Monday, September 21, 2009

BERITA



Aidilfitri disambut meriah, semangat 1Malaysia menyerlah

KUALA LUMPUR 20 Sept — Selepas genap sebulan berpuasa, umat Islam di Malaysia hari ini menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan bersama-sama keluarga dan tradisi rumah terbuka dengan semangat baru 1Malaysia.

Di setiap pelusuk negara, masjid menjadi tumpuan jutaan muslimin untuk menunaikan sembahyang Aidilfitri pada pagi Syawal.

Amalan mengadakan rumah terbuka, yang juga lumrah pelbagai kaum di Malaysia semasa sambutan hari kebesaran masing-masing, membawa keistimewaan kali ini dengan menyahut dan menyemarakkan semangat 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di ibu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri santapan pagi bersama-sama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Seri Paduka Baginda dan Tuanku Nur Zahirah kemudian berangkat ke Masjid Negara untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri bersama-sama rakyat jelata.

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 10,000 umat Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Mengiringi baginda ialah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kemudiannya mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) MU dari 10 pagi hingga 3 petang.

Di KUALA TERENGGANU, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu Tengku Penglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud menunaikan solat sunat hari raya bersama kira-kira 2,000 umat Islam di Masjid Al-Muktafi Billah Shah.

Mengiringi baginda Menteri Besar Datuk Ahmad Said, setiausaha kerajaan negeri Datuk Mokhtar Nong dan kerabat-kerabat diraja.

Baginda kemudian menziarahi makam diraja di perkarangan masjid itu.

Sementara itu, Ahmad mengadakan rumah terbuka di kediaman rasminya di Sri Iman, di Batu Burok.

Di KELANTAN, Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra menunaikan solat Aidilfitri bersama lebih 3,000 umat Islam di Masjid Muhammadi di sini.

Baginda mewakili Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra tidak dapat bersama-sama rakyat menyambut Aidilfitri kali ini berikutan baginda masih menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak 24 Mei lalu.

Tengku Muhammad Faris Petra kemudiannya berkenan menghadiri majlis penghadapan di Istana Balai Besar di sini bagi membolehkan rakyat jelata bertemu baginda.

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimami solat Aidilfitri di Masjid Pulau Melaka di sini yang turut disertai lebih 1,000 jemaah.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industi Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin pula akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga, masing-masing di Darul Falah, Jeli dan Perupok di Bachok.

Di KUANTAN, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 5,000 jemaah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.

Turut menunaikan solat bersama baginda ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman serta kerabat diraja yang lain.

Selepas selesai menunaikan solat, orang ramai turut mengambil peluang untuk bersalaman dengan Sultan Pahang dan kerabat diraja.

Sebelum itu, Jabatan Kesihatan Pahang turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pemeriksaan kesihatan oleh 34 petugas terhadap semua jemaah yang hadir di masjid berkenaan.

Sementara itu, atas nasihat Jabatan Kesihatan Pahang, Istana Sultan Abu Bakar di Pekan, Istana Abdul Aziz di sini dan kerajaan negeri Pahang tidak mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri ini bagi mencegah penularan wabak berkenaan.

Di ARAU, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid berkenan menyertai ribuan rakyat jelata menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri.

Turut mengiringi baginda berdua ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Selepas solat, Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis yang diiringi kerabat diraja Perlis menziarahi Makam Diraja Perlis yang terletak hanya kira-kira 200 meter dari masjid itu.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan anggota Exco kerajaan negeri.

Baginda berdua kemudiannya berkenan menerima mengadap para pembesar negeri dan rakyat jelata pada majlis Istana Terbuka di perkarangan Istana Arau.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob bersama kira-kira 10,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Al-Azim bersama-sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan pemimpin negeri yang lain.

Selesai solat, Mohd Khalil dan Mohd Ali mengadakan rumah terbuka secara bersama di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, bermula pukul 10.30 pagi hingga 3 petang.

Di KUALA KANGSAR, Sultan Perak Sultan Azlan Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama lebih 2,000 rakyat jelata di Masjid Ubudiah.

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Raja DiHilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, kerabat-kerabat diraja dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut sama menunaikan solat di masjid tersebut.

Para jemaah kemudian mengambil kesempatan bersalam-salaman dengan baginda selepas selesai menunaikan solat.

Sementara itu, Dr Zambry akan menerima para tetamu sempena hari terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya di Ipoh mulai 2 petang sehingga 5 petang ini.

Di ALOR SETAR, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menunaikan solat sunat AidilFitri di Masjid Zahir di sini bersama lebih 1,000 jemaah.

Selesai solat, baginda meluangkan masa beramah-mesra dan bersalaman dengan para jemaah.

Di KUCHING, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 3,000 umat Islam di Masjid Jamek Negeri.

Selepas bersembahyang, Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Norkiah mengadakan Rumah Terbuka di Astana Negeri, Petra Jaya, di sini.

Sementara rumah terbuka kerajaan negeri diadakan di Stadium Perpaduan dengan Menteri Perumahan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Awang Asfia Awang Nasar menerima kunjungan para tetamu.

Abang Johari mewakili Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang masih berkabung berikutan isterinya Puan Sri Laila Taib meninggal dunia pada April lalu akibat kanser.

Di KUALA PILAH, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bersama-sama dua anakanda baginda Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama 400 jemaah di Masjid Diraja Tuanku Munawir Seri Menanti di sini.

Turut serta ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan anggota Dewan Undangan Negeri Seri Menanti Abdul Samad Ibrahim.

Baginda kemudian menghadiri majlis tahlil di Makam Diraja yang terletak bersebelahan masjid tersebut sebelum menziarahi makam Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman dan ayahanda baginda, Tuanku Munawir.

Tuanku Muhriz turut mengadakan majlis istana terbuka di Istana Besar Seri Menanti dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Sementara itu, rumah terbuka kerajaan negeri diadakan di perkarangan bangunan Dewan Undangan Negeri.

Di KOTA KINABALU, ribuan mengunjungi rumah terbuka Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan jemaah menteri Sabah yang diadakan di dewan Kompleks Sukan Likas bermula 11 pagi yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah.

Turut hadir dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussain dan Datuk Seri Joseph Pairin Kitigan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sukarti Wakiman.

Terdahulu, Musa serta menteri Kabinet negeri mengunjungi rumah terbuka Yang Dipertua Negeri di Istana Negeri.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas bersama isteri Toh Puan Majimor Shariff menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah menyambut Aidilfitri di kampung beliau di Kepala Batas dengan menunaikan solat sunat hari raya di Masjid Jamek Al-Jamiul.

Kemudiannya Abdullah dan isteri menziarahi pusara ibu bapanya, Datuk Kailan Hasan dan Datuk Ahmad Badawi Abdullah.

Bekas perdana menteri turut mengadakan rumah terbuka di Kompleks Budi Penyayang di Kepala Batas hari ini.


---------------------------

Agong solat hari raya di Masjid Negara


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin (tiga, kanan) bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bersedia untuk menunaikan Solat Sunat Aidilfitri bersama ribuan umat Islam di Masjid Negara di sini, pagi ini. Solat berkenaan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad (kiri). - BERNAMA


KUALA LUMPUR 20 Sept — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara bersama-sama rakyat jelata.

Segak dengan lengkap berpakaian baju Melayu berwarna merah, Tuanku Mizan hadir diiringi Najib, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa orang menteri Kabinet and duta besar asing.

Solat Aidilfitri diimamkan oleh Iman Besar Masjid Negara Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad.

Hampir 15,000 rakyat jelata yang meriah dengan pakaian berwarna-warni membanjiri perkarangan masjid negara sejak 7 pagi bagi menunaikan solat Aidilfitri dalam cuaca yang redup.

Mereka juga mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Tuanku Mizan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah juga berkenan menerima mengadap Jemaah Menteri, duta-duta dan tetamu kehormat di Istana Negara selepas itu.

(Dua berita ini diambil dari BERNAMA, 21 September 2009)




No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.