Tuesday, October 6, 2009

QURAN, HADIS DAN LAIN


CINTA NABI SULAIMAN


NABI SULAIMAN AS adalah seorang Rasul Allah yang bijak melakukan hubungan diplomatik dengan pemimpin negara lain. Burung belatuk telah dijadikan utusan (diplomatik)nya untuk membawa warkahnya kepada seorang ratu sebuah negara yang dia dan rakyatnya menyembah matahari. Ratu itu kemudiannya tunduk kepadanya lalu memeluk agama Islam dan berkahwin dengannya.

Dalam kitab riwayat para nabi - saya dapati kandungan kitab ini banyak cerita mengenai para nabi direka-rekakan - ada cerita tentang Nabi Sulaiman mempunyai isteri seramai tiga ratus orang yang terdiri dari wanita-wanita yang merdeka dan tujuh ratus orang gundik-gundiknya.

(Cerita nabi-nabi - Qisasul Anbia) ditulis oleh seorang ulama atau pendeta Yahudi dalam bahasa Arab. Terlalu banyak cerita di dalamnya dicampur adukkan dengan khayalan dan wawasan sehingga menjadi seperti cerita-cerita dalam hikayat Hindu –MP)

Dan Sulaiman mewarisi (kerajaan Nabi Daud dan ilmu pengetahuan dan kitab Zabur yang telah diturunkan oleh Allah kepadanya) dan dia berkata: "Hai manusia, kami telah dikurniakan Pengertian (memahami) suara burung-burung dan kami dikurniakan segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar kurniaan (kelebihan) yang nyata.

Dan dihimpunkan Allah bagi Sulaiman tentera-­tenteranya dari jin, manusia dan burung dan mereka itu dilatih dengan tertib.

Hatta apabila mereka (Sulaiman dan tentera-tenteranya) sampai dalam lembah semut, berkatalah seekor semut: "Hai semut-semut! masuklah ke dalam sarang-sarang kalian, agar kalian tidak dinjak (pijak) oleh Sulaiman dan tentera-tenteranya, dan (kerana) mereka tidak menyedari. (Nabi Sulaiman) tersenyum dan ketawa (kerana) mendengar perkataan semut itu. Dan dia berdoa kepada Allah: "Ya Allah, berilah aku ilham supaya aku tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah engkau kurniakan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang engkau redhai. Dan masukkanlah aku dengan- rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hambamu yang soleh.

Burung hud-hud (burung belatuk) menjadi pengintip dan utusan untuk membawa warkah kenabiannya kepada sesebuah kerajaan untuk menyeru mereka supaya beriman kepada Allah SwT.

Pada suatu hari, Nabi Sulaiman a.s. telah melakukan pemeriksaan ke atas tentera-tenteranya yang terdiri daripada burung-burung. Baginda mendapati dalam pasukan tenteranya itu tidak ada burung belatuk, maka Baginda naik marah kerana belatuk tidak memaklumkan kepadanya akan kemana dia pergi.

Dan dia (Sulaiman) memeriksa burung-burung ­barisan tentera burung, lalu bertanya: "Mengapa aku tidak nampak hud-hud (belatuk), adakah dia termasuk yang tidak hadir? Sungguh aku benar-benar akan mengazabkannya dengan azab yang keras, atau aku akan sembelih dia, kecuali jika benar-benar dia datang kepadaku dengan alasan yang terang.

Maka tidak lama kemudian. (datanglah burung belatuk) lalu ia berkata: "Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya, dan aku bawa kepadamu dari negeri Saba (Saba nama sebuah kerajaan zaman silam dan ibu kotanya Ma'rib yang letaknya dekat kota Sa'ibun, iaitu Kota Yaman sekarang) satu berita penting yang diyakini. Sesungguhnya aku telah dapati seorang wanita (ratu Balqis yang memerintah kerajaan Sabaiyah dalam zaman Nabi Sulaiman) yang memerintah mereka; dan dikurniakan segala sesuatu serta mempunyai singgahsana yang besar.

Aku dapati dia (ratu Balqis) dan rakyatnya menyembah matahari, selain Allah. Dan syaitan telah menjadikan mereka memandang perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalang mereka dari jalan Allah, sehingga mereka tidak dapat petunjuk. Agar mereka tidak menyembah Allah yang mengeluarkan apa yang terpendam di langit dan dibukit dan mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Allah, tiada tuhan yang disembah kecuali Dia, Tuhan yang mempunyai arasy yang besar.

Nabi Sulaiman AS merenung burung belatuk itu. Baginda sangat ingin mengetahui tentang apa yang diceritakan oleh belatuk itu kepadanya. Sebagai Rasul Allah Baginda mempunyai tanggungjawab untuk menyeru ratu Balqis dan rakyatnya supaya memeluk agama Allah dan menyembah Allah.

(Nabi Sulaiman) berkata: "Kami akan lihat adakah kamu benar atau kamu termasuk orang-orang yang berdusta.

Nabi Sulaiman a.s. percaya, bahawa kalau Baginda mengutuskan sepucuk surat cinta - cintakan kepada Allah Taala melalui kalimat yang mengajar ratu Balgis kenal akan Allah Taala, sudah tentu ratu itu akan meninggalkan perbuatan mungkarnya menyembah matahari dan memeluk agama Allah Taala. Nabi Sulaiman a.s. juga tentunya mahu melihat sendiri akan ratu Balqis itu. Pendeknya sesuatu yang dirancangkan oleh Rasul Allah itu adalah memang telah diaturkan oleh Allah Taala.

Pergi dengan (bawa) warkahku ini, maka gugurkan kepada mereka, kemudian berpaling dari mereka perhatikan apa yang mereka bicarakan.

Belatuk membawa warkah Nabi Sulaiman a.s. untuk digugurkan ke atas ratu Balqis dan orang-orangnya dalam singgahsananya.

Dia (ratu Balqis) berkata: “Hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah digugurkan kepadaku sepucuk warkah yang mulia. Sesungguhnya warkah itu dari Sulaiman dan sesungguhnya (isinya): "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang" Bahawa janganlah kalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang yang menyerah diri (sebagai orang-orang Islam tidak mensyirikkan- Allah).

Surat Nabi Sulaiman ini mempunyai mukjizat yang telah melembutkan hati manusia yang keras dan sombong. Kandungan surat itu boleh menjadikan hati ratu Balqis ingin bertemu dengan Nabi Sulaiman a.s..

Kerana kandungan surat itu mempunyai hikmat, maka ada orang-orang tertentu menggunakan ayat tersebut untuk dijadikan ilmu pengasih. Ayat itu dibaca kepada minyak wangi atau dengan menulis surat kepada wanita atau gadis yang dihajati dan apabila dia membacanya akan lembut hatinya dan mulai jatuh kasih kepada orang yang mengirim surat itu.

Saya masih ingat masa saya masih remaja, ada kawan­-kawan saya bekas dan penuntut sekolah agama mengirim surat (dengan menulis ayat tersebut dalam suratnya) kepada gadis-gadis yang mereka suka dan akhirnya mereka berkahwin dengan gadis-gadis tersebut.

Yang pentingnya setiap yang mengirim surat itu hendaklah yakin kepada Allah Taala dan tawakkal kepada Allah yang akan menolongnya.

Ratu Balqis yang telah menerima surat itu, dia memanggil semua orang besar-besarnya dan mengadakan mesyuarat. Hatinya amat kuat untuk mengikut ajakan Nabi Sulaiman itu. Sekadarkan sebagai status yang berdaulat dia harus bermesyuarat dengan semua orang besar-besarnya terrlebih dahulu. Sekiranya mereka membantah, maka dia sendiri akan melaksanakannya.

Berkatalah dia (Balqis: "Hai pembesar berilah aku pertimbangan dalam urusanku (ini) aku tidak pernah memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu menghadiri mesyuarat(ku). Orang besar-besar menjawab: “Kita adalah orang (kerajaan) yang memiliki kekuatan dan (juga) mempunyai keberanian yang sangat (dalam) peperangan dan keputusan ada dalam tanganmu, maka pertimbangkanlah akan apa yang kamu perintahkan.”

Sesungguhnya kerajaan ratu Balqis mempunyai kekuatan yang dapat mengatasi mana-mana kerajaan masa itu. Tenteranya ramai dan para hulu balangnya sukar ditandingi oleh hulubalang-hulubalang negeri-negeri lain. Tetapi ratu Balqis sedar - mungkin juga dengan hikmat surat Nabi Sulaiman AS yang mengandungi nama Allah itu hatinya menjadi gerun, gundah dan sebagainya. Lalu dia membuat keputusannya sendiri.

(Balqis) berkata: "Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki (menyerang) sesuatu negeri nescaya mereka membinasakannya, menjadikan rakyatnya yang mulia menjadi hina dan demikian pulalah yang akan mereka lakukan. Dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka (Nabi Sulaiman) dengan (membawa) hadiah dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa pulang oleh utusan-utusan itu.

Nabi Sulaiman a.s. tidak memerlukan hadiah, walau pun hadiah itu dari emas dan permata sebesar gunung sekalipun. Yang Baginda perlukan ialah ratu Balqis dan kaumnya memeluk agama Islam dan menghambakan diri kepada Allah SwT. Nabi Sulaiman a.s. yang agung itu tidak, berharapan sebarang kekayaan yang diberikan oleh manusia, kerana Allah Taala telah mengurniakan nikmat yang tidak ternilai oleh manusia kepadanya.

Ratu Balqis telah mengirimkan satu rombongan untuk mengadap Nabi Sulaiman a.s Menurut buku kisah para nabi, bahawa rombongan itu terdiri dari orang besar-besar yang membawa hadiah jongkong-jongkong emas, perak dan barang-barang yang berharga serta berpuluh orang hamba sahaya yang terdiri dari gadis-gadis cantik jelita.

Belatuk menjalankan tugasnya mengintip setiap gerak geri pihak ratu Balqis. Ketika rombongan ratu Balqis mula bergerak untuk melakukan perjalanan yang jauh menuju negeri Nabi Sulaiman a.s., belatuk membawa berita itu kepadanya. Maka Nabi Sulaiman a.s. memerintahkan orang-orangnya supaya bersedia menyambut ketibaan rombongan yang membawa hadiah dari ratu Balqis itu. Apabila rombongan itu masuk mengadap Na1 Sulaiman a.s. dan mempersembahkan hadiah-hadiah, maka Rasul Allah itu memberitahu mereka seperti firman Allah di bawah ini:

Maka tatkala rombongan (utusan ratu Balqis) itu mengadap Nabi Sulaiman, Baginda berkata: Apakah (patut) kalian menolong aku dengan harta? (Kerana) apa yang dikurniakan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang dikurniakannya kepada kalian, tetapi kalian berasa bangga dengan hadiah kalian. Kembalilah kepada mereka (ratu Balqis) sungguh kami akan menghadapi mereka dengan bala tentera yang mereka tidak berkuasa melawannya, dan kami pasti akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan-tawanan) yang hina dina.

Rombongan yang membawa hadiah dari ratu Balqis itu berangkat pulang dengan hadiah - hadiah itu. Mereka menyembahkan kata dua Nabi Sulaiman a.s.itu kepada ratu Balqis. Tetapi ratu Balqis tidak murka mendengar kata dua itu, sebaliknya hatinya rasa sayu dan rindu untuk menemui Nabi Sulaiman a.s.

Kebanyakan alim ulama berpendapat, bahawa hati ratu Balqis itu menjadi sayu dan rindu kepada Nabi Sulaiman a.s. disebabkan kandungan warkah kenabian yang telah diterimanya itu mengandungi kalimat nama Allah Taala. Cinta yang paling baik antara dua insan adalah cinta yang direstukan oleh Allah Taala.

Ratu Balqis ini adalah seorang gadis jelita. Dia mempunyai tubuh yang cantik dengan dua puntung betisnya mempunyai bulu-bulu roma yang cantik lagi indah.

Nabi Sulaiman a.s. sangat yakin bahawa dengan qudrat dan iradat Allah ratu Balqis akan datang menemuinya pada bila-bila masa.

(Sulaiman) berkata: "Hai orang besar-besar, siapa di antara kalian yang sanggup membawa singgah-sananya (ratu Balqis) kepadaku sebelum mereka datang kepadaku, sebagai orang-orang Islam (berserah diri).”

Berkata jin iprit (yang cerdik dan perkasa): “Aku bawa kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu, sesungguhnya aku gagah untuk membawanya (singgahsana ratu Balqis) lagi dapat dipercayai.

Telah berkata seorang ahli (pakar) ilmu pengetahuan tentang kita (ada ahli-ahli tafsir Quran mengatakan yang orang itu ialah Ashaf namanya): Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu (Nabi Sulaiman a.s.) berkedip. “Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu tersergam di hadapan matanya, dia pun berkata: "Ini pun termasuk kurniaan Tuhanku untuk mencuba apakah aku bersyukur atau mengingkarinya (akan nikmatNya). Dan barang siapa bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya lagi Maha Mulia. Dia berkata: "Robohlah baginya singgahsananya, maka kita akan melihat apakah dia mengenal atau dia termasuk orang-orang yang tidak mengenal.

Semua perintah Nabi Sulaiman AS itu dikerjakan oleh manusia, jin-jin dan burung-burung. Istana ratu Balqis itu telah diroboh sehingga berubah dari rupa asalnya. Di bahagian lantainya diratakan dengan batu bercahaya seperti air beriak dalam kolam dan sesiapa yang tiba ke tempat itu akan menyangka lantai singgahsana itu sebuah kolam yang berisi air.

Tidak lama kemudian ratu Balqis dan para pengiringnya sampailah ke dalam kota Nabi Sulaiman AS.

Dan ketika ratu Balqis tiba, ditanyakanlah kepadanya: "Serupa inikah singgahsanamu?" Dia (ratu Balqis) menjawab: "Seakan-akan singgahsana ini singgahsanaku, kami telah diberi pengetahuan sebelumnya (tentang kenabian Nabi Sulaiman a.s., sebelum dipindahkan singgahsananya dari negeri Saba ke Palestin dalam sekelip mata) dan kami adalah orang-orang yang berserah diri (muslimin dan muslimat). Dan apa yang disembahnya selama ini selain dari Allah, mencegahnya (untuk melahirkan keislamannya), kerana sesungguhnya dia dahulunya termasuk orang-orang yang kafir.

Dikatakan (oleh Nabi Sulaiman a.s.) kepadanya (Balqis): "Masuklah ke dalam singgahsana." Maka tatkala dia melihat lantai istana itu, disangkanya kolam air yang besar, dan disingkap (kain) kedua betisnya. Berkata Sulaiman: “Sesungguhnya ia adalah lantai licin di buat dari kaca.” (Balqis) berkata: “Tuhan, sesungguhnya aku telah berlaku zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah Tuhan semesta alam.”

Ratu Balqis yang telah jatuh cinta kepada Nabi Sulaiman a.s.telah memeluk agama Islam dan beriman kepada Allah Taala. Nabi Sulaiman juga mencintainya, maka kemudiannya, Nabi Sulaiman meminta sahabatnya, Asaf bin Barkhia membaca khutbah nikah bagi menikahkannya dengan ratu Balqis itu.(dari R.d.a.Q. -mp)

HADIS

IMAN

Rasul Allah Muhammad s,a.w. Mengumumkan: Setiap Rasul yang diutus Allah kepada sesuatu umat sebelum saya terdapat di kalangan umat mereka, ramai penyokong dan pengikut yang mengamalkan sunnah mereka dan mengikut semua perintah mereka. Setelah itu tibalah kepada golongan orang yang bercakap banyak tetapi tidak melaksanakannya dan mereka melakukan dengan apa yang tidak diperintah mereka melakukannya. Sesiapa yang berjihad terhadap mereka dengan tangan, maka adalah seorang mukmin. Siapa yang berjihad terhadap mereka dengan lidah, dia adalah seorang mukmin. Siapa yang berjihad terhadap mereka dengan hati sahaja, maka dia seorang mukmin juga. Dan tidak ada lagi selepas itu sekecil iman pun dalam hati seseorang (Islam).

- Imam Muslim.

PETUA

KEHIDUPAN SELESA

Kalau anda mahukan kehidupan yang selesa; walau tidak kaya, tetapi hati tenang dan bahagian dan kalau kaya hati tidak runsing dan gelisah, lakukanlah lima perkara ini: 1 – Tidak tinggal sembahyang. 2 – Tidak alfakan sedekah, 3 – Dengar nasihat ulama dan orang bijak pandai, 4 – Kasih sayang kepada keluarga dan kaum kerabat sertas manusia, 5 – Jauhkan dari memungut rezeki yang haram.

TAHUKAH?

MASJID

Kerana kita, sejak Tunku Abdul Rahman hingga kini berada dalam kerajaan asobiah (kebangsaan), jika diteliti; semua masjid baru di seleuruh negeri dan negara dibina dengan wang yang bercampur aduk wang halal dengan wang haram. Wang halal, iaitu Sedekah dan derma orang ramai, wang baitul mal dan sebagainya. Wang haram, iaitu hasil cukaia judi, arak, zina (denda zina dan khalwat mahkamah syariah), cukai hasil babi dan hotel (yang menjalankan perniagaan maksiat).

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.