Mokhtar Petah
Aku mengakui, sesunguhnya anggota-angota tentera anti Jepun – Malayan People’s Anti – Japanese Army (MPAJA) atau Tentera Anti-Jepun Rakyat Maslaya (TAJRM) dan Parti Komunis Malaya (PKM) yang terdiri dari oprang-orang China dan kaum-kaum lain tidak zalim seperti yang dilaung-laungkan oleh penjajah Inggeris Jepun dan Amerika. Mereka hanya telah membunuh orang-orang yang menentang mereka, menjadi tali barut Jepun dan penjajah lain.
Sebenarnya yang telah melakukan kezaliman kepada rakyat di seluruh Tanah Melayu, ialah askar-askar Jepun dan orang-orang China tentera Guomindang ( Parti kebangsaan Rakyat Cina) yang dipimpin oleh General Chiang Kai-Shek(Jiang Jie Shi:1887-11975) yang telah diseludup masuk ke Tanah Melayu oleh Central Intelligence Agency (CIA) melalui Siam dengan tujuan untuk memburuk-burukkan anggota – anggota Parti Komunis Malaya (PKM) supaya orang-orang Melayu terutamanya, bencikan orang-orang China dari parti tersebut.
Askar-askar Guomindang (Kuomintang) itulah yang telah mempengaruhi orang-orang China supaya memusuhi orang Melayu dan membunuh mereka. Perkara itu telah diketahui oleh pihak British kemudiannya apabila seorang askar Guomindang telah dapat ditangkap di Johor. Kerana kebanyakan ahli-ahli Parti Komunis Malaya terdiri daripada pemuda-pemuda Cina pekebun sayur dan buruh lombong yang tidak berpelajaran, maka mereka telah terepengaruh dengan propaganda orang-orang Guomindan untuk membunuh orang-orang Melayu.
MANGSA KEKEJAMAN
Abang saudaraku, Abdullah Kuak telah dibunuh bersama dua orang lagi di Jiran China Lenggong. Adiknya Abdul Rahman bersama isterinya, Aishah binti Haji Mohd.Zain telah diculik sekumpulan orang-orang China dari rumah mereka di Kampung Ngor pada waktu malam dan di bawah ke dalam banjaran gunung Bintang Hijau. Mayat mereka telah tidak dijumpai.
Orang-orang China askar Guomindang telah membunuh lebih tiga ratus orang lelaki, perempuan dan kanak-kanak di kampung Bekor,[1] Manong dekat Kuala Kangsar. Sampai kini batu-batu nisan menandakan pusara-pusara tempat bersemadinya mangsa-mangsa kekejaman orang-orang China itu masih berceracak di bawah rumah – rumah dan di sekitar kampung tersebut.
’Orang Tionghua yang lari dari Pusing (dekat Ipoh) itu telah membentuk kumpulan bersenjata dan mara menyerang Bekor. Di Bekor, seorang anggota parti Melayu bernama Harun (nama samaran masa itu, saya tak ingat nama rasminya) cuba menyekat orang Tionghua itu di kepala sebuah jambatan. Beliau mendepa kedua-dua belah tangannya Sambil menyeru kumpulan orang Tionghua itu supaya bersabar dan berhenti menyerang. Harun berkata: ”Saya rela mati di sini jika kamu tak mahu mendengar.” Kumpulan orang Tionghua itu terus merempuh masuk dan menetak beliau hingga mati. Harun adalah kader Melayu PKM yang bertanggungjawab atas kerja massa di Bekor dan kawasan-kawasan sekitarnya. Beliau dihormati oleh orang Melayu dan orang Tiongkua di kawasan tersebut.
MEMBAKAR MASJID
Selanjutnya kumpulan orang Tionghua itu terus menyerang orang Melayu di Bekor, membakar masjid, rumah dan harta benda. Saya berasa teramat sedih mendengar berita malang itu dan terasa menyesal yang amat sangat kerana tidak dapat pergi ke Pusing menyelesaikan hal itu seperti yang telah saya lakukan di Teluk Anson.
Selepas tragedi itu, Dr Burhanuddin Al – Helmy dan beberapa pemimpin PKMM pergi ke situ untuk memberi penerangan kepada orang ramai. Yang peliknya, mengikut Dr Burhnuddin Al – Helmy, tidak ada pasukan parang panjang di Bekor. Rupa-rupanya pasukan parang panjang yang dimaksudkan itu adalah sejumlah anggota Pasukan Force 136 bersama beberapa orang lain melakukan pembunuhan ke atas orang-orang Tionghua. Dengan itu kami mendapati bahawa peristiwa itu adalah sengaja dilakukan oleh penjajah British.’ [2]
Orang-orang China dari Kuomindang juga telah membunuh ramai orang-orang Melayu dalam kawasan Sungai Manik dekat Teluk Anson, Perak dan di Batu Pahat, Johor.
SENJATA GHAIB
Kerana orang-orang Melayu tidak tahan lagi menderita dibunuh dan disiksa oleh orang-orang Cina, maka wujudlah beberapa kumpulan orang Melayu yang diketuai oleh beberapa orang Sheikh parang panjang di beberapa tempat, di Tanah Melayu. Di antara mereka itu Sheikh Othman - cincin tembaga (Taiping), Sheikh Idris – tangkal kulit kambing putih (Kuala Kangsar), Tok Janggut – ilmu ratib dan senjata ghaib (Tanjung Rambai, Grik) dan Kiyai Salleh – mandi minyak, Batu Pahat.
Pada masa parang panjang aku masih belum remaja, tetapi aku telah turut belajar ilmu tersebut, iaitu ilmu menghadang musuh, ilmu kebal, ilmu ghaib dan sebagainya. Semua ilmu itu diamalkan dengan cara wirid nama-nama Allah, ayat-ayat Quran. Aku telah tiga kali mandi minyak panas (minyak panas menjadi dingin waktu kami memasukkan tanganku ke dalam minyak yang mengelegak dalam kawah). Aku juga pernah diuji, iaitu ditembak dengan senapang dan pisatul pada belakangku, tetapi dengan kuasa Allah kulit tubuhku tidak tembuk atau tercalar.
Bapaku adalah salah seorang dari pembantu-pembantu para sheikh parang panjang itu. Dia boleh mengeluarkan beratus-ratus bentuk cincin tembaga dari sebuku keminyan sebesar kepala lutut orang dewasa. Cincin-cincin itu kemudiannya dipakai oleh mereka yang mengamalkan ilmu parang panjang tersebut..
GADIS MELAYU
Pada satu hari bapaku dengan berpakaian seluar dari kain khaki, kemeja putih dan baju kot (over coat) dari kain khaki juga telah pergi ke bandar Kuala Kangar kerana urusan seorang penduduk kampungnya. Pada waktu dia hendak pulang, setibanya di stesen bas bandar itu, telah berlaku satu kejadian seorang anggota mata-mata gelap, seorang lelaki Cina mengganggu seorang gadis Melayu.
Ayahku telah memarahinya. Kerana bapaku telah mengganggunya, maka mata-mata gelap itu dengan marah dia telah menerkam bapaku dan cuba hendak menumbuknya dengan cara kuntau Cina, tetapi bapaku telah mengelak.
Setelah beberapa kali mata-mata gelap itu hendak menumbuk dan menendangnya, bapaku telah melepaskan penumbuknya ke muka mata-mata gelap itu. Dia telah mengundur beberapa langkah ke belakang dan telah menembak dua das ke dada bapaku dengan pistol automatiknya. Baju kot (over coat) dan baju kemeja di badan bapaku telah berlubang-lubang pada bahagian dadanya kerana ditembuskan oleh peluru-peluru pistol itu, tetapi kulit dada bapaku tidak luka sedikit pun.
PARTI KOMUNIS
Pada satu malam, bapaku bersama enam orang rakannya yang mengamalkan ilmu parang panjang telah berjaya membunuh – dengan memancung leher -, dua belas orang lelaki China ahli Parti Komunis Malaya (PKM) atau orang-orang Kuomintang yang sedang berkhemah di satu tempat, di tepi Sungai Perak.
Bapaku telah diberitahu oleh seorang penduduk di tepi Sungai Perak, bahawa ahli-ahli Parti Komunis Malaya (PKM) itu telah menyamun tiga kekuarga di sana. Mereka telah merampas wang dan barang-barang kemas. Khabar yang tidak jelas, kononnya pengganas-pengganas itu telah merogol dua orang perempuan muda dari keluarga-keluarga yang telah menjadi mangsa samun mereka.
Bapaku dan rakan-rakannya telah menyerang pengganas-pengganas itu. Kemudian mereka telah mencampakkan semua mayat tersebut bersama senjata-senjata mereka ke dalam Sungai Perak.[3]
’Di kalangan orang-orang Melayu sendiri sebenarnya kecurigaan terhadap kaum Cina sudah wujud sejak bermulanya gerakan komunis dan PKM. Penolakan orang-orang Melayu terhadap PKM banyak bertolak daripada ideologinya sendiri yang bersifat atheisme atau anti –Tuhan. Oleh kerana PKM itu sendiri sehingga tahun 1941 di anggotai oleh kaum Cina, maka dengan sendirinya dianggap yang kaum Cina itu sinonim dengan Komunis. Dengan itu bilamana tertubuhnya MPAJA, dengan sendirinya sikap anti – Komunis itu menjadi sikap anti –Cina.
Kemuncak dari konflik perkauman ini berlaku sebaik sahaja tamat peperangan dan penyerahan tentera Jepun pada tahun 1945. Sejak dari masa penyerahan ini sehingga kedatangan British Military Administration (BMA), iaitu tempoh kekosongan kuasa selama dua tiga minggu, berlakulah apa yang disebut sebagai ’reign of terror’, iaitu pemerintahan kejam oleh gerila MPAJA atau Bintang Tiga. Pada masa inilah berkuasanya pistol dan pisau yang menjadi mangsanya, ialah orang-orang Melayu.’[4]
Pada waktu aku menulis buku ini, aku masih berpegang kuat pada keyakinanku, bahawa tidak dapat dielakkan akan berlaku perkelahian antara kaum pada masa akan datang sekiranya antara penduduk-penduduk yang berbagai kaum di negara ini masih ada sikap merebut atau memonopoli habuan dalam ekonomi, tipu daya ke atas orang-orang Melayu, memandang rendah kepada anak watan, menghina atau mempersendakan agama Islam, menuntut hak penggunaan bahasa mereka dan menolak atau memperkecilkan bahasa Melayu.
GENERASI BARU
Kita tidak menolak akan jatuh dan bangun sesuatu bangsa di dunia yang mungkin berlaku pada hari- hari mendatang atau beberapa tahun di muka. Mungkin orang-orang pendatang di negara ini berjaya memperkotak-katikkan bangsa Melayu kerana mereka serba mampu, tetapi tindakan itu mengundang kebangkitan dari generasi baru bangsa Melayu yang bepegang kepada agama Islam terutama ’akidah dan jihad’ yang akan memusnahkan kemungkaran mereka itu dan membangun semula bangsa Melayu dan agama Islam.
Jika di kalangan orang-orang keturunan pendatang di negara ini ada nafsu untuk melakukan sepereti di atas, maka berertilah mereka itu seperti orang-orang mengali kubur untuk diri mereka sendri sahaja.
Pada masa silam, penjajah-penjajah British, Amerika, Jerman, Belanda dan bangsa-bangsa lain telah menjajah dan menindas bangsa-bangsa di sekluruh dunia, tetapi sekarang bangsa-bangsa yang tertindas itu telah bangun sebagai manusia-manusia yang bebas dalam negara mereka yang merdeka.
KELINGKING BERKAIT
Semua kaum di negara ini akan dapat hidup aman damai, sekiranya orang-orang Islam berpegang kepada doktrin dari Allah dalam al Quran, iaitu, ’...hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.’[5] Kaum-kaum lain pula tidak bermain dengan sentimen perkauman, bahasa, politik dan agama dan bernafsu untuk merampas hak atau menjajah atau tidak bersikap ’telunjuk lurus kelingking berkait’.
Jepun telah menerima pengajaran atas kezalimannya terhadap umat manusia; pada 6 Ogos 1945 kapal-kapal terbang perang Amerika Syarikat telah menggugurkan bom atom ke atas bumi Hiroshima. Tiga hari kemudia, iaitu pada 9 Ogos Nagasaki pula telah digugurkan bom Atom. Akibatnya Maharaja Jepun sendiri telah mengaku menyerah kalah kepada pihak Berikat – Amerika Syarikat dan sekutunya.
Pada 2 September 1945 Jepun telah menandatangani surat prjanjian menyerah kalah dengan tidak bersyarat kepeda General Mac Arthur bagi pihak Berikat. Dengan pengakuan yang menjadi catatan sejarah dunia itu, maka Jepun telah menyerahkan semula Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura kepada penjajah British.
MENYERAH KALAH
Pada 12 September 1945 pemerintah tentera Jepun, General Itogaki telah menandatangani surat perjanjian menyerah kalah dengan tidak bersyarat kepada Lord Lois Mountbatten Pemerintah Tertinggi Tentera British bagi pihak Berikat di bangunan Municipal Singapura (Syonanto) dan telah disaksikan oleh pegawai-pegawai tinggi tentera ke dua belah pihak.
Sekali lagi Semenanjung Tanah Melayu dijajah oleh penjajah British. Hasrat orang-orang Melayu untuk memerdekakan Tanah Melayu setelah Jepun menyerah kalah telah tidak berhasil, kerana Allahyarham Tun Abdul Razak dengan Askar Wataniah Force 136 telah mengundang pihak Britisah (Cpt John Davis) supaya kembali segera untuk memerintah semula Tanah Melayu.[6]
Askar Wataniah Force 136 dipimpin oleh Cpt. John Davis bekerjsama dengan dengan kumpulan gerakan bawah tanah, Kuomintang, di tanah Melayu yang dipimpin oleh Lim Bo Seng.[7]
IKATAN KERJASAMA
‘Kapten Davis (John Davis) ini masuk menyeludup ke Malaya ketika pendudukan fasis Jepun, melalui laut, iaitu dengan menaiki kapal selam. Dia membuat ikatan kerjasama dengan PKM dan membantu melengkapkan persenjataan gerila Malayan People Anti –Japanese Army (MPAJA). Maka banyaklah kelengkapan ketenteraan yang dihantar melalui udara dan dipayung – terjun ke hutan-hutan tempat gerila bergerak.Ada senjata yang kita serahkan kepda Force 136 yang diketuai oleh Kapten Davis ini, ada pula yang dapat disorok, untuk kegunaan sendiri oleh MPAJA.
Jadi Kapten Davis kenal rapat dengan kawan Chen Ping, lagi pula dia pandai bercakap bahasa China. Jadi beliaulah menjadi pengawal kami dari Kelian Intan ke Baling.’[8]
Askar Wataniah Force 136, dianggotai oleh orang-orang Melayu berpendidikan Inggeris dan pro British. Manakala gerila-gerilanya terdiri daripada orang-orang Melayu di kampung-kampung yang kurang pelajaran dan tidak faham percaturan politik dan apa tujuan pasukan itu.
PEMIMPIN REVOLUSI
Askar Wataniah Force 136 adalah pasukan khas membantu penjajah Inggeris menentang Jepun dan sekali gus menjadi satu tenaga yang membantu penjajah tersebut menjajah semula Semenanjung Tanah Melayu selepas Jepun menyerah diri.
Sebelum Jepun menyerah kalah, IbrahimYaakob, Dr Burhanuddin Helmi dan Ishak Haji Muhammad telah berjanji dengan Pemimpin Revolusi Rakyat Indonesia, Ir Soakrno dan pembantunya Dr Mohd.Hatta di sertai pegawai tentera Jepun dalam satu pertemuan di rumah Free Masonari (rumah hantu) di Taiping, pada 12 Ogos 1945, akan mengistiharkan kemerdekaan Tanah Melayu serentak dengan peristiharan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945.
’Pada bulan September 1945 Inggeris telah menguat-kuasakan pemerintahan British Military Administration (BMA) ke seluruh Semenanjung dan pulau-pulau Negeri Melayu. Teraju pentadbiran ini pada waktu itu berpejabat di Singapura.
KERAJAAN INGGERIS
Encik Ibrahim Yaakob dalam tahun 1945 juga telah meninggalkan Tanah Semenanjung ini kerana dia menajadi orang buruan kerajaan Inggeris yang percaya Ibrahim Yaakob seorang yang berpengaruh dalam perjuangan menentang penjajah.[9]
Dalam pemerintahan British Military Army (BMA), semua penduduk kampung dan seluruh daerah Kuala Kangsar menderita kelaparan. Tiga hari aku dan kawan-kawan serta orang-orang kampung telah pergi mengambil beras dari lori-lori askar British dan Gurkha. Beras itu diberi percuma kepada orang-orang kampung, kira-kira segantang untuk sebuah rumah. Kami menamakan ‘beras tembi’, kerana pada waktu menunggu untuk mendapatkan beras daripada askar-askar Brirtish itu terpaksa bertolak-tolak dan bertembi-tebi sesama kami.
Pada masa itu, walaupun aku masih murid sekolah rendah, tetapi aku rasa yang diriku dan orang-orang Melayu telah dihina oleh askar-askar British(orang Inggeris dan Gutkha) itu. Mereka askar-askar penjajah telah menghina rakyat-rakyat yang menderita kelaparan akibat dari kezaliman penjajah Inggeris sendiri.
SEKOLAH INGGERIS
Aku bersama kawan-kawanku telah menyambung semula pelajaran kami setelah terhenti sekian lama. Dalam peperiksaan yang telah diadakan, aku telah berjaya menduduki bangku darjah iv. Aku adalah di antara murid-murid yang telah dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah Inggeris, Clifford School, Kuala Kangsar.
Datuk dan bapaku tidak setuju aku melanjutkan pelajaran ke Clifford School kerana sekolah itu mengajar pelajaran bahasa Inggeris dan tidak ada pelajaran agama Islam. Mereka berpendapat, kalau belajar bahasa Inggeris sahaja dan tidak belajar agama, aku akan mudah menjadi orang yang beragama Kristian (orang kafir) atau berperangai seperti orang Kristian.
Aku telah menolak tawaran itu kerana aku berminat untuk belajar di sekolah Arab (agama Islam). Selain dari hajatku itu, ialah sebab-sebab seperti berikut:
* Datuk dan bapaku beranggapan, kanak-kanak Islam yang belajar di sekolah Inggeris sebelum belajar ilmu agama Islam, terutama ilmu tauhid (ilmu mengenai keesaan Allah)akan mudah terpengaruh kepada agama Kristian orang atau berperangai seperti orang-orang Kristian.
* Guru agama, Sheikh Nawawi menasihatkan aku supaya belajar di sekolah Arab (agama Islam) kerana kalau aku boleh berbahasa Arab, aku mendapat lebih banyak ilmu pengetahuan berbanding dalam bahasa Inggeris. Dia juga menasihatkan aku, kalau hendak belajar bahasa Inggeris, yang baiknya setelah aku belajar di sekolah agama.
Katanya juga, ”...kalau hang belajar agama, bahasa Arab, mu akan jadi masyhur, tapi kalau belajar di sekolah orang putih, habis-habis sangat jadi kerani kopon....bahasa Arab bahasa Quran, ...bahasa syurga.”
* Beberapa orang Melayu pegawai kerajaan yang sering bercakap Inggeris dan sentiasa datang ke rumah bapaku, tidak pernah sembahyang dan tidak berpuasa.Mereka kencing berdiri dalam semak dan tidak membasuh kemaluan mereka setelah kencing.
* Sheikh Nawawi mengambil satu contoh, iaitu di Kuala Kangsar ada seorang alim, anaknya telah belajar di London semenjak berusia sepuluh tahun. Setelah anaknya tamat universiti di sana, dia telah pulang membawa isteri seorang perempuan Inggeris. Dia berperangai macam orang Inggeris. Sentiasa memakai seluar pendek. Suami isteri itu minum arak, menari di kelab-kelab. Mereka juga telah memandang rendah terhadap orang-orang Melayu, terutama orang-orang Melayu yang tinggal di kampung-kampung.[10]
Pada masa itu tidak ramai penduduk-penduduk kampungku yang mahu anak mereka melajutkan pelajaran sama ada ke sekolah Inggeris mahupun ke sekolah agama Islam. Kerana sikap penduduk-penduduk itu, maka rakan-rakan sekampungku yang sama sekolah denganku tidak dapat melanjutkan pelajaran masing-msing. Hanya seorang rakanku, iaitu Yusof bin Abdul Ghani berasal dari Penaga, Kepala Batas, Seberang Perai, telah melanjutkan pelajarannya di Trade School, Ipoh.
LEBIH MALANG
Apabila orang-orang kampungku telah mendapat tahu yang aku akan melanjutkan pelajaran ke sekolah Arab (agama), ada di antara mereka yang telah berkata, ”...mengaji sekolah Arab tak ke mana, jadi tok siak masjid bolehlah.”, ”...belajar di sekolah agama...., akhirnya jadi lebai malang,” dan ” ....orang mengaji sekolah agama, jadi kaum muda...”[11]
Ramai dari kawan-kawan sekampung denganku, setelah tamat darjah empat atau lima, mereka menjadi penoreh getah dan petani. Manakala rakan-rakanku yang perempuan telah mengakhiri usia remaja mereka dengan berumah tangga. Mereka telah berkahwin dengan pemuda-pemuda penoreh getah dan atau yang berkhidmat dalam pasukan askar Melayu, askar British dan polis biasa atau polis khas –special constable (SC).
Pada zaman kanak-kanak, sama ada pada masa Jepun mahu pun pada masa British Military Administration BMA, aku suka memerhatikan sarang labah-labah, dari yang jenis kecil terdapat pada jeriji-jeriji atau lubang dinding rumah hingga yang jenis besar yang merentangi lorong-lorong udara antara pokok-pokok dan berupaya memerangkap burung-burung pipit dan merbah. Aku juga suka memerhati dan membelek-belek kulit pokok-pokok kayu yang berlorek-lorek atau berbelak-belak dengan beraneka coraknya. Aku terasa ada sesuatu yang menarik pada kulit-kulit batang pokok itu.
Aku sering mengikut Mak Ngahku – dia pandai mengubat sakit barah payu dara dan barah di bahagian lain pada tubuh perempuan dengan menggunakan dedaun dan jampi - , ke belakang rumahnya memungut daun ’tapak Leman’(elephantopus acaber linn) untuk dijadikan ubat sakit barah.
Dari pengalaman mengikuti mak ngah aku itu, maka aku telah menjadi peminat dedaun kayu dan akar. Kemudiannya aku telah kenal berpuluh jenis pokok dan akar yang boleh dijadikan ubat untuk mngubati berbagai jenis penyakit manusia. Hingga kini aku menjadi pengemar memelihara pokok dan akar-akar dari rimba. Aku menanam pokok-pokok dan akar-akar itu dalam pasu dan aku meletakkannya di belakang rumah.
[1] Wartawan, Allahyarham Ahmad bin Arif telah menulis dan menerbitkan sebuah novel
mengenai tragedi di Kampung Bekor yang berjudul ’ Air Mata Mengalir Di Kampung Bekor’ pada
tahun 1950-an.
[2] Abdullah C.D., 2005, Memoir Abdullah C.D. Zaman Pergerakan Sehingga 1948, Petaling Jaya,
Strategi Imformation Research Development, hlm:115.
[3] Cerita dari bapaku kepadaku setelah beberapa hari berlaku kejadian itu.
[4] Abdullh bin Haji Abdul Rahman, 1994, Gerakan Anti Penjajahan 1511 – 1950, Kuala Lumpur,
Penerbitan Tinta Sdn Bhd., hlm. 111.
[5] Quran – Ali Imran:112
[6] Percakapan Tun Abdul Razak denganku pada tahun 1969.
[7] Wan Hashim Wan Teh, 1993,Peranan gerila Melayu Force 136,
dan Pustaka.
[8] Rashid Maidin, 2005, Memoir Rashid Madin, Petaling Jaya, Strtegic Imformation Research
Development, hlm: 74.
[9] Mokhtar Petah, 1965, Bangsa Melayu Menggugat Dunia, Kota Bharu,Pustaka Aman Press, hl. 88.
[10] Pada tahun 1997, aku bersama Allahyarham Datuk Abduk Aziz Ahmad tuan punya toko buku
Pustaka Antara,
pegawai tinggi kerajaan, di banglonya, dalam kawasan golongan elit, di Jalan Duta.Dalam
rumahnya, di bawah meja ruang tamu, ada seekor anjing kecil atau anjing kekabu.
[11] Orang Alim yang tidak fanatik.Quran dan Hadis menjadi pegangan. Pada masa itu orang
alim demikian dipandang rendah atau ajaran mereka tidak boleh diterima oleh masyarakat.
(Dipetik dari manuskjrip buku, Patah Sayap, Bertongkatkan Paruh, Oleh: Mokhtar Petah.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.