Thursday, July 30, 2009

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah


Isteriku telah bekerja guru Kelas Dewasa - di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar - , di Kampung Baru Enggor, kira-kira lima kilometer dari bandar Kuala Kangsar.

Lebih kurang empat bulan kemudian kami telah tinggal, rumah sewa dalam bandar Kuala Kangsar,maka kami berpindah ke sebuah rumah sewa, di Simpang Penaga - tidak jauh dari sungai Perak - , dalam kawasan Majlis Bandaran Kuala Kangsar juga.

Pada masa itu, sebagai pemberita yang berpendapatan kecil aku hanya menggunakan kenderan, skuter. Dengan skuter itulah aku menjalankan tugas harianku. Pada sebelah malam aku berulang alik menghantar dan mengambil isteriku yang mengajar di Kelas Dewasa, di Kampung Baru Enggor.

Pada 27 Mei 1961 Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah membuat ucapan penting di sebuah hotel di Singapura. Dalam ucapannya itu dia telah menegaskan akan mustahaknya diwujudkan satu ’ persatuan ekonomi dan politik di antara Burneo Utara, Sarawak, Brunei, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

Tetapi Tunku telah menjelaskan, bahawa ’persatuan’ itu walaupun nisbah wilayah atau kawasan itu sama dengan dengan Melayu Raya yang telah dirancangkan oleh Presdien Soakarno, Presiden Macapagal dan beberapa orang pemimpin Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, di antaranya Dr Burhunddin Helmy, tetapi dasarnya tidak sama. Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.

Tidak lama kemudian, anak kami yang kedua – perempuan - , Anis Rafida telah lahir ke dunia. Kelahirannya telah menambahkan lagi erti diriku seorang lelaki. Tetapi Allah Yang Maha Mengetahui segala, telah mendugaku dengan satu dugaan yang sukarku tanggungkan, Anis Rafida telah meninggal dunia setelah kira-kira 60 hari lahir ke dunia.

Anis Rafida telah meninggal dunia dalam keadaan sakit ganjil yang tidak diketahui sebabnya oleh doktor dan bomoh. Kejadian itu telah bermula pada tengah hari Sabtu, tahun 1962. sebaik-baik sahaja aku pulang ke rumah, seorang pemuda jiranku, Sulaiman dan berasal dari Negeri Kelantan, telah meminta aku menolongnya menarik mayat seorang pemuda Melayu yang tersangkut pada kayu dalam Sungai Perak, di belakang rumahnya.

Setelah aku menolong Sulaiman menarik mayat itu ke pantai sungai itu, Sulaiman menunggu mayat itu dan aku segera pergi menelefon ke balai polis Kuala Kangsar. Setelah beberapa orang anggota polis datang mengambil mayat pemuda tersebut, aku telah pulang ke rumahku.

Sebaik-baik sahaja aku tiba di rumah, isteriku meminta aku memegang Anis Rafida kerana dia hendak menyediakan makan tengahari. Aku telah memegang anak kami itu dan meribanya. Sebentar kemudian dia telah lena atas ribaku. Kemudian aku memasukkannya ke dalam buaian kain, dalam bilik kami.

Kira-kira jam 3.00 petang, isteriku mendapati anak kami sedang demam, dari mulutnya berbuih-buih memutih dan dua biji matanya terbeliak. Tetapi dia tidak menangis.

Aku segera memberitahu jiran tetangga. Mereka yang datang telah hairan melihat keadaan anak kami itu. Seorang dari mereka telah menyuruh aku pergi menemui pawang. Wan Abdul Karim. Dia adalah penunggu kawasan makam Orang Besar-Besar Negeri Perak, di Pulau Che Abit, dalam Bandar Kuala Kangsar.

Wan Abdul Karim telah datang melihat dan menilik anak kami. Dia telah membaca mentera jampinya dengan mengusapkan asap kemenyan kepada anak kami. Kemudian memaklumkan kepada kami yang anak kami itu telah ditegur oleh ’penunggu Sungai Perak’1. Pada waktu itu hatiku berat menerimanya, tetapi aku telah tidak berkata apa-apa. Yang pentingnya aku mahu anak kami itu betah dari sakit ganjilnya itu.

Menjelang waktu senja, anak kami tidak juga betah. Setelah berunding dengan isteriku dan jiran tetangga yang hampir, kami telah menghantar Anis Rafida ke Hospital Perempuan Kuala Kangsar, yang kira-kira setengah kilometer juahnya dari rumah kami.

Dua tiga orang doktor (bukan pakar) dan ramai jururawat telah memeriksa anak Anis Rafida. Mereka telah menyuntik ubat pada pehanya. Doktor yang merawat anakku itu telah meminta aku menandatangani dua surat kebenaran membedahnya. Aku telah menandatangani kedua-dua surat itu, iaitu surat untuk membedah leher dan halkum Anis Rafida dan membedah tengkorak kepalanya.

Selama lima hari anak kami di rawat di hospital itu, dia telah disuntik sejenis air (mungkin ubat) pada pehanya sebanyak 21 kali.

Penyakit Anis tidak juga sembuh. Mulutnya masih berbuih-buih dan matanya terbeliak. Seorang pegawai jururawat, Cik Hazamah binti Haji Marzuki telah menasihatkan aku, supaya kami membawa pulang anak kami itu. Menurutnya, ubat yang telah disuntikkan kepada peha anak kami itu, hanya untuk melalikan saja. Doktor tidak mengetahui apa jenis penyakitnya.

Pada hari itu juga, aku telah telah menandatangani satu borang yang membenarkan aku membawa Anis Rafida keluar dari hospital itu.

Seorang jiranku telah menasihatkan aku, supaya aku pergi meminta air penawar dan ubat untuk anak kami kepada seorang bomo petapa, Wak Tamo, yang tinggal di pendalaman, dekat rimba di kaki Gunung Payung, di belakang kampung Kota Lama Kiri.

Aku tiba ke rumah Wak Tamo dengan membawa selabu air sejuk. Pada waktu aku tiba, dia sedang sembahyang Zohor (lewat). Sebaik-baik sahaja dia selesai sembahyang, aku telah memberi salam dan naik ke dangaunya. Belum sempat aku bercakap, Wak Tamo telah berkata, ”...encik datang ni dah lambat, ...anak encik tu dah kena bajang, ...Encik tolong angkat orang mati hanyut, encik tak mandi sebelum pegang anak Encik...”

Pada waktu itu aku hampir-hampir menjerit kerana sedar akan kesalahanku. Semenjak aku kanak-kanak lagi aku sering mendengar orang tua berkata; balik dari menziarah mayat mesti mandi lebih dahulu sebelum berbuat apa-apa.

Wak Tamo telah menjampi air penawar. Dia menyuruh aku menjelum air penawar itu pada seluruh tubuh anak kami. Dia telah berkata, ”...saya dapat ikhtiar saja, ...Allah Yang Maha Kuasa.”

Pada waktu aku tiba di rumahku, ibu dan bapaku sedang menghadapi Anis Rafida. Aku telah melakukan apa yang telah disuruh oleh bomoh itu. Apabila aku melihat tidak ada perubahan pada anak kami itu, maka ku telah pergi mengambil Pawang Raja, Tengku Adlan bin Tengku Adil (bapa tiri Sultan Perak, Sultan Idris Shah), di Istana Iskandariyah, Bukit Chandan.

Setibanya Tengku Adlan di rumah kami, dia telah membaca ayat-ayat Quran dan dihembuskan kepada Anis Rafida. Kemudian dia meminta aku dan isteriku supaya bersabar. Kira-kira setengah jam kemudian, Anis Rafida telah meninggal dunia. Seluruh tubuhnya kelihatan lebam seperti jantung pisang direbus.

Jenazah telah disemadikan di tanah perkuburan orang Islam, di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.

Peristiwa sedih itu, sampai kini aku sentiasa meramas hatiku. Aku teringatkan kejadian aku menolong menarik mayat pemuda di sungai Perak dan bayiku, Anis Rafida menderita sakit sebelum meninggal dunia. Setiap kali aku melihat kanak-kanak perempuan, terasa bagaikan denyut nadiku terhenti dan fikiranku menjadi hiba dan sayu seketika.

1 Kebanyakan Orang Besar-Besar Negeri Perak, pada masa itu masih percaya kepada

penunggu, iaitu ruh atau hantu datuk nenek mereka yang yang meninggal dunia dan

menunggu di sesuatu tempat, seperti rumah, makam atau pusara, tempat berjamu dan

sebagainya.

(Sedutan dari buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh:Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid)





No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.