Friday, July 31, 2009

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Pada tahun 1950-an, mana-mana penulis yang menulis mengenai hal ehwal politik, masyarakat dan agama Islam, mengasah kesedaran dan fikiran orang-orang Melayu untuk memerdekakan bangsa dan tanah air, telah dianggap oleh orang-orang yang memihak kepda penjajah Inggeris, sebagai orang yang tidak diingini. Mereka menganggap penulis-penulis itu seperti ’duri dalam daging’ kepada kerajaan Inggeris dan anggota-anggota masyarakat yang sayangkan penajajah tersebut.

Oleh yang demikian ramai penulis-penulis yang menulis rencana, cerpen dan sebagainya yang mengandungi idea atau semangat perjauangan menuntut kemerdekaan atau politik menentang penjajah Inggeris telah menggunakan nama samaran masing-masing. Ishak Haji Muhammad menggunakan nama samaran: Anuar, Hantu Raya dan beberapa nama lagi, Abdullah Hussain: Adiwajaya, Iskandar Muda dana beberapa nama lagi, Abdul Samad Ismail: Asmal, Mohha dan Nasha, Kamaluddin Muhammad:Kris Mas, Abdullah Thani: Ahmad Boestamam dan Ruhi Hayat, Usman bin Awang: Tongkat Waran dan ramai penulis-penulis yang mengunakan nama samaran. Aku telah menggunakan beberapa nama samaran, di antaranya, M.Pathy, Shabab Asmara, Akhdiat, Noor Iskandar dan lain1.

Aku dianggap oleh kebanyakan politikus Melayu seorang penulis kontroversi atau daring writer. Ramai yang suka membaca tulisanku dan ramai pula yang tidak suka membacanya kerana takut tulisanku itu memjadi ’sabun’ membasuh otak atau ’brain wash’ mereka.

MENOREH GETAH

Setelah sekolah aku di Teluk Anson tutup, kira-kira dua bulan aku tinggal di kampungku. Tiap-tiap hari aku telah bekerja menoreh getah di kebun getah ibuku, di Paya Pak Banon. Pada sebelah petang aku telah menolong ibuku bekerja sawah dan pada sebelah malam aku menjadi nelayan di Tasik Chenderoh. Ikan-ikan yang telah aku tangkap itu sekadar untuk lauk kami sahaja.

Di samping itu aku mengambil kesempatan dari waktu-waktu lapang untuk menulis artikel, cerpen dan buku cerita atau romen. Ada kalanya aku telah dikacau oleh pertanyaan; mengapa ku menjadi penagih menulis, sedangkan dari moyang, datuk dan bapaku, sama ada di sebelah bapaku mahaupun di sebelah ibuku tidak ada yang telah menjadi penulis?

Akhirnya aku menjawab sendiri, iaitu Allah telah menjadikan rasul-rasul-Nya dan nabi-nabi-nya. Maka tidak hairanlah Allah telah menjadikan orang-orang yang dikehendakinya itu sebgai penulis. Kepada rasul-rasul-Nya dikurniakan wahyu. Kepada penulis-penulis dianugerahkan ilham-Nya seperti Allah memberi wahyu dan ilham kepada lebah.

Dan Tuhan kamu telah mewahyukan kepada lebah supaya membuah tempat diam (sarang) di bukit, di pohon kayu dan apa sahaja pun yang dapat mereka dirikan.

Kemudian (dan) makanlah buah-buahan dan laluilah jalan Tuhan dengan patuh.Dari perutnya keluar minuman yang bermacam warnanya, di dalamnya ada ubat bagi manusia; sesungguhnya hal itu menjadi keterangan bagi kamu yang memikirkan.2

Pada satu hari, aku bersama bapaku telah pergi ke sekolah agama, Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan menemui mudirnya, Ustaz Haji Zubir bin Haji Ahmad. Bapaku telah memohon mudir itu agar dia dapat menerima aku melanjutkan pelajaran di sekolahnya. Dengan pertolongan Allahyarham Haji Ohman bin Ahmad, bilal Masjid Ubudiyah, Bukit Chandan, maka aku telah diterima untuk menduduki peperiksaan khas pada hari itu juga, bagi melayakkan aku menyambung pelajaran dalam Qismuth thalith’ (tingkatan tiga).

BERBAU POLITIK

Walaupun aku telah berjaya dalam peperiksaan khas itu, tetapi malang, kerana tiga orang dari ahli jawatankuasa sekolah itu telah tidak mahu menerimaku. Mereka telah memberi alasan, kerana sekolah itu di bawah naungan Sultan Negeri Perak, maka aku tidak boleh diterima belajar di sekolah itu, kerana aku telah benyak menulis artikel-artikel yang berbau politik dalam surat-surat khabar dan majalah-majalah. Jika aku diterima belajar di sekolah itu, maka aku akan merosakkan nama baik sekolah itu. Mereka juga tidak menolak kemungkinan, jika aku belajar di sekolah itu, ramai daripada penuntut-penuntut sekolah tersebut akan terpengaruh dengan fikiran dan tulisanku.

Aku terpaksa menganggur di kampungku selama sebulan setengah lagi. Ada hari-harinya aku pergi ke Kuala Kangsar. Di sana aku telah berkenalan dengan pemilik toko buku, di Jalan Kangsar, dalam bandar diraja itu, iaitu Allahyarham Yahya Arif. Dia ialah menantu kepada Sheikh Tahir Jalaluddin dan adik ipar kepada Tun Hamdan Sheikh Tahir. Yahaya Arif juga menjadi pengeluar ubat bersalin cop ’kambing gurun’ dan ’burung layang-layang’.

Setelah Yahya Arif mengetahui masalahku, maka dia telah mengesyorkan kepadaku supaya aku melanjutkan pelajaran ke sekolah agama Islam, di Padang atau Bukit Tinggi, Indonesia. Sekolah itu telah dikendalikan oleh beberapa orang ulama di sana, termasuk pujangga Haji Abdul Karim Amarullah - HAMKA.

MAJALAH ISLAM

Yahaya Arif telah memberi jaminan kepadaku, bahawa dia akan mengaturkan perjalananku ke sana dan segala perbelanjaanku di sana termasuk yuran sekolah dan buku-buku akan ditanggung oleh pihaknya.

Syeikh Tahir Jalaluddin adalah rakan karib kepada HAMKA. Yahya Arif juga menjadi rakan rapat pujangga itu. Di toko bukunya ada menjual banyak buku-buku karya HAMKA dan buku-buku karya penulis-penulis lain dari Indonesia.

Yahya Arif telah berharap kepadaku, apabila aku telah belajar di Bukit Tinggi, aku akan dapat membantu beberapa buah majalah Islam di sana, iaitu dengan menulis artikel-artikel untuk majalah-majalah itu. Aku akan diberi honorarium bagi setiap artikel karyaku itu.

Apabila usul atau rancangan Yahya Arif itu aku telah kemukakan kepada ibu dan bapaku, mereka telah tidak setuju. Mereka tidak mahu aku belajar di sana dan menurut mereka, kalau aku belajar di sana tentu aku tidak akan pulang ke tanah air lagi. Mereka khuatir aku akan berkahwin dengan gadis Minangkabau, di sana.

Ibu dan bapaku telah mendengar cerita-cerita dari orang-orang Minangkabau dari keluarga Malim Deman – kedai songkok-, di Jalan Datok, dalam bandar Kuala Kangsar, bahawa orang-orang Minangkabau pandai memikat pemuda-pemuda Melayu untuk menjadikan menantu mereka.

ANAK GADIS

Kebetulan pula pada masa itu, ada seorang peniaga dari Minangkabau, Fakeh Hassan sering datang ke rumah kami. Dia telah memberitahu hasratnya kepada ibu dan bapaku, dia bercadang hendak mengambil aku menjadi menantunya, iaitu menjodohkan aku dengan anak gadisnya yang sedang menuntut di sekolah agama, di Bukit Tinggi, Indonesia.

Ibu dan bapaku telah mencapai keputusan, bahawa aku mesti menuntut di mana-mana sekolah agama Islam di tanah air. Kalau mereka membenarkan aku menuntut di Bukit Tinggi, sama seperti mencampakkan seketul batu ke dalam tasik. Mereka mengusulkan supaya aku melanjutkan pelajaran ke sekolah agama, Madrasah al Yahyawiayah, Padang Rengas. Pengetua sekolah itu, ialah Allahyarham Ustaz Haji Abdul Samad Noh,3 seorang ulama muda lepasan sekolah Darul Ulum, Mekah.

Sebelum aku datang ke Madrasah Al Yahyawiyah, telah terbayang dalam mindaku yang sekolah itu beratap genting, dinding simen atau papan, lantainya marmar, banyak bilik darjahnya serta ramai muridnya. Tetapi apabila aku tiba di sekolah itu, apa yang telah terbayang dalam mindaku sebelumnya, langsung tidak wujud.

INSTITUSI PONDOK

Madrasah itu hanya sebuah surau lama bertiang kayu-kayu empat segi, berdinding papan, lantai papan dan beratap zink. Surau itu terletak dekat sebuah telaga tempat penduduk-penduduk kampung Bawah Gunung mandi manda dan berhampiran dengan sebuah paya.

Bahagian atas surau itu tempat sembahyang dan kami belajar di bahagian bawahnya. Tidak ada bilik darjah. Kira-kira dua puluh orang penuntut sahaja yang belajar dalam tingkatan tiga (qismuth thalith. Semua penuntut terpaksa belajar dalam surau itu dengan bersila seperti penuntut-penuntut institusi pondok.

Di antara penuntut-peniuntut sekolah itu, ialah Ahmad bin Sheikh Juni Tala (adik ipar kepada Mohamad Asri bin Muda Menteri Besar Kelantan, kemudian dia menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Perak– PAS - , kawasan Lubuk Merbau.

TAHANAN POLITIK

Kerana madrasah itu tiada asrama atau rumah tumpangan bagi penuntut-penuntutnya yang datang dari luar Padang Rengas, maka aku bersama penuntut-penuntut lain terpaksa menumpang di sebuah rumah milik seorang anggota Angkatan Pemuda Insaf (API), Ustaz Abdul Kadir. Dia telah ditahan dalam khemah tahanan politik, di bawah perintah Menteri Dalam Negeri, Dato’ Onn Jaafar4 pada tahun 1948.

Ustaz Abdul Kadir bersama berpuluh-puluh orang anggota-anggota Parti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (Awas) di Padang Rengas dan beberapa tempat di Negeri Perak telah ditangkap dan ditahan dalam beberapa khemah tahanan politik di Malaya.

Rumah itu terletak di tepi sawah, di Kampung Lalang, sebuah kampung dipendalaman, kira-kira dua kilometer jaraknya dari sekolah tempat aku belajar. Aku telah tinggal besama tiga orang penuntut dari kampung Luat, Lenggong. Mereka itu, ialah Idris (kemudian menjadi guru agama pasukan Polis Hutan, di Ipoh), Abdul Muluk, Mohd. Azam dan Mohd. Adnan (kemudian bekerja kampung).

Aku dan rakan-rakanku terpaksa berulang alik ke sekolah dengan berjalan kaki mengikuti jalan tanah dan aspal – bila hari panas berdebu dan bila hari hujan berlumpur. Kami terpaksa memasak makanan sendiri kerana hendak berjimat.

MALAS MEMASAK

Oleh kerana aku banyak menumpukan kepada pelajaran dan menulis rencana dan sebagainya, maka aku jarang mengambil bahagian memasak. Kawan-kawan serumah dengannku menganggapkan aku ’orang yang paling malas memasak’.

Pada masa itu jalan dari pekan Padang Rengas ke Kampung Lalang dan Kampung Laneh masih tanah merah dan pasir. Di kawasan bawah Gunung Pondok dan dekat stesen keretapi terdapat lebih lima belas rumah kedai setingkat.

Kira-kira dua bulan aku belajar di Madrasah al Yahyawiyah, aku telah bergaul dengan beberapa orang pemuda Melayu ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) di Padang Rengas. Mereka itu terdiri dari orang-orang yang belum ditangkap oleh pihak Kerajaan Inggeris. Di antara mereka itu, ialah Rashid Karim, Rashid Ali, Ismail Punjab dan Zainuddin Andika (seorang tukang kayu yang pandai membuat senjata api).

UNSUR POLITIK

Mereka itu sering membaca artikel-artikel yang aku tulis dalam akhbar dan majalah-majalah. Kerana artikel-artikel yang aku tulis itu ada unsur-unsur politik, mereka menganggap aku mempunyai semangat dan jiwa perjuangan yang sama dengan mereka juga.

Mereka tidak mahu aku tinggal jauh dari sekolahku, maka mereka telah mengajak aku tinggal di sebuah rumah atau bangsal setingkat, beratap rumbia, dinding papan, tidak berlantai, hanya tanah berdebu. Bangsal itu milik seorang ahli Angkatan Pemuda Insaf (API) yang terletak dalam kebun ubi kayu, dekat landasan keretapi dan kira-kira suku kelometer jaraknya dari sekolahku.

Kira-kira sepuluh hari aku telah tinggal di bangsal itu, pada satu malam satu gerakan besaran-bersaran menangkap saki baki ahli-ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) telah dilancarkan oleh anggota-anggota pasukan Polis Hutan (jungle scout) di seluruh kawasan Kuala Kangsar, terutama di sekitar Padang Rengas5.

POLIS HUTAN

Dalam gerakan pada malam pertama itu, beruluh-puluh orang Melayu ahli-ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Hizbul Muslimin, Angkatan Pemuda Insaf(API) dan Angkatan wanita Sedar(AWAS) telah ditangkap dan dibawa dan ke Ibu pejabat Balai Polis, di Kuala Kangsar. Di antara rakan-rakanku di Padang Rengas yang telah ditangkap pada malam pertama, ialah Zainuddin Andika dan Ismail Punjap.

Pada malam yang kedua gerakan itu, aku sedang membaca buku dalam cahaya pelita minyak tanah, dalam bangsal itu, tiba-tiba aku terdengar beberapa orang berjalan di luar bangsal, kemudian pintu bangsal itu telah diketuk beberapa kali dari luar. Aku telah membuka pintu itu. Lebih sepuluh orang anggota-anggota Polis Hutan berpakaian seragam sedang berdiri di muka pintu bangsal itu.

Ketua mereka, seorang Melayu telah memberi salam kepaku. Kemudian dia telah masuk ke dalam bangsal dengan diikuti oleh anggota-anggotanya. Mereka telah menggelidah rak buku, almari dan apa sahaja dalam bangsal itu.

Aku telah memberitahu mereka yang aku masih belajar dan baru tinggal menumpang dalam bangsal itu.

CAWANGAN KHAS

Seorang pegawai polis – mungkin pegawai Polis Cawangan Khas, boleh berbahasa Arab dan lepasan sekolah agama – Madrasah Al Junid, Singapura, telah menggeledah di bawah pangkin dan telah mengetuk-mengetuk atas tanah di situ dengan bat senapangnya. Tempat itu bergaung. Setelah dibuka penutup lubang gaung itu, mereka telah menemui lebih dua ratus laras senapang -rifle - , yang siap dibuat dan semua rifle belum dipasang picu (trigger)nya. Mereka telah mengangkat keluar semua senapang itu dan kemudian membawa keluar dari bangsal itu.

Mungkin pada waktu anggota-angota polis hutan itu menggeledah bangsal aku itu, pegawai yang pandai berbahasa Arab itu telah membaca tulisan(Jawi)ku yang telah siap ku tulis dan buku-buku karangan Syed Qutb, Hassan Al Banna (anggota-anggota parti Ikhwanul Muslimin Mesir) serta buku-buku karangan Ir Soekarno, Dr Mohd.Hatta, Hamka dan Dr Burhanuddin Helmi yang terletak atas pankin dalam bangsal itu. Pada pagi esoknya, kira-kira jam 7.00 satu pasukan polis hutan telah datang menangkapku dan mereka telah membawaku ke Balai Polis Padang Rengas. Kira-kira dua jam kemudian mereka telah membawa aku ke Ibu Pejabat Balai Polis daerah Kuala Kangsar.

Aku adalah di antara berpuluh-puluh orang Melayu pejuang kemerdekaan yang telah ditahan di Ibu Pejabat Balai Polis itu. Aku ditahan sebagai tahanan politik hingga jam 4.30 petang.

LORI POLIS

Aku telah dibebaskan adalah dengan pertolongan seorang pegawai rendah mata-mata gelap, Sarjan Buang yang datang melihatku dan tahanan-tahanan lain dalam perut balai itu. Sarjan Buang sahabat bapakku. Beberapa bulan yang lalu, dia telah sering datang ke rumahku. Dia pernah menasihati aku supaya rajin belajar. Setelah Sarjan Buang berunding dengan pegawai-pegawai polis di balai itu, maka aku telah dibebaskan. Kemudian aku telah dihantar dengan sebuah lori polis ke pekan Padang Rengas.

Kerana aku masih muda – berdarah muda - , walaupun aku bukan pejuang kemerdekaan, tetapi setelah aku ditangkap oleh anggota-anggota Polis Hutan, aku berasa bangga, kerana aku telah ditangkap sebagai seorang pejuang atau patriotik kemerdekaan tanah air.

Aku telah merahsiakan kejadian aku telah ditangkap dan ditahan di Balai Polis Kuala Kangsar. Aku tidak mahu diketahui oleh guru-guru dan kawan-kawanku, lebih-lebih lagi oleh ibu dan bapaku. Kalau mereka telah mengetahui, tentulah mereka terpaksa mengeluarkan wang untuk datang ke Padang Rengas kerana melihatku. Pada masa itu wang sukar didapati oleh orang-orang yang berada dalam rahang kemiskinan.

(Sedutan dari buku,Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. - Editor, Petah Shahrir Adidi )

1 Mohd. Thani Ahmad, Sarah Sadon, Suhaimi Haji Muhammad, 1988, Wajah - biografi penulis, edisi

kedua, Kuala Lumpur, Dewan Bahasan dan Pustaka, hlm. 428’429,430,431.

2 Quran - An Nahl: 68, 69.

3 Noor Iskandar, Haji Abdul Samad Noh, Kuala Lumpur, Tempo, 2 Mei 1993.

4 Dato’ Onn, Yang Dipertua UMNO. Dia pegawai tinggi (eksekutif) kerajaan Inggeris dan

mempunyai taraf dan kuasa Menteri Dalam Negeri.

5 Semenjak tahun 1945, Gunung Semanggul, Bagan Serai dan Padang Rengas, Kuala

Kangsar telah menjadi kawasan tempat pejuang-pejuang kemerdekaan bergiat dan

bersedia untuk menghadapi kemerdekaan tanah air menurut yang mereka tuntut, iaitu

satu negara (Malaya), satu bangsa (Melayu) dan satu agama (Islam).

KAMBING DAN TUAN


Kanbing: Kelihatan manja. Hormati tuannya. Harapannya, akan terus bersahabat dengan tuannya hingga ke akhir hayatnya. Bek 1: Tuanku mulia. Bek 2: Aku setia. Bek 3: Aku tak tahu hati dia.
Tuan kambing: "Aku beri kamu makan. Makalah rumput, kulit pisang hatta seluar dalam aku. Bila kamu dah besar dan banyak daging, aku sembelih atau aku jual. Duit aku gunakan untuk mebeli pakaianku dan seluar dalam yang kaumakan."

* Layari blog: Edit-Thinker dan mokhtarpetah

MELAYU TIDAK BOLEH BERPECAH


PERPADUAN MELAYU

Dia (Allah) telah menurunkan keterangan – keterangan yang jelas kepada hamba - Nya (Muhammad s.a.w.) untuk mengeluarkan kalian dari kegelapan kepada cahaya yang terang dan sesungguhnya Allah itu Petunjuk dan Penyayang kepada kalian. - Al Hadid: 9.

Orang Melayu boleh menjadi bangsa yang kuat dan disegani oleh umat manusia di seluruh dunia, hanyalah jika ditangan mereka ada kuasa Melayu (Malay power). Kuasa Melayu tidak akan diperolehi sampai bila – bila, selagi orang Melayu tidak mengikut petunjuk Allah dalam Quran, iaitu tidak berpecah belah – bersatu padu di bawah kalimah Allah.

Ketuanan Melayu tidak penting, kerana ketunanan itu satu warisan dari bangsa Arab kuno sebelum Islam, iaitu 'Syed atau tuan' yang mengusai orang - orang miskin dari bangsa mereka sendiri. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka sebelum 1511 dan zaman Sutan Abdullah di Perak sebelum 1874, telah wujud Ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu itu telah memberi peluang kepada golongan Istana dan peodal (ketuanan) Melayu memperhambakan orang ramai Melayu yang miskin atsaun marhein

Orang Melayu boleh bersatu – padu, jika semua organisasi politik Melayu, UMNO (berpegang kepada kebangsaan Melayu) dan PAS (berpegang kepada Islam sebagai amalan dalam semua bidang kehidupan insan), ketepikan sentimen politik dan mengorbankan pegangan tidak mengikut Islam dan sama – sama berepegang kepada Islam sebagai dasar hukum dan amalan dalam kehidupan negara dan rakyat.

Maka, jika benar orang Melayu mahu bersatu - padu dan mendapat kembali kuasa Melayu (Malay power), maka UMNO dan PAS hendaklah membuangkan yang keruh dan ambil yang jernih; saling bekerjasama dalam semua bidang.

Saya yakin, jika orang Melayu tidak bersatu - padu, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun sahaja lagi, bangsa Melayu akan hilang. Bukan hilang kerana ribut dan banjir seperti maksud Quran di atas ini, tetapi kerana corak politik yang berbeza dengan corak politik UMNO dan PAS, akan melanda dan akan menjadi besi waja kekuatan bangsa lain menguasai negara pusaka bangsa Melayu ini.

Bagaimana nasib UMNO dan PAS di pulau Singapura yang kuat pada masa belum kuasa bangsa lain yang membawa basi waja politik sosio - demokrsi ke pulau pusaka bangsa Melayu itu?

Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Haji Hadi Awang, Nik Aziz dan Anwar Ibrahim bertanggung jawab atas menyatu padukan orang Melayu. Mereka perlu kembali kepada firman Allah, ' berpegang teguh pada tali Allah (berpadu) dan jangan berpecah belah'.(mp).

DI ANTARA KITA, SIAPAKAH MAHU SEDEKAH ?

DERITA KERANA KENSER

MAIMUNAH MEMOHON

IHSAN ORANG RAMAI

Maimunah binti Muhamad, 46 tahun, janda, sedang menderita sakit kenser payu dara dan kenser tulang merayu belas kasihan orang ramai untuk mmendapatkan wang bagi menampung kos perubatan dan belanja hidup serta belanja sekolah anak perempuannya berusia 10 tahun..

Dia telah bercerai dengan suaminya, Lokman, pada 18 Feberuari 2009.

Setelah bercerai, bekas suaminya meninggal dunia pada 8 Mac 2009.

Maimunah mula diserang kenser payu dara pada Februari 2004. Telah menjalani rawatan – komo trapi dan radio trapi. Dengan kehendak Allah kensernya telah sembuh sepenuhnya. Malangnya, pada Jun 2009, dia disahkan mengamail bon cancer (kencer tulang).

Untuk menjalani rawatan, dia dibantu oleh adik beradiknya yang masaing – masing berpendapatan kecil.

Anak perempuannya, Nur Sarah binti Lokman, 10 tahun, sedang menuntut di Sekolah Kebangsaan Seri Bintang, Shamlin Perkasa, Kuala Lumpur.

Sesiapa yang dianugerahkan oleh Allah murah hati; hendak menghulurkan bantuan kepadanya, bolehlah menghubunginya di alamat: CD – 4 – 5 Gladden Court, Jalan Wawasan Ampang 1/10, Bandar Baru Ampang, 6800 Ampang, Selangor. No. akaun, MBank 1621 7962 1740.


**** ****


IBU TUNGGAL DERITA KENSER TULANG

Oleh: Aina Ahmad

Saya adalah antara salah seorang peserta yang mengambil bahagian semasa sama menolong membeli baju untuk membantu anak - anak yatim, di rumah anak yatim, Rawang, di sebuah pasar raya, di Subang Jaya pada tahun lalu bersama sepupu saya Puan Iza. Pada tahun yang sama, saya juga menyertai majlis berbuka puasa bersama anak - anak yatim, di rumah anak yatim, Kelang. Saya memaklumkan satu cerita mengenai seorang ibu tunggal, anak seorang, kawan saya sendiri, iaitu Maimunah binti Mohamad, 46 tahun. Dia merayu kepada mereka yang berhati murah dan reda bernafkah kepadanya yang yang sedang menderita kerana didera penyakit kenser tulang. Maimunah, bekas seorang kerani di pejabat swaswta. Dia telah disahkan oleh pihak hospital mengidap kanser tulang. Penyakit kansernya serius. Telah merebak ke dalam usus dan tulang kaki kirinya. Baru-baru ini dia telah dinasihatkan oleh doktor yang merawatnya, agar dia menjalani pembedahan kaki kirinya dan tulang kaki kirinya digantikan dengan besi. Kos pembedahan kaki kirinya memelukan lebih RM16,000.00. Dia juga dinasihatkan melakukan kimoterapi pada tiap -tiap bulan. Oleh kerana doktor tidak dapat memastikan status beliau samada sudah menopaus atau belum. Mereka hanya akan dapat menjalankan kimoterapi tersebut selepas 6 bulan bermula dari bulan Julai ini. Untuk makluman, Untuk menjalankan kimoterapi ke atas orang yang belum menopaus dan sesudah menopaus adalah berbeza. Dalam tempoh 6 bulan menjalankan kimotrapi, beliau dikehendaki mengambil satu suntikan tiap-tiap bulan yang berharga RM1000.00.

Pada masa ini, kerana Maimunah tidak mampu menaiki tangga rumahnya sendiri, di tingkat lima, di rumah pangsa, di Bandar Baru Ampang, maka, dia menetap bersama adik perempuannya yang telah berkahwin, di taman di Cheras, Kuala Lumpur.
Maimunah memberitahu saya, bahawa suaminya telah meninggal dunia pada bulan Mac 2009 lalu. Dia telah diceraikan oleh suaminya pada 18 Februari tahun yang sama. Menurutnya, oleh kerana bekas suaminya tidak menamakan orang yang menjadi warisnya, iaigtu anak perempuannya, Nurah, 10 tahun, maka dia tidak dapat menuntut apa- apa harta dan wang kepunyaan bekas suaminya seperti EPF dan rumah dan wang dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (EPF). Mengenai perkara ini, Maimunah yang menghadapi masa depan yang gelap, berhara pihak Jabatan amanah Raya membantunya bagi mendapat harta dan wang peninggalan suami untuk anak mereka yangmasih menuntut, di Sekolah Kebangsaan Seri Bintang, Shamlin Perkasa,Kuala Lumpur.
Puan Maimunah telah berhenti dari bekerja setelah beliau disahkan mengidap kanser. Pada masa ini untuk meneruskan hidupnya, makan minumnya bersamaanaknya, hanya dibantu oleh adik -adiknya yang masing beratg tanggungan.
Jika sesiapa yang bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung Maimunah, bolehlah menghubungi telafonnya: 012 – 2980382 atau menerusi akaun simpanannya:MBank 1621 7962 1740.







QURAN, HADIS DAN LAIN


MEREKA YANG BERIMAN

Hai para hamba – Ku, tidak ada kekhuatiran atas kalian pada hari ini dan tidak pula kalian berdukacita, (iaitu) mereka yang beriman kepada ayat – ayat (perintah dan tegahan dalam Quran) Kami dan mereka itu orang – orang beragama Islam. Kalian masuk syurga. Kalian dan isteri – iateri kalian digembirakan. Diedarkan piring – piring dan bejana dari emas (berisi makanan dan minuman). Dalam syurga itu terdapat segala sesuatu yang diinginkan oleh hati serta sedap mata memandang dan kalian kekal di dalamnya (syurga). - Az Zukhruf:68 – 71.


HADIS


DUDUK TEPI JALAN


Rasulullah telah bersabda: Anda sekalian, jauhilah dudu – duduk ( melepak) tepi jalan . Apabila kalian meninggalkan jalan sebagai tempat melapak, maka berikanlah kepada jalan itu akan haknya, iaitu, menahan pandangan (perkara - perkara maksiat), (hendaklah) memberi salam (kepada orang – orang Islam yang lalu lalang atas jalan itu), dan menyuruh melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

        Perawi: Imam Bukhari dan Imam Muslim.


KHUTBAH JUMAAT


MEMBENDUNG MUSIBAH WABAK SELSEMA BABI

(31 JULAI 2009 / 09 SYAABAN 1430)



Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa bagi memastikan kita tidak terjebak dengan perbuatan menderhaka kepada Allah dan menzalimi sesama manusia. Mudah-mudahan kehidupan kita terselamat daripada musibah dan tidak terkena kemurkaan Allah. Memandangkan musibah selsema babi atau H1N1 mula menyebabkan peningkatan kematian di negara ini, maka mimbar pada hari ini sekali lagi menekankan tentang tajuk: Membendung Musibah Wabak Selsema Babk'

Pada 29 April 2009, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah meletakkan wabak Selsema Babi kepada kedudukan tahap kelima (5). Kemudian pada 11 Jun 2009 Pertubuhan Kesihatan Dunia telah mengisytiharkan peningkatan amaran dari tahap 5 ke tahap 6 iaitu tahap di mana virus telah merebak secara berleluasa di beberapa negara, sukar untuk dikenalpasti rangkaian pemindahan wabak dari manusia ke manusia dan menandakan penularan berterusan tidak dapat dielakkan lagi.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan Bilik Gerakan Pencegahan Penyakit Menular Kebangsaan semenjak 26 Jun 2009 bagi menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan di seluruh negara. Sehingga 29 Julai 2009 sebanyak 1,124 kes berkaitan Selsema Babi dapat dikesan. Dari jumlah ini didapati sebanyak 574 kes adalah berpunca daripada luar negara dan 554 kes lagi berpunca dari dalam negara sendiri. Setakat ini 4 orang dilaporkan telah meninggal dunia di negara ini.

BERISIKO TINGGI

Wabak ini mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan babi atau pemindahan virus selsema babi kepada manusia dan manusia sesama manusia. Tanda-tanda utama selsema babi ialah apabila suhu badan melebihi 37.8 darjah celsius, sakit badan, batuk, berhingus, bersin, sesak nafas, hilang selera makan, muntah, dan cirit birit. Jika simptom ini berlaku dalam keluarga kita, maka kita hendaklah bersegera, serta merta bawa ke hospital.

Tempat-tempat awam adalah tempat yang paling terdedah dan berisiko tinggi merebak dengan cepat wabak selsema babi. Dengan demikian semua kementerian, syarikat dan pertubuhan yang terlibat dengan perkhidmatan asas awam seperti polis, imigresen, kastam, hospital dan perkhidmatan kaunter perlu memastikan anggota barisan hadapan mereka sentiasa menjaga kebersihan yang baik untuk memastikan mereka tidak terdedah kepada jangkitan penyakit wabak yang cepat merebak ini. Apabila wabak bahaya ini dapat di kesan di sesuatu tempat atau di sesuatu kawasan, maka tindakan cepat perlu diambil.

Langkah yang paling berkesan diambil ialah menutup premis atau menjauhi kawasan yang dikenal pasti kawasan wabak. Tindakan yang diambil termasuklah tindakan menutup sekolah, institusi dan menjauhi majlis-majlis rapat umum dan perjumpaan awam. Kerjasama untuk bertindak pantas amat diperlukan daripada semua pihak yang terlibat jika wabak berkenaan dapat di kesan.

ORANG AWAM

Bagi membendung wabak yang sedang merebak ini, maka Kementerian Kesihatan dan pihak hospital telah memberi peringatan kepada orang awam yang tidak sakit tidak digalakkan melawat hospital atau pusat kesihatan terutamanya membawa kanak-kanak yang berumur kurang 12 tahun, kecuali bagi tujuan rawatan. Langkah ini adalah bagi tujuan mengurangkan pendedahan atau risiko jangkitan kepada orang awam.


Bencana dan musibah tidak putus-putus menimpa manusia. Berdasarkan dalil al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW bahawa terdapat perkaitan kuat malapetaka dan musibah yang menimpa manusia berkait rapat dengan tabiat, tingkahlaku dan kelakuan buruk manusia sendiri. Firman Allah SWT dalam surah al-Rum, ayat 41,ﰂ ﰃ ﰄ

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat.”.

Berbagai cara kemurkaan Allah menimpa manusia. Ada kemurkaan yang hanya menimpa seorang manusia, satu keluarga, satu suku dan ada juga yang menimpa satu bangsa sehingga sesuatu bangsa itu pupus di muka bumi.

GEMPA BUMI

Mimbar ingin mengingatkan bahawa semua malapetaka alam, yang sering terjadi di permukaan bumi ini, samada banjir, gempa bumi, taufan, kelaparan, kekurangan makanan, peperangan, penyakit-penyakit menular dan bala bencana yang lain adalah pembalasan kepada kejahatan dan kekufuran manusia. Bencana alam yang dahsyat dan kemunculan wabak-wabak penyakit yang luar biasa penularannya bukan berlaku secara kebetulan tetapi hakikatnya hukuman Allah supaya manusia insaf dan kembali menjadi manusia yang beriman dan soleh.

Oleh itu wahai jemaah sekalian mimbar menyeru marilah kita menjadi manusia yang beriman dan soleh. Adalah satu pembaziran hidup dan menjadi hidup paling rugi jika sebahagian besar hidup kita bergelumang dengan melakukan penderhakaan kepada Allah, melakukan kejahatan sesama manusia dan menjadi kuda tunggangan atau bersyubahat untuk menghapus pihak lain. Wahai jemaah dan umat Islam sekalian, sebagai renungan marilah kita hayati Firman Allah dalam surah al-Anfal, ayat 33:

ﯫ ﯬ ﯭ ﯮ ﯯ ﯰ ﯱ ﯲ ﯳ ﯴ ﯵ ﯶ ﯷ

Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau berada di antara mereka, dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar meminta ampun.”




PETUA

UMUR PANJANG

Kita sentiasa mendengar orang – orang alim bedoa kepada Allah memohon umur panjang. Sebenarnya, umur manusia tidk boleh diminta agara dipanjangkan, kerana Allah telah menentukan; apabila telah sampai ajal (waktu mati), tidak boleh ditangguh atau dipercepatkan.

Umur panjang, adalah bermaksud segala amal kebajikan dan jasa seseorang itu wujud sepanjang zaman, walaupun dia telah meninggal dunia. Misalnya, seorang pengarang meninggalkan buku – buku karangannya, seorang penulis meninggalkan hasil karyanya, seorang dermawan meninggal harta, masjid, surau, sekolah agama Islam dan sebagainya.

Apa anda akan tinggalkan setelah anda meninggal dunia?


TAHUKAH?


ORANG KELANTAN

Kebanyakan orang Melayu dari Negeri Kelantan yang kaya raya – golongan koporat -, yang tinggal di Kuala Lumpur dan di tempat – trempat lain tidak memberi sedekah (zakat dan sebagainya) di tempat mereka tinggal, tetapi mereka memberti atau menyumbang kepada Jabatan Agama Islam dan Adat istiadat Melayu negeri tersebut.


Thursday, July 30, 2009

POLITIK


1 MELAYSIA

BAGAIMANA NASIB ORANG MELAYU

Oleh: Mokhtar Petah

Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak dengan keberanian, kejujuran dan harapan telah mengumumkan 'doktrin'nya, 1 Malaysia, suatu gagasan yang memungkinkan semua rakyat Malaysia yang berbagai keturunan ini akan bersatu padu.

Doktrin Najib telah disambut segera oleh semua ahli UMNO dan sebilangan rakyat Malaysia yang tidak terikat dengan mana – mana parti politik. Mereka yakin 1 Malaysia boleh menyatukan rakyat negara ini yang pada masa kini berkeadaan pinggan buruk, retak seratus dan retal seribu yang sedang menanti belah.


DPM Najib Razak by Najib Razak.

Najib Tun Razak

Pada masa ini, rakyat Malaysia berada di persimpangan jalan politik untuk diikuti; persimpangan ke arah kapitalisme, sosialisme dan Islamisme.Di persimpangan itu, ramai yang telah jelak dengan politik yang berideologi atau terpengaruh di bawah kapitalisme seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat, Great Britain dan berapa negara lagi.

Negara kita, walaupun tidak menganut kapitalisme, tetapi bidang kehidupan kita lebih banyak terpengaruh atau terikut – iku ke arah itu. Bagi kebanyakan orang yang arif dengan sain politik mengakui Malaysia sebuah negara kapitalis – Islam. UMNO dan parti – parti politik orang Cina dan orang India di bumi semenanjung ini berada dalam kepompong kapitalisme dan para andividu di dalamnya bergelar kapitalis.

Gagasan 1 Malaysia yang telah dikemukan oleh Najib Tukn Razak belum dapat difahami oleh sebilangan besar rakyat, terutama orang Melayu. Apakah 1 Malaysia itu sama dengan doktrin Dato' Onn Jaafar yang hendak mewarnakan UMNO dan Tanah Melayu pada zaman itu dengan gelaran Malayan.

Dato' Onn telah gagal melaksanakan doktrinnya. Pada tahun 1951, beliau telah menarik diri dari UMNO. Para politiku dalam UMNO khuatir dengan doktrin Malayan beliau. Mereka takut orang Melayu yang sedang tegak subur, berbatang besar dan tinggi menjulang, ditumpang oleh anak jerai atau ara yang berasal dari benihnya dalam tahi burung, kemudiannya polok ara atas pokok jerai membasar rimbun, pokok mengkudu tengelam di bawah pokok tersebut dan akhirnya mati meragan.

Adakah orang Melayu akan mati meragan juga dalam konsep 1 Malaysaia Najib Tun Razak?

Najib yang saya lihat sering ter'gopoh gapah' dan 'banyak cakap', sebagai pemimpin negara ini mestilah melihat secara mendalam kepada warna kehhidupan orang Melayu dan umat Islam.Apakah 1 Malaysia dapat menylamatkan mereka atau akan menjdikan mereka seperti poko mengkudu diserkum poko jerai atau rambung.

Konsep 1 Malaysia memanglah baik jika negara kitasepert Amerika Syarikat, Great Britain, Jerman, Cina, India, Rasia, Arab, Iran dan negara – negara lain, kerana rakyat negara – negara tersebut tidak berbilang kaum atau keturunan.

Dalam buku karangan saya, Bangsa Melayu Menggugat Dunia (terbit paa tahun 1960-an),boleh menjadi panduan bagi pemimpin muda seperti Najib yang tidak banayak memahami sejarah perjuangan bangsa Melayu.

Negara Malaysia sebuah negara berbilang kamu. Umno dan Barisan Nasional mengamalkan konsep kebangsan – Kapitali dan Islam sebagai satu kebetulah untuk dibela, maka 1 Malaysia, bagi pendapat saya, orang laian saya tidak dapat menyelam fikiran mereka, adalah amat bahaya kepada bangsa Melayu.

Jika Kapitalis diamalkan terus menerus pun orang Melayu akan tetapi menjadi mangsa seperti 'bayi dalam buaian' kerana ibu bapa mereka ',menanakkan nasi untug si dagang yang diambil ertinya dari 'dagang lalu ditanakkan anak mati dalam buaian'.

1 Malaysia muda terdedah kepada jaringan sosial – demokrasi yang sedang dilaksanakan oleh parti – parti politiki dalam Pakatan Rakyat. 1 Malaysia yang faosafahnya sama rata dan sama hak bagi semua rakyat, akan junga menjadikan orang Melayu bangsa yang kecil dibandingkan dua ketgurunan di negara ini menjadi besar,iaitu Cina dan India.

Orang Cina dan India di negara ini mempunyai nafsu besar (seperti Lee Kuan Yew dulunya bernafsu besar untuk memerintah dan menguasai orang Melayu Singapura) untuk memerintah negara ini. Maka 1 Malaysia menjadiu lebuh raya baru bagi mereka lalui dengan kenderaan baru dan berinjin berkuasa kuasa besar.

1 Malaysia akan boleh menyelamatkan orang Melayu, iaitu orang Melayu tidak akan mati meragan, hanya jika Malaysia menerima Islam menjadi dasar negara.Tetapi kalau lain dari Islam menjadi dasar negara, yakinlah; Melayu akan tenggelam seperti tenggelamnya penduduk asal Australia.(m)

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah


Isteriku telah bekerja guru Kelas Dewasa - di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar - , di Kampung Baru Enggor, kira-kira lima kilometer dari bandar Kuala Kangsar.

Lebih kurang empat bulan kemudian kami telah tinggal, rumah sewa dalam bandar Kuala Kangsar,maka kami berpindah ke sebuah rumah sewa, di Simpang Penaga - tidak jauh dari sungai Perak - , dalam kawasan Majlis Bandaran Kuala Kangsar juga.

Pada masa itu, sebagai pemberita yang berpendapatan kecil aku hanya menggunakan kenderan, skuter. Dengan skuter itulah aku menjalankan tugas harianku. Pada sebelah malam aku berulang alik menghantar dan mengambil isteriku yang mengajar di Kelas Dewasa, di Kampung Baru Enggor.

Pada 27 Mei 1961 Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah membuat ucapan penting di sebuah hotel di Singapura. Dalam ucapannya itu dia telah menegaskan akan mustahaknya diwujudkan satu ’ persatuan ekonomi dan politik di antara Burneo Utara, Sarawak, Brunei, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

Tetapi Tunku telah menjelaskan, bahawa ’persatuan’ itu walaupun nisbah wilayah atau kawasan itu sama dengan dengan Melayu Raya yang telah dirancangkan oleh Presdien Soakarno, Presiden Macapagal dan beberapa orang pemimpin Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, di antaranya Dr Burhunddin Helmy, tetapi dasarnya tidak sama. Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.

Tidak lama kemudian, anak kami yang kedua – perempuan - , Anis Rafida telah lahir ke dunia. Kelahirannya telah menambahkan lagi erti diriku seorang lelaki. Tetapi Allah Yang Maha Mengetahui segala, telah mendugaku dengan satu dugaan yang sukarku tanggungkan, Anis Rafida telah meninggal dunia setelah kira-kira 60 hari lahir ke dunia.

Anis Rafida telah meninggal dunia dalam keadaan sakit ganjil yang tidak diketahui sebabnya oleh doktor dan bomoh. Kejadian itu telah bermula pada tengah hari Sabtu, tahun 1962. sebaik-baik sahaja aku pulang ke rumah, seorang pemuda jiranku, Sulaiman dan berasal dari Negeri Kelantan, telah meminta aku menolongnya menarik mayat seorang pemuda Melayu yang tersangkut pada kayu dalam Sungai Perak, di belakang rumahnya.

Setelah aku menolong Sulaiman menarik mayat itu ke pantai sungai itu, Sulaiman menunggu mayat itu dan aku segera pergi menelefon ke balai polis Kuala Kangsar. Setelah beberapa orang anggota polis datang mengambil mayat pemuda tersebut, aku telah pulang ke rumahku.

Sebaik-baik sahaja aku tiba di rumah, isteriku meminta aku memegang Anis Rafida kerana dia hendak menyediakan makan tengahari. Aku telah memegang anak kami itu dan meribanya. Sebentar kemudian dia telah lena atas ribaku. Kemudian aku memasukkannya ke dalam buaian kain, dalam bilik kami.

Kira-kira jam 3.00 petang, isteriku mendapati anak kami sedang demam, dari mulutnya berbuih-buih memutih dan dua biji matanya terbeliak. Tetapi dia tidak menangis.

Aku segera memberitahu jiran tetangga. Mereka yang datang telah hairan melihat keadaan anak kami itu. Seorang dari mereka telah menyuruh aku pergi menemui pawang. Wan Abdul Karim. Dia adalah penunggu kawasan makam Orang Besar-Besar Negeri Perak, di Pulau Che Abit, dalam Bandar Kuala Kangsar.

Wan Abdul Karim telah datang melihat dan menilik anak kami. Dia telah membaca mentera jampinya dengan mengusapkan asap kemenyan kepada anak kami. Kemudian memaklumkan kepada kami yang anak kami itu telah ditegur oleh ’penunggu Sungai Perak’1. Pada waktu itu hatiku berat menerimanya, tetapi aku telah tidak berkata apa-apa. Yang pentingnya aku mahu anak kami itu betah dari sakit ganjilnya itu.

Menjelang waktu senja, anak kami tidak juga betah. Setelah berunding dengan isteriku dan jiran tetangga yang hampir, kami telah menghantar Anis Rafida ke Hospital Perempuan Kuala Kangsar, yang kira-kira setengah kilometer juahnya dari rumah kami.

Dua tiga orang doktor (bukan pakar) dan ramai jururawat telah memeriksa anak Anis Rafida. Mereka telah menyuntik ubat pada pehanya. Doktor yang merawat anakku itu telah meminta aku menandatangani dua surat kebenaran membedahnya. Aku telah menandatangani kedua-dua surat itu, iaitu surat untuk membedah leher dan halkum Anis Rafida dan membedah tengkorak kepalanya.

Selama lima hari anak kami di rawat di hospital itu, dia telah disuntik sejenis air (mungkin ubat) pada pehanya sebanyak 21 kali.

Penyakit Anis tidak juga sembuh. Mulutnya masih berbuih-buih dan matanya terbeliak. Seorang pegawai jururawat, Cik Hazamah binti Haji Marzuki telah menasihatkan aku, supaya kami membawa pulang anak kami itu. Menurutnya, ubat yang telah disuntikkan kepada peha anak kami itu, hanya untuk melalikan saja. Doktor tidak mengetahui apa jenis penyakitnya.

Pada hari itu juga, aku telah telah menandatangani satu borang yang membenarkan aku membawa Anis Rafida keluar dari hospital itu.

Seorang jiranku telah menasihatkan aku, supaya aku pergi meminta air penawar dan ubat untuk anak kami kepada seorang bomo petapa, Wak Tamo, yang tinggal di pendalaman, dekat rimba di kaki Gunung Payung, di belakang kampung Kota Lama Kiri.

Aku tiba ke rumah Wak Tamo dengan membawa selabu air sejuk. Pada waktu aku tiba, dia sedang sembahyang Zohor (lewat). Sebaik-baik sahaja dia selesai sembahyang, aku telah memberi salam dan naik ke dangaunya. Belum sempat aku bercakap, Wak Tamo telah berkata, ”...encik datang ni dah lambat, ...anak encik tu dah kena bajang, ...Encik tolong angkat orang mati hanyut, encik tak mandi sebelum pegang anak Encik...”

Pada waktu itu aku hampir-hampir menjerit kerana sedar akan kesalahanku. Semenjak aku kanak-kanak lagi aku sering mendengar orang tua berkata; balik dari menziarah mayat mesti mandi lebih dahulu sebelum berbuat apa-apa.

Wak Tamo telah menjampi air penawar. Dia menyuruh aku menjelum air penawar itu pada seluruh tubuh anak kami. Dia telah berkata, ”...saya dapat ikhtiar saja, ...Allah Yang Maha Kuasa.”

Pada waktu aku tiba di rumahku, ibu dan bapaku sedang menghadapi Anis Rafida. Aku telah melakukan apa yang telah disuruh oleh bomoh itu. Apabila aku melihat tidak ada perubahan pada anak kami itu, maka ku telah pergi mengambil Pawang Raja, Tengku Adlan bin Tengku Adil (bapa tiri Sultan Perak, Sultan Idris Shah), di Istana Iskandariyah, Bukit Chandan.

Setibanya Tengku Adlan di rumah kami, dia telah membaca ayat-ayat Quran dan dihembuskan kepada Anis Rafida. Kemudian dia meminta aku dan isteriku supaya bersabar. Kira-kira setengah jam kemudian, Anis Rafida telah meninggal dunia. Seluruh tubuhnya kelihatan lebam seperti jantung pisang direbus.

Jenazah telah disemadikan di tanah perkuburan orang Islam, di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.

Peristiwa sedih itu, sampai kini aku sentiasa meramas hatiku. Aku teringatkan kejadian aku menolong menarik mayat pemuda di sungai Perak dan bayiku, Anis Rafida menderita sakit sebelum meninggal dunia. Setiap kali aku melihat kanak-kanak perempuan, terasa bagaikan denyut nadiku terhenti dan fikiranku menjadi hiba dan sayu seketika.

1 Kebanyakan Orang Besar-Besar Negeri Perak, pada masa itu masih percaya kepada

penunggu, iaitu ruh atau hantu datuk nenek mereka yang yang meninggal dunia dan

menunggu di sesuatu tempat, seperti rumah, makam atau pusara, tempat berjamu dan

sebagainya.

(Sedutan dari buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh:Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid)