, solat hajat perdana Di Masjid Negeri(2000 peserta) dan SPIES.

Manakala kos pelaksanaan bagi menjayakan hasrat itu dijangka menelan belanja 91.2 juta ringgit pada tahun ini berbanding 700 ribu tahun lalu

------------------

RM7 bilion pelaburan di Selangor sejak Mac 2008
Harakahdaily
SHAH ALAM, 10 NOV: Sejumlah 249 projek baru dengan nilai pelaburan bernilai lebih RM7 bilion diluluskan bagi tempoh Mac 2008 hingga Julai tahun ini di negeri Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok Suh Sim berkata, daripada jumlah itu, kira-kira RM2.667 bilion terdiri daripada pelaburan tempatan manakala RM4.336 bilion adalah pelaburan asing.

“Projek-projek baru yang diluluskan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) ini mampu menyediakan sebanyak 18,166 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan di Selangor,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan M.Manoharan (DAP-Kota Alam Shah) yang mahu Kok menjelaskan jumlah kemasukan pelaburan baru di Selangor sejak pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan dari Barisan Nasional pada Mac 2008.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan pelabur asing di Selangor adalah Shah Alam yang mewujudkan 4,870 peluang pekerjaan, Klang (4,082) Pelabuhan Klang (1,404), Pulau Lumut dan Pulau Indah (655), Subang (783), Puchong (956), Semenyih (363), Banting (121) dan Kapar (477), Balakong (187) dan Kajang (340).

Kok juga berkata Selangor adalah antara penyumbang terbesar perdagangan di Malaysia iaitu melalui projek pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA.

Ketika menjawab soalan Datuk Subahan Kamal (BN-Taman Templer), Kok yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara berkata kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa strategi pada tahun ini untuk meningkatkan jumlah perdagangan di negeri ini.

Antara strategi itu adalah mempromosikan kawasan tertentu seperti Pulau Indah sebagai kawasan aktiviti perdagangan atau pun ‘trading hub’ bagi melaksanakan program berorientasikan jaringan perniagaan atau program temu suai perniagaan.

Kerajaan negeri juga menganjurkan misi lawatan penggalakan pelaburan dan perdagangan ke luar negara yang berpotensi dan penyertaan syarikat-syarikat dari Selangor dalam pameran-pameran yang dianjurkan di dalam dan luar negara.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 11 November 2009)




No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.