Tuesday, July 28, 2009

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Setelah Harian Patriot ditutup, selama beberapa bulan aku telah menjalankan berbagai pekerjaan untuk mencari wang. Di antaranya aku membantu membantu rakanku, Yahya Arif menjual buku di toko bukunya, di Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Seorang hartawan Melayu keturunan Melayu Bugis dan Melayu Pattani di Negeri Perak (kerana amanahnya, namanya tiak dinyatakan di sini) telah meminta aku menulis sebuah buku biografinya. Aku talah menulis biografinya sebanyak 345 halaman kertas A-4, dengan menggunakan mesin tulis. Buku biografinya itu tidak dicetak dan dibukukan. Hanya untuk dirinya sendiri.

ORANG RAMAI

Sebelum aku menulis buku itu, hartawan itu mahu menulis semua fakta dan segala kebaikan dan keburukannya. Aku telah memberitahu kepadanya, kalau biografi itu dibukukan dan akan dijadikan bahan bacaan orang ramai, aku tidak sanggup menulis keburukannya. Dia telah mengaku, bahawa buku itu untuk kenangannya sahaja dan dia tidak akan memberi kepada sesiapa, walaupun kepada isterinya sendiri.

Di antara yang manarik dalam perjalanan hidup hartawan itu, ialah:

(1) Pada masa remaja, dia menjaja air batu campur dan cendol di pekan kecilnya.

(2) Kemudian berniaga kayu dan papan di samping mengambil kontrek membekal kayu bakau membuat palung lombong bijih timah.

(3) Mempunyai lebih 17 orang gadis, 20 janda dan 9 isteri orang, termasuk isteri pengurus lombong, orang Inggeris.

(4) Menyamun bijih timah dari gudang bijih.

(5) Membunuh lebih 8 orang China ahli konsi gelap dan parti komunis.

(6) Membekalkan makanan kepada pengganas-pengganas komunis.

(7) Ditangkap polis kerana membantu pengganas komunis. Kerana tidak cukup bukti mahkamah membebaskannya.

(8) Dia telah berkahwin sebanyak 37 kali. Semua isterinya gadis-gadis Melayu, Indian Muslim, Cina Muslim dan orang Asli. 34 orang isterinya telah diceraikan. Tiap seorang dari mereka diberi sekadar satu ekar tanah dan sebuah rumah kampung serta wang yang tidak disebut berapa banyaknya.

(9) Isterinya dua orang, tetapi dia tidak pernah mendapat anak dengan mana-mana isterinya.

  1. Kegemarannya, ialah membantu anak-anak yatim dan fakir miskin tak kira bangsa dan agama.

    KAIN SONGKET

Hartawan itu telah membayar wang kepadaku sebagai upah menulis biografinya sebanyak $5,000.00. Wang sebanyak $3,000.00 telah dibayar pada hari aku berjanji dengannya untuk memulakan kerja menulis buku itu dan $2,000 lagi dibayar pada hari aku menyerahkan manuskrip biografi itu.

Dia juga telah menghadiahkan kepadaku, sebentuk cincin suasa dan permata delima, sepasang baju Melayu dan sehelai kain songkit benang emas.

Pada tahun 1977, hartawan itu bersama dua isterinya telah berhijrah ke Selatan Thailand. Semenjak itu aku tidak mengetahui sama ada dia masih hidup atau telah meninggal dunia.

PEMBERITA SAMBILA

Apabila surat khabar Berita harian diterbitkan oleh The Strais Times Singapura dan dikelolakan oleh Samad Ismail aku telah diterima bekerja sebagai pemberita surat khabar itu, di Kuala Kangsar.

Usiaku telah mencapai 24 tahun. Zaman remajaku sedang masuk ke lorong penamatnya. iaitu setelah aku bertemu dan bercinta dengan seorang guru sekolah Melayu, Che Su atau Jawariah binti Haji Dahari, dari kampung Lubuk Merbau1, Kuala Kangsar. Bapanya, pesara Guru Besar, Sekolah Melayu Kampung Laneh, Kuala Kangsar. Ibunya warga kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak, telah lama meninggal dunia.

GURU AGAMA

Che Su telah mengajar, di Sekolah Perempuan, Sauk, baru empat bulan. Sebelum ditukar ke sekolah itu, dia telah bertugas di sekolah Melayu, Kampung Perak, Batu Kurau, dalam daerah Larut dan Matang..

Aku mula berkenalan dengannya di rumah seorang guru agama, di sekolah yang sama, Ustazah Zubaidah Jamada, pada satu petang, iaitu sewaktu aku datang ke rumah guru agama itu bersama rakanku, Cikgu Syed Zakaria bin Sayed Mohamad. Dia mengajar di sekolah yang sama dengan Che Su.

BAHASA CINTA

Pertemuan kali pertama pada petang itu, dengan takdir dan kehendak Allah, hati nuraniku telah terpaut kepada Che Su. Dari pakaian dan tingkal lakunya aku telah mengetahui tentang hati dan budinya, iman dan takwanya kepada Allah. Cintaku kepadanya bersambut dengan ’bahasa cinta’.

Bahasa cinta’ kami sukar diterjemahkan oleh orang lain. Hanya aku dan Che Su dapat menterjemahkannya menjadi untai pantun yang telah diungkapkan oleh pemimpin Melayu, Dr Burhanuddin Helmy:

Kalau roboh kota Melaka,

Papan di Jawa saya dileraikan,

Kalau sungguh bagai dikata,

Badan dan nyawa saya serahkan.

Percintaan kami yang telah berusia hampir enam bulan itu telah tidak direstui dan bahkan dihalang oleh kakak dan abang ipar Che Su. Mereka mahu mengahwinkannya dengan seorang guru sekolah Melayu yang masih remaja. Aku dan Che Su telah bernekad; sekali melangkah ke alam percintaan, pantang surut ke belakang atau gagal, kecuali dengan iradat Allah.

Apa takut kepada kumbang,

kerana menyengat tidak bisa;

Apa peduli batu dan karang,

hati berhajat kurempuh juga.2


Bapa Che Su tinggal bersama isterinaya, Hamidah, di sebuah tebuk atau sawah padi, Talang Buruk Bakul, di pendalaman, Senggang, Kuala Kangsar.

WANG PENCEN

Pada tiap-tiap hari Jumaat Haji Dahari telah datang ke Bandar Diraja Kuala Kangsa kerana sembahyang Jumaat di masjid dalam bandar itu, sambil membeli barang-barang keperluan dapur atau mengambil wang pencennya. Setiap kali dia datang ke bandar Kuala Kangsar, dia menumpang bot penumpang dari Kampung Senggang yang berulang alik saban ke ke bandar itu.

Pada satu hari aku telah menemui bakal bapak mertuaku itu, di sebuah warong makanan, dalam pasar lembah di bandar itu. Aku telah memulakan percakapan dengan sebagai wartawan bercakap dengan orang-orang kenamanan. Tiada rasa gentar, takut dan berdarah kemuruh. Setelah aku perkenalkan diriku memaklumkan kepadanya yang aku berhajat menyunting bunga di tamannya - anak gadisnya, Che Su, dengan senyum mesra, dia telah berkata,”...saya dah tau, ...tak apa, saya terima....”kata Haji Dahari.

Terima kasih, ayah haji,” kataku.

Sama-sama, ...tak apa hantar wakil ke rumah saya..., tapi rumah saya jauh, ...Talang Buruk Bakul, dalam rimba...., Senggang,”katanya.

Baik, ayah haji, ”kataku.

...saya senang aje, ...kalau dah Che Su suka, saya setuju, ...tak pilih orang,”katanya. Ketawa.

MASYARAKAT SETEMPAT

Sambil minum kopi dan makan goreng pisang panas, aku dan bakal bapa mertuaku telah bercakap-cakap mengenai kehidupannya di pendalaman dan serba sedikit tentang masyarakat setempat.

Pada waktu itu aku terasa yang aku adalah seorang pemuda yang paling berani, kerana secara terus terang meminta anak gadis kepada bapanya, iaitu tidak menggunakan orang tengah. Aku seperti erti sajak penyair Indonesia, Trisno Sumjarjo dalam dramanya yang berjudul ’Dokter Kambuja’, iaitu:

Kata hati dan jiwa tak hendak kuingkarkan;

Dorongan hidupku dan pangkal peribadi.3

Seminggu kemudian, ibu dan bapaku telah mewakilkan dua orang di kampungku untuk melamar Che Su. Mereka, Hassanduddin Yassin dan Abdul Hamid Othman. Allah telah menolong aku, mereka telah membawa balik cerita yang menggembirakan, iaitu bapa Che Su telah terima lamaranku.

SEPASANG KEKASIH

Pada ketika itu aku terasa diriku sahajalah remaja yang paling gembira, di dunia ini. Aku dan Che Su sepasang kekasih berani menghadapi rintangan dan memegang teguh pada janji kami.

Buah jering di atas para,

Diambil budak sambil berlari;

Hingga kering lautan Melaka,

Baru saya mungkir janji.4

Oleh kerana rumah Haji Dahari jauh di pendalaman, maka dia telah merminta wakil-wakilku datang meminang anak gadisnya, Che Su dalam satu majlis yang akan diadakan di tingkat atas sebuah restoran India Muslim, di Jalan Dato’, dalam Bandar Kuala Kangsar. Pada masa itu restoran tersebut terkenal sebuah ’rumah makanan’ yang sentiasa dikunjungi oleh guru-guru Melayu dan orang-orang alim.

Majlis meminang yang ringkas itu telah dihadiri oleh Hassanuddin dan Abdul Hamid mewakili ibu dan bapaku, Haji Dahari, isterinya, Hamidah dan abang Che Su, Hashaim serta dua tiga orang rakan Haji Dahari.

Kedua belah pihak telah menandatangani surat perjanjian, iaitu ’surat bertunang’ antara pihak aku dengan pihak Che Su dalam majlis itu. Perjanjian itu telah menetapkan, iaitu setahun kemudian dari tarikh surat perjanjian itu dimereraikan, aku dan Che Su akan diijabkabulkan dengan mahar mengikut seperti mahar ibunya.

Keputusan yang telah dicapai dalam majlis pertunangan di restoran itu telah diterima oleh kaum kerabat Che Su dengan tidak sekata. Kakak dan abang ipar Che Su telah tidak setuju perkahwinan kami, telah menghenyahkan Che Su dari rumah mereka. Che Su terpaksa menyewa sebuah rumah kecil dekat sekolahnya, di kampung Tanah Merah.

Kira-kira seminggu kemudian dari pertunangan kami, pada satu hari dua orang lelaki yang mewakili kakak Che Su dan abang iparnya, iaitu Ketua Kampung, Anjang Rezeki bin Abdul Hami dan rakannya bernama Tambi, telah datang menemui aku di Kuala Kangsar. Mereka telah memberitahu kepadaku yang kakak Che Su dan suaminya telah menawarkan wang yang banyak kepadaku, kalau aku memutuskan pertunanganku dengan adik mereka.

Aku telah menjelaskan kepada mereka,”....lelaki dan perempuan yang bernikah dengan cara paksa, maka nikah itu tidak sah, kerana nikah yang sah mestilah dengan cinta dan rela antara pasangan yang menikah itu.”

...saya bukan ulama, tapi saya mengakui, perempun dan lelaki yang dikahwinkan dengan cara paksa, nikah deme tu tak sah, ...deme hanya berzina,” jelasku lagi.

Setelah mendengar penjelasanku itu, Anjang Rezeki dan Tambi setuju dengan pendapatku. Mereka telah menyalahkan kakak dan abang ipar Che Su. Pada hari-hari berikutnya, mereka telah menjadi dua rakan baikku.

1 Tempat lahir ulama terkenal, Sheikh Idris al Marbauwi. Di antara karyanya, kamus Al Mabwi.

3 A.Teeuw, 1978, Sastera Baru Indonesia, Kuala Lumpur, Penerbit Universiti Malaya,

hlm .203.

4 Zainal Abidin Bakar, 1992, Kumpulan Pantun Melayu, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dn

Pustaka, hlm.272.

( Sedutan dari buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh:Mokhtar Petah. -Editor, Petah Shahrir Aidid)




No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.