Permohonan Jais pindah kes Dr Asri ditolak
Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
MOHD ASRI dikerumuni wartawan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam. |
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam menolak permohonan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memindahkan kes bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menghadapi tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah, ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad turut menolak permohonan untuk menggantung prosiding perbicaraan kes itu bagi membolehkan Jais membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah.
Terdahulu, pada prosiding bermula jam 9.15 pagi, Mohd Asri, 38, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah Jais di rumah No 2, Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang Daerah Gombak, antara 8.10 sehingga 9.45 malam, 1 November lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Sebaik tuduhan itu dibacakan, peguam Mohd Asri, Kamar Ainiah Kamaruzzaman yang dibantu Jamal Mohd Lokman Sulaiman, membuat bantahan kerana mendakwa pertuduhan berkenaan terlalu luas, kabur serta tidak mengandungi butir tepat seperti disyaratkan Seksyen 80 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003.
"Sukar untuk pihak kami untuk membela Mohd Asri kerana tuduhan yang dikenakan ke atasnya tidak jelas. Apakah maksud mengajar agama Islam dan skop sebenar tauliah itu, ia terlalu luas dan umum," katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menjelaskan peguam tertuduh boleh meminda pertuduhan berkenaan apabila prosiding perbicaraan bermula nanti.
Pendakwaan dilakukan Ketua Pendakwa Syarie Jais, Abdul Shukor Abdul Hamid dan dibantu Pegawai Pendakwa Syarie Jais, Zusyarafain Yusof.
Zusyarafain sebelum itu memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, tetapi turut dibantah peguam tertuduh.
Pihak pendakwaan menjelaskan afidavit permohonan untuk memindahkan kes itu sudah difailkan pada 12 November lalu.
"Pihak pendakwaan berpendapat Mahkamah Tinggi perlu mendengar kes ini kerana ia memerlukan tafsiran undang-undang yang lebih tepat dan tafsiran hakim lebih berpengalaman.
"Selain itu, kes ini turut mendapat liputan meluas media dan tertuduh adalah individu berpengaruh di dalam masyarakat," katanya.
Jamal, yang turut mewakili Mohd Asri, bagaimanapun menegaskan format afidavit yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak menepati prosedur, selain dilakukan secara tergesa-gesa dan seperti didesak sesetengah pihak.
"Permohonan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi ini adalah penghinaan kepada mahkamah seolah-olah Hakim Mahkamah Rendah tidak layak mendengar kes ini, sedangkan mereka (hakim) yang dilantik adalah terlatih dan mempunyai tauliah serta layak membuat keputusan," katanya.
Wan Mahyuddin kemudian menolak permohonan pihak pendakwaan dengan alasan pemindahan kes hanya dibenarkan jika pendakwa mengemukakan alasan yang munasabah, di samping membabitkan kepentingan awam dan bukannya kepentingan individu.
"Mahkamah berpandangan kes ini hendaklah disegerakan perbicaraannya dan pemindahan kes hanya akan menyebabkan berlaku penangguhan yang akan membawa prejudis kepada tertuduh serta subjudis kepada mahkamah.
"Ini kerana isu pemindahan kes ini dimaklumkan dan sudah dilaporkan media terlebih dulu oleh Jais sebelum pendakwaan kes ini bermula di mahkamah.
"Dakwaan kes ini menggunakan undang-undang dan prosedur membabitkan tertuduh berpengaruh serta berprofil tinggi bukanlah alasan munasabah untuk kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.
"Ini kerana kes mengajar tanpa tauliah sudah banyak didakwa dan dikendalikan Mahkamah Rendah tanpa ada apa-apa masalah dan pihak pendakwaan perlu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mahkamah ini," katanya.
Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudian memerintahkan Mohd Asri dilepaskan menerusi bon jaminan RM3,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 5 Januari depan sebagai tarikh perbicaraan kes berkenaan. Mohd Asri dijamin dua kenalannya, Mohd Md Sadik dan Mohd Ismail Mirasa.
Sementara itu, pekarangan mahkamah sesak dengan orang ramai yang datang seawal jam 8 pagi untuk mengikuti kes itu yang berlangsung selama kira-kira 45 minit.
Antara yang hadir ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib dan selebriti Azwan Ali.
Sementara itu, Mohd Asri yang ditemui pemberita sebelum prosiding bermula, mempersoalkan tindakan Jais mendakwanya tanpa mengambil dan merekodkan keterangannya.
"Sejak saya dilepaskan dengan bon jaminan Jais pada 2 November lalu sehingga hari ini (semalam), saya langsung tidak dipanggil untuk memberi keterangan.
"Sebelum ini, saya ada diberitahu pihak Jais akan memanggil saya pada bila-bila masa untuk merekodkan keterangan saya selepas dibebaskan daripada tahanan," katanya.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 19 November 2009)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.