Muhammad Yusri Amin | |
KOTA BHARU, 27 Jun (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau bertekad untuk berdepan secara terbuka dengan Presiden Umno, DatO' Seri Najib Razak dalam masa terdekat menerusi 'mujadalah' (debat Nik Aziz Beliau berkata, untuk tujuan itu draf surat rasmi telah pun disiapkan dan akan dikirimkan dengan kadar segera kepada Najib yang juga Perdana Menteri Malaysia itu. "Hari ini saya nak beritahu bahawa saya sudah siapkan draf surat khusus untuk Presiden Umno. "Saya nak minta Presiden Umno berdepan dengan saya bulat-bulat, secara terbuka, tidak secara sulit kerana perkara ini telah terbuka secara umum sejak 1951, tak habis-habis. "Saya mahu penjelasan kerana apa Umno tolak Islam dan kerana apa Umno lawan PAS sedangkan PAS ini guna Islam (dalam dasar parti, perjuangan dan pemerintahannya). "Saya nak tahu, tak kena di mana (ajaran) Islam menyebabkan Umno menolak Islam, sebaliknya guna (mengambil sistem) sekular dan kebangsaan," jelasnya pada sidang media selepas mengimamkan Solat Dhuha sempena Sambutan Bulan Sembahyang Peringkat Negeri Kelantan di pekarangan Masjid Al-Baraah, Pasar Besar Siti Khadijah di sini pagi tadi. "Saya berhasrat benar-benar ingin tahu kenapa Umno yang sudah Islam 500 tahun, Melayu pun sudah Islam 500 tahun, menolak Islam, sedangkan Islam menyebut, 'rahmatan lil-'aalamin', rahmat bagi seluruh dunia, bukan laknatan,"katanya. Tambahnya,Islam kini dianggap semacam satu 'laknat', (dan membawa kepada) pecah belah, dan (sekiranya) melaksanakan Islam itu tidak maju dan membawa kemunduran. "Tuduhan seperti itu tidak akan selesai melalui suratkhabar, bahkan mesti berdepan dengan saya sebagai seorang pemimpin Islam di sini, dan dengan Presiden Umno sebagai pemimpin sekular, (secara) berdepan-depan. "Ini (program dilakukan seperti ini) cara Nabi-nabi di mana Nabi Ibrahim berdepan dengan Namrud, Nabi Musa berdepan dengan Firaun dan Nabi Muhammad berdepan dengan Abu Jahal. "Mengenai cara demokrasi, Amerika pun telah mengadakan debat terbuka di kalangan calon-calon Presidennya termasuk (yang dihadapi) Obama sendiri berdepan dengan calon Presiden Amerika dari parti lawannya, dan cara itu kini digunakan negara jiran, Indonesia. "Pengamal demokrasi melakukan demikian oleh kerana negara ini disebut bukan (mengamalkan cara) Komunis. "Cara mujadalah ini bukan pandai-pandai saya. Ini kerja Nabi, (oleh kerana perkara ini) ada Hadisnya dan ada Sirahnya. "Oleh itu tidak ada sebab tidak mahu bermujadalah dalam satu saja isu iaitu 'Kerana Apa Umno Menolak Islam'. "Saya nak tahu itu saja. Biar rakyat pun faham, biar masyarakat jelas oleh kerana (ketika berada) di akhirat kelak, tak selesai dengan mahkamah (dunia). "Takkanlah dalam kubur nanti, saya nak kata; 'Ini keputusan Mahkamah Malaysia'. "Apabila masuk kubur, (berdepan dengan) kerajaan lain, kerajaan Tuhan betul-betul. Tidak ada langsung sama ada Kerajaan Kelantan atau Kerajaan Kuala Lumpur, bahkan yang ada Kerajaan Allah SWT dan pada masa itu tidak laku keputusan yang dibuat dan bercanggah dengan Islam," tegasnya. |
(Berita ini dari harakah Daily,27 Jun 2009) |
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.