Sunday, October 4, 2009

QURAN, HADIS DAN LAIN

(Ulangan)

MANUSIA


MANUSIA - adalah makhluk Allah yang dijadikan­-Nya dari tanah (thin). Padanya selain daripada mempunyai anggota-anggota yang telah ditentukan, maka Allah Taala membekalkan kepadanya dua asas kemanusiaan, iaitu fikiran dan nafsu. Kedua-dua unsur itu amat penting bagi manusia. Kalau salah satu dari dua asas itu tidak berfungsi, maka manusia itu tidak cukup lengkap kemanusiaannya.

Fikiran dan nafsu manusia boleh mendorongkannya kepada kebaikan - amal makruf dan mendorongkannya kepada kejahatan – amal mungkar.

Manusia yang mempunyai pelajaran dan semangat berjaya menggunakan atau mengkreatifkan otak (fikirannya) akan menjadikan dirinya manusia yang baik dan manfaat kepada dirinya, manusia seluruhnya. Manakala manusia yang mempunyai pelajaran dan semangat, tetapi tidak dapat menggunakan atau mengkreatifkan otak (fikirannya), dia akan menjadi manusia sasau, bernafsu besar dan menjadi makhluk perosak kepada manusia.

Manusia yang demikian itu kalau dia berkuasa, dia akan menjadi zalim, melakukan kejahatan, segala yang ditegah oleh Allah Taala di lakukannya dan segala yang diperintah atau disuruh di ingkarinya.

TANGGUNGJAWAB

Manusia yang dapat menggunakan fikirannya dan mengkreatifkannya boleh menjadi pemimpin manusia, tetapi manusia yang tidak berupaya menggunakan fikirannya dan mengkreatifkannya tidak boleh menjadi pemimpin manusia.

Allah Yang Maha Kuasa menjadikan manusia sulung untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin (khalifah), iaitu Nabi Allah Adam AS untuk melahirkan umat manusia di atas muka bumi ini. Mereka itu mempunyai peranan yang lebih baik daripada para malaikat dan jin, iblis dan syaitan.

Maka, hari ini kita dapat memerhatikan sendiri, bahawa dalam masyarakat manusia' wujud haiwan tetapi dalam masyarakat haiwan tidak wujud manusia. Manusia lebih suka mengikut pimpinan iblis dan syaitan daripada pimpinan Allah taala dan para rasul.

(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang (khalifah (dari manusia) di atas muka bumi’. Mereka (para malaikat) berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan khalifah (dari manusia) di atas muka bumi orang yang akan melakukan kerosakan padanya (bumi) dan menumpahkan darah, padahal kami (para malaikat) sentiasa memuji kebesaran Engkau, bersyukur kepada Engkau dan mengagungkan kesucian Engkau? Allah berfirman (kepada para malaikat): "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kalian tidak mengetahui”.

Para malaikat dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya (nur), jin, iblis dan syaitan daripada api dan manusia dijadikan daripada tanah.

Dia (Allah) yang menciptakan kamu (Adam) dari tanah, sesudah itu ditentukan waktunya dan waktu yang ditetapkan di sisi Allah, kemudian kalian masih ragu­-ragu.

Setelah Allah Taala menjadikan manusia sulung (Adam), maka diajarkan nama-nama segala benda dan gunanya.

Dan Allah telah mengajar kepada Adam akan nama­-nama segalanya, kemudian diperlihatkan semua kepada para malaikat, lalu Allah mengatakan: Sebutkan kepadaKu nama-nama semua itu, sekiranya memang kamu benar.

Para Malaikat berkata: Maha Suci engkau, kami tidak mengetahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui dan Bijaksana.

Setelah para malaikat menjawab dengan merendahkan diri dan mengagungkan Allah Taala, maka Allah Taala memerintahkan Adam:

Kata Allah: Hai Adam, Sebutkan kepada mereka (para malaikat) nama-nama semua ini. Setelah disebut oleh Adam akan semua nama-nama itu. Allah berfirman: Bukankah Aku sudah katakan kepada kalian (para malaikat), bahawa sesungguhnya aku mengetahui segala yang tersembunyi di planet dan di bumi, dan Aku mengetahui apa yang kalian lahirkan dan yang kalian rahsiakan.

PERINTAH

Manusia sulung - Adam berdiri atas nama manusia dengan kemanusiaannya. Dia taat kepada Allah SWT. Dia menunggu segala apa yang akan diperintah­kan oleh Allah Taala kepadanya. Mentaati perintah menjadi kepastian, mendurhaka tidak sekali.

Maka Allah Taala memerintahkan kepada para malaikat dan iblis supaya tunduk, iaitu tunduk kepada manusia yang mempunyai kemanusiaan dan mempunyai sifat, fikiran dan nafsu yang berlainan dari para malaikat dan iblis.

Dan ketika kami mengatakan kepada para malaikat: Tunduklah (memberi penghormatan) kamu sekalian kepada Adam, maka mereka tunduk, melainkan iblis. Dia enggan dan menyombongkan dirinya dan dia termasuk (dalam golongan) orang-orang yang tidak beriman.

Iblis menyombongkan diri dan mendurhaka kepada Allah Taala. Ia tidak mahu tunduk kepada Adam kerana Adam jenis manusia yang berlainan dari jenisnya.

Dan sesungguhnya Kami telah jadikan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, dan lumpur hitam sampai berbentuk. Dan jin telah Kami jadikan sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.

Dan ketika Allah berkata kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku menjadikan manusia dari tanah liat yang kering, dari lumpur hitam sampai berbentuk.

Dan apabila telah sempurna Aku ciptanya (Adam), dan Aku tiupkan kepadanya dari rohKu, maka (oleh itu) hendaklah kalian merendahkan diri dan tunduk kepadanya. Maka (lalu) tunduklah para malaikat (kepada Adam) semuanya bersama-sama.

Melainkan iblis (tidak tunduk), ia enggan ikut bersama­-sama malaikat yang tunduk. (Allah) berkata: Hai iblis, mengapa engkau tidak ikut bersama (para malaikat) yang tunduk? (Iblis) menjawab: Aku tidak akan tunduk kepada manusia yang Engkau jadikan dari tanah liat yang kering, dari lumpur hitam sampai berbentuk.

Di sinilah kita dapat pelajari falsafah, bahawa manusia itu walau bagaimana kuat sokongan daripada makhluk yang benar, tetapi tetap ada bangkangan daripada makhluk perosak. Walaupun manusia itu berusaha menegakkan segala suruhan Allah Taala, namun ada makhluk lain yang menentangnya.

Dalam krisis antara Allah Taala dengan iblis ini, setelah iblis memberi jawapan yang sombong dan takbur, maka Allah Taala berfirman:

(Allah) berkata: Keluar (nyah) dari sini, kerana sesungguhnya kamu terkutuk. Dan sesungguhnya engkau kena kutuk sampai kepada hari pembalasan (akhirat).

Sebaik-baik sahaja iblis mendengar firman Allah Taala menghalau dan mengutuknya , maka ia menjawab:

(Iblis) merayu: Ya Tuhanku, (kalau begitu) maka beri tangguhlah kepadaku sampai pada hari manusia­-manusia dibangkitkan.

Allah Taala Maha Pengasih dan Maha Penyayang, walaupun iblis mengingkari perintahnya - telah bersalah tetapi dilayanNya juga akan rayuan iblis itu.

(Allah) berfirman:Kalau begitu, maka, sesungguhnya kamu tergolong dalam golongan orang-orang yang diberi tangguh. Sampai kepada hari(suatu) waktu yang telah ditentukan (iaitu tiupan pertama menandakan hari kiamat).

Dialog iblis dengan Allah Taala ini berakhir dengan permohonan iblis untuk menyesat dan menjadikan manusia jahat. Tetapi Allah Taala tetap dengan Qudrat dan IradatNya.

(Iblis) berkata: Ya, Tuhan, oleh sebab Engkau telah memutuskan yang aku ini sesat, pasti aku akan jadikan mereka (manusia) memandang baik (perbuatan maksiat) di atas muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang di antara mereka tulus ikhlas. (Allah) berfirman: ini adalah jalan yang lurus, kewajipan Akulah menjaganya (Ertinya kurniaani taufiq dari Allah Taala untuk mentaatiNya, sehingga seseorang manusia itu terlepas dari tipu daya syaitan.

Dialog antara Allah Taala dengan iblis itu diterangkan juga dalam surah Al Aaraf: 11, 12, 13, 14, 15, 16, 17,dan 18. Dan Shad: 71, 72, 73, 74, 75, 76, 77, 78, 79, 80, 81,82.

Dalam Al Aaraf: 18 adalah satu doktrin dari Allah Taala yang memerintah iblis meninggalkan syurga:

(Allah) memerintahkan: Keluar dari tempat ini (syurga) sebagai makhluk terhina dan terbuang. Sesiapa di antara mereka (manusia) yang mengikut engkau tentulah Aku akan penuhkan neraka jahanam dengan kalian semua.

KEKASIH

NABI Adam a.s. yang telah diajar oleh Allah Taala dengan serba serbi ilmu pengetahuan itu - melayakkan dirinya menjadi seorang khalifah kepada umat manusia, maka Allah Taala menganugerahkan kepadanya menjadi penghuni syurga. Menurut pendapat alim ulama dan ahli-ahli tafsir Quran, bahawa Nabi Allah Adam selain dari beribadat kepada Allah Taala, Baginda menikmati keindahan dan kelazatan dalam syurga sebagai seorang insan yang lengkap dengan anggota, tenaga, fikiran dan nafsu yang meliputi nafsu seks. ­

Di dalam syurga itu Nabi Adam yang mempunyai perasaan dan naluri kemanusiaan itu sentiasa diusik oleh keinginan untuk memperoleh seorang wanita untuk menjadi kekasihnya yang sejati. Adam mengetahui tentang wanita dan kegunaan wanita bagi lelaki adalah dari ajar dari Allah Taala kepadanya.

Manusia yang tunggal. Pemuda yang bujang tentulah memerlukan seorang kekasih yang boleh dijadikan isterinya. Manusia tidak boleh berfikir dengan baik atau tidak dapat mengkreatifkan fikirannya, kalau kemahuan seksnya tidak dapat ditunaikan. Begitulah Nabi Allah Adam. Baginda seorang manusia yang mempunyai fikiran dan kemahuan seks.

Di antara keterangan-keterangan juga, bahawa Allah telah menjadikan isteri-isteri bagi kalian yang sebangsa (dari tubuh Adam dan jenisnya jua), supaya beliau dapat diam (menikmati hidup yang tenteram) bersama dengannya (isteri) serta berkasih sayang dan cinta mencintai, sesungguhnya yang demikian itu menjadi keterangan bagi kaum yang mahu mengerti.

Hai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menjadikan kalian dari diri yang satu dan daripadanya (menurut ahli-ahli tafsir Quran, bahawa Hawa dijadikan dari tubuh (tulang rusuk) Nabi Adam a.s. Allah menciptakan isterinya (Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah memperkembang-biakkan laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (memper­gunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah senantiasa menjaga dan mengawasi kalian.

Nabi Adam AS dan Hawa (wanita pertama yang dijadikan oleh Allah dari tulang rusuk Adam) menjalankan peranan kasih sayang sebagai manusia yang pertama dan yang kedua. Cinta mereka itu adalah awalan percintaan umat manusia. Cinta mereka tidak mengalami krisis, hancur dan sebagainya hingga ke akhir hayat mereka.

Dua orang kekasih - Adam dan Hawa dengan penuh kasih sayang tinggal dalam syurga. Mereka berdua menikmati segala macam kemewahan. Tetapi Allah Taala menegah mereka dari memakan pokok kayu 'Khuldi'. Allah Taala memperingatkan Adam supaya tidak melanggar laranganNya itu.

Tetapi Siti Hawa adalah wanita pertama yang diperdayakan oleh iblis dan Siti Hawa pula dapat mempengaruhi Adam dengan kasih sayangnya. Maka mereka kemudian­nya melanggar larangan Allah S.WT.

Dan kami berfirman: Hai Adam, tinggallah engkau dan isteri kau di dalam syurga dan makanlah - makanan - di dalamnya dengan sepuas hati sebagaimana kegemaran (kesukaan) kalian berdua, dan jangan dekati pohon ini, nanti engkau berdua menjadi orang-orang yang melanggar aturan.

Lalu kedua-duanya ditipu oleh syaitan dan dapat dikeluarkan dari tempat kedua-duanya duduk ketika itu, dan Kami (Allah) berfirman: Pergilah, dan sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan di bumi ada tempat tinggal dan kesenangan hidup untuk kamu, sampai waktu yang ditentukan.

Kemudian Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimat, lalu Baginda diterima semula oleh Allah, sesungguhnya Allah itu suka menerima taubat dan Penyayang.

Beberapa kalimat yang diterima oleh Adam dari Allah itu menurut kebanyakan ahli-ahli tafsir Quran ialah perkataan untuk taubat. Dan kalimat-kalimat yang telah diterima oleh Adam dari Allah itu tersebut dalam surat Al Aaraf: 23, iaitu:

Kedua-duanya berkata: Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri, dan kiranya Kau tidak memberi pengampunan dan tidak memberi rahmat, tentulah kami termasuk orang-orang yang rugi.

Allah Taala menjelaskan tentang Adam dan Hawa ditipu dayakan oleh syaitan seperti di bawah ini:

Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada kedua­-duanya, supaya dibukakan kemaluan kedua-duanya yang tertutup. Dan syaitan mengatakan: Allah melarangkan kamu berdua dari pohon ini, tidak lain supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau menjadi orong-orang yang kekal.

Dan dia (syaitan) bersumpah kepada kedua-duanya: Sesungguhnya aku ini adalah penasihat bagikaMaka syaitan memujuk kedua-duanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala kedua-duanya merasai buah pokok itu, maka nampaklah bagi kedua­-duanya aurat-aurat (kemaluan) mereka, dan mulalah mereka menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Allah menyeru mereka “Bukankah Aku telah menegah kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu: Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kalian.

Allah SWT telah menerima taubat Nabi Adam AS dan Siti Hawa. Setelah mereka berdua menerima perintah dari Allah Taala supaya turun dari syurga seperti dalam surah Al Baqarah: 36 dan Al Aaraf: 24, maka Allah Taala berfirman dengan doktrin yang muktamad, iaitu:

(Allah) berfirman: di bumi itu kalian hidup di bumi itu kalian mati dan dari bumi itu kalian akan dibangkitkan.

Menurut para ulama yang menulis riwayat para Nabi Allah, bahawa Iblis telah memperdaya Siti Hawa terlebih dahulu, kerana Siti Hawa - wanita yang mempunyai kelemahan, kemudian dengan pujuk iblis juga, Siti Hawa mempengaruhi Nabi Adam AS supaya menghampiri pokok 'Khuldi' - pokok kekal dan memakannya.

Dari kisah ini dapat kita faham, bahawa wanita mudah diperdaya ke jalan keburukan oleh iblis

(kemudian oleh suku sakat iblis dan manusia yang berupa iblis). Manakala lelaki mudah dipengaruhi oleh wanita yang dia cintai.

Walaupun tidak disebutkan dalam Quran, tetapi para ulama yakin, bahawa akibat Nabi Adam AS dan kekasihnya, Siti Hawa memakan buah 'khuldi' itu, maka setiap manusia lelaki ada buah halkum dan wanita berlaku datang bulan atau darah haid.

Kesimpulannya, walau bagaimana sekalipun tipu daya iblis kepada Nabi Adam dan Siti Hawa dan murkanya Allah Taala kepada mereka berdua, namun hikmatnya ada, iaitu dari krisis itulah maka wujud umat manusia di muka bumi ini.

CINTA

KITA mendapat pengertian daripada cinta Adam terhadap Hawa di dalam syurga. Cinta mereka itu adalah cinta manusia yang awal atau cinta permulaan dalam berjuta­-juta cinta manusia kemudiannya hingga hari ini. Cinta mereka adalah cinta suci yang tidak menjadikan mereka alpa kepada mengingati Allah Taala dan beribadat kepada-Nya.

Setelah iblis memperdayakan mereka - mereka berdua menampakkan kemaluan - maka dari detik itulah cinta manusia - cinta antara lelaki dengan perempuan mem­punyai tujuan dan matlamat ke arah seks. Timbul perasaan untuk menampung keperluan seks dan setelah mereka turun ke muka bumi ini, maka cinta dan seks mereka itu telah menghasilkan zuriat awal, iaitu Iqlima (perempuan), Qabil (lelaki), Labuda (perempuan) dan Habil (lelaki).

Sebilangan besar ulama berpendapat, bahawa Nabi Adam AS dan isterinya Siti Hawa mempunyai tubuh badan yang besar dan tinggi. Ketinggian mereka kira-kira dua puluh dua hasta atau lebih dua puluh tujuh kaki.

Dari Nabi Adam AS dan Siti Hawa wujud keturunan manusia. Hari ini umat manusia memenuhi muka bumi ini. Di antara keturunan mereka itu dilantik oleh Allah Taala menjadi Rasul-Nya seramai dua puluh lima orang, iaitu:

1. Idris alaihis Salam 13. Syuib alaihis Salam

2. Nuh alaihis Salam 14. Musa alaihis Salam

3. Hud alaihis Salam 15. Harun alaihis Salam

4. Salleh alaihis Salam 16. Daud alaihis Salam

5. Ibrahim khalilllah 17. Sulaiman alaihis Salam

6. Luth alaihis Salam 18. Ilyas alaihis Salam

7. Ismail alaihis Salam 19. Ilyasa' alaihis Salam

8. Ishak alaihis Salam 20. Yunus alaihis Salam

9. Yaakob alaihis Salam 21. Zakaria alaihis Salam

10. Yusuf alaihis Salam 22. Yahya alaihis Salam

11. Ayub alaihis Salam 23. Isa alaihis Salam

12. Zulkifli alaihis Salam 24. Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Dari beberapa buah buku (kitab) kisah para Rasul Allah telah menyatakan, bahawa setelah Nabi Adam a.s. dan isterinya, Siti Hawa diperintahkan oleh Allah Taala meninggalkan syurga dan berhijrah ke atas muka bumi ini, maka Nabi Adam a.s., telah turun di sebuah kawasan di India dan Siti Hawa di Kawasan Hijaz (mungkin di Jeddah sekarang ini).

Mereka berpisah. Masing-masing membendung perasaan cinta dan rindu antara satu dengan yang lain selama beberapa tahun. Cinta mereka sangat murni ditambahkan pula dengan kekuatan iman dan taqwa Nabi Adam a.s.. Baginda tidak pernah melupakan isterinya. Baginda terus mencari walau terpaksa mengembara sebahagian muka bumi ini. Dengan petunjuk dari Allah Taala, Nabi Adam a.s. mengembara dari kawasan India menuju ke Tanah Arab. Selama beberapa, tahun berjalan, maka bertemulah Nabi Adam a.s. dengan isterinya, Siti Hawa di suatu kawasan yang kini terkenal dengan nama ‘Padang Arafah (erti Arafah ialah kenal mengenal)’.

Padang Arafah inilah tempat melakukan ibadat wukuf oleh orang-orang Islam menunaikan fardu haji. Kalau tidak melakukan wukuf di sini, maka ibadat haji itu tidak sah (iaitu tidak diterima oleh Allah Taala).

Di bumi Mekah dan sekitarnya Nabi Adam a.s. hidup bersama isterinya Siti Hawa mendapat zuriat awal, iaitu Iqlima, Qabil, Labuda dan Habil, maka empat orang anaknya ini adalah mencipta drama cinta, iri

hati dan pembunuhan awal bagi umat manusia.

Zaman itu manusia belum ramai, maka anak-anak Nabi Adam a.s., dibolehkan berkahwin antara adik-beradik, tetapi tidak dibolehkan berkahwin antara anak-anak yang sama lahir, ertinya anak lelaki yang telah dilahirkan pertama kali dengan saudaranya yang perempuan boleh berkahwin dengan anak perempuan yang dilahirkan kali yang kedua begitu juga anak perempuan yang dilahirkan kali yang kedua boleh berkahwin dengan anak lelaki yang dilahirkan pertama kali.

Anak Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa, iaitu Iqlima lahir bersama Qabil dan Lubuda lahir bersama Habil. Iqlima seorang gadis cantik. Dia tidak boleh berkahwin dengan saudara kembarnya, iaitu Qabil begitu juga Labuda tidak boleh berkahwin dengan saudara kembarnya Habil.

Peraturan ini ditentukan oleh Allah Taala, Qabil tidak jatuh cinta kepada Labuda, sebaliknya dia telah jatuh cinta kepada saudara kembarnya, iaitu Iqlima.

Qabil telah menolak peraturan Allah Taala. Dia tetap mencintai Iqlima dan dia mahu berkahwin dengan gadis itu. Lalu perkara itu dikemukakan kepada bapa mereka, Nabi Allah Adam a.s. dan ibu mereka Siti Hawa.

Oleh kerana keadaan menjadi tegang, maka Nabi Adam a.s. menyerahkan perkara itu kepada Allah Taala dengan cara mengadakan korban seekor haiwan ternakan. Barang siapa yang korbannya diterima oleh Allah Taala, maka orang itulah dibolehkan berkahwin dengan Iqlima. Qabil dan Habil mengadakan korban masing-masing seekor haiwan ternakan. Hal ini telah diterang oleh Allah dalam Quran.

Ceritakanlah kepada mereka berita (kisah) kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika kedua-duanya mempersembahkan korban maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Dia berkata (Qabil): "Aku mesti membunuhmu (Habil). Berkata (Habil): "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban dari orang yang taqwa).

Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, kau tidak sekali-kali menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan sekalian alam.

Sesungguhnya aku ingin kembali dengan (membawa) dosa (membunuh)ku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni (banduan) neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim.

Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, Maka jadilah dia seorang dari orang-orang yang rugi.

Kejadian Qabil membunuh Habil adalah pembunuhan kerana perempuan yang awal dalam sejarah kemanusiaan. Pembunuhan itu juga dapat kita lihat adalah dari perasaan cinta yang amat tinggi kepada seorang wanita, didorong oleh hawa nafsu dan di luar kemanusiaan.

Apabila Qabil telah berjaya membunuh saudara kandungnya, Habil, maka dia menjadi bingung. Dia tidak tahu bagaimana hendak dilakukan kepada mayat saudara kandungnya itu. Dia tidak dapat berfikir untuk menanam ke dalam bumi atau sebagainya. Maka Allah Taala telah mengajar Qabil menerusi burung gagak:

Kemudian Allah menyuruh seekor gagak menggali- gali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana dia dapat menanam mayat saudaranya. Berkata Qabil: Sungguh celaka aku, mengapa aku tidak dapat berbuat seperti burung gagak itu, tentu aku dapat menanam mayat saudaraku ini? Kerana yang demikian, jadilah dia seorang dari orang-orang yang menyesal.

Kita tentu bertanya, mengapa Allah Taala menyuruh gagak memberi petunjuk kepada Qabil? Di sinilah hikmat Allah yang mesti kita akui, bahawa walaupun manusia lebih tinggi martabatnya dari unggas, lebih-lebih lagi gagak, tetapi kerana kejahilan, manusia harus belajar walaupun dari makhluk yang rendah kedudukan dari dirinya.

Setelah melakukan seruan-seruan kepada anak-anak dan cucu cicitnya supaya taat kepada Allah dan setelah cukup penuh dengan peribadatan, cinta kasih kepada isteri serta menikmati seks yang diredhai Allah Taala,

maka dalam jangka masa usianya seribu tahun, Nabi Adam a.s. pun wafat. Ada riwayat mengatakan Nabi Adam a.s. wafat di bumi India, iaitu Hindustan dan ada pula riwayat yang mengatakan Baginda wafat di bumi Mekah. Salah satu bukti Junjungan wafat di Mekah, bahawa kawasan itu dulunya terkenal dengan nama 'Bakka' yang bererti ‘menangis’, iaitu tangisan manusia kerana Nabi Adam a.s. wafat.

Sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari ada menyebutkan: Sesungguhnya Allah telah menjadikan Adam pada hari Jumaat, bertaubat kerana makan buah khuldi pada hari Jumaat, turun ke muka bumi pada hari Jumaat dan wafat pada hari Jumaat.

Siti Hawa meninggal dunia setahun kemudian di Juddah (Jeddah) iaitu berdekatan makam Nabi Adam alaihin salam.

KEMANUSIAAN

Pengumuman Allah Taala kepada para malaikat dan iblis tentang akan dijadikan manusia khalifah di atas muka bumi, telah dibuktikan dengan peranan Nabi Adam a.s. memimpin umat manusia di muka bumi ini. Adam mempunyai keturunan hingga hari ini.

Di dalam Quran, Allah telah mengemukakan kenyataan- kenyataan tentang kemanusiaan-manusia yang baik dan manusia yang jahat. Panduan dan tunjuk ajar kepada manusia. Dibimbing-Nya manusia untuk menggunakan jasmani dan rohani.

Berikut ini adalah kenyataan-kenyataan Allah Taala tentang manusia dan kemanusiaan:

Dan sesungguhnya kami memberi dengan sesuatu perubahan kepada kalian, seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Kemudian sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada syahwat (apa-apa yang diingini), iaitu wanita-­wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, haiwan-haiwan ternakan dan sawah ladang, itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik.

Begitulah kami adakan di tiap-tiap negeri penjahat­-penjahat yang terbesar agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu. Dan mereka tidak menipu-dayakan, melainkan menipu dayakan diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak menyedarinya.

Sesungguhnya Allah tidak hendak menganiaya manusia sedikit pun, tetapi manusia itu yang menganiayai diri mereka sendiri.

Sesungguhnya kami telah teguhkan kekuasaan kalian di muka bumi ini, dan kami jadikan di sana lapangan kehidupan kalian, (namun) sedikit benar yang bersyukur.

Banyak lagi kenyataan-kenyataan Allah Taala dalam Quran tentang manusia. Semua kenyataan itu menjadi panduan dan teladan bagi setiap orang yang berakal dan bertaqwa.

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.

Semenjak zaman Nabi Adam AS sampai kepada zaman ini dan mungkin kepada zaman di muka, bahawa kebanyakan manusia-manusia di dunia ini telah tidak bersyukur kepada Allah Taala yang telah menjadikan mereka. Allah Taala yang telah memberi nikmat kepada mereka. Manusia tidak sahaja bersyukur kepada Allah Taala bahkan mereka bersifat takbur dan menentang segala perintah Nya menolak suruhanNya dan melakukan segala laranganNya.

Sama ada manusia yang beragama Islam mahupun yang tidak beragama Islam, mereka telah menjadi bongkak di atas bumi Allah Taala ini. Mereka berperang dan bermusuhan sesama sendiri. Menipu dan menganiaya sesama manusia.

Menindas dan menzalimi manusia dengan mengguna­kan kuasa ditangan. Membunuh dan memerangi manusia dengan senjata-senjata. Dan mereka menjadikan manusia seperti haiwan.

Ada yang dianugerahkan oleh Allah Taala untuk menjadi pemimpin ke atas umat manusia, tetapi dengan kuasa di tangan dan dengan kedudukan serta kemewahan hidup mereka melakukan segala kejahatan dan maksiat.

Ada negara-negara yang dikuasai oleh orang-orang Is­lam tidak menjalankan hukum atau undang-undang yang ditunjukkan oleh Allah dalam Quran. Mereka menggunakan undang-undang ciptaan manusia. Kalau ada kelompok orang-orang Islam mengemukakan pandangan kepada mereka supaya menggunakan hukum atau undang­-undang dari Allah Taala, mereka menolak dengan suara lantang dan menyifatkan undang-undang itu tidak sesuai bagi manusia zaman kini.

Manusia menolak Islam untuk dijadikan pimpinan negara, sebaliknya mereka mengambil undang-undang atau peraturan-peraturan negara yang diciptakan oleh manusia seperti kapitalisme, sosialisme atau komunisme untuk dijadikan pimpinan negara dan rakyat. Sungguhpun pimpinan itu pada mata kasar kelihatan kerajaan atau pemerintah berjalan dengan stabil, rakyat makmur dan pendeknya tidak berlaku kebuluran, tetapi pada hakikatnya negara-negara di bawah pimpinan tersebut para pemimpin dan para pemikul tanggungjawab ke atas negara itu berpenyakit jiwa, rakus, banyak yang menyeleweng dan tidak terlepas daripada segala macam kemungkaran.

Amerika Syarikat sebagai contoh. Negara itu mengamalkan kapitalisme dan membangga mencapai keadilan di bawah semangat demokrasi, tetapi dari pemimpin tertingginya hingga kepada rakyatnya menderita jiwa, rakus dan saban waktu seolah-olah mencari jalan untuk menindas orang lain dan memusnahkan negara-negara lain yang tidak sehaluan dengan mereka.

Kita ketahui benar, Vietnam Selatan, Libya dan Iraq di antara negara-negara yang menjadi mangsa tangan zalim Amerika Syarikat. Nyaris-nyaris Korea Selatan dan Korea Utara berperang akibat daripada muslihat kapitalisme Amerika Syarikat.

Negara-negara yang terhimpit di bawah kekuasaan orang-orang yang menganut fahaman kebendaan seperti komunisme dan sosialisme mengalami nasib yang sama seperti di bawah kekuasaan Amerika Syarikat. Contohnya Bosnia.

Jangan, sesungguhnya manusia itu bertindak melanggar batas. Disebabkan dia melihat dirinya serba cukup (disebabkan kekayaan, kedudukan dan kekuasaan).

Percayalah, negara mana sekalipun tidak akan menjadi aman, bahagia dan sejahtera. Para pemimpin dan rakyatnya tidak aman dan damai selagi tidak mengambil hukum atau undang-undang dari Allah sebagai peraturan negara dan rakyatnya.

Dunia tidak akan kembali aman dan damai selagi manusia membelakangi ajaran dan hukum Allah Taala. Dunia akan menjadi medan peperangan, manusia dan harta benda menjadi mangsa peluru dan bom selagi manusia berpegang kepada bimbingan kebendaan - kapitalisme, sosialisme, komunisme dan sebagainya. Dan keadilan dan keamanan dunia jangan diigaukan selagi demokrasi cara Yahudi dan Nasrani menjadi amalan manusia sejagat.

Negara-negara di dunia ini antara satu dengan yang lain adalah berjiran, maka di antara negara dengan negara mestilah ada sikap atau perasaan hormat menghormati. Apabila sikap atau perasaan ini telah wujud, maka sikap tindas menindas, memerangi negara orang lain, menjajah negara jiran atau menzaliminya tidak wujud lagi.

Nabi Muhammad s.a.w. telah merakamkan dalam ‘Piagam Madinah - piagam mengikat perdamaian antara penduduk-penduduk Madinah al Munawwarah, dalam fasal 40 yang bermaksud: ‘Bahawa jiran tetangga hendaklah diperlakukan sebagai diri sendiri, tidak boleh dilakukan terhadapnya sebarang bahaya dan juga dosa.

Manakala dalam fasal 42 pula bermaksud:

Bahawa apa jua kemungkaran (bunuh) atau apa juga pertengkaran di antara sesama peserta Piagam ini (Piagam Madinah) sekiranya dikhuatiri membawa kepada bencana maka hendaklah dirujukkan kepada hukum Allah dan kepada penyelesaian oleh Muhammad, Pesuruh Allah dan Allah menyaksikan kebaikan isi kandungan piagam ini dan merestuinya.

Siapakah di antara pemimpin-pemimpin dunia dan pemimpin-pemimpin dari orang Islam yang bersedia kembali kepada 'Hukum Allah'? – (RDaQ.mp)

HADIS

BERADA D DUNIA

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Saya berada di dunia ini ibarat orang berjalan di tengah panas lalu singgah berteduh sebentar di bawah sepohon kayu yang rendang, setelah berehat seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia dari pohon itu dan meneruskan perjalanannya.

- Perawi: Ibnu Masu’ud.

PETUA

MAKANAN

Untuk menjadikan anak – anak anda manusia – manusia yang baik, terang hati, berpengetahuan dan taatkan Allah, maka, jagalah ketika anda hendak memakan makanan – kering dan basah - ; elak dari memakan makanan haram ( termasuk hasil rasuah, harta anak yatim dan rompakan). Jika tidak menjaganya, anda akan memikul beban; anak –anak derhaka, ketagih dadah, lebih cenderung kepada maksiat dan derhaka kepada Allah.

TAHUKAH?

PEMBOHONGAN


Di mana - mana negara di dunia ini, sama ada pemimpin pemertintah atau kerajaan mahu pun pemnimpin parti pembangkang, melakukan pembohongan yang besar (dirasakan tidak bersalah atau berdosa) adalah pada waktu – waktu berkempen dalam pilihan raya.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.