Monday, August 24, 2009

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Pada tahun seribu sembilan ratus lima puluh dua.

Bangunan Madrasah Yahyawiyah, di Padang Rengas yang ada sekarang, masih berdiri dengan kerangkanya sahaja. Seluruh kerangka bangunan itu telah dinaiki akar-akar selaput tunggul dan pokok-pokok yang meliar. Sekolah itu dibina dengan wang derma dari dan Orang Besar Negeri Perak, Dato’ Yahya. Nama sekolah itu telah memakai namanya. Oleh kerana Orang Besar itu telah meninggal dunia maka pembinaan sekolah itu tergendala kerana ketiadaan wang.

Pada masa itu orang-orang Melayu di Padang Rengas yang menajdi ahli UMNO dan Perikatan Melayu Perak tidak bekerjasama dengan orang-orang dari Parti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

Akibat dari tidak muafakat itu, projek sekolah agama itu telah tidak dapat dijayakan. Maka tinggallah rangka bangunan itu seperti sebuah bangunan tua yang diselimuti oleh akar-akar dan pokok meliar.

Pada masa aku belajar di sana, sebuah Jawatankuasa baru bagi meneruskan usaha untuk membangunkan semula sekolah itu telah ditubuhkan. Jawatankuasa itu telah bekerjasama dengan kami penuntut-penuntut Madrasah al Yahyawiyah di tepi paya, Kampung Bawah Gunung.

Jawatankuasa itu dan kami tetelah memutuskan untuk mengadakan majlis ihtifa (perayaan) untuk memungut derma bagi meneruskan usaha membangun dan memulihkan bangunan sekolah tersebut.

Lebih dua ribu surat jemputan telah dikirimkan kepada orang-orang Islam di seluruh kawasan Kuala Kangsar, Parit, Beruas, Manjong, Taiping, Parit Buntar dan Hulu Perak telah diundang ke majlis ihtifal itu.

Aku telah diberi tugas untuk memberi ucapan dalam majlis ihtifal itu. Ucapanku itu bertujuan merayu kepada orang-orang yang hadir supaya menghulurkan derma mereka kepada sekolah tersebut. Ustaz Haji Abdul Samad Noh berucap bagi pihak jawatankuasa sekolah tersebut dan menghuraikan rancangan membina sekolah itu.

Perayaan itu telah dihadiri oleh Orang Besar Negeri Perak, Dato’ Temenggong, Wan Hamaruddin dan kira-kira dua ribu orang lelaki dan perempuan. Kebanyakan mereka itu orang-orang kampung-petani, penoreh getah, buruh dan suri rumahtangga.

Sebaik-baik sahaja aku selesai memberi ucapan, Orang Besar Negeri, Perak, Temenggong, Dato’ Wan Hamaruddin telah bangun dan menghulurkan dermanya berupa wang (banyak). Kemudian dikuti oleh mereka yang hadir dengan menghulurkan wang masing ke dalam kotak-kotak yang dibawa oleh penuntut-penuntut dan ahli-ahli Jawatankuasa sekolah tersebut.

Dalam majlis ihtifal itu, Jawatankuasa sekolah telah berjaya memungut derma beberapa ribu ringgit (aku telah lupa jumlahnya). Beberapa orang hartawan Melayu yang hadir dalam majlis itu telah mengaku akan menderma wang mereka untuk meneruskan usaha membina sekolah yang terbengkalai itu.

Semasa aku belajar di Madrasah Yahayawiah di lembah dekat lembah, aku telah berkanalan dengan dua orang dewasa dan mereka telah menjadi sahabatku. Seorang bernama Encik Mat Noh, bekas jurutera lombong bijih timah, yang tinggal di hujung Kampung Bawah Gunung dan Pandak Licin(kepalanya licin tidak tumbuh rambut), penduduk kampung itu juga. Mereka itu sering datang sembahyang berjemaah di madrasah tempat aku belajar itu.

Mat Noh banyak bercakap denganku tentang pelajaran dan ekonomi orang Melayu. Di antara kata-katanya yang aku masih ingat, ialah, ”...kalau orang Melayu dah merdeka, tapi pelajaran dan ekonomi deme tu lemah, ...deme akan jadi buruh di negeri sendiri..., orang-orang politik Melayu akan jadi alat orang asing, ...kekayaan negeri orang asing yang punya...”

”Kalau deme kuat politik, ekonomi tak kuat, deme jadi kuli orang yang kaya raya saja...,”katanya lagi.

Pandak Licin pula, pada tiap-tiap kali dia bercakap, dia suka mempersendakan ayat Quran dan Hadis, misalnya ’Aamanu’ di sebut, ”umno” dan hadis pula dipinda hujungnya, ”Kullu amrin bi ansurin (ansur)”. Pada satu hari aku telah menambah perkataannya, dengan, ”qala Pandak Licin...”(telah berkata Pandak Licin). Semenjak pada hari itu dia tidak lagi mempersendakan ayat-ayat Quran dan Hadis bila bercakap denganku.

Oleh kerana Madrasah Yahyawiah tepi paya itu dalam keadaan lemah. Dua orang orang gurunya sering tidak datang mengajar, hanya Ustgaz Haji Abdul Samad yang meneruskan tugasnya mengajar di sekolah itu selama kira-kira satu jam dalam sehari, maka aku telah terkepung dalam perasaan jemu untuk terus belajar di sekolah tersebut.

Pada tiap-tiap hari, iaitu lepas belajar pada Ustaz Abdul Samad, aku telah pergi ke Bandar Kuala Kangsar. Di sana aku telah membantu Yahya Arif menjual buku-buku, di tokoh bukunya. Pekerjaanku di tokoh buku itu sama dengan yang dilakukan oleh pekerja-pekerja sambilan.

Dengan pertolongan Yahaya Arif aku telah berpeluang belajar ilmu falak pada bapa mertuanya, iaitu Sheikh Tahir Jalaluddin. Pada masa itu ulama ilmu falak itu tinggal di Kampung Stesyen, Kuala Kangsar. Sheikh Tahir Jalaluddin tinggal di rumah itu sekadar beberapa hari sahaja dalam sebulan, kerana dia menetap di Muar, Johor. Tetapi aku belajar ilmu falak padanya sekadar dua minggu sahaja, kerana aku tidak tahan dengan perangainya yang garang itu. Lagi pula belajar ilmu falak menjemukan aku.

Di kampung-kampung dalam kawasan Padang Rengas banyak sekolah agama, di antaranya Madrasah Diniyah, Kampung Lalang, telah diasaskan oleh Sheikh Junid Tala, bapa mertua kepada Datuk Mohd.Asri Haji Muda.

Sama ada dari cerita-cerita lisan mahu pun catatan-catan sejarah; Padang Rengas adalah menjadi tempat awal berkembang perjuangan orang-orang Melayu atau umat Islam menuntut kemerdekaan tanahair. Perkembangan itu telah bermula dari tahun 1800 lagi kerana kawasan itu mempunyai kawasan sawah padi yang luas dan terkenal sebagai ’jelapang padi’, di samping itu dusun buah-buahan juga luas.

Gua di Gunung Pondok telah menjadi tempat ahli-ahli suluk atau tarikat mengerjakan amal ibadat mereka. Orang-orang yang bertapa kerana menuntut ilmu kesaktian yang datang dari Tanah Jawa dan Sumatera telah mengunakan gua-gua dalam gunung itu sebagai tempat mereka bertapa.

Selain dari orang-orang dari Sumatera dan Pulau Jawa telah datang bertapa di Padang Rengas, maka ramai pula orang-orang alim dan politikus-politikus di Tanah Melayu dan dari Sumatera dan Pulau Jawa yang telah datang ke sana untuk mengembangkan ilmu pengetahuan Islam dan menyebarkan semangat perjuangan untuk menuntut kemerdekaan tanahair.[1]

Pejuang-penjuang kemerdekaan Tanah Melayu, di antaranya Dr Burhanuddin Helmi, Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh sering datang ke sana untuk menggerakkan perjuangan mereka.

Seorang tokoh diplomatik dan pakar membuat senjata lepasan Universiti Istanbul, Turki, Yusuf Helmi Alfian bersama beberapa orangnya telah datang ke Padang Rengas untuk mengajar membuat senjata dan taktik perang gerila kepada sebilangan ahli-ahli Angkatan Pemuda Insaf (Api).

Yusuf Helmi Alfian, lahir pada 15 Jun 1916, telah menuntut di Universiti Istanbul Turki dalam bidang ekonomi. Kemudian setelah Indonesia merdeka beliau telah berkhidmat dalam Kementerian Luar Negara, sebagai Duta Republik Indonesia, di Switzerland dan Vatican, Jerman, Australian dan New Zealand dan bersara pada tahun 1979.[2]

Ustaz Abdul Raq Tamimi dari Sumatera telah datang mengembangkan politik nasionalis dan Islam di Padang Rengas. Manakala Dr Burhanuddin Helmi, Ustaz Abu Bakar al Baqir dan beberapa orang lagi telah menggunakan Padang Rengas sebagai medan awal perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air.

Manakala seorang anggota gerila Indonesia, Ustaz Abdul Raq Tamimi telah tinggal di kampung Lalang, Padang Rengas selama lebih dua tahun, iaitu sekitar tahun 1948 – 1950. Dia telah membimbing para pemuda di sekitar Padang Rengas untuk berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu yang selaras dengan falsafah perjuangan bangsa Indonesia, iaitu: Satu negara, Negara Melayu, satu bangsa, Bangsa Melayu, satu bahasa, Bahasa Melayu, satu agama, Agama Islam (iaitu agama negara).[3]

Lebih 200 orang pemuda dari seluruh negeri Perak telah dilatih taktik perang gerila, di satu kawasan gunung, di Ulu Kangsar, Padang Rengas. Kemudian mereka itu telah dihantar ke Selatan Siam untuk membantu pejuang-pejuang Islam yang menuntut kemerdekaan dari penjajah Siam.[4]

Patut aku catatkan di sini, bahawa Negeri Perak adalah satu-satunya negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang paling ramai pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air yang menganut berbagai-bagai fahaman atau isme termasuk sosialisme . Di antara mereka itu:

( 1 ) Sheikh Tahir Jalaluddin ,Kuala Kangsar, Reformasi Islam dan polkitik orang Melayu (1926 – 1940).

( 2 ) Ustaz Abu Bakar al Baqir, Gunug Semanggul, polopor politik Islam dan Yang Dipertua parti Islam yang awal di Tanah Melayu, Hizbul Muslimin (1945 – 1948).

( 3 ) Dr Burhanuddi Helmi, Kota Bharu, Perak, Yang Dipertua Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945...) dan Yang Dipertua Agung PAS (1956 – 1969).

( 4 ) Abdullah Thani atau Ahmad Boestamam, Kampung Behrang (kini Proton City), Tanjung Malim, Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Ketua Parti Rakyat Malaya dan pengarang Melayu tersohor.

( 5 ) Dato’ Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz, Ipoh , Setiausaha agung UMNO pimpinan Dato’ Onn (1946).

( 6 ) Dahari Ali, Kampung Sengat, Ipoh , Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), 1945. Wartawan Melayu tersohor.

( 7 ) Abdul Rashid Maidin ( Rashid Maidin), Gopeng, Ipoh, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), 1945 dan berjuang dengan Parti Komunis Malaya (PKM) menentang penjajah Inggeris.

( 8 ) Musa Ahmad (ustaz), Kampung Kuala Pari, Ipoh, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),1945. Kemudian berjuang dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

( 9 ) Abdullah bin Che’ Dat (Abdullah C.D.), Lambor, Parit, Perak, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), 1945, Pemimpin Tentera Pembebasan Nasional Malaya Rejimen ke-10 dan berjuang bersama Parti Komunis Malaya (PKM) menentang penjajah Inggeris.

( 10 ) Putih Mariah binti Ibrahim Rashid, Kampung Paloh, Ipoh, UMNO, 1946. Pelopor Pergerakan Kaum Ibu UMNO.

( 11 ) Profesor Zulkifli Muhammad[5], Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Yang Dipertua PAS, salah seorang pelopor Parti Islam SeMalaysia (PAS).

( 12 ) Mustapha Hussein, Matang, Taiping.

( 13 ) Yussof Ishak, Kampung Kubu Gajah,Taiping.

( 14 ) Abdul Aziz Ishak, Kampung Kubu Gajah Taiping.

( 15 ) Haji Ahmad Fuad Hassan, Manong, Kuala Kangsar – Ahli Jawatankuasa Khas Agama Islam UMNO 1950 – 1951, iaitu sebelum penubuhan Parti Islam Se Malaya (PAS) pada tahun 1951 dan seterusnya dia menjawat jawatan Presiden parti islam itu.

(16 ) Haji Mohd.Ghazali bin Haji Jawi, Lenggong.

Manakala orang – orang bukan Melayu yang turut berjuang menuntut kemerdekaan tanah air, ialah Chin Peng[6], Sitiawan, dalam Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) dan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM). Tun Sri V.T.Sambanthan, Sungai Sipout Utara, Presiden Malaysian Indian CongressMIC) dan Leong Yew Koh, Malayan Chineses AssociationMCA). ( (


[1] Keterangan dari ulama, Ustaz Haji Mohd.Zin bin Haji Mohd. Noh dan wartawan dan Juruhebah

Radio Singapura, Allahyarham Othman Kalam (anak Padang Rengas) kepada penulis

pada tahun 1952.

[2] O.G.Roeder –Maahiddin Mahmud, 1980, Who’s Who In Indonesia, Jakarta, PT Gunung

Agung, hlm.378.

[3] Percakapan ulama di Padang Rengas, Ustaz Ismail Muin dengan penulis, pada tahun

1960.

[4] Diberitahu kepada penulis oleh Brigadier General (bersara), Askar Melayu Malaya,

Raja Lop Nor Rashid pada tahun 1960.

[5] Mokhtar Petah, 1965, Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan, Kota Baharu, Pusrtaka Aman

Press.

[6] Chin Peng, 2003, My Side Of History, Singapura, Media Masters Pte. Ltd.



(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid).

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.