Thursday, September 17, 2009


CINTA NABI IBRAHIM

NABI IBRAHIM Khalilullah sangat sayang kepada isterinya, Siti Sara. Kemana saja Baginda mengembara untuk menyampaikan perutusan dari Allah Taala kepada umat manusia sentiasa di bawa Siti Sara bersamanya.
Dalam satu perjalanan, Nabi Ibrahim tiba di Mesir. Ketika Baginda dan isteri Baginda hendak masuk ke Kota Mesir, Baginda mendapat tahu yang Raja negeri itu sangat kejam. Dia merampas anak-anak gadis orang dan isteri-isteri orang yang cantik. Siapa yang menentangnya akan dibunuh atau diseksa.
Sebelum masuk ke kota Mesir, Nabi Ibrahim membuat sebuah peti kayu dan Siti Sara dimasukkan ke dalam peti itu supaya orang-orang Raja Mesir tidak menyangka dalam peti itu ada Siti Sara. Mereka akan menyangka yang dalam peti itu barang-barang dagangannya.
Tetapi, apabila Baginda masuk ke kota Mesir, maka pegawai-pegawai telah menangkap Baginda dan peti itu diserahkan kepada Raja Mesir. Nabi Ibrahim diperintahkan oleh raja Mesir supaya dipenjarakan dan peti itu dibuka dan didapati seorang perempuan yang cantik di dalamnya. Maka Raja Mesir memerintahkan para pegawainya menyembahkan perempuan itu kepadanya.
Raja Mesir hendak melakukan perbuatan tidak baik ke atas diri Siti Sara. Tetapi setiap kali hendak memegang tubuh Siti Sara tangannya menjadi lumpuh. Dia meminta Siti Sara memohon kepada Allah Taala supaya disembuhkan semula tangannya. Setelah sembuh dia hendak memegang tubuh Siti Sara lagi dan tangannya menjadi lumpuh semula. Setelah tiga kali dilakukannya untuk memegang tubuh Siti Sara tangannya menjadi lumpuh, maka Raja Mesir itu bertanya kepada Siti Sara tentang dirinya dan tentang lelaki yang bersamanya yang kini berada dalam kurungan.
Siti Sara memberitahu, bahawa lelaki itu ialah suaminya. Dia seorang Rasul Allah dan namanya Ibrahim.Mendengar khabar Siti Sara itu lalu Raja Mesir memerintahkan para pegawainya supaya membebaskan Nabi Ibrahim dari kurungan dan dibawa menghadap.
Waktu menghadap, Nabi Ibrahim memberitahu Raja Mesir itu, bahawa dengan kuasa Allah Taala Baginda nampak akan apa yang berlaku ke atas Raja itu waktu dia hendak memegang Siti Sara.
Raja Mesir terkejut mendengar percakapan Nabi Ibrahim itu. Kemudian dia mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam di hadapan Nabi Ibrahim. Sebelum Nabi Ibrahim dan Siti Sara meninggalkan Mesir, maka Raja itu menghadiahkan seorang gadis kecil - hamba, kepada Nabi Ibrahim dan Siti Sara. Nama gadis itu Siti Hajar.
Setelah beberapa lama dalam perjalanan kerana mengembangkan agama Islam, maka Nabi Ibrahim, Siti Sara dan Siti Hajar sampai di sebuah kampung bernama Palestin. Maka tinggallah Nabi Ibrahim dengan dua orang isterinya di kampung Palestin itu.
Sebagai seorang wanita, Siti Sara mempunyai perasaan cemburu kepada madunya Siti Hajar. Sungguhpun Nabi Ibrahim tidak membezakan kasihnya antara Siti Sara dengan Siti Hajar, tetapi perasaan cemburu tetap bersarang dalam hatinya. Lebih-lebih lagi dirinya seorang wanita yang mandul.
Menurut kitab 'Kisasul Anbia' yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu (Jawi) oleh Al Haji Azhari al Khalidi rahmatullah, bahawa Siti Sara sangat cemburu kepada madunya, Siti Hajar. Dia telah bertindak menindik (tebuk) dua cuping telinga Siti Hajar dan dibubuh anting-anting dengan tujuan supaya Siti Hajar kelihatan hodoh, tetapi dia sendiri terkejut kerana wajah Siti Hajar bertambah jelita. Lepas itu dikhatannya pula Siti Hajar. Kononnya semenjak kejadian itulah kanak-kanak perempuan Islam dikhatankan.
Kemarahan Siti Sara terhadap Siti Hajar bertambah membara setelah dia mendapati madunya itu sedang hamil. Dirinya sendiri tidak ada harapan untuk hamil kerana mandul. Menurut kitab itu lagi, bahawa Siti Sara meminta Nabi Ibrahim membuangkan Siti Hajar ke tempat yang jauh dari tempat itu kerana dia tidak sanggup
melihat madunya memperolehi anak. Permintaannya itu dengan mengatakan, bahawa kalau benar Nabi Ibrahim mencintainya, maka buangkanlah wanita itu ke tempat yang jauh. Nabi Ibrahim memberitahunya, bahawa Baginda sangat kasih akan Siti Sara. maka Baginda bersedia menghantarkan Siti Hajar ke tempat yang jauh dari orang atau tempat yang masih belum di diami oleh manusia.
Siti Sara memberitahu Nabi Ibrahim, bahawa tindakannya meminta Nabi Ibrahim membuangkan Siti Hajar itu kerana dia terlalu cintakan suaminya.
Dengan takdir Allah Taala jua, maka Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar dengan sedikit barang-barang keperluan. Dengan menunggang unta mereka mengembara beberapa hari dan beberapa malam keluar dari negeri Sham dan menuju ke dalam kawasan gurun pasir. Di sanalah Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya, supaya menyerahkan diri kepada Allah Taala dan sebelum Baginda meninggalkan Siti Hajar, Baginda berjanji akan datang menemuinya lagi.
Sebelum meninggalkan isterinya yang sedang hamil itu Nabi Ibrahim telah berdoa kepada Allah seperti diberitahu oleh Allah Taala kepada Nabi Muhammad SAW dalam Al Quran:
 
"Hai Tuhan kami! Sesungguhnya saya telah menempatkan keturunan saya di lembah yang tidak mempunyai tumbuhan (Mekkah) pada tempat rumah Engkau (Kaabah) yang terhormat. Hai Tuhan kami! Semoga mereka (Siti Hajar dan anaknya) tetap mendirikan sembahyang. Hendaklah Engkau jadikan hati manusia rindu kepada mereka, berilah mereka rezeki dari buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada Tuhan."

Allah sahajalah yang mengetahui akan betapa tingginya nilai cinta Nabi Ibrahim, kepada isterinya, Siti Hajar dan begitu juga betapa tingginya nilai cinta Siti Hajar kepada suaminya, Nabi Ibrahim Khalilullah.
Walau bagaimana tinggi sekalipun cinta Nabi Ibrahim kepada Siti Hajar, namun cintanya kepada Allah Taala dan ketaatannya kepada yang maha agung kepada Pencipta Alam itu, maka Baginda menumpukan tugasnya sebagai Rasul Allah untuk menyampaikan seruannya kepada umat manusia supaya beriman kepada Yang Maha Esa. Kerana tugas itulah maka Baginda tidak datang-datang menziarahi isteri dan anaknya, Ismail.
Sepeninggalan suaminya, Siti Hajar melahirkan anaknya seorang diri dalam gurun pasir. Setelah melahirkan anaknya, dia berjalan berulang alik ke Muzdalifah sebanyak tujuh kali untuk mencari air. Akhirnya Siti Hajar melihat mata air keluar di tempat bekas tumit anaknya, Ismail. Siti Hajar pergi mendapatkan air itu dan air tersebut menjadi bertambah banyak keluarnya. Pendeknya dengan air itulah Siti Hajar memberi anaknya minum dail anaknya yang telah lemah badannya kembali pulih. Siti Hajar menamakan air itu 'Zam zam'.
Begitulah Allah Taala membalas cinta murni Siti Hajar kepada suaminya. Allah Taala menilai akan penderitaan seorang wanita yang solehah yang telah menangis saban hari dan saban malam kerana merindui suaminya!
Nabi Ibrahim Khalilullah yang terpaksa memendamkan rasa cinta dan rindunya kepada Siti Hajar selama beberapa tahun kerana tugas kenabian dan kerasulannya, maka pada suatu hari Baginda datang mencari isteri dan anaknya. Dia tiba di tempat Siti Hajar ditinggalkan dulu, kawasan itu telah menjadi sebuah perkampungan yang besar.
Pendeknya cinta Nabi Ibrahim kepada isterinya, Siti Hajar dan cinta isterinya kepadanya tidak pernah luntur dan kemuncak cinta Siti Hajar sampai pada waktu suaminya membawa anaknya, Nabi Ismail untuk dikorbankan.
Setelah usia Siti Sara lanjut, maka utusan dari Allah Taala (malaikat) datang menemui Nabi Ibrahim Khalilullah untuk menyampaikan khabar yang Baginda akan memperolehi anak lelaki:


Sesungguhnya telah datang utusan (malaikat-malaikat) kami kepada Ibrahim dengan membawa -berita gembira. Mereka berkata: Salam! Dia(Ibrahim) menyahut: Salam! Setelah seketika lamanya, dihidangkannya daging lembu yang dibakar.

Setelah dilihat (Ibrahim) tangan-tangan mereka tidak menjamah (daging) itu, dia mulai curiga dan merasa takut kepada mereka. Kata mereka (malaikat-malaikat) Jangan Engkau takut. Sesungguhnya kami diutus untuk kaum Luth. Dan isterinya (Ibrahim) berdiri dengan tersenyum. lalu kami sampaikan kepadanya berita gembira dengan (kelahiran anak) Ishak dan sesudah Ishak lahir pula Yaakub.
Sebaik-baik sahaja mendengar khabar dari malaikat-malaikat itu, isteri Nabi Ibrahim berkata:
Dia (isteri Nabi Ibrahim) berkata: Aduhai aku! Aku akan melahirkan anak. Aku akan melahirkan anak. Sedangkan aku adalah seorang perempuan yang sangat tua (pula). Sesungguhnya ini adalah satu yang ajaib. Malaikat-malaikat berkata: Adakah kalian memandang ganjil akan keputusan Allah? Rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Hai penghuni rumah! Sesungguhnya Allah itu terpuji dan ternama.

Sungguhpun Nabi Ibrahim, Khalilullah dan isterinya, Siti Sara telah terlalu tua, tetapi dengan kuasa Allah Taala mereka dikurniakan seorang anak dari Siti Sara. Putera itu dinamakan Ishak yang kemudian menjadi Rasul Allah.
Demikianlah keagungan cinta Nabi Ibrahim Khalilullah dan dua orang isterinya. Cinta sejati adalah memerlukan pengorbanan bagi setiap diri yang menanggung beban cinta itu. Nabi Ibrahim Khalilullah adalah menjadi contoh kepada manusia dengan cintanya yang luhur.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.