Tuesday, July 7, 2009

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Sekitar tahun-tahun 1940 -1950an telah menjadi sebagai tradisi di kalangan sekolah-sekolah agama dan institusi pondok, di Seberang Perai, Kedah dan Perlis, iaitu bercuti panjang pada musim menuai padi.

Pada masa cuti itu kebanyakan penuntut berpeluang membantu ibu bapa mereka bekerja memotong dan mengempuk padi di sawah. Penuntut-penuntut yang berdagang belajar di negeri-negeri itu berpeluang pula mencari wang untuk keperluan mereka dengan mengambil upah memotong dan mengempok padi.

Aku sekadar hendak mencari pengalaman bekerja di negeri orang. Aku telah mengikuti tiga orang rakanku pergi mengambil upah memotong dan mengempuk padi di Sungai Limau, Yan, Kedah. Siapa yang kuat bekerja akan mendapat upah kira-kira tiga ratus hingga lima ratus ringgit bagi satu musim. Pada zaman itu, wang sebanyak itu cukup untuk belanja makan minum selama setahun bagi penuntut-penuntut sekolah rakyat dan institusi pondok.

Di Sungai Limau, kami telah tinggal di sebuah rumah kosong yang disediakan oleh pemilik sawah padi tempat kami mengambil upah. Pemilik sawah itu(Haji Ismail- bukan nama sebenar). Dia tinggal bersama isteri dan seorang anak perempuannya – gadis cantik- , di sebuah rumah tepi sawahnya dan dekat dengan rumah tempat kami menumpang itu.

Pada tiap-tiap pagi, kami turun bekerja di tengah sawah itu, sebaik-baik sahaja lepas sembahyang Subuh. Kira-kira jam 7.00 pagi anak gadis Haji Ismail, Halimah (bukana nama sebenar) Penuntut sebuah sekolah agama), datang membawakan makanan untuk kami menyorok (makan pagi). Makanan itu, pulut tanak berlaukkan ikan masin sepat Siam goreng, telur itik goreng, sambal tanpa ulam dan air kopi hitam.

Selama tiga pagi aku telah bekerja bersama kawan-kawan dalam sawah padi itu. Kami memotong pokok padi dan mengempuk (memukul) padi bagi meleraikan buah-buahnya. Haji Ismail sentiasa memerhatikan aku bekerja. Memang aku tidak bertenaga sekuat tenaga kawan-kawanku. Jika tiap-tiap seorang dari rakan- rakanku telah mendapat satu tong penuh padi yang dihempok (pukul), tetapi aku baru mendapat sesuku tong.

Aku sendiri tahu akan sebab-sebab aku tidak dapat padi seperti kawan-kawanku. Di antaranya, pada waktu mengempuk otakku penuh dengan rempah ratus atau bahan- bahan yang akan aku tulis, tulisan-tulisan dalam buku yang aku telah membacanya pada malam tadi masih belum lekang dari otakku, dan aku tidak berminat bekerja demikian.

Pada masa itu aku telah menulis sebuah buku cerita romen berjudul ‘Bunga Sukma’. Tidak lama kemudian buku itu telah diterbitkan dalam tulisan Jawi oleh sebuah penerbit buku, Sentosa Store, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Pada hari yang keempat, iaitu pada waktu hampir senja, sebelum aku dan kawan-kawanku pergi ke surau di kampung itu, Haji Ismail telah memanggil aku ke rumahnya. Setelah isteri dan anak gadisnya menghidangkan air kopi hitam dengan pisang goreng, Haji Ismail telah berkata kepadaku:

...Mokhtar, ...Pak Aji tengok hang ni bukan anak oghang susah..., anak oghang senang...”

Ngapa Pak Aji...?”Aku bertanya.

Dia senyum. Isteri dan anak gadisnya yang duduk tepi pintu ke bahagian tengah rumah itu turut senyum. Aku telah melihat dua biji mata anak gadisnya seperti bergolek kepada diriku.

...daklaaa, ...Pak Aji tengok Mokhtar tak laghat keghja,”katanya.

...tak, Pak Aji, saya ni oghang susah, ...kalau tak susah saya ta datang ke sini..., saya ni macam kata orang, ...dahlah berdagang merempat pulak...” aku berkata sambil senyum.

...tak susah mana kuuut..., ”sambut isteri Haji Ismail.

Haji Ismail mengusulkan kepadaku, iaitu aku mengajar hukum hakam agama Islam kepada orang-orang kampung di surau kampung itu pada sebelah malam. Aku tak payah memotong dan mengempuk padi di sawah lagi. Orang-orang kampung yang mengaji di surau itu pada tiap-tiap malam akan men’sedekah’kan padi mereka kepadaku.

Memang telah menjadi kebiasaan bagi petani-petani di sana, walau macam mana penat bekerja pada sebelah siang, tetapi pada sebelah malam mereka datang juga ke surau dan mengaji ilmu agama.

...tak apa, ...Mokhtar mengajar..., depa akan bagi padi kepada hang...,”kata Haji Ismail.

...kalau Pak Aji dah kata macam tu, saya ikutlaaa...,”aku berkata mengikut dialek orang Kedah.

Haji Ismail bersama isteri dan anak gadisnya ketawa.

Pada malam lusanya, selepas sembahyang fardhu Maghrib, aku telah mengajar ilmu tauhid kepada kira-kira tiga puluh lima orang lelaki dan perempuan yang kebanyakkannya telah tua. Aku telah menggunakan kitab ’Risalatut tauhid’1 yang aku telah membawanya bersama buku-bukuku yang lain.

Aku telah mengajar dari muka 5 hingga muka 10 dari kitab yang tebalnya 87 muka surat itu. Mereka telah memberi tumpuan akan pelajaran itu. Beberapa orang dari mereka telah bertanya beberapa perkara yang mereka musykilkan.

Pada malam itu ramai lagi orang-orang kampung itu tidak dapat datang ke surau kerana diganggu oleh cacing kerawit. Cacing kerawit(enterobius vermicularis) yang banyak dalam usus mereka. Pada waktu malam cacing-cacing kerawit itu telah keluar ikut jubur mereka. Cacing-cacing kerawit itu menyebabkan terbatal air sembahyang mereka.

Pada pagi esoknya aku telah pergi ke sawah. Aku telah pergi lewat dan aku tidak memotong dan mengempuk padi. Hanya membantu Haji Ismail memasukkan padi-padi yang telah lerai ke dalam bakul dan guninya.

Masuk pada hari yang ke lima aku di sana, kira-kira jama 11.00 pagi, aku terpaksa pulang ke rumah kerana aku telah pening kepala. Di pertengahan jalan, aku terserempak dengan Halimah. Dia telah bertanya kepadaku, mengapa aku pulang cepat. Aku memberitahu kepadanya yang aku sakit kepala.

Halimah senyum. Dia berkata sambil menyindir, ” ....sakit sikit saja kuuut, ....sakit di kampung bolehlah emak tolong picit...,di sini ubat adalaaa...”

...tak apa, kalau dah sakit sangat saya hentuk-hentuk kat batang nyiur tu...,” aku berkata sambil menunjuk dengan ibu jari kananku ke batang kelapa di situ.

Awatnyaaa, ...takkan teghok sampai macam tuuu kut...?” Halimah bertanya dan dua biji matanya memelukku.

Habis..., apa nak buat lagi, ...emak jauh, ...saya ni macam kata orang, kajang tuan kajang berlipat, kajang saya mengkuang layu...,”aku berkata sambil senyum kepadanya.

...ngadala tu, ...nyeghama....,”katanya sambil senyum. Tunduk.

Aku telah meminta diri kepada Halimah. Sebaik-baik sahaja aku tiba di rumah, aku telah minum air sejuk sahaja. Tiada ubat sakit kepala yang hendak aku telan pada waktu itu.

Setelah merebahkan diriku atas lantai, aku mencapai novel karya HAMKA ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’2, belum sempat aku membaca buku itu, tiba-tiba aku terdengar orang berjalan, di halaman rumah itu. Aku menghumbankan pandangan ke arah halaman rumah menerusi jendela yang ternganga. Halimah sedang berdiri di halaman rumah itu sambil memanggil namaku. Aku lantas bangun dan berjalan ke pintu yang sedang terbuka. Gadis itu dalam pakaian baju kurung – kebaya Kedah – warna biru muda dan kepala berbungkus dengan selendang warna kelabu.

Belum sempat aku menuruni tanggan, Halimah berkata, ”...ni, saya bawa minyak hangat..., ubat sakit kepala....”

Halimah mengunjukkan tin kecil pipis berisi ubat kepadaku.

...buat susah-susah..., sakit sikit aja...,”kataku.

...awat, tak sudikaaa?”Dia bertanya.

...sudi,...terima kasih,”kataku.

Sama-sama...,”sahutnya. Malu-malu.

Halimah telah berlalu dari halaman rumah tumpanganku itu dan pulang ke rumahnya. Aku telah naik semula ke rumah dan menutup pintu. Ubat ’balm’ itu aku gosok-gosokkan ke pelipis dan dahiku.

...nasib baiklah ada anak dara orang yang baik hati, kalau tak di manalah aku nak cari ubat,”aku telah bercakap sendirian.

Pada waktu itu aku memuji kecantikan Halimah:

Gadis Kedah,

Mata bintang kejora,

kening taji dibentuk,

pipi pauh dilayang,

bibir delima merkah,

dagu lebah bergayut,

leher jinjang,

minum air nampak terbayang,

tumit telur dikupas.

Seperti biasa, pada waktu malam, lepas sembahyang fardhu Isya, kami makan malam di rumah Haji Ismail. Kawan-kawanku telah memerli aku; sakit kepala sedikit sahaja telah tidak bekarja.

Pada ketika kami hendak pulang, isteri Haji Ismail telah berkata, ”...mak cik yang suruh Halimah hantak ubat tu ...,”

Terima kasihlah, mak cik, ” aku berkata.

Sama-sama,” jawab isteri Haji Ismail.

Aku sempat merenung kepada Halimah yang sedang duduk di tepi dinding tepi pintu masuk ke rumah tengah. Wajahnya cantik dan dua biji matanya bersinar dalam cahaya pelita minyak tanah.

Malam kedua aku mengajar di surau itu, aku mendapati orang-orang yang hadir lebih ramai dari malam pertama. Walaupun aku telah mengajar ilmu tauhid kepada mereka, tetapi ramai dari mereka yang bertanya mengenai hukum-hukum dalam ilmu fiqh.

Setelah sembahayang Subuh esoknya, Haji Ismail telah memberitahu kepadaku, ada dua guni setengah padi yang telah diberi oleh orang-orang kampung kepadaku. Padi itu ada dalam jelapang padi di belakang rumahnya. Dia akan menjualkan padi itu pada tengah hari itu dan wangnya akan diberikan kepadaku. Pada waktu itu aku terasa diriku macam ’lebai tembolok’, mengajar agama disurau dan menagih bayaran. Aku telah membuat keputusan yang muktamad, iaitu aku tidak akan menerima wang itu.

Pada malam itu juga aku telah disedarkan oleh fikiranku sendiri; jika aku tinggal lama di kampung itu, mungkin aku dan Halimah hanyut dalam arus cinta. Sedangkan aku mahu meneruskan pelajaranku. Aku tidak mahu patah di pertengahan jalan. Lantas aku telah teringatkan kata-kata orang bijak Arab, ”al rajulu marbuttun baina fakhizaiha” - ”...orang lelaki terkekang di antara dua pehanya ( perempuan).”

Semua kawan-kawanku telah pergi ke sawah pada pagi itu, tetapi aku tidak pergi bersama mereka, aku masih di rumah. Setelah kawan-kawanku pergi ke sawah, aku telah menulis sepucuk surat kepada Halimah memberitahu kedapadanya yang aku terpaksa pulang ke kampungku . Bersama surat itu aku telah sertakan novel karya HAMKA ’Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ sebagai hadiah dariku kepadanya.

Aku juga telah menyertakan sepucuk surat kepada bapanya yang mengandungi permohonan maaf dariku kepadanya dan isterinya. Aku meminta kepada orang tua itu supaya wang hasil jualan padi untukku itu, diserahkan kepada pihak surau itu.

Aku juga telah menulis perkara yang sama dalam surat kepada kawan-kawanku dan aku meminta maaf kepada mereka.

Selah aku meletakkan suratku kepada kawan-kawanku atas tikar tempat kami sering duduk-duduk, aku telah membawa surat kepada Halimah bersama Novel ’Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ dan surat kepada bapanya k rumahnya. Aku telah meletakkannya atas meja di beranda rumah mereka.

Pada pagi itu, Halimah telah pergi ke sekolahnya dan ibu dan bapanya telah berada dalam sawah.

Dengan menjinjit bujam pakaian dan buku-buku kepunyaanku, aku telah berjalan kaki ke jalan raya kira-kira sesuku kilometer jauhnya. Setiba di jalan raya aku telah menumpang sebuah kereta – teksi sapu -, menuju ke Pekan Rabu, dalam Bandar Alor Setar.

1 Abdul Ghani Yahaya dan Umar Yusuf, Risalatu tauhid, Johor Bahru, Abdul Ghani Yahya

dan Umar Yusuf, 1952.

2 Balai Pustaka, Jakarta, 1951.

(Suntingan dari buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid.)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.