Mokhtar Petah
Sekitar tahun 1954.
Sekembalinya kami di bilik sewa Fuad, aku telah memberitahu Fuad yang aku akan pulang ke Kepala Batas. Seperti yang dia juga tahu, Tunku Abdul Rahman telah mengajak aku memberi penerangan mengenai UMNO kepada orang-orang Melayu.
Aku telah berpesan kepada Fuad agar dia meneruskan usahanya membuat julap cacing kerawit. Aku menggalakkan Fuad dengan kata-kata, ”...kita jual julap kebajikan kerana kita tolong orang dapat sembahyang, tak ada cacing kerawit.” Fuad telah mengaku akan meneruskan usaha tersebut.
Pada malam itu, aku dan Fuad telah membahagikan wang hasil dari kami menjual julap cacing kerawit selama lima hari. Setelah kami menolak sewa kereta, sewa rumah dan belanja-belanja lain, maka kami telah mendapat wang sama banyak, iaitu $423.70 sen seorang.
IMAM BONJOL
Aku telah memasukkan wangku sebanyak $380 ke dalam akaun simpananku di pejabat pos Alor Setar kira-kia jam 10.40 pagi esoknya. Pada waktu kami sedang minum kopi ’o’ di gerai Pekan Rabu, tiba-tiba datang dua orang rakanku, Salim Pardi dari Batu Pahat, Johor dan Munawwir Abdul Aziz dari Aceh, Indonesia. Mereka telah mengajak aku dan Fuad pergi menuntut ilmu dari seorang petapa, di atas Gunung Jerai. Petapa itu murid kepada Tuanku Imam Bonjol1 yang terkenal di Indonesia.
Aku telah sanggup mengikut mereka menuntut ilmu di Gunung Jerai, tetapi sekadar selama tiga empat hari sahaja. Tujuanku ke sana sekadar kerana mencari pengalaman sahaja. Aku mahu dalam sejarah hidupku ’ada catatan’ yang aku telah pernah bertapa. Salim Pardi dan Munawwir Abdul Aziz setuju denganku. Tetapi Fuad tidak dapat menyertai kami kerana dia hendak meneruskan perniagaannya.
Pada pagi itu juga kami telah pergi ke kaki Gunung Jerai dengan menumpang kereta sewa. Salim Fardi yang telah biasa mendaki gunung itu telah memandu kami meredah rimba dan mendaki gunung itu. Kami telah tiba di suatu tempat dalam kawasan batu-batu besar di bawah pohon jerai yang besar dan rendang – tempat orang bertapa. Kawasan itu tidak tinggi, sekadar sesuku dari ketinggian gunung itu sahaja. Kami tiba di sana pada waktu telah hampir senja.
HATI MANUSIA
Setibanya ditempat pertapaan itu, aku telah melihat dalam cahaya senja dan kelam rimba itu, seorang lelaki sedang duduk bersila dalam akar-akar pokok jerai sebesar tiang telefon dan panjang dari batangnya dan menojah bumi. Akar-akar itu jadi berserigangan kerana banyak cabang-cabangnya yang berliar.
Petapa itu berpakaian warna hitam dengan semuntal warna hitam juga. Dia sedang beratib atau berwirid kalimat-kalimat yang aku dapat mendengarnya, “Subhanallahu wala ilaha illallahuallahu Akbar” dan “Ya Zul Jalali wal Ikram”.
Tujuan kami ke sana kerana hendak meminta ilmu- ilmu dari petapa itu. Di antara ilmu-ilmu itu, ialah, ilmu terang hati, ilmu dikasihi manusia, ilmu manusia suka mendengar percakapan kami, ilmu melembutkan hati orang yang marah kepada kami, ilmu membuka hati orang jahat menjadi baik dan ilmu mendamai dan mententeramkan hati manusia.
HILANG KEYAKINAN
Kami telah bersalaman dengan petapa itu. Salim Fardi telah bercakap dengannya dengan bahasa yang aku tidak dapat memahaminya. Kami telah disuruh membaca Al Fatihah, Subhanallahu wala ilaha illallahu wallahu Akbar dan ”Lailaha illal Lah, Muhammadur Rasulullah” sebanyak mungkin pada sepanjang masa kami bertapa di situ.
Petapa itu telah berpesan (nasihat) kepada kami, bahawa kami tidak boleh takut, hilang keyakinan diri dan mesti berserahkan kepada Allah jika apa jua yang datang pada waktu bertapa itu. Kami juga tidak boleh memberitahu antara satu sama lain apa jua dugaan yang telah datang pada waktu-waktu kami bertapa. Kalau tidak mengikut pesanannya, maka kami tidak akan berhasil mencapai tujuan kami.
Dengan dipandukan oleh Salim Fardi, kami telah mengambil air sembayang dengan air yang mengalir keluar dari lubang pada batu besar. Air itu terlalu dingin. Kami telah sembahyang fardhu maghrib. Salim Fardi telah menjadi imam. Tetapi kami entah menghadap ke kiblat atau tidak, kerana kami tidak mengetahui arah hala ke Kiblat, disebabkan kami tidak membawa kompas.
LUBANG GUA
Kami telah makan setengah ketul biskul lutut kering dengan air yang mengalir ke dalam parit itu. Makanan itulah yang kami telah mengisi usus kami selama kami di atas gunung itu. Lepas sembahyang fardhu Isyak, kami berpecah mengambil tempat masing-masing dalam hutan tebal itu, yang jaraknya antara satu dengan lain kira-kira dua puluh meter.
Aku telah duduk dan berwirid dekat batu besar yang berlubang besar seperti pintu gua. Dengan menumpangkan cahaya bulan sabit aku nampak lubang gua itu besar dan gelap. Pada ketika itu aku tidak tahu apa yang ada di situ. Dan aku hanya berserah kepada Allah, kalau apa jua makhluk Allah yang datang.
Kami hanya dapat bertemu pada ketika sembahyang tiap-tiap waktu sahaja. Lepas itu kami telah mengambil tempat dan mengamalkan ratib atau wirid di tempat masing-masing dalam rimba itu.
MAKHLUK RIMBA
Sesiapa pun boleh membayangkan, jika berada dalam rimba pada waktu malam; berbagai-bagai bunyi ada di sana, bunyi haiwan, unggas dan seranggan, bunyi angin yang bertiup lembut atau kencang, bunyi air mengalir atau terjun dalam sungai atau terjun atas batu batan, bunyi pepohon dan reranting tumpang dan patah, bunyi akar-akar dan dedaun kayu bergisiran, jatuh atau luruh, bunyi buah-buah atau biji-biji pokok yang pecah dan luruh dan bunyi bisikan-bisikan, tawa dan hilai, jerit dan raung dan jerit makhluk-makhluk rimba.
Aku berpendapat, sesiapa yang mempunyai ilmu taauhid atau akidah yang menebal, mahu mencari ketengangan diri, mencari Allah dan merelakan diri menjadi sang zuhud, maka eloklah tinggal beribadat dalam rimba raya. Di sana ada berjuta-juta bukti akan ’maha bijaksana’, ’kuasa’ dan ’kehendak’ Allah.
Selama tiga malam kami bertapa - berwirid atau beratib - , aku telah diduga atau diganggu-gugat oleh makhluk-makhluk yang dalam rimba di sana. Tetapi aku tidak mengetahui apakah dugaan kepada Salim Fardi dan Munawwir Abdul Aziz.
KALA JENGKING
Pada malam pertama, aku telah diduga oleh dua ujian:
( 1 ) Seekor ular bermata merah, hitam berkilat, panjang dan besar kira-kira 24 inci lilit badannya. Ular itu telah keluar dari lubang batu besar di belakangku dan menjalar melingkari tubuhku kira-kira tiga minit, kemudian ia masuk semula ke dalam lubang batu itu.
( 2 ) Setelah ular itu hilang dalam lubang batu itu, tiba-tiba hujan turun amat lebat, disertai ribut dan petir sabung menyabung kira-kira setengah jam lamanya. Setelah hujan, ribut dan petir itu berhenti, aku telah mendapati tidak seluruh tubuhku dan pakaianku tidak basah. Sebenarnya pada malam itu tiada hujan di situ.
Pada malam yang kedua, kira-kira jam 12.00 malam, telah berlaku dua ujian:
( 1 ) Beratus-ratus ekor kala jengking merayap pada seluruh tubuhku selama kira-kira dua puluh minit. Aku menahan diri dengan berwirid. Kemudian kala jengking itu menghilang.
( 2 ) Sebaik-baik sahaja serangga-serangga berbisa itu menghilang, tiba-tiba seorang perempuan cantik, berpakaian putih dan rambut panjang mengurai sampai ke tumitnya, telah berdiri sejenak di hadapanku, kemudian dia bejalan mengelilingiku sambil mulutnya kumat kamit seperti orang sedang menyanyi, tetapi aku tidak mendengar kata-kata dalam nyanyiannya.
Pada malam akhir telah berlaku satu ujian:
( 3 ) Seorang lelaki tua, berpakaian buruk, compang camping, berbau busuk, telah datang dan duduk bercangkung di hdapaku sambil dua biji matanya yang tajam merenung kepadaku kira-kira lima minit. Aku tidak menghiraukannya dan aku terus wirid. Lelaki itu telah bangun dan menyergahku serta dengan dua puntung tangannya menumbuk bertubi-tubi ke arah muka dan dadaku, tetapi aku tidak terasa semua tumbukkannya. Setelah melihat aku tidak melawan, dia telah berubah menjadi seorang lelaki yang berpakaian serba putih, seperti jubah, berserban putih dan duduk di hadapanku seperti orang membaca tahayyat awal. Dengan suaranya yang parau basah, dia telah membaca basmalah dan diikuti dengan membaca ayat-ayat Quran dalam surat a’ Hasr, dari ayat 21 hingga ayat 24 (akhir) yang ertinya:
‘Kalau Quran ini Kami turunkan ke atas sebuah gunung, sudah tentu kamu melihat gunung itu tunduk dan belah kerana takutnya kepada Allah. Itulah perumpamaan yang Kami buat untuk manusia, supaya mereka dapat memikirkan.
Dialah Allah, tiada Tuhan selain daripada-Nya. Maha Tahu perkara yang tersembunyi dan yang nyata. Dia Pemurah dan Penyayang.
Dialah Allah, tiada Tuhan selain daripada-Nya, Pemerintah, Maha Suci, Pembawa keselamatan, Pemelihara keamanan, Penjaga segala sesuatu, Maha Kuasa, Maha Perkasa, Maha Agung, Maha Mulia Allah dari apa yang mereka persekutukan.
Dialah Allah, Pencipta, Yang Mengadakan, Pembentuk rupa, Dia mempunyai nama-nama (sifat-sifat) yang baik. Apa yang ada di langit dan di bumi bertasbih memuliakan-Nya, dan Dia Maha Kuasa dan Bijaksana.’
Setelah membaca ayat-ayat itu, lelaki itu berpesan kepadaku agar aku selalu membaca ayat-ayat itu dalam apa jua keadaan, seperti dalam kesukaran, bahaya, menghadapi orang sakit dan sebagainya. Kemudian dia telah ghaib dalam gelap malam di hadapanku.
GUNUG JERAI
Salim Fardi dan Munawwir Abdul Aziz telah diduga dan diganggu gugat juga selama tiga malam kami berwirid atau beratib di atas Gunug Jerai itu. Kerana pantang larang oleh sang guru petapa, maka kami tidak dapat memberitahu kejadian-kejadian itu kepada sesama kami.
Pada pagi kami akan meninggalkan petapa itu, dia membenarkan kami mengamalkan ilmu yang di ajarnya dan ilmu yang kami dapati pada masa bertapa. Dia telah memberitahu kami akan beberapa pantang larang yang kami mesti patuhi, iaitu: Tidak boleh mensyirikkan Allah, tidak boleh melakukan kemungkaran seperti meninggalkan sembahayang dan puasa, membunuh orang, minum arak dan berzina. Kami mesti berani serta sentiasa percayakan diri sendiri.
Kami dikehendaki melakukan korban sebagai ‘pengkeras’, iaitu kami mesti menyembelih seekor kambing jantan dalam tempoh 12 jam selepas kami tamat beramal. Kami dikehendaki melakukan seperti kehendaknya, iaitu:
Pada ketika hendak menyembelih kambing itu membaca basmalah dengan diikuti tiga kali membaca al Fatihah.
Setelah leher kambing itu disembelih, mengucap tiga kali “Allahu Akbar”.
Kami dikehendaki membakar daging kambing itu tetapi tidak boleh dibasuh lebih dahulu dan kami memakannya tanpa garam, cili dan sebagainya.
Daging yang kambing yang berbaki boleh diberi kepada orang-orang Islam sahaja.
Darah, tulang, kulit dan bulu kambing itu mesti ditanam supaya tidak dimakan oleh anjing dan babi.
Sebaik-baik sahaja kami tiba dalam kampung, di kaki Gunung Jerai itu, kami telah membeli seekor kambing jantan masih muda berhara $12.00 dari satu keluarga orang Melayu di kampung itu. Kambing itu kami telah sembelih telah melakukan seperti yang diamanahkan oleh sang petapa. Daging kambing tanpa kepala dan tulang yang berbaki itu, kami telah hadiahkan kepada satu keluarga petani Melayu di sana.
SEJARAH HIDUP
Mungkin tidak ada orang yang akan percaya mengenai diriku setelah beramal wirid dan ratib, di Gunung Jerai itu, tetapi kerana sesuatu yang aku telah alami itu tidak dapat dipisahkan dari sejarah hidupku, maka aku mencatatkanya di sini:
( 1 ) Aku dapat mengetahui serba sendikit akan sesuatu yang tersimpan dalam hati seseorang terhadap diriku (tidak semua); sama ada baik atau buruk. Tetapi kerana aku percayakan orang lain seperti percayakan diriku sendiri, maka aku sering menjadi mangsa perdaya seseorang yang baik denganku.
( 2 ) Untuk mengetahui rakan-rakan rapat denganku, tetapi mereka telah melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap diriku, aku sering membaca secara berbisik dekat mereka akan sepotong ayat Quran, iaitu
’...fazadadhum imanan, wa qalu hasbunallahu wani’mal wakil’ 2
( ....menambahkan keimanan mereka, dan mereka menjawab: Allah cukup menjdi Penolong kami dan Pelindung yang sebaik-baiknya). Sebentar kemudian nescaya rakanku itu mendedahkan perkara itu kepadaku.
( 3 ) Dengan qudrat dan iradat Allah, aku tidak pernah mengalami sakit yang teruk. Yang ada sekadar demam sahaja.
( 4 ) Aku yakin pada diriku dan tidak pernah ada rasa susah hati, dukacita dan putus asa.
( 5 ) Sesiapa yang mulai membuat tapai, kalau aku dapat mengetahuinya, maka tapai itu tidak menjadi atau tidak manis dan berkulat.
DAUN KELADI
Sekurang-kurangnya telah berlaku tiga kali mengenai tapai tidak menjadi. Pada hujung tahun 1954, biasanya pada akhir bulan, sekolahku cuti, aku telah pulang ke kampungku. Pada tiap-tiap kali aku pulang nenekku telah menghidangkan tapai yang telah dibuatnya kepadaku, tetapi pada kali itu, aku telah pulang lebih awal, iaitu pada hari nenekku baru membuat tapai dalam daun keladi. Setelah dia memberitahuku, dua hari kemudian tapainya tidak menjadi dan berkulat..
Pada tahu 1999, seorang rakan isteriku, berasal dari Terengganu, tinggal di Taman Melawati. Pada satu hari dia membuat tapai. Dia telah menjemput isteriku datang bersamaku ke rumahnya untuk makan tapai dalam tempoh dua hari lagi, iaitu pada hari tapainya telah manis. Isteriku telah memberitahu kepadaku. Dua hari kemudian rakan isteriku menelefonnya, memberitahu kepadanya yang tapainya tidak menjadi.
Dan pada tahun 2002, ibu saudara isteriku di Kampung Bekoh, Johor, telah menelefon isteriku dan menjemputnya bersama aku dan anak-anak kami supaya datang berhari raya puasa, di kampungnya. Dia memberitahu isteriku yang dia akan membuat tapai pulut. Apabila kami tiba pada hari raya, tapainya kira-kira dua gantang beras pulut telah tidak menjadi dan berkulat.
1 Tuaku Imam Bonjol, pahlawan perjuangan kemerdekaan Indonesia, Minahasa (1772-
1864). Terkenal sebagai seorang wali atau kiramah.
2 Ali Imran:173.
(Suntingan dari manuskrip novel, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. -Editor, Petah Shahrir Aidid).
pengalaman orang lama selalunya benar ..
ReplyDelete